ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 29 October 2023

Kisah Tragik Terhempasnya Air France 447 di Lautan Atlantik

Posted by : Nizam Ali > PERISTIWA N' SEJARAH

Tenggelamnya Titanic di lautan Atlantik pada tahun 1912 telah memberi kesan yang hebat dalam sejarah dunia. Hal ini kerana peristiwa itu telah mengorbankan ribuan jiwa manusia.
Menjelang abad ke-21, tanggal 1 Jun 2009, lautan Atlantik sekali lagi melakar peristiwa hitam apabila pesawat Air France 447 dikhabarkan telah hilang, tanpa seorang saksi dan sebarang bukti lokasi keberadaannya.
Pesawat Airbus A330 yang membawa seramai 228 penumpang termasuk krew telah berlepas dari Rio De Janeiro, Brazil menuju ke Paris pada 31 Mei 2009. Pesawat berlepas pada jam 10 malam dan dijadualkan tiba di Paris pada jam 11 pagi waktu tempatan.
Persoalannya, mengapa kehilangan pesawat berkenaan tidak dapat dijejaki sama sekali oleh pusat kawalan udara (air traffic control) dan tiada sebarang komunikasi kecemasan dibuat oleh krew pesawat.
Laporan menunjukkan, kontak terakhir dilakukan oleh AF 447 kepada Pusat Kawalan Udara Brazil ketika meninggalkan ruang udara Brazil dan memasuki zon tanpa komunikasi (communication dead zone) sebelum sampai ke pusat kawalan udara seterusnya yang berpusat di Senegal.
Hal ini bermakna AF 447 tidak dapat dilihat dalam radar tetapi masih boleh berhubung melalui sistem dengan pesawat lain.
Pakar penyiasatan dalam kemalangan ini menolak jangkaan kemalangan berpunca dari masalah teknikal pesawat kerana ia merupakan pesawat Airbus A330 yang terkini dari segi kecanggihan teknologinya.
Namun, sebarang kemungkinan tidak dapat dipastikan secara sahih kerana tiada bukti yang kukuh sebagai faktor yang menyumbang kepada kemalangan itu. Islam mengajar umatnya bahawa tiada sesuatu yang mustahil jika Allah s.w.t. menghendaki sesuatu perkara untuk berlaku.
Menariknya mengenai Airbus A330, krew hanya perlu menerbangkan pesawat secara manual (real) selama 4 minit, iaitu ketika berlepas (takeoff) dan mendarat (landing). Selanjutnya, krew menerbangkan pesawat secara automatik melalui sistem autopilot.
Pada hari berikutnya iaitu 2 Jun 2009, persoalan terjawab apabila pihak pencarian menemui debris bahagian pesawat berkenaan iaitu bahagian ekor (tail) berhampiran titik laluan Tasil di tengah lautan Atlantik.
Sebanyak 50 mayat turut ditemui di lokasi berdekatan. Setelah dua tahun, kerajaan Perancis sampai ke titik penyelesaian apabila kotak hitam milik AF 447 yang merekod data sewaktu penerbangan telah pulih dari kerosakan bagi merungkai faktor kemalangan berlaku.
Melalui kajian transkrip dialog antara ketiga-tiga juruterbang semasa berada di dalam kokpit, laporan menunjukkan faktor utama terhempasnya pesawat AF 447 ialah kesilapan krew penerbangan (pilot error).
Oleh kerana penerbangan melebihi 10 jam, pesawat perlu dikendalikan oleh tiga orang juruterbang. Kapten Marc Dubois yang berusia 58 tahun merupakan seorang veteran dalam laluan penerbangan Rio-Paris dan telah merekodkan selama 11,000 jam.
Selain itu, pembantu juruterbang (second Officer), David Robert yang berusia 36 tahun telah merekodkan sebanyak 6500 jam penerbangan. Beliau turut merupakan krew yang berpengalaman dalam mengendalikan pesawat.
Manakala, pembantu juruterbang (first officer) iaitu Pierre Cedric Bonin yang berusia 32 tahun telah merekodkan sebanyak 2900 jam penerbangan.
Detik awal penerbangan kelihatan tenang walaupun pesawat melalui kawasan ribut petir. Kapten Marc Dubois dan Pierre Bonin mengambil alih tugas awal penerbangan. Sekitar jam 1.30 pagi, krew melakukan radio kontak terakhir kepada Brazilian Air Traffic Control sebelum meninggalkan ruang udara Brazil.
