ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 21 July 2023

Sejarah Kesultanan Melaka dari sumber 明史 Mingshi atau buku Sejarah Ming

Megat Hisemudin Megat Kasim > PEMINAT SEJARAH LAMA

Sebenarnya banyak catatan tentang tarikh-tarikh pertabalan sultan-sultan Melaka dipadankan dengan catatat Sejarah Ming. Begitu juga hubungan luar khususnya dengan Siam.
满剌加,在占城南。顺风八日至龙牙门,又西行二日即至。Melaka terletak di selatan Champa dengan mengikut tiupan angin lazim selama 8 hari sampailah ke Long Ya-men (Singapura). Kemudian belayar 2 hari lagi ke barat sampailah (ke Melaka).
永乐元年十月遣中官尹庆使其地,赐以织金文绮、销金帐幔诸物。其地无王,亦不称国,服属暹罗,岁输金四十两为赋。
Pada bulan 10 tahun pertama pemerintahan Maharaja Yongle (1403) telah dihantar seorang pegawai sebagai utusan bernama 尹庆 Yinqing ke tempat itu. Menghadiahkan sehelai kain tenunan benang emas, sehelai kelambu warna keemasan dan lain-lain barang. Tempat itu (Melaka) tiada raja dan bukan sebuah negara. Ia menjadi naungan Siam dan setiap tahun membayar ufti 40 tahil emas.
庆至,宣示威德及招徕之意。其酋拜里迷苏剌大喜,遣使随庆入朝贡方物,三年九月至京师。
Setelah ketibaan Yinqing diberitahukan tentang kebesaran (kerajaan China) dan tujuannya datang (ke Melaka). Penghulunya, Parameswara amat gembira (dengan perkhabaran itu). Dihantarkan utusan ikut bersama Yinqing ke istana (China) dengan membawa hadiah ufti. Bulan 9 tahun ke 3 (1405) barulah sampai ke ibu kota (Nanjing).
Sebenarnya selepas melawat Melaka, Yinqing telah ke Sumatera dan Calicut di India. Dalam perjalanan baliknya ke China, Yinqing telah singgah sekali lagi di Melaka dan membawa bersama utusan dari Melaka ke China.
帝嘉之,封为满剌加国王,赐诰印、彩币、袭衣、黄盖,复命庆往。
Maharaja China berkenan memberikan watikah (kepada Parameswara) sebagai raja Melaka. Menghadiahkan cop mohor, wang siling, persalinan pakaian dan tanjak kuning. Yinqing menurut perintah dan pergi (sekali lagi ke Melaka).
Pada tahun yang sama (1405) Yinqing mengikut ekspedisi Laksamana Cheng He yang pertama dan singgah di Melaka dengan membawa watikah Maharaja Yongle untuk pemasyhuran Parameswara sebagai raja Melaka. Oleh itu tarikh rasmi terbinanya kerajaan Melaka ialah di tahun 1405.
九年,其王率妻子陪臣五百四十余人来朝。Tahun ke 9 pemerintahan Maharaha Yongle (1411), baginda bersama permaisuri diiringi oleh para pembesar dan yang lain-lain berjumlah lebih 540 orang telah menghadap Maharaja China di istana.
Rombongan Parameswara ke China adalah dengan mengikut kapal dari armada Laksamana Cheng He yang dalam perjalanan pulang ke China di tahun 1411 dalam ekspedisinya yang ke 3.
Tidak terdapat dalam catatan Mingshi bagaimana rombongan Parameswara kembali ke Melaka, bagaimanapun dalam pengkisahan ekspedisi ke 3 Laksamana Cheng He dicatatkan seperti berikut:
朝廷赐海船回国守卫疆土. Istana telah menghadiahkan kapal laut untuk kembali ke negaranya dan digunakan untuk menjaga tanah air.
Namun demikian tidak dinyatakan berapa buah kapal yang dihadiahkan. Ini kerana untuk membawa lebih 540 orang ahli rombongan tentunya memerlukan lebih daripada sebuah kapal atau hanya sebuah kapal sahaja yang dihadiahkan dan selainnya akan kembali ke negara China bersama krew kapal yang mengemudikan kapal yang dihadiahkan itu.
十二年,王子母干撒于的儿沙来朝,告其父讣. Dalam tahun ke 12 pemerintahan Maharaja Yongle (1414) putera raja, Megat Iskandar Shah telah datang menghadap ke istana untuk memberitahu kemangkatan ayahandanya (Parameswara).
十七年,王率妻子陪臣来朝谢恩。及辞归,诉暹罗见侵状。帝为赐敕谕暹罗,暹罗乃奉诏。
Tahun ke 17 pemerintahan Maharaja Yongle (1419) baginda telah membawa permaisuri dan para pembesar ke istana bagi menyatakan rasa terima kasih. Sebelum pulang baginda telah melaporkan yang Siam mengancam (Melaka). Maharaja China telah memerintahkan Siam untuk tidak melakukannya dan akhirnya Siam akur dengan titah itu.
二十二年,西里麻哈剌以父没嗣位,率妻子陪臣来朝。
Pada tahun ke 22 pemerintahan Maharaja Yongle (1424) Seri Mahala (Muhammad Shah) telah menghadap istana (China) bersama permaisuri dan para pembesar untuk memberitahu yang ayahandanya tidak meneruskan menduduki takhta.
Ini bermakna Sultan Megat Iskandar Shah telah turun takhta dan digantikan oleh anakandanya Sultan Muhammad Shah sebagai sultan Melaka yang ke 3.
宣德六年遣使者来言:“暹罗谋侵本国,王欲入朝,惧为所阻,欲奏闻,无能书者,令臣三人附苏门答剌贡舟入诉。"
