ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 22 September 2023

Tenggelamnya Lembah Nenggiri

OLEH: SRIKANDI

Penemuan rangka manusia lengkap di Gua Keledung Kecil itu sememangnya satu khazanah terpenting sejarah tamadun dan kebudayaan manusia, khasnya di Malaysia.
Ini kerana, rangka manusia yang ditemui dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya, dipercayai mendiami lembah tersebut sejak 14,000 tahun lalu iaitu lebih tua daripada Perak Man yang sebelum ini dianggarkan wujud sejak 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.
Namun berita penemuan rangka manusia ini diiringi dengan satu berita lain.
Nampaknya ini seperti situasi: satu berita gembira satu berita sedih.
Berita sedihnya: berbaki lima tahun sahaja lagi, sebahagian Lembah Nenggiri yang kaya dengan khazanah warisan purba serta tapak arkeologi dijangka tenggelam sepenuhnya sehingga menyukarkan kerja ekskavasi untuk dijalankan pada masa akan datang.
Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027 akan menenggelamkan gua yang mempunyai warisan arkeologi seperti Gua Cha, Gua Chawan, Gua Kecil (Batu Tambah), Gua Lubang Kelawar (Batu Tambah), Gua Keledung, Gua Rahmat, Gua Gemalah dan Gua Kelew.
Jumlah tapak yang terlibat boleh tahan banyaknya. Menurut Ketua Penyelidik Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli, kerja-kerja ekskavasi itu (yang juga melibatkan rangka manusia di Gua Keledung Kecil itu) adalah salah satu langkah mitigasi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk projek pembinaan empangan Nenggiri yang melibatkan 14 buah gua secara keseluruhannya. Kerja ekskavasi menyelamat ini dijalankan oleh Pakarunding UKM dengan melibatkan lebih 30 orang yang terdiri daripada pakar arkeologi, pembantu penyelidik, mahasiswa UKM serta dibantu penduduk kampung berdekatan.
Sepanjang tempoh itu, pihaknya telah menemui ribuan artifak dan ekofak yang terdapat di sekitar Lembah Nenggiri seperti serpihan tembikar tanah, alat batu, peralatan batu seperti alat penetak, alat pengetuk dan alat repeh yang digunakan untuk meraut serta sisa makanan seperti cangkerang siput dan tulang binatang.
Ada perkara tersirat di sini - jika tidak diketahui akan adanya projek yang bakal menenggelamkan tapak-tapak arkeologi begini maka mungkin tidak akan ada usaha yang benar-benar efektif nak menyelamat atau menyelidik tapak-tapak itu.
Tiada alasan untuk menyalurkan dana, mungkin. Sebab sepatutnya, rangka manusia ini sudah ditemui lebih awal. Bila ada usaha kecemasan sebegini, barulah jumpa. Maksudnya negara kita masih menyimpan banyak KHAZANAH sejarah yang MASIH BELUM DIEKSKAVASI sepenuhnya. Jika ada dana yang mencukupi dan usaha bersungguh-sungguh dari pakar dan pihak-pihak lain yang berwajib, kita pasti akan menerokai lebih banyak lagi penemuan sejarah.
Nasib tapak arkeologi Lembah Nenggiri bakal mengulangi skrip yang berlaku di Terengganu apabila tapak arkeologi Gua Bewah, di Hulu Terengganu sebahagiannya tenggelam selepas Empangan Hidroelektrik Kenyir siap pada tahun 1985.
Di Gua Bewah, ekskavasi sejak tahun 1970-an menemukan rangka manusia prasejarah dan artifak primitif seperti peralatan batu, serpihan tembikar dan banyak lagi. Dilaporkan masih ada ekskavasi dilakukan, namun sukar untuk kajian lanjut dijalankan.
Begitulah nasib apa yang berlaku kepada sejarah kita. Pembangunan, mungkin tidak boleh dielakkan. Tetapi sebelum 'pembangunan' dijadikan alasan, lebih baik ikhtiar yang padu dan berterusan digerakkan untuk meneroka penemuan-penemuan baharu di negara kita. Penemuan rangka-rangka manusia purba ini adalah petanda yang baik untuk dunia arkeologi Malaysia.
Jika memahami pergerakan manusia awal, ada 'something' di sini ribuan tahun dahulu.
~Srikandi
Kredit: Sinar, Hmetro
Copy and paste:
22 September 2023 > 7 Rabiulawal 1445H: 9.18 pm

No comments:

Post a Comment