Posted by Zulheimy Maamor on 23 November 2020
ZULHEIMY MAAMOR
Monday, 30 October 2023
RICHARD OLAF WINDSTEDT
BRITISH GRAVEYARD AT ALOR GAJAH
BANI ISRAEL
Sunday, 29 October 2023
Kisah Tragik Terhempasnya Air France 447 di Lautan Atlantik
Posted by : Nizam Ali > PERISTIWA N' SEJARAH
Saturday, 28 October 2023
BAYAN LINNAS SIRI KE-43 : IMAM MAHDI MENURUT PANDANGAN AHLUS SUNNAH
SUMBER: PEJABAT MUFTI WP
Mukadimah
Baru-baru ini seorang lelaki warganegara Indonesia bernama Muhammad Zubir Amir Abdullah telah mendakwa bahawa dirinya adalah Imam al-Mahdi. Dirinya dikatakan telah dibaiah oleh para pengikutnya dalam satu upacara di Makkah pada bulan Julai yang lalu.Dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat umum, Bayan Linnas kali ini akan memfokuskan dengan lebih khusus berkenaan hakikat sebenar Imam Mahdi menurut sudut pandang Ahli Sunnah wal Jamaah.
Hadis-Hadis Berkaitan Al-Mahdi
Berkata guru kami Fadhilat al-Syaikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad hafizahullah: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama. Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.
Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:
1- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي
Maksudnya: Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.
Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.
2- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي أَوْ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا
Maksudnya: Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.
Riwayat Abu Dawud (4282)
3- Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ
Maksudnya: Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.
Riwayat Abu Dawud (4285)
4- Dari Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ
Maksudnya: Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah.
Riwayat Abu Dawud (4284)
5- Dari Saidina Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللَّهُ فِي لَيْلَةٍ
Maksudnya: Al-Mahdi dari kalangan kami - ahli bait - yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam.
Riwayat Ibn Majah (4085)
Kata al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya. Lihat Al-Nihayah fil Fitan wal Malahim (1/29).
6- Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي
Maksudnya: Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)
Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam. Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya. Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.
Kata Samahah al-Syaikh Abd Al-Aziz bin Abd Allah bin Baaz Rahimahullah: Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia.
Kelahiran Al-Mahdi
Para Ulama telah berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam Mahdi kepada beberapa pendapat. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anh bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.
Tanda-Tanda Al-Mahdi
Berikut merupakan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi[4]:
- Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
- Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
- Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
- Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.
Sifat-Sifat Keperibadian Imam Al-Mahdi
Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi A.S adalah seperti berikut[5]:
- Beliau merupan seorang anak Adam.
- Dahinya luas dan hidungnya mancung.
- Kedua-dua matanya bercelak.
- Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
- Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah S.A.W.
- Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
- Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
- Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi S.A.W.
Waktu Keluarnya Imam al-Mahdi
Di dalam kitab al-Fitan wal- Malahim, al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa A.S.
Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا . فَيَقُولُ لاَ . إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ . تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ
Maksudnya: Isa bin Maryam S.A.W turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.
Riwayat Muslim (247)
Beberapa Pendapat Tentang Imam Mahdi
Di dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:
Pendapat pertama: Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesame mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan. Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.
Berkata al-Allamah Ibn Khaldun: Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya.[6]
Pendapat kedua: Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.
Beberapa Contoh Individu Yang Pernah Mendakwa Mereka Adalah Al-Mahdi
Dalam sejarah Islam, telah terlalu banyak golongan pembohong yang mendakwa mereka adalah Al-Mahdi al-Munthazar (yang dinantikan). Justeru, tidak pelik jika terdapat mana-mana individu dari seberang atau dari negara kita sendiri yang mengeluarkan dakwaan seperti ini. Di antara individu yang membuat dakwaan batil tersebut adalah:
1- Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah. Lahir pada tahun 259 H dan meninggal pada tahun 322 H. Datuknya merupakan seorang Yahudi yang dinisbahkan kepada keluarga Majusi. Dinisbahkan secara palsu dan jahat bahawa mereka dari keturunan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah pembesar Rafidhah al-Qaramithah al-Bathiniyah yang memusuhi agama yang berselindung di sebalik penisbahan kepada keluarga Rasulullah. Dia juga merupakan pengasas Daulah Fathimiyah.
