ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 12 December 2023

Qunut Nazilah: Hukum & Panduan Membacanya

NURLIYANA OCTOBER 22, 2023


Umat Islam adalah digalakkan untuk membaca Qunut Nazilah dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya untuk mendoakan rakyat Palestin yang sedang diserang oleh tentera Israel.

Dalam erti kata lain, Qunut Nazilah merupakan suatu perbuatan yang tsabit di sisi syarak dan ianya dilakukan setiap kali ada sahaja peristiwa tertentu atau lebih khususnya suatu musibah menimpa umat Islam.

Hukum Membaca Qunut Nazilah

Rasulullah S.A.W sendiri pernah melakukan qunut nazilah di dalam solat ketika berlakunya pengkhianatan dan juga pembunuhan terhadap beberapa orang sahabat baginda.

Perkara ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ

Maksudnya : Sesungguhnya Ri’l, Zakwan, Usaiyyah dan Bani Lahyan meminta bantuan daripada Nabi S.A.W untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka baginda S.A.W menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qurra’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’unah mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas sebahagian arab, Ri’il, Zakwan, Usaiyyah dan puak Lahyan (Riwayat Al-Bukhari (4090).

Selain itu, Abu Hurairah R.A, berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ قَنَتَ اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila berkata “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” pada raka’at terakhir ketika solat ‘Isya’, beliau membaca qunut “Ya Allah selamatkanlah ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah, Ya Allah selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Ya Allah selamatkanlah Salamah bin Hisyam, Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman, Ya Allah keraskanlah ‘azab-Mu ke atas Mudhar, Ya Allah jadikanlah (‘azab-Mu) ke atas mereka dalam bentuk musim kemarau yang panjang sepertimana musim kemarau zaman Nabi Yusuf AS” (Riwayat al-Bukhari (6393).

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi mazhab al-Syafie menyatakan sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475).

Panduan Bacaan

Panduan membaca qunut ini secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  • Disunatkan untuk dibaca secara kuat sama ada di dalam solat al-sirriyyah (seperti solat Zohor dan solat Asar) atau solat al-jahriyyah (seperti solat Subuh, Maghrib, dan Isya’).
  • Qunut nazilah hanya disyariatkan di dalam solat-solat fardhu sahaja dan tidak pada solat-solat sunat.
  • Boleh dibaca di dalam solat fardhu berjemaah mahupun solat fardhu secara bersendirian. Jika dilakukan secara berjemaah, imam membacanya secara kuat dan makmum mengaminkannya. Jika dilakukan secara berseorangan maka ia dibaca secara perlahan.
  • Dibaca pada rakaat solat yang terakhir, semasa i’tidal selepas bangun daripada ruku’.
  • Tidak perlu melakukan sujud sahwi sekiranya tertinggal qunut nazilah kerana ia bukan termasuk di dalam sunat ab’aadh.
  • Disunatkan mengangkat kedua tangan semasa berdoa.
  • Tidak perlu menyapu tangan ke muka selepas berdoa.

Bacaan Qunut Nazilah & Terjemahannya


Bacaan qunut ini boleh dirujuk seperti di bawah:


Copy and paste:
12 Disember 2023 > 28 Jamadilawal 1445H: 11.55 am

No comments:

Post a Comment