ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 29 December 2023

MELAYU ADALAH PEMBUKA AWAL PULAU PINANG

SUMBER: PENANG KINI

Benarkah Francis Light adalah pembuka Pulau Pinang?
Isu sejarah pembukaan Pulau Pinang ini bukan isu baru, sebaliknya ia adalah isu yang sudah lama diperdebatkan dan sepatutnya sudah selesai. Kali ini isu yang sama dibangkitkan semula padahal sebelum ini tidak ada pihak yang betul-betul peduli tentang sejarah Melayu Pulau Pinang yang memang telah lama tidak diperbetulkan faktanya. Seharusnya pihak yang bertanggungjawab memaparkan maklumat yang tepat dan terkini berkenaan sejarah pembukaan Pulau Pinang dan bukannya sejarah yang menyimpang dan menidakkan penglibatan orang Melayu. Ramai sudah tahu bahawa cara pengambilan Pulau tersebut oleh British penuh dengan penipuan serta helah malah dikecam oleh pentadbir kolonial sendiri. Namun tidak banyak yang dilakukan oleh kita untuk memperbetulkan kesilapan tersebut sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan.
Tambahan pula, pengaruh eurosentrik yang masuk dalam penulisan sejarah tempatan menjadikan sejarah masyarakat Melayu semakin kabur dan tidak penting. Sejarah tempatan yang ditafsir berpandukan world view atau pandangan sarwa para Orientalis barat mula menjadi rujukan masyarakat kita sendiri. Dalam konteks ini, sejarah Pulau Pinang turut mengalami nasib yang sama. Sumbangan Inggeris serta masyarakat lain yang dilihat oleh penjajah sebagai penyumbang utama kepada pembangunan Pulau itu diberi perhatian utama dalam tulisan-tulisan awal. Hal ini menyebabkan sejarah awal sebenar negeri itu mula terkubur lantas tidak dapat bersaing dengan sejarah yang dicipta pihak penjajah.
Pengambilan Pulau Pinang oleh Francis Light pada 11 Ogos 1786 merupakan titik penting dalam catatan sejarah kita kerana ia menandakan bermulanya kemasukan kuasa Inggeris dalam negeri-negeri Melayu. Sejak itu Pulau Pinang telah diceraikan daripada Kedah dan mula menjadi sebuah koloni Inggeris. lroninya pula, Inggeris terus diiktiraf sebagai pembuka negeri sementara, kisah masyarakat tempatan yang lebih awal muncul di negeri itu terpinggir tidak dipedulikan. Justeru artikel ini cuba untuk melihat sejarah Pulau Pinang sebelum dijadikan koloni British, agar kisah masyarakat Melayu yang terpinggir dalam catatan sejarah negeri yang terknal sebagai Pulau Mutiara tersebut dapat dikembalikan semula.
Sejarah Pulau Pinang sebenarnya sangat panjang dan berkait terus dengan sejarah Kedah. Sebagaimana Kedah sejak 2500 tahun yang lampau telah wujud satu ketamadunan Melayu maritime yang hebat, sudah pastinya Pulau Pinang sentiasa menjadi kawasan laluan kapal-kapal dagang Melayu dan antarabangsa sejak zaman berzaman. Kajian-kajian Arkeologi yang dibuat di sebelah Pulau dan Seberang Perai menunjukkan kawasan tersebut telah didiami manusia sejak 5000 tahun yang lalu. Dipercayai manusia dari zaman Neolitik pernah menetap di sekitar Seberang Perai dari jumpaan artifak di tapak penggalian Guar Kepah. Selain itu semasa pemunggaran tanah untuk membina bangunan KOMTAR telah ditemui beliung atau kapak kuno yang membuktikan bahawa Pulau tersebut pernah berpenghuni sejak zaman purba. Hal ini dengan jelas menolak hujah yang mengatakan bahawa Pulau itu langsung tidak berpenghuni sebelum dibuka oleh Inggeris.
Sebelum diambil alih oleh British, Pulau Pinang sering digambarkan dalam catatan pelawat Inggeris awal sebagai tempat persinggahan nakhoda kapal-kapal kecil dari Sumatera dan kapal pedagang Inggeris yang berulang alik ke Asia Tenggara. Antara pedagang berbangsa Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. beliau mendapati Pulau Pinang pada waktu itu tidak berpenghuni. Berkemungkinan catatan inilah yang membuatkan pengkaji barat seperti Mills, menjadikan pendudukan Francis Light di Pulau Pinang pada tahun 1786 itu sebagai permulaan sejarah negeri itu. Menurut Mills, sewaktu Francis Light mendarat, Pulau Pinang hanyalah merupakan kawasan berhutan yang tidak berpenghuni. Ternyata kenyatan beliau adalah tidak benar.