2- Muhammad bin Tumart. Lahir pada tahun 485 H dan meninggal dunia pada tahun 524 H. Seorang lelaki munafik lagi pembohong. Dia membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Dia juga merupakan seorang yang sangat zalim.
3- Mahdi kelompok Kaisan. Mereka menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Dia dikatakan sedang hidup dan bermukim di bukit Radhwa. Dia juga dikatakan berada di tengah-tengah dua ekor singa yang menjaganya.
Malangnya, ada juga umat Islam di nusantara ini yang mengaku sebagai Imam Mahdi.
Fatwa Institusi Agama Di Malaysia Tentang Dakwaan Sebagai Imam Mahdi
1- Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan. Antaranya ialah : Mendakwa sebagai Imam Mahdi.
2- Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai ajaran sesat. Ini boleh dilihat dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani, Al-Arqam atau Rufaqa, dan juga kelompok Syiah yang mengatakan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Alhamdulillah, selesai sudah satu pengamatan berkenaan dengan Imam Mahdi berasaskan kepada nas serta kefahaman daripadanya. Jelas menunjukkan kepada kita dakwaan yang dikemukakan oleh saudara Muhammad Zubir Abdullah sebagai Imam Mahdi adalah tertolak dan tidak benar sama sekali. Ini kerana, segala muwasafat berasaskan kepada nas-nas nabawi yang telah dibincangkan amat menyeleweng daripada yang terdapat pada watak, syakhsiah, nama, fizikal, serta bangsa yang dimiliki oleh saudara Muhammad Zubir.
Justeru, saya menyeru kepadanya supaya kembali kepada Islam yang sebenar tanpa membuat sebarang dakwaan. Begitu juga kepada masyarakat Islam di Malaysia agar tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti ini. Sebaliknya, rujuklah kepada sumber yang sahih lagi benar iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.A.W serta melihat kepada tafsir-tafsir dan syarahan para ulama yang Rabbani lagi mendalam ilmu mereka.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.
Akhukum Fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
21 Disember 2015 bersamaan 9 Rabiul Awwal 1437 H.
Nota hujung:
[1] Kitab al-Radd ‘Ala Man Kazaba Bil Ahaadith Al-Waaridah Fil Mahdi, Abd al-Muhsin Abbad. Hlm. 157.
[2] Asyrath al-Sa’ah, Maher Ahmad al-Sufi. Hlm. 30. Cet. Al-Maktabah al-Asriyyah, Beirut.
[3] Ibid. Hlm. 36
[4] Tanda-tanda ini diriwayatkan oleh Abu Nuaim Al-Asfahani di dalam kitab al-Sa’ah Li Asyrath al-Sa’ah. Hlm. 85
[5] Kitab al-Isya’ah Li Asyrath al-Sa’ah, Muhammad bin Rasul Al-Husaini al-Barzanji. Hlm 85.
[6] Muqaddimah Ibn Khaldun. Hlm. 555
[7] Rujuk : Minhaj al-Sunnah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. (Juz.49 No.318)
[8] Rujuk : Bahas tulisan Fadhilat al-Syeikh Hamud bin Abd Allah al-Tuwaijiri edaran Idarah al-Buhuuth al-Ilmiyyah.
[9] Rujuk : Al-Manar al-Munif, Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Hlm. 153.