Pada tahun ke 6 pemerintahan Maharaja Xuende (1431) utusan (Melaka) berkata: "Siam merancang untuk menakluki negara ini, raja kami bercadang untuk datang menghadap tetapi khuatir (akan keselamatan) dan terhalang. (Patik) mahu melaporkan tetapi tiada daya upaya untuk menulis. Tuanku mengarah kami 3 orang menaiki kapal Sumatera untuk datang menghadap."
帝命附郑和舟归国,因令和赍敕谕暹罗,责以辑睦邻封,毋违朝命。
Maharaja China akan mengarahkan Laksamana Cheng He dan armada kapalnya yang akan pulang (pada ekspedisi ke 6) untuk membawakan warkah kepada raja Siam dengan memaksa Siam untuk berbaik-baik dengan (negara) jiran. Jika ingkar akan menerima hukuman.
初,三人至,无贡物,礼官言例不当赏。帝曰:“远人越数万里来醖不平,岂可无赐。”遂赐袭衣、彩币,如贡使例。
Pada awalnya 3 orang (wakil sultan Melaka) datang tanpa membawa hadiah dan pegawai protokol mengatakan ia tidak mengikut cara kebiasaannya. Maharaja bertitah: "orang yang datang dari jauh beribu batu dan kedatangannya tidak mudah jadi dibolehkan dengan tiada membawa hadiah". Kemudiannya dihadiahkan (pula wakil sultan Melaka) dengan persalinan dan wang siling sama seperti mereka yang datang bersama hadiah ufti.
八年,王率妻子陪臣来朝。抵南京,天已寒,命俟春和北上.
Pada tahun ke 8 pemerintahan Maharaja Xuenda (1433) baginda bersama permaisuri dan para pembesar telah datang menghadap. Ketika itu cuaca sudah sejak dan dihalang untuk meneruskan perjalanan ke ibu kota Nanjing. Diarahkan menunggu sehingga musim bunga barulah dibenarkan perjalanan ke utara.
景泰六年,速鲁檀无答佛哪沙贡马及方物,请封为王.
Pada tahun ke 6 pemerintahan Maharaja Jingtai (1446), Sultan Wutafona Shah (Sultan Muzaffar Shah) telah menghadiahkan kuda dan barang-barang yang lain. Memohon diberikan watikah sebagai raja.
天顺三年,王子苏丹芒速沙遣使入贡,命给事中陈嘉猷等往封之。
Pada tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Tianshun (1459) putera Sultan Mansur Shah menghantar utusan menghadap ke istana. Kemudiannya (istana telah menitahkan pegawai tinggi) 陈嘉猷 Chen Jia-you dan lain-lain membawakan watikah (untuk pemasyhuran Sultan Mansur Shah).
Sebenarnya Chen Jia-you dan rombongan telah belayar selama 2 hari tetapi kapal mereka dibadai taufan dan pecah. Chen Jia-you telah berpaut pada papan yang timbul selama 6 hari barulah dapat diselamatkan di sekitar Pulau Hainan. Semua hadiah-hadiah dan watikah telah tenggelam di dalam laut. Chen Jia-you sekali lagi dititahkan untuk membawa watikah pada kali keduanya. Ia berlaku dalam jarak masa setahun.
正德三年,使臣端亚智等入贡。Pada tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Zhende (1508) utusan (Melaka) Tuan Ah-ji telah menghadap ke istana.
Mengenai pengkisahan ini telahpun ditulis dalam satu artikel lain bertajuk, "kisah utusan sultan Melaka yang dibunuh di China" yang disiarkan dalam page Peminat Sejarah Lama ini pada tarikh 31 Mei 2023 yang lalu.
后佛郎机强,举兵侵夺其地,王苏端妈末出奔,遣使告难。时世宗嗣位,敕责佛郎机,令还其故土。
Kemudiannya Feringgi (Portugis) menjadi kuat lalu menggunakan ketenteraan menawan tempat itu (Melaka). Rajanya, Sultan Mahmud melarikan diri. Menjadikan sukar untuk menghantar utusan. Ketika itu ialah semasa pemerintahan Maharaja Shizong dan baginda telah memurkai Feringgi dengan menitahkan untuk mengembalikan negeri (Melaka).
Mengikut catatan lain menyebut istana China hanya mengetahui yang Melaka telah ditawan Portugis berbulan kemudiannya.
谕暹罗诸国王以救灾恤邻之义,迄无应者,满剌加竟为所灭。
Telah diminta jasa baik daripada raja Siam untuk menyelamatkan jiran yang berada dalam kesusahan namun sehingga akhirnya pun tiada jawapan. Melaka akhirnya telah dimusnahkan.
时佛郎机亦遣使朝贡请封,抵广东,守臣以其国素不列《王会》,羁其使以闻。诏予方物之直遣归,后改名麻六甲云。
Ketika itu Feringgi juga telah menghantar utusan untuk memohon pengiktirafan (terhadap penaklukan Melaka) dan apabila utusannya sampai di Guangdong, pegawai yang bertugas mendapati Feringgi bukanlah tersenarai sebagai negara "sahabat di raja" lalu menahan utusannya. Memeriksa barangan utusan dan terus diarahkan pulang. Kemudian nama Melaka ditukar kepada 麻六甲 Maliujia.
Dari asalnya nama Malaka dalam tulisan Cina ialah 滿剌加 Manlajia dan setelah Melaka ditawan Portugis ditukar kepada 麻六甲 Maliujia. Kini nama Melaka dalam tulisan Cina selalunya ditulis sebagai 馬六甲 Maliujia.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
21 Julai 2023 > 3 Muharram 1445H: 10.30 am