Ahli sejarah tidak pernah menafikan bahawa Francis Light bertanggungjawab memajukan pelabuhan dan negeri itu melalui dasar-dasar ekonomi bebasnya. Namun benarkah Pulau Pinang hanya tempat singgah para nelayan kecil dan tidak wujud masyarakat tetap sebelum Francis Light memajukannya? Sebenarnya gambaran yang dilihat oleh orang lnggeris yang mendarat di Pulau Pinang pada tahun 1786 terhad di kawasan Bandar pelabuhan sahaja, iaitu sekitar kawasan pendaratan di Tanjung Penaga. Kutipan daripada cerita-cerita lisan orang Melayu oleh orang Inggeris sendiri sejak abad ke19 dan juga maklumat pelawat lnggeris awal di Pulau Pinang menuniukkan Pulau itu telah pun didiami sebelum ketibaan Francis Light. Pelayar Melayu menamakan Pulau tersebut sebagai Pulau Kesatu dan penduduk di sekitar Seberang Prai mengenalinya sebagai Tanjung Penaga.
Catatan yang dibuat Kapten dan Komander Pasukan Meriam Bengal yang berpangkalan di Pulau Pinang pada awal abad ke-l9, mengukuhkan hujah bahawa orang Melayu merupakan pembuka Pulau tersebut. Menurut beliau, pada waktu pulau itu diambil alih oleh British, salah seorang penduduk asal memberitahunya bahawa lebih kurang 60 tahun yang lalu terdapat lebih daripada 2000 orang mendiami pulau tersebut. Kebanyakan penduduk ini menyara kehidupan mereka dengan melanun kapal pedagang yang berulang alik ke Kedah. Apabila Sultan Kedah mengetahui perkara tersebut, baginda telah menghantar tenteranya untuk mengusir mereka. Maklumat dari penduduk asal ini dilihat mempunyai kebenarannya berdasarkan penemuan tanah perkuburan seluas dua batu persegi di Pulau Pinang.
----------
Datok Keramat.
Stevens dalam Journal Malayan Branch Royal Asiatic Society, Jilid 7 keluaran 1929, mendapati terdapat beberapa kawasan di Pulau Pinang yang telah dihuni orang Melayu sebelum kedatangan Francis Light berdasarkan penemuan kawasan perkampungan dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di Datok Keramat. Maklumat berkenaan kampong dan tanah tersebut ada dicatat di dalam satu daftar yang bertarikh 1795 yang mengesahkan bahawa tanah di Datok Keramat itu telah dihuni sejak 90 tahun yang lalu. Hal ini membuktikan bahawa Pulau Pinang sudah pun dibuka oleh orang Melayu sejak tahun 1705.
Perkampungan Datok Keramat telah dibuka oleh seorang yang bemama Datok Keramat yang dikatakan berketurunan Acheh. Sebelum kedatangan Francis Light, orang Acheh telah pun hadir di bumi Pulau Pinang untuk memperdagangkan barangan mereka di suatu kawasan terbuka di Teluk Jelutong. Datok Keramat dan adiknya, Haji Bayan, bertanggunjawab meneroka kawasan tersebut hingga menjadi sebuah perkampungan. Pada tahun 1795, kawasan tanah perkuburan itu dikatakan menjadi milik Datok Maharaja Setia, pembesar Kuala Muda yang mewarisinya daripada Datok Keramat. Selain tanah perkuburan tersebut, Datok Maharaia Setia juga memiliki 50 ekar tanah lain di sekitar kawasan tersebut. Pembesar ini juga mempunyai hubungan yang baik dengan Francis Light.