[10] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-tentang-ajaran-ahmadiahqadiani
[11] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/usaha-usaha-menghidupkan-semula-al-arqam-melalui-syarikat-rufaqa-corporation-sdn-bhd
[12] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-tentang-fahaman-syiah
Copy and Paste: 28 Oktober 2023 > 14 Rabiulakhir 1445H: 10.20 pm
Monday, 23 October 2023
Kafir atau non-Muslim?
Oleh: Wan Ji Wan Hussin > Malaysia Kini : 5 March 2019
Kebiasaan dalam kalangan masyarakat muslim, apabila disebut kafir, difahami bahawa ia merujuk kepada seseorang bukan Muslim ataupun golongan yang terkeluar dari Islam.
Mereka ialah penganut Hindu, Buddha, Kristian, ateis, murtad dan sebagainya.
Namun begitu, baru-baru ini sebuah organisasi Islam tertua dunia, Nahdhatul Ulama (NU) di Indonesia mengeluarkan satu kenyataan yang menggembarkan wacana umat Islam di dunia.
NU mencadangkan agar warga bukan Muslim di Indonesia tidak lagi dipanggil sebagai kafir.
Cadangan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ilmuwan Islam di sana. Walaupun ada yang bersetuju, tidak sedikit juga yang tidak bersetuju.
Malah, ada sebilangan daripada mereka mempertikaikannya dan menuduh bahawa pendekatan NU itu akan memberi kesan perubahan pada ayat al-Quran.
Apa yang dicadangkan oleh NU itu bukan sesuatu yang baru. Pada 2004, ia pernah dibangkitkan oleh seorang ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi menerusi tulisan beliau yang bertajuk Khitabuna al-Islam fi ‘Asr al-‘ulamah.
Di Malaysia, wacana sebegini boleh dianggap belum dimulakan. Kalau ada pun, ia sekadar wacana tertutup, tanpa melibatkan orang awam.
Namun begitu, dengan cadangan NU itu sedikit sebanyak ia melahirkan perbincangan yang menarik dalam kalangan warganegara Malaysia. Apatah lagi, Malaysia boleh dikatakan antara negara yang mempunyai penduduk yang agak rencam – bukan dari sudut anutan agama sahaja, malah dari sudut keturunan, kaum dan budayanya.
Petani pun 'kafir'
Bagaimanapun, wacana berkenaan isu ini perlu dilihat pada beberapa perkara mendasar iaitu dari sudut pemaknaan kafir dalam teks Islam, dan dari sudut dakwah.
Pertama: Pemaknaan “kafir” dari teks Islam
Kafir ialah ungkapan bahasa Arab – diterjemah sebagai ingkar. Dari sudut akar kata, ia bermaksud menutup (Arab: al-Satr). Dengan sebab itu, dalam bahasa Arab, petani disebut sebagai kafir. Hal itu kerana, semasa menanam petani terbabit menutup benih dengan menggunakan tanah.
Penggunaan kalimah kafir yang memberi makna petani ini dinyatakan dalam al-Quran: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan kafir (para petani).” - ayat 20, surah al-Hadid.
Al-Quran juga menyebut bahawa kata "kafir" itu merujuk kepada orang yang tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan Tuhan, walhal tidak mensyukuri nikmat Tuhan itu bukan sekadar berlaku kepada non-Muslim, malah berlaku juga dalam kalangan Muslim.
Firman Allah: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufuri (iaitu tidak mensyukuri nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” - ayat 7, surah Ibrahim.
Dari sudut makna yang lain, kalimah kufur dalam al-Quran juga memberi makna tidak menunaikan kewajiban yang dibebankan kepada manusia.
Antaranya, al-Quran menggunakan kata kufur untuk merujuk kepada Muslim yang tidak menunaikan ibadat haji walhal dia berkemampuan.
Firman Allah: “Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa yang kufur (tidak tunaikan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” - ayat 97, ali-Imran.
Dalam pemaknaan yang sama (tidak menunaikan kewajiban), dinyatakan Allah dalam ayat 44 surah al-Maidah: “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah kafir."