KUMPULAN MUZIK ROCK TERAWAL DI MALAYSIA - ROCK KAPAK

Oleh: Nizam Ali  > PERISTIWA N' SEJARAH

Awal 70'an dunia muzik mula beralih dari irama rock n' roll Inggeris yang dipopularkan oleh Elvis Presley, The Beatles kepada irama pop dan disco. Di Malaysia muzik pop yeh-yeh juga sudah pudar bintangnya bersama arus. Saya mendengar lagu-lagu pop dan asli Melayu dari bintang-bintang penyanyi ketika itu seperti A.Ramlie, Ahmad Jais, Sharifah Aini, Rafeah Buang sanisah Huri dan seterusnya ke era D.J Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Dhalan Zainuddin, Latiff Ibrahim dan ke era 80'an seperti Jamal Abdillah, Sudirman, Dato' Shake, Francesca Peters, Ramlah Ram, Zaiton Sameon dan sebagainya.
Dalam masa yang sama muncullah irama rock dalam dunia muzik yang dipelopori oleh kumpulan muzik barat seperti Rolling Stone, The Eagles, Deep Purple, Queen, Aerosmith, ACDC,Led Zeppelin dan sebagainya. Seiringan dengan itu munculllah sedikit demi sedikit band rock Melayu di Malaysia dan Singapura.
Apa itu Rock Kapak? Rockers-rockers dulu kata ia berasal dari perkataan 'rock ke apa?' dan disingkatkan menjadi 'rock kapak', itu pendapat sesetengah rockers.
Berikut ialah secara ringkas kumpulan- kumpulan rock Melayu yang terawal di Malaysia dan Singapura.
SWEET CHARITY
Kumpulan ini adalah perintis kepada penubuhan kumpulan-kumpulan rock yang seterusnya di Malaysia/Singapura.
Sweet Charity berasal dari Singapura ditubuhkan pada 1967. Ahli terdiri dari Ramli Sarip, Rosli Mualim, Joe Sabirin, Wahid Warren dan Rahman Sarbini. Kumpulan ini mirip kepada muzik kumpulan rock barata popular ketika itu Deep Purple dan Santana. Kumpulan Search, Lefthanded dan Wings menjadikan lagu-lagu Sweet Charity sebagai lagu awal mereka sebelum bertapak kukuh di arena rock Melayu.
Sweet Charity merakamkan album pertama pada 1979. Pada album kedua 1980 Sweet Charity menampilkan lagu hit 'Zakiah' tapi album yang yang menjadi ingatan saya dan peminat seni aialah album ke3 tahun 1981 yang mengandungi lagu-lagu hitseperti 'Sejuta Wajah', 'Batu' dan 'Jangan Tunggu Lama-lama'
THE UNWANTED
The Unwanted sebuah band rock yang ditubukan di Singapura pada tahun 1970'an. Menampilkan Hanafie Warren (vokal), Adnan (Drum), Ismail Sukar, Syed (Bass) dan Ramli Katyo (K/board)
The Unwanted memainkan muzik rock berkonsepkan kumpulan Deep Purple dan melodi lebih kepada slow rock. Antara lagu-lagu popular mereka ialah Masih Ada Rindu, Penyesalan, Terperangkap Dalam Sinaran.
KUMPULAN THE BLUES GANG ( 1979-1998)
Blues Gang bukanlah dalam kategori muzik rock, namun kerana ia satunyalah kumpulan bukan kategori muzik rock tapi besaing dengan kumpulan rock kapak lain, maka saya isikan juga kisah dan lagu kumpulan ini.
Nama kumpulan ini diambil dari nama penyaynyi rock Amerika James Gang. Menyampaikan lagu-lagu Melayu dan mengenengahkan irama blues dan rock yang segar dengan memasukkan unsur-unsur Melayu seperti 'Apo nak Di Kato' yang menggunakan loghat Negeri Sembilan.
Blues Gang merakam kan album Melayu pertama berjudul 'Blues Gang' pada 1981 dan menghasilkan jumlah 10 album sehingga 1998 sebelum berpecah.
Ahli kumpulan terdiri daripada Ito Mohd (Vokal,harmonika), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar, keyboard), Ian Anderson (gitar), Shaik Karim (drum,vokal), Jim Madasamy(bass).
KUMPULAN SEARCH 1985
Ditubuhkan pada 1981 di Johor, Search ialah kumpulan rock terunggul di Malaysia pada tahun 80'an. Menghasilkan lebih 20 album dan berpuluh lagu hits, di samping puluhan konsert yang sering terjual habis tiketnya. Aura dan populariti Search melangkau hingga ke Indonesia.
Dianggotai oleh penyanyi Amy dsamping Yazid Ahmad, Hamzah Mohd Taib, Nordin Taib dan Nasir Daud. Tiga buah album terawal mereka ialah Cinta Buatan Malaysia 1985 dengan membawa pemuzik Yan dan Man Kidal. Langit dan Bumi (1986) menampilkan Hilarry Ang sebagai guitarist utama.
LEFTHANDED 1985
Ditubuhkan pada 1979 di Johor Bharu dan merupakan Juara Rock 1985. Nama diambil sempena guitaris utamanya Man Kidal dan pada awalnya ialah penyanyi Rahim Maarof dan Roy sebelum mengambil Nash sebagai penyanyi tetap. Ahli lain ialah Samad (arwah)), Yan dan Man Dayak (arwah).
Lefthanded mengeluarkan 5 album kesemuanya iaitu Keadilan 1986, Seruan 1987, Qabul 1988, Evolusi 1989 dan Fanatisme 1991.
Album pertama 1986 bertajuk 'Keadilan' yang mengandungi lagu hits seperti Tiada Lagi Kidungmu, Cinta Tiga Dimensi dan Debunga Wangi. Album kedua bertajuk 'Seruan' mengandungi lagu hit 'Ku Di Halaman Rindu'.
Lefthanded bersama Search dan Wings dianggap 'The Big Three Rockers Group' di Malaysia pada tahun 80'an
WINGS