Dalam survey yang dilaksanakan di Muka Head untuk projek Taman Negeri, telah ditemui enam pasang batu nisan di Teluk Duyung. Batu nisan ini menunjukkan ciri-ciri batu nisan Acheh. Kajian menunjukkan bahawa batu nisan tersebut berkemungkinan berasal dari era penghujung 1500 sehingga pertengahan 1700. Ini bermakna berkemungkinan telah ada masyarakat Melayu Acheh di Muka Head seawal tahun 1600. Kawasan ini juga banyak dikaitkan dengan Acheh, contohnya Kampung Pantai Acheh. Malah survei mendapati kebanyakan penduduk di Teluk Bahang mengakui berketurunan Acheh. Ada generasi tua yang rnemberikan maklumat bahawa terdapat lebih 300 batu nisan Acheh di Teluk Duyung tetapi nisan tersebut telah musnah akibat ditumbuhi hutan. Sekiranya hal ini benar, maka jelas ini membuktikan bahawa Pulau ini telah dibuka awal dari 1700.
------------
Haji Mohammad Salleh (Nakhoda Intan) dan Nakhoda Kechil.
Selain daripada orang Melayu berketurunan Aceh dan Kedah, terdapat juga kawasan lain di Pulau Pinang yang turut dibuka oleh orang Melayu dari Sumatera Barat. Antara tokoh yang disebutkan dalam sejarah masyarakat tempatan Pulau Pinang ialah Haji Mohammad Salleh dan seorang lagi ialah Datuk Janatun. Kawasan Batu Uban adalah satu kawasan yang dibuka oleh orang Melayu dari Sumatera Barat. Kawasan ini dibuka oleh Haji Mohammad Salleh yang dikenali sebagai Nakhoda Intan atau nama sebenar beliau ialah Raja Nan Intan lbni Almarhum Tengku Pateh Sebatang. Beliau berasal dari Kampung Buadi, Paya Kumboh, Sumatera dan mempunyai hubungan darah dengan kerabat diraja Melayu Pagaruyung.
Tarikh sebenar kedatangan Haji Mohammad Salleh ke Pulau Pinang adalah tidak jelas, namun dipercayai pembukaan Batu Uban berlaku antara tempoh tahun 1710 hingga 1734. Tokoh ini bersama para pengikutnya berhijrah ke Pulau Pinang kerana berlakunya perebutan kuasa di Pagaruyong antara puak yang berpegang teguh kepada adat dengan golongan yang ingin kembali kepada ajaran Islam yang betul. Haji Mohamad Salleh yang berpihak kepada golongan agama dan tidak suka dengan pertelingkahan tersebut telah membuat keputusan untuk merantau keluar dari tanah asalnya dan menetap di Pulau Pinang tepatnya di Batu Uban. beliau telah membina sebuah surau kecil untuk dijadikan tempat beribadat penduduk setempat.
Surau yang terbina pada tahun 1734 tersebut kemudiannya diperbesar menjadi masjid berdasarkan catatan di papan tanda masjid itu pada hari ini. Kubur Haji Mohammad Salleh atau Nakhoda Intan terletak bersebelahan dengan masjid tersebut. Bilangan penduduk Batu Uban semakin meningkat berikutan perpindahan masuk lebih ramai orang Melayu dari Sumatera termasuk kaum kerabat Nakhoda Intan sendiri dari Sumatera Barat. Masyarakat Batu Uban juga menjalinkan hubungan yang rapat dengan orang Kedah. Haji Mohammad Salleh contohnya telah berkahwin dengan seorang wanita dari Seberang Perai yang bernama Cik Aishah atau lebih dikenali dengan nama Cik Tunggal.
Sehingga tahun 1734, kawasan yang dibangunkan oleh Haji Mohammad Salleh telah berkembang sehingga ke kawasan Tanjung. Kawasan dibahagian yang menghala ke Tanjong dipunyai dan diuruskan oleh adiknya, Nakhoda Kechil. Dipercayai bahawa apabila Pulau tersebut diserahkan kepada Inggeris, Nakhoda Kechil terpaksa akur. Beliau kemudian meneruskan hubungan baik dengan Francis Light. Malah beliau telah diberi kepercayan oleh Francis Light untuk mengawasi perairan pantai dan pasar-pasar kecil yang dibina oleh orang Kedah yang membawa masuk barangan ke Pulau Pinang untuk didagangkan. Catatan awal Inggeris sendiri menyebut bahawa Nakhoda Kechil dan kaum keluarganya mempunyai jaringan perdagangan dengan pedagang-pedangang Inggeris sehingga ke Calcutta. Mereka bukanlah hanya nelayan kecil atau petani sawah semata tetapi adalah pelayar dan pedagang antarabangsa.