Berikutnya pada jam 2.00 pagi, kapten Dubois memutuskan untuk berehat dan tempatnya digantikan oleh David Robert. Setelah berbincang secara ringkas, Pierre Bonin yang berada di sebelah kanan pesawat bertindak sebagai pilot flying sambil dibantu oleh David Robert selaku pembantu juruterbang.
Berikutan cuaca ribut petir yang semakin memburuk, tiub pitot (pitot tubes) yang terdapat di bahagian luar pesawat telah dilitupi oleh ais kristal. Tiub pitot merupakan alat pengukuran aliran yang digunakan untuk mengukur halaju aliran bendalir.
Dalam erti kata lain, ia digunakan untuk menentukan laju udara pesawat. Keadaan ini menyebabkan data kelajuan yang disalurkan kepada krew adalah tidak konsisten dan tidak tepat dengan kelajuan sebenar.
Ais kristal yang telah memblok tiub pitot pesawat telah menyebabkan sistem autopilot terhenti dan krew perlu menerbangkan pesawat secara manual.
Dalam kes AF 447, Kedua-dua krew, Pierre Bonin dan David Robert melalui data yang direkod kelihatan panik di dalam kokpit apabila situasi ini berlaku. Persoalannya, bagaimana secara tiba-tiba pesawat membunyikan amaran stall berulang kali dan krew masih keliru terhadap apa yang berlaku.
David Learmont yang merupakan pakar penyiasatan kemalangan udara dan juruterbang berpengalaman menyatakan, tindakan Bonin membawa pesawat mendaki dengan curam sehingga meletakkan dalam mod nose up telah menyebabkan ianya hilang kelajuan (lost speed) dan sayap tidak dapat menyokong pesawat.
Hal ini mengakibatkan pesawat AF 447 mula hilang kawalan (stall) dan mulai jatuh dalam anggaran 12000 kaki per minit. Learmont menyatakan pesawat AF 447 ibarat “stop flying and start falling.” Bagi memulihkan situasi berkenaan, krew perlu meletakkan pesawat dalam mod nose down bagi mendapatkan kelajuan dan menstabilkan kedudukan pesawat untuk terus terbang.
Walaubagaimanapun, hal ini tidak disedari oleh kedua-dua krew ketika berhadapan situasi demikian. Kapten Dubois mengambil masa seminit untuk kembali ke kokpit setelah berkali-kali cuba dihubungi oleh David Robert.
Mereka cuba memahami situasi yang berlaku dan pada minit terakhir mereka mula menyedari bahawa first officer Bonin yang telah menyebabkan pesawat hilang kawalan dan sistem menghantar amaran stall sebanyak 60 kali.
Namun, situasi krew pesawat berkenaan seperti telur di hujung tanduk apabila mereka telah terlambat untuk memperbaiki situasi dan menyelamatkan pesawat dari terhempas. Situasi genting di dalam kokpit berlaku terlalu pantas kerana hanya mengambil masa 4 minit dan beberapa saat untuk pesawat terhempas ke dalam lautan Atlantik.
Menurut Learmont juga, ketika ais kristal melitupi tiub pitot, ia hanya bersifat sementara. Apabila telah cair, tiub pitot akan kembali normal dan menyalurkan data kelajuan pesawat secara konsisten. Dalam keadaan ini, krew hanya perlu menerbangkan pesawat secara manual seperti biasa.
Setidaknya, kisah tragik AF 447 dapat dirungkaikan walaupun mengambil masa selama dua tahun. Kes ini juga telah menyedarkan ramai pihak, khususnya institusi penerbangan untuk menyediakan latihan yang lebih baik kepada krew penerbangan dalam mengendalikan pesawat semasa berhadapan pelbagai situasi yang tidak terduga.
Nur Amal Fatinah
Rujukan
1. O’Brien, J. (2019). Mystery over the Atlantic : The tragic fate of Air France flight 447. Emerald, 1-24.
2. Faccini, B. (2013). Four Minutes 23 Seconds- Flight AF447. Dicapai pada 11 Jun 2020, dari http://understandingaf447.com/.../18-4_minutes__23...
3. Bottyan Z., Payit M. (2010). The Accident of AF-447 Flight : Analysis and Reconstruction of Weather along the Flight Path. Journal AARMS, 9 (2), 217-227.
4. Air Crash Investigation HD- Air France Flight 447, dicapai pada 9 Jun 2020, laman sesawang YT

Copy and paste:
29 Oktober 2023 > 15 Rabiulakhir 1445H: 11.12 pm

No comments:

Post a Comment