Ditubuhkan pada 1985 oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Ampang, Kuala Lumpur. Empat ahli kumpulan asal yang menubuhkan Wings ialah Awie (vokal), Syam (gitar), Eddie (bass), Jojet (dram). Wings juga pernah bertukar ahli seperti Mel (vokal), Joe (gitar) dan Black (dram).
Album pertama Wings berjudul Belenggu Irama(1987) dan Wings seterusnya menghasilkan 19 buah album kesemuanya. Wings banyak menghasilkan lagu-lagu hits dan antara yang terpopular ialah 'Intanku Kesepian', 'Misteri Mimpi Syakila', "Taman Rashidah Utama', 'Sejati' dan banyak lagi.
Wings bersama Search dianggap dua kumpulan rock Melayu yang terunggul di Malaysia hingga kini.
RUSTY BLADES
Rusty Blades yang ditubuhkan pada 1985 merupakan sebuah kumpulan Heavy Metal berasal dari Singapura. Konsep muzik mereka berteras kepada heavy rock dan dianggap sebagai kumpulan Iron Maiden Singapura.Rusty Blades pada asalnya dianggotai oleh Yantzen (vokal), Khalid Mubin (gitar), Razak (bass), dan Zam (dram).
Album pertama mereka 1986 berjudul 'Ikran Perwira 786' dan sehingga 1989 mereka telah menghasilkan lapan album.
Antara lagu terbaik Rusty Blade ialah 'Penantian' dan 'Kehilangan'
MAY 1986
May ialah sebuah kumpulan rock yang ditubuhkan pada 1986 oleh 4 anak muda daripada Kampung Manjoi, Ipoh, Perak. Nama MAY diambil sempena pangkal huruf nama keempat-empat mereka Mus (vokal), Man Sarip (dram), Abu Nasir (gitar ) dan Yus Mokhtar (bass).
May telah menyertai pertandingan Battle Of The band 1987 dan mendapat tempat ke3. Mus pula meraih hadiah vokal terbaik. Kejayaan tersebut menarik perhatian Warnada Records menawarkan kontrak kepada mereka. Album pertama MAY 1988 berjudul "Dilema"
Album kedua MAY 1989 berjudul 'Hakikat' menaikkan nama MAY. Album ini terjual 200,000 unit dengan lagu popular 'Sendiri' dan 'Cintamu Mekar Di Hati'.
BUMIPUTERA ROCKERS (1985 -1999 )
Ditubuhkan di Johor Bharu, BPR diilhamkan oleh Papa Rock Ramli Sarip dan diuruskan oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity.
Dianggotai oleh lima orang ahli yang merupakan pecahan dari kumpulan seperti Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times. Mereka adalah Joey (vokal), Awang (gitar), Harun (gitar), Enai (drum), Yem Bai (bass)
Album pertama BPR diterbitkan tahun 1987 dan antara lagu popular mereka ialah Seribu Tahun Takkan Mungkin, Dari Sinar Mata, Aku Hanya Serangga, Silaturrahim dan banyak lagi.
BLOODSHED 1986
Kumpulan Bloodshed muncul dari pertandingan 'Battle Of The Bands' tahun 1986. Ahli asalnya terdiri daripada Roshdan Baharom (vokal), Azman (vokal), Mohd Farid (vokal), Zaharudin Ujang (k/board), Saufi Ghazali @Opie (gitar), Hamdan Ahmad (dram) dan Rawita Shah ( bass).
Album pertama Bloodshed bertajuk 'Illusi Sebuah Mimpi' diterbitkan tahun 1987 dengan tema lagu berentak heavy metal.
Pada 1988, menerusi album 'Samarkand' yang diterbitkan oleh M.Nasir, nama Bloodshed mula melonjak melalui lagu hit mereka 'Srikandi Cintaku' ciptaan M.Nasir yang menduduki takhta Lagu Pujaan 10 Nescafe selama beberapa minggu.
ELLA AND THE BOYS 1985
Kumpulan Ella and The Boys ditubuhkan pada 1981 terdiri daripada Ella (vokal), Lord (gitar), Ayie (bass) dan Mie (dram). Ia mula dikenali semenjak menyertai 'Battle Of The Bands' pada 1986 di Pulau Pinang.
Ella and The Boys berjaya meletakkan nama mereka sebaris dengan band-band popular ketika dan nama Ella begitu popular kerana beliau merupakan satu-satu penyanyi wanita yang memperjuangkan muzik rock.
Kumpulan ini mula merakam album pada 1987 dengan lagu hit 'Dua Insan Bercinta' dan album ke4 yang terakhir pada 1989 sebelum Ella membawa diri sebagai solo rock diva.
HEADWIND 1986
Headwind bukanlah boleh dikategorikan dalam kumpulan 'pure rock' kerana ia lebih kepada pop genre, tapi kumpulan ini bersaing dengan band-band rock lain untuk mengecap populariti band muzik tahun 80'an.
Ditubuhkan pada 1981, Headwind dianggotai oleh Zainal Abidin (vokal), Zulkifli Kassim (Gitar), Abd Razak Salleh (dram) , Nicky Oii (Bass), Man Senoi (k/board), Mohd Rashid (saxophone) mereka menghasilkan album pertama bertajuk 'Headwind' pada 1983.
Antara tahun 1986-1989 Headwind telah menghasilkan 6 album dan antara lagu hit mereka ialah
Pelangi, Hanya Di Radio, Berakhir Satu Percintaan.
Mulai 1990, Zainal menyanyi solo meskipun masih bersama Headwind untuk konsert dan pertunjukan.
GERSANG 1988
Kumpulan Gersang ditubuhkan di Johor Bharu oleh komposer Rahim Othman dan meningkat popular dengan lagu 'Masih Aku Terasa' yang memasuki pertandingan akhir Juara Lagu 1988.
Dianggotai oleh Man Bai (vokal), Acis, Man Greng, Kid, Jojet dan Ajib. Menampilkan penampilan kumpulan rockers smart yang kemudian menjadi ikutan pada kumpulan rock lain pada tahun 1990'an.

