ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 23 September 2023

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

POSTED BY ROZZA ZAINAL > PERISTIWA N' SEJARAH

Adakah simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam kerana kebanyakan masjid atau surau di Malaysia menggunakan simbol bulan sabit di atas kubah. Bahkan, di bendera Malaysia juga terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara.
Bulan bintang simbol Islam
Maklum dan masyhur bahawa seni pembinaan masjid di Malaysia akan meletakkan simbol bulan sabit dan bintang di atas kubah atau menara. Ini juga tidak terkecuali bagi pembinaan masjid di negara-negara Islam yang lain.
Bahkan menara-menara di Tanah Haram dan Madinah juga menggunakan simbol bulan dan bintang. Simbol ini telah menjadikan ia sinonim bagi agama Islam.
Di dalam Bahasa Arab bulan sabit adalah Hilal هلال manakala bintang pula adalah Najm النَّجْم.
Di dalam Al-Quran juga terdapat surah khusus berkenaan bintang dan terdapat beberapa ayat yang menyatakan berkenaan bulan sabit. Namun begitu, simbol bulan sabit dan bintang tidak ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai simbol rasmi bagi agama Islam.
ASAL USUL SIMBOL BULAN SABIT DAN BINTANG
Mengikut sejarah yang dinukilkan di dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, pengarang kitab menyatakan bahawa:
"Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi).
Beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain.
Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut. Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, lalu mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut.
Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia)."
ISLAM TIADA SIMBOL RASMI
Dalam menjawab persoalan yang diajukan, adakah bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Sebenarnya tidak ada simbol yang wajib dan rasmi bagi agama Islam seperti bulan sabit dan bintang atau sebagainya.
Bahkan perkara ini telah dibincangkan oleh Sheikh Muhammad Abdul al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa:
"Meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah), tetapi sebaliknya ia digunakan oleh pemerintah Utsmaniyah simbol bulan sabit sebagai simbol rasmi yang diambil daripada lambang istana di Romawi."
(Rujuk Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, jld. 1, m/s 265).
Namun begitu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah ada menukilkan sebuah hadis berkenaan bendera yang terdapat simbol bulan sabit padanya:
"Saad bin Malik bin al-Aqyasar bin Malik bin Qari’ bin Zuhal bin Dail bin Malik al-Azdi Abu al-Kanud berkata Ibnu Yunus beliau pernah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Nabi SAW memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya yang berwarna hitam dan padanya terdapat simbol bulan sabit berwarna putih dan berikutnya dilihat pada pembukaan Mesir, riwayat anak kepada Qasim bin Abi Kanud riwayat Said Afir dari Amru bin Zahir bin Asmar bin Abi Kanud berjumpa dan mengingatinya."
(Rujuk kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, jld.3, m/s 72, No. 3194)
Khabar ini menyatakan bahawa pada zaman Nabi SAW telah wujudnya penggunaan bulan sabit sebagai simbol bagi agama Islam.
Namun begitu, khabar ini telah dikritik oleh para Ulama sebagai khabar yang tidak sahih kerana ia merupakan khabar yang Mu'dhal (iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut sama ada gugur itu pada awal dan akhir sanad) dan ia tidak boleh dijadikan hujah. Simbol bulan bintang ini tidak pernah digunakan pada bendera di zaman Rasulullah SAW.
Menerusi Kitab Fathul Bari karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa: "Bendera Nabi SAW bertuliskan kalimah tauhid."
(Rujuk Kitab Fathul Bari, Jld. 6, m/s 147)
Kesimpulan
Penggunaan simbol bagi sesuatu perkara adalah bertujuan untuk memudahkan atau memberi pengenalan identiti bagi sesuatu, begitu juga agama lain seperti Kristian menggunakan simbol salib sebagai simbol bagi agamanya dan Yahudi menggunakan simbol bintang sebagai simbol agama mereka.
Bahkan di dalam Islam, simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang ghalib bagi agama Islam.
Adapun begitu, simbol ini tidak pernah dianggap sebagai simbol yang disembah atau simbol mewakili bagi Allah SWT.
Menggunakan simbol tersebut merupakan satu perkara yang tidak menyalahi dari sudut syara' bahkan ia merupakan uruf yang boleh diterima dan digunakan.
Wallahu a'lam.
sumber: (1)
Copy and paste:
23/9/2023 > 7 Rabiulawal 1445H: 11.50 am

No comments:

Post a Comment