ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 19 December 2023

Ain Jalut: Tumbangnya Bangsa Yang Angkuh

Oleh Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang

Mulai dari tahun 1206 sehingga 1405 Masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir ke seluruh pelosok benua Asia.
Berdasarkan catatan, empayar penaklukan mereka meliputi kawasan seluas 33 juta kilometer persegi menjangkau sehingga Moscow dan Kiev.
Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh lebih sejuta orang rakyat di negara yang ditakluki oleh mereka.
Pada tahun 1258 Masihi, tentera Mongol pimpinan Jeneral Hulagu Khan menempuh Kota Baghdad yang menjadi kemegahan Kerajaan 'Abbasiyyah.
Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan para ulama' dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya bertukar menjadi hitam kerana dakwat.
Pada 15 Ramadan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas.
Tentera Islam dan para ulama' pimpinan Sultan Saifuddin Qutuz dari Dinasti Mamluk (bangsa Turki) dan Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertempur di satu tempat bernama 'Ain Jalut.
Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberikan nasihat kepada Hulagu bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh.
Kemenangan itu ialah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang dikenali dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam. Selain itu, Islam mencatatkan sejarah apabila berjaya mengIslamkan orang Mongol.
Daripada keturunan mereka, lahir raja-raja Islam yang menubuhkan kerajaan Islam seperti Kerajaan Mughal di India, antaranya Raja Aurangzeb yang alim dan lain-lain.

Copy and paste: 19 Disember 2023 > 7 Jamadilakhir 1445H: 11.09 pm

No comments:

Post a Comment