Copy and paste:
21 Julai 2023 > 3 Muharram 1445H: 10.13 am

Tak Solat, Masuk Neraka. Solat Pun Kalau Cuai Dengan 3 Perkara Ini Pun Sama Je

SUMBER : ISLAM ITU INDAH

Hati-hati lah kita dalam mendirikan solat. Solat ini bukan setakat buat settle ja. Banyak benda yang kena ambil tahu tentang solat. Antaranya :

1. Wuduk
Perkara paling penting sebelum solat atau apa-apa ibadah yang kena ada wuduk. Tidak sah wuduk, maka tidak sahlah solat atau ibadah lainnya. Tidak sah solat, maka penat sahaja lah yang dapat.

2. Pergerakan solat
Setiap rukun fe’li harus dijalankan sempurna selagi mana mampu. Kalau tidak mampu, maka dimaafkan.

3. Thoma’ninah
Berhenti sebentar selepas rukun-rukun yang ada thoma’ninah padanya iaitu rukuk, iktidal dan sujud. Cukup sekadar menyebut ‘Subhaanallah’.

Salah satu hikmah kita mendirikan solat adalah untuk membentuk kita menjadi seorang yang tertib, berhati-hati dan sopan bila kita solat. Dan membawa sifat-sifat tu pada luar solat.

Orang yang benar-benar solat, sudah pasti di luar solatnya seorang yang tenang dan bersopan santun dengan makhluk lainnya. Semoga solat mampu membentuk keperibadian kita yang unggul dan baik.

Allah berfirman dalam surah al-Ma’uun ayat 4&5:

“NERAKA WIL LAH BAGI AHLI-AHLI SOLAT. MEREKA YANG DALAM KEADAAN LALAI KETIKA SOLAT MEREKA”

Dan posting Dai’ Luqman mendapat banyak pertanyaan tentang solat. Berikut adalah sebahagian kecil soalan daripada netizen:

Wuduk tidak kena telapak kaki
Soalan: Dai kalau kita berwuduk tapi tak kena telapak kaki sah kah solat kita?

Jawapan: Kalau telapak kaki tu tidak ada apa-apa yang jadi penghalang daripada dia berwuduk (sakit, bersimen etc.), maka tidak sah wuduk jika tak dibasuh. Wallahua’lam

Soalan: Macam mana lah solat sebelum ni dai? Tak sah kah? Kena qada balik?

Jawapan: Dimaafkan sebab kita tidak tahu. Tapi lepas ini jangan buat lagi sebab kita dah tahu sekarang. Wallahua’lam

Terpijak kain telekung
Soalan: Ustaz nak tanya satu soalan. Masa solat dan nak bangun dari sujud, saya terpijak kain telekung sampai tercabut. Nak berhenti solat atau teruskan sahaja?
Jawapan: Perbaiki secepat mungkin, teruskan solat.

Soalan: Tapi, tidak dikira banyak pergerakan kah tuan? Dalam masa nak betulkan telekung?

