ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 26 September 2023

ARCA BERUSIA LEBIH 1,200 TAHUN DITEMUI DI CANDI BUKIT CHORAS, YAN, KEDAH

POSTED BY IBN KAMAL > PERISTIWA N' SEJARAH

YAN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia menemui dua arca patung dan batu bertulis dengan huruf Pallava abad kelapan Masihi di tapak arkeologi Bukit Choras di sini.Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM, Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata Candi Bukit Choras mempunyai keistimewaan kerana satu-satunya tapak terletak di luar kawasan Sungai Merbok dan Sungai Muda (Lembah Bujang).
Katanya, kerja penyelidikan bermula 28 Ogos lalu, berjaya mendedahkan hampir separuh candi yang dianggar mempunyai ukuran sembilan meter panjang dan sembilan meter lebar, manakala ketinggian belum diketahui.
"Keistimewaan Candi Bukit Choras kerana masih dalam keadaan terpelihara bentuknya berdasarkan kedudukan dinding barat, utara dan selatan struktur yang berada dalam keadaan asal..."
"Kita juga menemui dua arca bersaiz manusia yang diperbuat daripada bahan 'stacco' iaitu campuran kapur dan bahan lain yang dibentuk di tapak secara terus dengan arca sebegini tidak pernah ditemui di kawasan Lembah Bujang.
"Penyelidikan awal juga menemui terdapat persamaan arca ini dengan arca ditemui di tapak Batu Jaya, Jawa Barat dan Sumatera. Kajian awal turut menunjukkan terdapat persamaan pada seni bina candi," katanya di sini, hari ini.Hadir sama Naib Canselor USM, Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof dan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM, Prof Dr Stephen Chia Ming Soon.
Nasha berkata, penemuan berkenaan membangkitkan persoalan baharu mengenai hubungan kebudayaan di antara kerajaan Kedah Tua bersama tapak warisan serantau lain dengan pelbagai kajian boleh dilakukan pada masa depan.
"Berdasarkan saiz pelan, Candi Bukit Choras boleh dikatakan agar besar mengikut ukuran panjang. Arca patung juga yang terbesar pernah ditemui. Ini berbeza candi di Lembah Bujang kerana kita hanya jumpa dasar dan tingginya tidak pasti.
"Setakat ini, kerja ekskavasi hanya kira-kira 40 peratus dan kita percaya terdapat banyak lagi candi sekitar Bukit Choras yang belum ditemui dan memerlukan lebih banyak kajian.
"Kami sendiri agak terkejut dengan penemuan ini kerana untuk candi yang besar, bermakna kena ada populasi yang besar. Candi ini satu-satunya di luar Lembah Bujang. Mungkin terdapat penempatan awal di Bukit Choras sejak abad ketujuh lagi," katanya.
Beliau menjelaskan, sejak sekian lama kebanyakan candi hanya ditemui di kawasan selatan Gunung Jerai dan Candi Bukit Choras terletak di kawasan utara gunung yang berdiri sendiri dan tidak dikelilingi tapak lain.
Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, pihaknya dan kerajaan negeri akan memastikan penemuan itu dijadikan rujukan serta dikongsikan sebagai bukti peradaban dan teknologi kerajaan Kedah Tua.
"Tapak ini berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan domestik di Yan dengan limpahan ekonomi akan dinikmati secara langsung oleh rakyat," katanya.
M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
September 22, 2023 @ 3:22pm
BH ONLINE
May be an image of 2 people and text that says "Candi yang besar bermakna ada ramai penduduk di Tapak Arkeologi Bukit Choras Yan. -Foto BH/SYAHARIM ABIDIN"
COPY AND PASTE:
26 SEPTEMBER 2023 > 10 RABIULAWAL 1445H: 10.47 AM

No comments:

Post a Comment