Ulama berbeza pendapat tentang makna kufur dalam ayat itu. Ibn Kathir memetik perkataan Taus bahawa Ibn Abbas ditanya berkenaan dengan ayat itu.
Ibn Abbas menjelaskan bahawa maksud kufur dalam ayat tersebut ialah berdosa besar dan bukannya bermaksud keluar agama.
Perang tak membawa keluar agama
Malah pemaknaan yang sama terdapat dalam hadis, iaitu sabda Nabi SAW: “Perjanjian di antara kita dengan mereka (orang bukan Muslim) adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya (tidak menunaikan solat), sesungguhnya dia telah kufur."
Walaupun dalam hadis tadi Nabi SAW menyatakan bahawa orang yang tidak menunaikan solat adalah kafir, tetapi menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, ulama tidak berbeza pendapat dalam menyatakan orang yang tidak menunaikan solat sekadar berdosa besar.
Hadis juga menyatakan bahawa celaan sesama Muslim adalah fasik, sedangkan saling bunuh-membunuh sesama muslim adalah kekufuran.
Perkara yang diketahui umum bahawa berlaku peperangan yang membawa bunuh-membunuh sesama sahabat – seperti Sayidina Muawiyyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Siffin dan Saidatina Aisyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Jamal.
Walaupun mereka berperang, ia tidak menjadikan mereka terkeluar dari Islam.
Daripada perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa mengikut sudut pemaknaan teks suci Islam, kalimah kufur bukan semestinya dimaksudkan kepada non-Muslim, tetapi digunakan juga untuk amalan-amalan kejahatan yang melibatkan Muslim, seperti tidak menunaikan kewajiban, melakukan dosa besar, tidak menunaikan solat, tidak mensyukuri nikmat Tuhan dan sebagainya.
Hakikat kafir
Apabila disebut kafir, ia merujuk kepada orang yang ingkar setelah diberikan hujah. Ini berdasarkan Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112.
Dalam ayat 111, Allah menyatakan orang Yahudi dan Nasrani itu mendakwa, sesiapa pun tidak boleh masuk ke syurga kecuali kalangan mereka sahaja. Lalu, Allah nyatakan bahawa pandangan berkenaan hanya andaian mereka sahaja.
Malah, Allah mencabar mereka agar mendatangkan hujah jika mereka yakin mereka berada dalam kalangan yang benar.
Maka, dalam ayat ke-112, Allah pun menjelaskan siapa yang sebenarnya masuk ke syurga, iaitu mereka yang as-la-ma dirinya kepada Allah dan melakukan muhsin (Melayu: kebaikan, atau amal soleh), maka baginya balasan pahala di sisi Tuhan, tanpa takut dan mereka tidak akan bersedih.
Melihat pada dua ayat tadi, kita akan dapati bahawa kekufuran tidak berlaku kecuali setelah diberikan burhan, iaitu hujah yang mantap dan jelas. Ini disandarkan kepada kupasan ulama Islam terhadap pemaknaan as-la-ma.
Al-Qurtubi menyatakan, makna as-la-ma adalah penyerahan diri dan tunduk. Dalam pandangan lain, disebut makna as-la-ma ialah melakukan amalan secara ikhlas.
Dalam kitab Mafatih al-Ghaib, al-Razi menjelaskan bahawa antara maksud as-la-ma itu adalah penyerahan diri disertakan dengan burhan (diterjemah sebagai hujah yang kukuh).
Dari pemahaman itu, jelaslah bahawa yang dikatakan seseorang itu kafir ialah apabila dia ingkar setelah diberikan penjelasan ilmu yang kuat.
Andai tidak diberikan penjelasan yang kuat, dia tidak disebut sebagai kafir. Ini kerana elemen ingkar itu tidak wujud. Apatah lagi, ingkar tidak berlaku kecuali setelah diberikan hujah.
Siri 2: Kafir atau non-Muslim?