Jawapan: Itu adalah pergerakan yang dikira masyaqqah, bukan pergerakan tanpa keperluan yang mustahak. Wallahua’lam

Selepas dihisab, kita ke mana?
Soalan: Nak tanya, orang-orang ini akan dihisab dulu di neraka kemudian akan ke syurga atau akan kekal dalam neraka Wil?
Jawapan: Proses hisab di Padang Mahsyar, sebelum penentu syurga dan neraka. Proses hisab hanya untuk Muslim, yang tidak memeluk Islam terus ke neraka. Wallahua’lam

Contengan pada anggota tidak wajib wuduk
Soalan: Ustaz, Kalau pada bahagian badan yang tidak wajib wuduk (contohnya betis ke atas siku ke atas) ada contengan pen tetapi tidak di bersihkan, adakah sah solatnya?

Jawapan: Sah, tidak ada masalah. Kalau benda bukan najis. Kalau najis wajib dibersihkan sebab salah satu dari syarat sah solat adalah pakaian bersih dari najis. Wallahua’lam

Apa maksud lalai dalam solat?
Soalan: Apa maksud orang yang lalai? Terlupa rakaat pun boleh dikira lalai tak?

Jawapan: Lalai di sini adalah solat sekadar buat, bukan solat kerana Allah. Sedangkan terlupa bilangan solat itu tidak termasuk dalam lalai, itu adalah kerana gangguan syaitan yg menimbulkan was-was bagi orang yang bersolat. Wallahua’lam

Penjagaan makhraj dalam bacaan solat
Soalan: Penjagaan makhraj huruf dalam bacaan solat tidak kira bacaan yang wajib dan sunat. Adakah akan membawa kepada batal solat jika tidak dijaga dengan baik. Seperti huruf ﺡ, ﺹ dan seumpamanya

Jawapan: Tidak membawa kepada batal solat, tetapi membawa kepada kecacatan pada solat. Dan boleh ditampung dengan pergerakan sunat dalam solat. Wallahua’lam

Soalan: Maksud boleh ditampung dengan pergerakan sunat dalam solat itu apa ya ustaz?

Jawapan: Maksudnya, perkara-perkara sunat yang kita lakukan dalam solat, contoh, baca doa iftitah, baca doa qunut, itu semua akan menampung kesalahan atau kecacatan yang berlaku pada rukun-rukun yang wajib. Wallahua’lam

Bercakap semasa solat
Soalan: Ustaz boleh ke bercakap time solat? Contohnya macam kita sebut Astaghfirullahaladzim,Subhanallah atau Allahuakhbar?

Jawapan: Untuk dikira zikir, tidak dikira sebagai berkata-kata. Wallahua’lam

Pakai kanta mata semasa solat
Soalan : Ustaz saya nak tanya. Batal kah solat seseorang itu kalau pakai kanta lekap (contact lens) dan sah tak wuduk kalau pakai contact lens ?

Jawapan: Mata tidak termasuk anggota wuduk, jenuh kita nak basuh mata kita bila nak solat. Dan tiada masalah memakai contact lens sewaktu berwuduk, dan wuduk adalah sah. Wallahua’lam

Tak mahu solat sebab takut tak khusyuk
Soalan: Maaf bertanya, saya ada dengar kuliah yang makna ayat di atas bukan bermakna “lalai KETIKA solat” tetap ia bermakna في. Ayat ni menggunakan عن yang memberi makna “dari”.

Mohon penjelasan. Timbul isu hari itu seorang hamba Allah tidak mahu solat kerana tidak khusyuk kerana beralasan akan masuk neraka Wil kefahamannya bahawa apabila lalai KETIKA solat maka Allah akan humban dia ke dalam Neraka Wil..والله أعلم..

Jawapan: Ini adalah pandangan jumhur ‘ulama tafsir. Perkataan “lalai”, bukan bermakna kepada tidak khusyuk. Tetapi merujuk kepada perbuatan mengambil lewa dalam solat. Tidak bersungguh-sungguh mencari kekhusyukan dan sengaja meletakkan dunia dalam solat.

Kalau ambil pandangan Imam Al-Ghazali (sudut Tasawwuf), maka lebih berat pandangannya. Tidak khusyuk terus tidak diterima solat. Maka kita ambil pendekatan ‘Ulama Feqah yang mengatakan tidak khusyuk, tidak membatalkan solat dan diterima solat, namun perlu bersungguh-sungguh mencari kekhusyukan dalam solat.

Jangan sambil lewa. Kalau tidak khusyuk menyebabkan tidak mahu solat, maka itu adalah alasan yang tidak dapat diterima, kerana rata-rata dari kita termasuk saya, tidak tahu bagaimana rasanya khusyuknya solat tu. Wallahua’lam

Sah kah solat kalau solat laju-laju?
Soalan: Ustaz kalau solat laju-laju dikira macam mana ya? Sah tak? Kira macam baca al-Fatihah terus sahaja tidak ada tarik-tarik nafas.

Jawapan: Kalau terjaga thoma’ninah dan sebutan huruf dalam rukun-rukun qauli, tidak mengapa. Tapi biasanya orang solat laju ini, mesti tidak terjaga. Sebab itu ada riwayat menceritakan tentang sifat solat Nabi SAW. Satu-satu rakaat Baginda panjang dan lama.

