ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 29 September 2023

AL-KAFI #1143: HIKMAH PENGHARAMAN KHINZIR

SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL\

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Kenapa binatang seperti khinzir dilarang atau haram dimakan oleh orang Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pada asasnya, khinzir adalah binatang yang diharamkan dengan jelas di dalam Islam melalui al-Quran dan al-Sunnah serta ijma’ (kesepakatan) para ulama’. (Lihat al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir, hlm. 177)

Antara ayat al-Quran yang menegaskan akan pengharaman ini adalah firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

MaksudnyaSesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi.

(Surah al-Baqarah: 173)

Ibnu Kathir berkata, “Begitu juga dilarang memakan daging babi baik yang mati dengan cara disembelih atau mati dalam keadaan tidak seperti biasanya. Lemak babi juga haram dimakan sebagaimana dagingnya kerana penyebutan daging dalam ayat cuma menunjukkan keumuman (aghlabiyyah) atau dalam daging juga sudah termasuk pula lemaknya, atau hukumnya diambil dengan jalan qiyas (analogi).” 

(Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/36)

Ibn al-‘Arabi berkata: “Umat telah bersepakat haramnya daging babi dan seluruh bahagian tubuhnya. Dalam ayat disebutkan dengan perkataan ‘daging’ kerana babi adalah haiwan yang disembelih dengan maksud mengambil dagingnya. … Dan lemak babi termasuk dalam larangan daging babi.” (Lihat Ahkam al-Qur’an, 1/94)

Menjawab persoalan di atas, pengharaman khinzir adalah disebabkan ia membawa beberapa kemudaratan sama ada dari aspek kimia, mikrob dan sikap (psikologi), iaitu ia disebut boleh menghilangkan perasaan cemburu serta menjadi dayus. 

(Lihat Tafsir al-Manar, 2/98)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam ketika mengulas berkenaan pengharaman daging babi menyebut: Perkara ketiga yang diharamkan Allah SWT ialah daging babi. Ini adalah kerana tabiat yang sihat akan memandangnya kotor dan tidak akan menyukainya. Sebab babi ini, makanan yang sangat disukainya ialah dari benda-benda yang kotor, jijik dan najis.

Ilmu perubatan moden menetapkan bahawa memakan daging babi itu sangat berbahaya di seluruh pelusuk dunia, khususnya di daerah yang beriklim panas. Sebagaimana yang berkaitan dengan penyelidikan ilmiah bahawa sesiapa yang memakan daging babi itu menyebabkan lahirnya cacing kerawit yang sangat merbahaya, dan ulat-ulat yang dapat membinasakan tubuhnya.

Justeru, dalam masa terdekat ini, ilmu moden ini akan mendedahkan banyak lagi rahsia pengharaman itu, lebih banyak dari apa yang difirmankan Allah SWT, ketika dia mensifatkan Rasul-Nya dalam firman-Nya (وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ) yang bermaksud: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) telah mengharamkan ke atas mereka semua yang kotor.” (al-A'raf: 157)

Ada sesetengah penyelidik bependapat: Jika membiasakan diri selalu memakan daging babi, nescaya akan menghilangkan perasaan cemburu terhadap perkara yang terlarang. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 69-70)

Dr. Joseph Mercola, pakar kesihatan terkenal Amerika Syarikat menyebut: “Kajian mendapati daging babi boleh memberikan bahaya kepada kesihatan dalam pelbagai peringkat. Menurut kajian oleh Consumer Reports, 69 peratus daripada sampel-sampel daging babi yang diuji mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica yang boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan.” [1]

Dr. Muhammad Abdul Khair menyebut beberapa penyakit yang disebabkan oleh daging babi: "Daging babi mengandung benih-benih cacing pita dan cacing-cacing lain. Cacing-cacing ini akan berpindah kepada manusia yang memakan daging babi tersebut. Perlu dicatat, sehingga ini, generasi babi belum terbebas daripada cacing-cacing ini. 

(Lihat Ijtihadat fi al-Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 112)

Dr. Zakir Abdul Karim Naik dalam “20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam” berkata: Antara sebab pengharaman daging babi ialah: Memakan daging babi akan menyebabkan tidak kurang daripada 70 pelbagai jenis penyakit yang akan dijangkiti antaranya:

  • Helminthes seperti cacing bulat, cacing peniti, cacing kerawit dan lain-lain lagi.
  • Antara yang berbahaya adalah Taenia Solium, iaitu menurut istilah umum cacing pita. Tersimpan dalam usus dan sangat panjang. Ovumnya, iaitu telur memasuki aliran darah dan mampu mencapai ke semua organ tubuh. Jika ianya memasuki otak, boleh mengakibatkan hilang ingatan. Jika memasuki jantung, boleh menyebabkan serangan jantung. Jika memasuki mata, boleh menyebabkan buta. Jika memasuki hati, akan menyebabkan kerosakan pada hati.

Sebagai penutup, kami nukilkan kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Tidak semestinya setiap Muslim untuk mengetahui secara terperinci kesemua barangan yang dianggap rosak dan bahaya, yang dengan sebabnya diharamkan oleh Allah SWT sesuatu barangan itu. Adakalanya, hal itu terlindung dari kefahamannya, yang mana keadaan yang sama kelihatan pada keadaan yang lain. Adakalanya, keburukan sesuatu barangan itu tidak jelas pada sesuatu zaman yang tertentu, manakala ianya jelas pula pada zaman yang berikutnya. Oleh itu, sewajarnya sikap seorang mukmin itu selalu mengatakan: “Kami dengar dan kami taat.”

Tidakkah kamu lihat bahawa Allah SWT mengharamkan memakan daging khinzir? Namun tidak seorang Muslim pun yang mengetahui apakah sebab pengharaman daging khinzir itu selain daripada ianya adalah kotor. Setelah zaman berlalu, dan sekarang barulah ilmu moden masa kini menyingkap hakikat kebenarannya bahawa daging khinzir penuh dengan cacing dan kuman-kuman halus yang boleh membinasakan orang yang memakannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 33)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman berkenaan agama kita dengan mentaati segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Amin.

Nota Hujung:

[1] Lihat web Dr. Joseph Mercola, Why I Do Not Recommend Porkhttps://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2012/12/12/eating-pork.aspx 

Lihat juga portal Consumer Reports, Pork Chops And Ground Pork Contaminated With Bacteria, https://www.consumerreports.org/cro/magazine/2013/01/what-s-in-that-pork/index.htm

Copy and paste: 29/9/2023 > 14 Rabiulawal 1445H: 9.24 pm


No comments:

Post a Comment