ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 12 July 2023

MITOS BERKENAAN GUNUNG JERAI

Posted by Ibn Kamal > PERISTIWA N' SEJARAH

Ketika dilihat dari jauh berserta sawah padi menghijau, pemandangan gunung setinggi 1,217 meter dari aras laut itu kelihatan sangat indah.Bagaimanapun ramai yang tidak mengetahui antara gunung tertinggi di Kedah itu penuh dengan misteri dan mitos yang masih belum terungkai.Bagi penduduk yang tinggal di sekitar pergunungan tersebut, pelbagai cerita kejadian aneh sering didengar oleh mereka, malah ada yang mendakwa berlaku di depan mata.
Antara mitos Gunung Jerai dikaitkan dengan kedatangan Raja Bersiong yang dikatakan orang pertama membuka kawasan penempatan di kaki gunung berkenaan. Malah, kerja cari gali arkeologi menemui tapak dipercayai Kuil Kolam Air Sembilan yang kononnya menjadi tempat bersiram Raja Bersiong.
Pada zaman dahulu, Kedah berada di bawah pemerintahan Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, namun baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.Raja Bersiong terkenal dengan tabiatnya yang suka meminum darah manusia.
Mitos lain yang dikaitkan dengan Gunung Jerai adalah sebuah batu besar di atas puncak yang berbentuk sebuah kapal dipercayai disumpah Sang Kelembai.Sang Kelembai adalah gergasi yang mempunyai kuasa sakti.Namun, mitos yang paling popular bagi setengah penduduk tempatan seperti Wan Teh Wan Shaari, Gunung Jerai dikenali sebagai lubuk bunian.Lelaki berusia 54 tahun itu memaklumkan, gunung itu dikatakan menjadi penempatan bunian terbesar diperintah oleh seorang raja.
“Penduduk di sekitar Gunung Jerai percaya bahawa kawasan itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga buah perkampungan bunian.
“Bunian ini dikatakan akan menjelmakan diri mereka menyerupai sesiapa sahaja yang disukainya termasuk perempuan cantik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
RUMAH DALAM HUTAN
Wan Teh yang sering keluar masuk ke pergunungan Gunung Jerai untuk mencari sumber hutan sejak tahun 1980-an juga pernah melalui pengalaman aneh.Ceritanya, pernah satu hari, dia bersama seorang rakan masuk ke kawasan pergunungan itu untuk mencari akar kayu sebelum tersesat ketika dalam perjalanan pulang.Tambahnya, ketika itu waktu sudah senja dan hujan lebat sehingga menyebabkan mereka sukar mengesan laluan denai yang sering digunakan.“Dalam keadaan cemas , saya ternampak beberapa buah rumah kayu yang berlampu di satu sudut hutan di gunung ini. Saya panggil kawan yang sedang berteduh di bawah pokok untuk pergi meminta bantuan.
“Lepas saya pusing balik, rumah itu sudah hilang. Selepas itu, baru kami jumpa jalan pulang. Pelbagai tanda tanya bermain dalam minda dengan bulu roma meremang,” katanya.
Tegasnya, dia berasa amat bersyukur kerana tidak masuk ke perkampungan bunian tersebut, kalau tidak mereka berdua mungkin tidak akan jumpa jalan keluar hingga hari ini.
Cerita mengenai bunian di Gunung Jerai juga pernah menggemparkan negara dengan kehilangan seorang pemuda berusia awal 20-an pada tahun 2000.Pemuda itu dikatakan mengikut seorang gadis cantik yang berada di gunung tersebut. Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari pemuda tersebut, namun gagal ditemui.
Setelah seminggu misteri kehilangannya heboh diperkatakan, akhirnya mangsa dijumpai mati di sekitar kawasan air terjun.Mayat mangsa ditemui dalam keadaan ngeri tanpa kepala dan badannya diceraikan.Dikatakan tempat pemuda itu ditemui adalah penempatan bunian.PENGUNJUNG dinasihatkan tidak bercakap besar ketika mendaki Gunung Jerai, dibimbangi tidak bertemu jalan pulang. –
Meskipun gunung tersebut terkenal dengan pelbagai kisah aneh, namun ia sentiasa menjadi tumpuan pengunjung terutamanya bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dan menikmati keindahan alam.Wan Teh turut mengakui, terdapat individu yang datang ke situ semata-mata untuk bertapa terutamanya dalam kalangan pengamal perubatan tradional.
Justeru, dia menasihati pengunjung supaya jangan terlalu taksub dengan cerita-cerita yang diperkatakan supaya tidak menjerat diri.
“Saya selalu bawa orang luar mendaki gunung ini. Saya sering menasihatkan mereka supaya tidak bercakap besar.
“Paling penting, perlu ada niat yang baik ketika mendaki. Jangan sesekali ada niat tidak elok, takut-takut tidak jumpa jalan pulang,” tuturnya.
Kisah Sejarah Melayu

Copy and paste:
12.7. 2023 > 24 Zulhijjah 1444H: 7.44 pm

No comments:

Post a Comment