Sumber

Copy and paste: 21 Julai 2023 > 3 Muharram 1445H: 10.01 am

Monday, 17 July 2023

KEDAH IBU KOTA PEMERINTAHAN SRIVIJAYA SEBENAR

Oleh : Dino Zain > FORUM JEJAK SEJARAH KEDAH

Seorang sarjana, bekas pensyarah sebuah universiti di Bandung dan juga budayawan terkenal Indonesia iaitu Babe Ridwan Saidi secara terang-terang menyatakan bahawa keberadaan kerajaan Srivijaya di Pelembang adalah fiktif!
Jika diteliti dari bicara Babe Ridwan itu, fiktif yang beliau maksudkan adalah di Palembang mahu pun di mana-mana wilayah di Sumatera tidak terdapat, malah tidak ditemukan sedikit pun tanda sebuah 'tamadun manusia' yang menunjukkan sebuah empayar pemerintahan kerajaan yang gah seperti digambarkan dalam banyak rekod catatan sejarah para pelayar, pedagang dan kerajaan China tentang kerajaan Srivijaya, melainkan hanya terdapat sisa-sisa beberapa buah candi sahaja.
Terdapat sedikit khilaf Babe Ridwan tentang prasasti Kedukan Bukit, tetapi perhatikan bicara beliau tentang 'kaum Zabag' itu.

Siapakah mereka?

Kaum Zabag terdapat dalam catatan para pedagang Arab yang membeli besi Kala'i dari Kedah yang merujuk masyarakat Melayu Kedah, bukan Sumatera.
Saya ulangi lagi dengan bukti-bukti bahawa Kedah adalah ibu kota Srivijaya :
Nama Srivijaya lebih dulu disebutkan dalam rekod dinasti China pada tahun 638M, jauh sebelum keberadaan Srivijaya di Palembang dan Sumatera pada tahun 683M di abad ke 7 masehi :
"The History of Ming Dynasty (the Ming Shih) says that San-fo-chi (三佛斉 - Srivijaya) was formerly called Kan-da-li(or Kan-tuo-li,干陀利 - Kedah) and started tributary mission in the Liang times (502–557)."
「三佛斉、古名干陀利。劉宋孝武帝時、常遣使奉貢。梁書武帝時数至。宋名三佛斉、修貢不絶。」
Sumber rekod China itu tidak mampu dibantah yang mengesahkan bukti Srivijaya diasas mula oleh Kan-da-li iaitu Kedah.
Kata 'Srivijaya' juga awalnya dari nama seorang Raja Melayu beragama Budha bernama Qu-tam (Chudam) yang memerintah kerajaan Tanah Merah (Chih-tu) yang menguasai wilayah utara 'semenanjung Melayu asal' mengitari Kedah, Kelantan hingga Segenting Kra.
Penemuan prasasti Buddhagupta di Seberang Prai yang dulunya wilayah Kedah, menguatkan bukti bahawa kerajaan Chih-tu bertempat di utara Malaysia berdiri sekitar abad ke 4 hingga 5 Masehi.

Sejarawan J Laidlay pada tahun 1848 menterjemahkan teks prasasti itu yang ditulis dengan huruf Pallava (400-500M) dan bahasa Pali mengandungi ajaran Buddha dan menyatakan kejayaan pelayaran oleh seorang nakhoda kapal bernama Budhagupta, seorang penduduk Negeri Tanah Merah (Chih-tu).
Chih-tu adalah satu-satunya kerajaan di Asia Tenggara yang menerima kedatangan utusan dari Maharaja China pada abad ke 6 Masehi bagi memulakan hubungan perdagangan dengan negara tembok besar itu. Dinasti Sui memilih kerajaan Chih-tu sebagai rakan dagang kerana kekuatan dan kekayaan kerajaan itu, termasuk menguasai laluan maritim dan perdagangan di rantau ini.
Catatan China, Chi tu guo ji menyebut perjalanan (jalan kaki) selama 1 bulan menuju ke hulu sungai untuk sampai ke kerajaan Chih-tu.
Sementara pelayaran mengambil masa 100 hari :
"... Chi Tu, yang terletak di dalam laut selatan, belayar seratus hari untuk mencapainya, tanah di sini berwarna merah, sehingga bernama 'Kerajaan Tanah Merah (Chi bererti merah, Tu bererti bumi).
Jadi perjalanan 30 hari lebih sesuai memudiki sungai kelantan dari pantai timur Malaysia menuju ke Kedah. Sementara pelayaran 100 hari lebih sesuai belayar mengelilingi semenanjung Malaysia hingga sampai ke Kedah.
Berdasarkan sumber China, rekod Dinasti Sui menyebut nama peribadi bagi Raja Chudam yang memerintah kerajaan Chih-tu adalah 'Li-fo-shi' (Srivijaya) :
"Nama keluarga raja Chih-tu adalah Qu-tam (Chudam), dan nama peribadinya adalah Li-fo-shi (Srivijaya). Sejak bila sejarah putera ini bermula kami tidak tahu. Kami hanya diberitahu bahawa ayahnya, selepas meninggalkan takhta untuk menjadi seorang biarawan, dihantar kepadanya kedudukan kerajaan, kedudukan yang telah diadakan selama enam belas tahun. Raja ini Li-fu-to-Hsi (Srivijaya) mempunyai tiga isteri, yang semuanya puteri gerbang yang sekitar seratus langkah berasingan. Pada masing-masing gerbang, diselubungi dengan loceng emas kecil, yang dicat Bodhisattva dan abadi yang menjulang tinggi di udara..."

