ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 18 December 2023

JEJAK RASUL: UTHMANIYAH TERUS KEKALKAN MONUMEN ISLAM

Oleh : Hasliza Hassn > DOMPAS BLOGSPOT
23 Oktober 2005

Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah

NICOSIA dipanggil juga dengan Lefkosa, nama yang dikenali sejak penghujung kurun ke-12, apabila Cyprus menjadi milik Knights Templar yang membeli pulau itu daripada Richard the Lion Heart.

Pengaruh Byzantine di Cyprus berakhir pada 1191, apabila raja England, Richard, merampas pulau itu dalam perjalanannya ke Jerusalem dalam misi Perang Salib ketiga disebabkan layanan buruk penguasa Byzantine ketika armadanya singgah di sana.

Sebelum kehadiran orang Turki Uthmmaniyah pada 1570, sejarah Cyprus sudah bermula ribuan tahun lebih awal dari zaman Hittites, Assyrian hingga ke zaman Venetian.

Catatan sejarah menyatakan Lefkosa suatu masa dulu dibina begitu indah sekali dengan istana dan taman-taman oleh raja dan Ratu Lusignan.

Apabila Venetian mengambil alih pulau ini dari Ratu Cornaro sejak 1489, kebimbangan terhadap ancaman kerajaan Uthmaniyah semakin dirasai di sini.

Gereja dan istana indah yang dibina ketika era Lusignan diruntuhkan, batunya dijadikan bahan binaan kota pertahanan Venetian.

Namun ketika kota dibina dan diperkukuhkan bagi melindungi istana raja, rakyat jelata terus ditindas dan diperhambakan.

Khabar mengenai Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang sedang sibuk meluaskan empayarnya sejak tahun 1520 hingga 1566 di wilayah Eropah cukup menggerunkan Raja Venetian di Cyprus.

Kebimbangan Raja Venetian menjadi kenyataan ketika Sultan Selim II bertakhta, menggantikan Sultan Sulaiman Al-Qanuni.

Tahun 1570 menyaksikan 80 ribu tentera Selim II mendarat di pantai Cyprus bagaimanapun penguasaan Uthmaniyah tidak memaksa penduduk asalnya menukar kepercayaan mereka, sebaliknya mereka bebas meneruskan tradisi yang diwarisi.

Pemerintah Uthmaniyah juga tidak memusnahkan monumen tinggalan silam seperti yang dilakukan Raja Venetian sebelumnya.

Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran pasukan tentera Uthmaniyah.

Diriwayatkan juga ketika zaman Khalifah Uthman Affan, armada tentera Islam bergerak dari Mesir dan Syria menuju Cyprus pada tahun 28 hijrah.

Armada Mesir dipimpin Abdullah bin Quais al-Jazim memasuki daerah selatan dari Larnaka manakala armada Syria diketuai Abdullah bin Sad menyerang kawasan utara dan timur pulau Cyprus.

Bersama kumpulan itu ialah Ummu Haram binti Milhan yang dipercayai bersama pasukan dari Mesir yang tiba bersama rombongan sahabat dan tabiin untuk menyebarkan Islam di pulau Cyprus ketika itu dikuasai Byzantine.

Walaupun beliau seorang wanita, Ummu Haram berhasrat untuk turut berjihad dan mati syahid. Nabi Muhammad pernah mendoakannya agar impiannya itu menjadi kenyataan.

Ketika ekspedisi jihad di Larnaka berlangsung, Ummu Haram jatuh dari kudanya dan menemui ajal, lalu dimakamkan di itu dan sebuah masjid dibangunkan bagi mengingati semangat perjuangan seorang wanita yang diberkati dengan doa seorang nabi.

Cyprus turut dijajah British dan sepanjang 1950-an, wujud gerakan kemerdekaan yang diperjuang etnik Greek bermatlamatkan penyatuan dengan Greece tetapi ditentang etnik Turki.

Pada 16 Ogos 1960, republik Cyprus yang merdeka diisytiharkan melihatkan seorang Archbishop Greek dilantik sebagai presidennya manakala naib presiden seorang berketurunan Turki.

Seperti retak menanti belah, selepas tiga tahun yang aman objektif asas kemerdekaan Cyprus yang diperjuangkan etnik Greek untuk penyatuan dengan Greece kedengaran semula.

Sejak 1963, masyarakat Turki Cyprus menyaksikan tahun-tahun penuh pergolakan akibat tindakan radikal orang Greek dalam usaha menyingkirkan etnik Turki dari pulau itu.

Pada 20 Julai 1974, pertumpahan darah di pulau rebutan ini dihentikan selepas sedekad berleluasa dan tentera kerajaan Turki memasuki bandar-bandar utamanya di utara menyebabkan pulau itu terbelah dua berdasarkan etnik.

Hubungan rapat antara Cyprus utara dengan Turki berterusan apabila mereka berjaya membentuk negara kedua di pulau itu, kerajaan baru yang merdeka tanggal 15 November 1983 dengan nama Turkish Republic of Northern Cyprus.

Selepas 22 tahun merdeka, Cyprus utara masih berjuang untuk pengiktirafan antarabangsa, namun di kalangan dunia Islam mereka sentiasa diiktiraf saudara seagama.[BH]

Copy and Paste:
18 Disember 2023 > 5 Jamadilakhir 1445H: 1.17 pm

No comments:

Post a Comment