Batu Uban juga selalu dikunjungi oleh Sultan Kedah dan pendakwah Arab. Apabila Sultan datang ke Batu Uban, penduduk setempat bergotong-royong menyediakan santapan untuk baginda dan pengikutnya yang biasanya tinggal beberapa hari di situ. Pendek kata, wujudnya hubungan baik antara Haji Mohammad Salleh dengan pihak Kesultanan Kedah. Orang Arab yang belayar untuk berdagang dan mengembangkan lslam berlabuh di Batu Uban setelah mendengar adanya pemimpin Melayu di situ. Kehadiran orang Arab menyebabkan berlakunya perkahwinan campur dan mewujudkan golongan Arab Peranakan di negeri itu. Salah seorang anak perempuan Haji Mohammad Salleh, misalnya, telah berkahwin dengan Sheikh Ahmad Makawi, seorang Arab yang kemudiannya menjadikan Batu Uban sebagai tempat pengajaran lslam.
Kebanyakan tanah yang ditreroka orang Melayu di Pulau Pinang adalah untuk penanaman padi, tebu, kelapa, dan dusun buah-buahan. Dikatakan bahawa selepas empat tahun pembukaannya, beberapa kawasan sawah padi telah dikesan di Sungai Kluang (780 ekar), kawasan di antara Sungai Pinang dan Sungai Kluang (260 ekar), di sekitar tebing barat Sungai Pinang (antara 650 hingga 780 ekar), dan di sekitar Tanjung Tokong. Sehingga tahun 1792, kawasan penanaman padi yang diusahakan oleh orang Melayu Pulau Pinang telah meningkat kepada 3,000 ekar.
------------
Datok Janatun.
Seorang lagi tokoh yang disebut sebagai pembuka awal Pulau Pinang ialah Datok Janatun. Kisah perantauan beliau ke Pulau Pinang hampir serupa dengan kisah Haji Mohammad Salleh. Pada tahun 1749, Datok Janatun, yang merupakan seorang pembesar di istana Pagaruyong bersama-sarna seorang saudaranya bernama Datok Setia dan 180 orang pengikut serta hamba dari kalangan orang Batak telah meninggalkan kampung mereka kerana berselisih pendapat tentang soal agama dan adat. Kedua-dua rnereka ialah saudara muda kepada Sultan Pagaruyong. Semasa membawa diri, mereka membuang gelaran diraja dan memakai gelaran Datok. Mereka menuju ke Kedah dengan dua buah kapal layar membawa bersama beberapa buah al-Quran tulisan tangan, untuk dijual di Kedah. Datok Janatun kemudian telah menghadiahkan sepuluh buah al-Quran tulisan tangan tersebut kepada Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muazzam Shah ll.
Sebagai balasan, baginda Sultan Kedah telah menganugerahkan 100 ekar tanah dari Batu Uban hingga ke Gelugor kepada Datok Janatun dan adiknya. Sultan Kedah tidak keberatan untuk memberikan tanah itu kepada orang Melayu Sumatera kerana ingin membalas jasa baik mereka yang pernah membantu Kedah menentang Siam. Pemberian tanah dari Batu Uban ke Gelugor tersebut tentu didorong oleh kewujudan masyarakat dari Sumatera yang telah mendiami kawasan tersebut lebih awal. Pembukaan petempatan tersebut berlaku pada tahun 1759, iaitu 15 tahun sebelum Francis Light membuka Pulau Pinang. Tanah itu dijadikan perkampungan dan dimajukan sebagai kawasan pertanian. Hasil tanaman dari kawasan tersebut diangkut melalui Sungai Gelugor dan kemudian dibawa ke petabuhan Batu Uban untuk didagangkan
Selain mengerjakan aktiviti pertanian, Datok Janatun dan Datok Setia juga menjalankan kegiatan perniagaan. Usaha ini memberikan mereka kehidupan yang selesa serta mendapat penghormatan masyarakat. Nama baik dari segi keutuhan ekonomi serta ilmu agama menyebabkan keluarga beliau mula bersemenda dengan beberapa orang Syed dan Syeikh Arab di Pulau Pinang, Kedah dan negeri-negeri lain. Datok Janatun meninggal dunia pada tahun 1789 dan dikebumkan di Gelugor. Ada di kalangan kaum keluarganya masih lagi meneruskan pekerjaan nenek moyang mereka, iaitu berniaga.