Kupasan dalam tulisan sebelum ini amat bertepatan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Faisal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zanadiqah, iaitu ketika beliau membahaskan ayat al-Quran mengenai kenyataan bahawa Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum hingga Allah datangkan Rasul (al-Isra’, ayat 15).
Ketika mengulas ayat itu, kitab tafsir al-Manar menjelaskan bahawa terdapat satu kalangan manusia yang hidup sebelum Muhammad menjadi nabi.
Mereka disebut sebagai Ahlul Fatrah, iaitu dakwah yang benar tidak sampai kepada mereka sehingga boleh mencetuskan pemerhatian mereka terhadap Islam.
Yang termasuk dari kalangan ahli Fatrah ialah mereka yang satu zaman dengan para nabi, tetapi syariah nabi tidak sampai kepada mereka.
Golongan terbabit percaya kepada para nabi secara umum sahaja – seperti penganut agama Hanif dalam kalangan orang Arab yang percaya kepada Nabi Ibrahim dan Ismail tanpa mengetahui ajaran nabi itu secara terperinci.
Kitab Tafsir al-Manar juga mendatangkan kupasan Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa kalangan manusia kufur itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu:
* Mereka yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima Islam.
* Mereka mendengar hujah yang benar, tetapi mereka menolaknya juga.
* Mereka mendengar hujah yang tidak kuat, menyebabkan mereka tidak menerima Islam.
Lihat dari salah kerangka
Dalam kupasan al-Ghazali, kalangan yang pertama itu terselamat daripada seksaan neraka. Kalangan yang kedua – iaitu mendengar hujah yang betul, kemudian menolaknya juga - maka mereka menjadi ahli neraka.
Kalangan ketiga pula – iaitu tidak mendengar hujah yang kuat, maka ia kekal dalam kekufuran – Imam al-Ghazali menyatakan, ia sama seperti kalangan yang pertama, iaitu terlepas daripada azab neraka.
Daripada perbahasan itu kitab Tafsir al-Manar menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan orang beragama ialah dakwah nabi sampai kepada mereka dalam bentuknya yang sebenar.
Justeru, maksud kafir ialah mereka yang didatangkan hujah yang sebenar, tetapi menolak juga.
Dengan erti kata lain, andai pada hari ini terdapat orang tertentu melihat Islam dari kerangka yang salah - seperti kita yang melihat Islam mengikut tafsiran perkauman Melayu, Islam dalam pentafsiran sentimen politik - semua itu menyebabkan ada kalangan non-Muslim tidak menerima Islam.
Mereka itu tidak wajar disebut sebagai kafir kerana maksud keingkaran sebenar tidak wujud sama sekali.
Ada sebilangan pihak yang menolak cadangan NU dengan menyatakan bahawa tindakan sebegitu akan melahirkan kekusutan, kerana dalam al-Quran terdapat surah al-Kafirun yang menyebut dalam ayat awalnya: “Katakanlah, wahai orang kafir”.
Maka, jika diterima cadangan NU itu, mereka menganggap bahawa selepas ini akan digantikan dengan “Katakanlah, wahai non-Muslim.”
Dijawab bahawa cadangan itu tidak ada kaitan langsung dengan membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran, tetapi ia tidak lebih sekadar menetapkan bahawa bukan semua non-Muslim boleh dianggap sebagai kafir.
Ada banyak makna
Istilah kafir itu hanya boleh diberikan kepada orang yang ada pengingkaran terhadap Islam setelah diberikan hujah yang kuat, jitu serta ada kebijaksanaan.
Dalam erti kata lain, tidak semua non-Muslim itu kafir kerana terdapat non-Muslim yang kekal tidak Islam kerana tidak pernah diberikan hujah yang meyakinkan.
Dan tidak semua kafir itu non-Muslim kerana di sana terdapat pemaknaan kafir dengan merujuk kepada Muslim yang melakukan dosa besar, malah melakukan kejahatan.
