ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 24 November 2023

MISTERI DAN SERAM BEKAS KUBU BRITISH di BATU MAUNG PULAU PINANG

Fatin Fazlina Yaakob
bhnews@bh.com.my
October 14, 2016
BAYAN LEPAS: Muzium Perang dekat Batu Maung di sini,menyimpan pelbagai lipatan sejarah termasuk kekejaman tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu ketika zaman Perang Dunia Kedua.Dibina pada 1930 dan mula beroperasi pada 1937, kubu rahsia yang turut menempatkan tapak meriam antipesawat dan kemudahan bawah tanah ini mampu menampung sehingga 1,500 anggota tentera pada suatu masa.Kedudukan strategiknya di puncak bukit Batu Maung setinggi 75 meter dari aras laut, memainkan peranan penting sebagai pusat operasi tentera British ketika tentera Jepun menyerang Tanah Melayu.
Selepas kewujudannya selama 86 tahun, kompleks kubu yang dianggap sebagai peninggalan sejarah asal terbesar di Malaysia ketika ini, masih kukuh dan kini beroperasi sebagai muzium bagi tatapan pengunjung.
Pengurus Muzium Perang Batu Maung, Johari Shafie, berkata kubu itu direka anggota British Royal Engineers dan menggunakan banduan hukuman mati dari penjara koloni Empayar British sebagai buruh utama.Katanya, selepas siap dibina dengan perbelanjaan berjumlah STG42 juta (RM216 juta), semua banduan yang terbabit dalam pembinaan kubu itu dibunuh bagi mengelak penyebaran maklumat tentang kewujudan kem itu kepada musuh.
"Muzium ini adalah artifak asli sebenar yang dijadikan muzium bagi menceritakan semula apa yang berlaku ketika peperangan antara British dan Jepun, malah pengunjung boleh merasai sendiri suasana merangkak melalui terowong bawah tanah.
"Kebanyakan struktur bangunan ini masih kekal asli termasuk beberapa bahagian simen dan cat asal berwarna hijau yang digunakan ketika pembinaannya," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Difahamkan,banduan yang menjadi buruh pembinaan mengambil masa hampir tujuh tahun bagi menyiapkan kubu seluas kira-kira lapan hektar termasuk membina terowong bawah tanah, pejabat perisikan, pusat logistik, stor peluru, dewan, pejabat, saluran angin, ruang meriam, tempat tidur, tempat memasak, penjara dan dispensari.Pada 1942, kubu pertahanan itu jatuh ke tangan tentera Jepun selepas pertempuran sengit membabitkan lebih 1,500 anggota tentera British bersama askar Punjab, Gurkha dan Melayu di kawasan sekitarnya.
Tentera Jepun kemudian menjadikan kubu berkenaan sebagai pusat tahanan dan penyeksaan selama lebih dua tahun sebelum menyerah kalah kepada tentera Berikat pada 1945, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.Sejak itu, pelbagai kisah misteri dan seram dilaporkan menyelubungi persekitaran kawasan muzium terbabit termasuk bayangan anggota tentera tidak berkepala, suara wanita merintih dan kelibat banduan, yang pernah diseksa di kem itu.
Johari berkata, muzium itu kini menyimpan lebih 100 artifak sejarah termasuk terowong bawah tanah yang menjadi laluan tentera British melarikan diri ketika diserang tentera Jepun."Selain itu terdapat juga artifak lain seperti peta lokasi pengeboman, kesan tembok yang terkena letupan bom, pusat tahanan, berek tentera dan senjata yang digunakan ketika peperangan.
"Kesan kekejaman tentera Jepun yang menjadikan kem ini sebagai pusat tahanan juga masih ada menyebabkan ada pengunjung yang lemah semangat akan menjadi terlalu takut," katanya.
Selepas terbiar selama 60 tahun, kem rahsia itu dibuka semula mulai 2002 menjadikannya sebagai kompleks ketenteraan terbesar di Asia Tenggara yang dibuka kepada kunjungan orang ramai.
INFO MENARIK:
- Muzium Perang, Batu Maung dianggap muzium paling berhantu di Asia
- Dibina pada 1930 dan siap tujuh tahun kemudiannya..
- Dianggap sebagai kubu pertahanan British terkuat di Asia Tenggara
SUMBER:
BHonline










Copy and paste:
23/11/2023 > 10 Jamadilawal 1445H: 2.07 pm

No comments:

Post a Comment