Pada tahun 1800, cucu Datok Janatun yang bernama Ahmad membuat keputusan merantau ke Perak. Beliau bersama-sama adik bongsunya, Mohd. Fakir dan mertuanya, Sheikh Abdul Rahman al-Baghdadi menuju ke Terong yang terletak di daerah Larut dan Matang di timur laut Perak dan membuka tanah di situ. Pada masa generasi ketiga inilah tanah kurniaan Sultan Kedah di Batu Uban itu dicagarkan kepada David Brown, seorang saudagar lnggeris. Tanah itu dilelong oleh kerajaan pada tahun 1919 kerana cukai tanah tidak dibayar. David Brown akhirnya membeli tanah itu. Begitulah sedikit sebanyak berkenaan sejarah pembukaan beberapa kawasan di Pulau Pinang yang diterokai dan dibuka oleh orang-orang Melayu.
---------------
Kesimpulan.
Dapat kita rumuskan disini bahawa penempatan awal di Pulau Pinang sebenarnya bukan dibuka oleh orang Inggeris mahupun bangsa lain. Namun demikian ini bukan bermakna kita menidakkan sumbangan Fancis Light sebagai orang yang bertanggungjawab memajukan Pulau tersebut. Tetapi tindakan pihak tertentu yang sengaja mahu memesongkan fakta dengan mengatakan bahawa Pulau tersebut tidak berpenghuni sebelum dibuka dan diterokai oleh Inggeris adalah satu kekeliruan sejarah yang harus diperbetulkan.
Pulau Pinang telah diterokai dan dibuka oleh orang Melayu jauh lebih awal daripada kedatangan Inggeris pada tahun 1786. Adalah mustahil untuk dikatakan bahawa Pulau tersebut langsung tidak berpenghuni sebelum kedatangan Inggeris. Hal ini kerana kedudukan pulau tersebut yang sangat strategik terletak di Selat Melaka, malah kedudukannya yang dekat dengan Kedah sudah semestinya menjadi tumpuan para pelayar Melayu dan pedagang sejak berkurun lamanya. Kewujudan masyarakat Melayu di pulau tersebut juga bukanlah bersifat sementara atau hanya menyinggah sahaja. Malah mereka merupakan masyarakat menetap yang mempunyai sistem pentadbiran tersendiri yang tunduk kepada Kesultanan Kedah.
Apabila Kedah terpaksa menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris, hubungan orang Melayu di Pulau Pinang dengan kesultanan Kedah hampir putus. Masyarakat Melayu Pulau Pinang terpaksa menyesuaikan system kehidupan mereka dengan corak baru yang diperkenalkan oleh kolonial Inggeris. Kepentingan Batu Uban dan kawasan penempatan Melayu lain sebagai kawasan tumpuan kegiatan ekonomi dan keagamaan orang Melayu di Pulau Pinang diambil alih kawasan baru yang dibangunkan oleh pihak British. Akibatnya orang Melayu Pulau Pinang terpaksa bersaing dengan kaum-kaum pendatang baru, dan lama kelamaan sejarah serta bukti-bukti kewujudan mereka sebagai peneroka awal makin terpinggir dan tidak diketahui ramai, hinggakan ada pihak yang cuba memesongkan sejarah sebenar pembukaan pulau tersebut dengan mengatakan yang ia dibuka oleh bangsa lain dan bukan orang Melayu. Maka dengan itu kita sebagai anak Melayu harus sedar perkara ini dan memastikan agar sejarah kita terpelihara dan dihormati. Sekian, wallah hu’alam.
~ASJ~
Sumber:
• Badriyah Haji Salleh, Trade and Traders: Economy and Cultures between South India and the West Coast of Peninsular Malaysia: Special Focus on Kedah and Penang.
• Stevens, F. G. (1929) "A Contribution to the Early History of Prince of Wales lsland. Joumalof the Malayan Bnnch RoyalAsiatic Society, Jil. 7, Bah. 3.
• Nordin Hussin, Trade And Society In The Straits Of Melaka, Dutch Melaka and English Penang, 1780-1830. Nias press, Singapore,2007.
• Noriah Mohamed, Muhammad Haji Salleh, Mahani Musa, Mokhtar Saidin, Ahmad Jelani Halimi, Mohd lsa Othman, Sohaimi Abd. Aziz, Sejarah Awal Pulau Pinang, Pusat Pengajian llmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. 2006.
• Utusan Online, 12 Jun 2015.

Copy and paste:
29 Disember 2023 > 17 Jamadilakhir 1445H: 9.37 pm

No comments:

Post a Comment