Maka dengan demikian, dakwaan bahawa cadangan itu akan memberi implikasi membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran adalah tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, cadangan berkenaan untuk memastikan meletakkan pemaknaan kafir itu tepat pada tempatnya.
Kedua: Tujuan dakwah
Dari sudut kedua, cadangan NU agar tidak memanggil non-Muslim sebagai kafir mempunyai pendekatan dakwah.
Perkara itu pernah dipertegaskan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan beliau menulis sebuah buku bagi mencadangkan hal itu sejak 2004.
Antara hujah mereka:
Pertama, kalimah “kafir” mempunyai makna yang banyak (seperti dalam perbahasan sebelum ini). Justeru, memanggil individu bukan Islam tertentu dengan panggilan kafir kadangkala tidak menepati maksud sebenar kerana mungkin sahaja dia tidak pernah diberikan gambaran Islam dalam kerangka yang meyakinkan.
Kedua, al-Qaradawi berhujah bahawa al-Quran dalam pemanggilan terhadap masyarakat non-Muslim menggunakan beberapa perkataan sopan seperti “wahai Manusia”, “wahai anak-anak Adam”, “wahai hamba-Ku” atau “wahai ahli kitab”.
Andai ada panggilan “kafir” pun, ia merujuk kepada keingkaran dan penentangan terhadap Islam, seperti dalam Surah at-Tahrim ayat 7: “Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.”
Juga dalam Surah al-Kafirun ayat 1: “Katakanlah, wahai orang kafir”.
Ketiga, Nahdatul Ulama (NU) berhujah bahawa memanggil masyarakat non-Muslim sebagai kafir boleh mewujudkan suasana tidak baik sesama warganegara atau hubungan di antara Muslim dan non-Muslim.
Justeru hentikan panggilan “wahai kafir” itu bukan sekadar tidak dilarang, malah telah difatwakan oleh ulama terdahulu.
Fatwa tersebut mereka nukilkan daripada komentar Ibn Nujaim al-Misri yang menyatakan bahawa muslim yang mencela non-Muslim yang zimmi boleh dijatuhkan hukuman takzir.
Hal ini kerana, tindakan tersebut dikira sebagai maksiat dan dosa.
Pendapat ini pernah dinukilkan dalam kitab Fath al-Qadir. Dalam kitab al-Qunyah pula, ada ayat yang menjelaskan bahawa andai seseorang Muslim itu memanggil kepada Yahudi, atau kepada Majusi dengan panggilan “Wahai Kafir”, ia adalah dosa andai mengguris hatinya.”
Penutup
Daripada kupasan ini, dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut:
Pertama, cadangan NU dan al-Qaradawi agar tidak lagi memanggil orang bukan Islam sebagai “kafir” tetapi menggantikannya dengan “non-Muslim” - walaupun dilihat agak berani kerana berbeza dengan kebiasaan dunia Islam - ia tetap mempunyai asas dari sudut agama.
Kedua, dari sudut pemaknaan kalimah kafir dalam teks Islam, didapati ia merujuk kepada pengingkaran setelah diberikan hujah yang meyakinkan.
Lantaran itu, terdapat non-Muslim yang tidak kafir, iaitu apabila dia menjadi non-Muslim tanpa diberikan hujah yang benar; ataupun dia menjadi non-Muslim kerana dia mendapat gambaran yang salah berkenaan Islam.
Ketiga, alasan dakwah adalah faktor terbesar cadangan al-Qaradawi dan NU dalam hal ini. Pendekatan ini - hakikatnya - bukanlah hal baru, tetapi ditulis oleh ulama-ulama Islam hampir 1,000 tahun yang lalu.
WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Rencana ini dipetik dari laman sesawang saudara.org.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Copy and paste: 23 Oktober 2023 > 9 Rabiulakhir 1445H: 9.34 am