Dinasti Sui;
Misi oleh Tchan Sun dan Wang Kiun Tching.
Para sejarawan sepakat bahawa nama China "San-fo-chi", "Li-fu-to-Hsi" atau "Shi-li-fo-shi" adalah transkripsi kepada Srivijaya.
Rekod Dinasti Sui juga menyebut pengasas kerajaan Chih-tu besar kemungkinan adalah Kan-tuo-li (Kedah). Menurut rekod itu lagi, nama keluarga raja Kan-tuo-li adalah Qu-tam, adalah sama dengan raja Chih-tu :
Sui Dynasty,
"The predecessor of Chi-tu (Tanah Merah) might be Kan-tuo-li (干陀利). According to the Liang-shu, the king’s family name of Kan-tuo-li is Qu-tam (瞿曇), same as of Chi-tu’s king."
Ini menunjukkan bahawa Maharaja Chudam juga dikenal dengan nama sampingan Srivijaya yang memerintah kerajaan Chih-tu yang diasaskan Kedah (Kan-tou-li/Kan-da-li/Cheh cha).
Boleh jadi kerajaan Srivijaya mendapat namanya dari nama peribadi atau sampingan Maharaja Chu-dam yang sebelumnya memerintah kerajaan Chih-tu kerana kerajaan itu saja yang mampu membentuk konfederasi bersama kerajaan lain di rantau ini dibawah kesatuan kerajaan baru Srivijaya kerana merupakan kerajaan paling berprestij di rantau ini hingga diiktiraf oleh dinasti Sui.
Bagi mengukuhkan penguasaan ke atas laluan maritim di Asia Tenggara untuk menguasai perdagangan dari Barat, Arab dan India, kerajaan Chih-tu mula menjalin kerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain di sebelah selatan iaitu Sumatera dan Pulau Jawa melalui sistem 'federation'.

Dengan itu semua kerajaan dan tanah di Asia Tenggara bergabung dibawah satu empayar dengan bernaung di bawah raja-raja Melayu melalui kerajaan baru iaitu Srivijaya, untuk bersama-sama menyertai perdagangan maritim yang dibuka oleh Srivijaya.

Ini kerana Srivijaya bukan kerajaan yang berkonsep imperialisme seperti Barat. Tetapi mempraktikkan konsep 'perdagangan maritim', tanpa di atas penguasaan tentera dan peperangan tetapi lebih kepada hegemoni perdagangan dan prestij.
Mulai abad ke 7 hingga 13 masehi, Srivijaya mempunyai lima belas (15) negeri konfederasi dengan wilayah yang mengitari dari selatan Thailand hingga ke Sumatera dan pulau Jawa :
Dinasti Song (960-1279M);
"Di laut selatan (merujuk Asia Tenggara) sebuah kerajaan bangsa liar dikenal dengan nama Kerajaan San-fo-tsi (Srivijaya). Ia memerintah 15 macam negeri. Letak San-fo-tsi ada di antara Chenla dan Shepo."
Para sejarawan mendapati Chenla adalah kerajaan Khmer yang menduduki Chaiya atau Grahi selatan Thailand pada tahun 745M yang merupakan wilayah Srivijaya. Sementara Shepo dipercayai kerajaan Moloyu di Sumatera.
Sumber rekod China dalam Ling-wai-tai-ta dan Chu-fan-chi juga mengesahkan Grahi sebagai Kia-lo-hi (Kedah) adalah satu dari lima belas (15) negeri dalam wilayah kerajaan Srivijaya.
Namun Srivijaya telah mendirikan kerajaan lebih dulu dengan pertama kali mengirim utusan ke China pada tahun 670M, iaitu sebelum Sumatera dan Pulau Jawa menjadi bahagian dari 15 negeri konfederasi Srivijaya pada tahun 683M seperti catatan prasasti Kedukaan Bukit di Palembang dan prasasti Kota Kapur di pulau Jawa pada tahun 686M.
Catatan seorang Rahib dari China, i-tsing dalam tulisan perjalanannya di tahun 671M telah singgah di negeri Srivijaya setelah belayar dari Canton sekitar 20 hari dan negeri Srivijaya saat itu tidak bertempat di Sumatera kerana i-tsing harus belayar semula menuju ke negeri Moloyu (Sumatera).
Bukti juga diperoleh dari sumber rekod China yang mengesahkan bahawa Palembang dan Jambi adalah bahagian dari lima belas (15) negeri konfederasi Srivijaya :
- Catatan King Wai Tai Ta yang mencatat Palembang adalah wilayah jajahan San Fo Tsi (Srivijaya).
- Menurut Zhu-yuan-Zhi (Rekod Negara Babar) yang ditulis oleh Chau-Ju-ka (1225M), Palembang adalah salah satu daripada 15 jajahan San-fo-chi (Srivijaya) dan bukan San-fo-chi sendiri.
Maka tidak heran jika Palembang dan Jambi yang dikatakan pusat pemerintahan Srivijaya oleh ahli sejarah asing dari Perancis, Georges Coedès pada tahun 1920 dan dipersetujui beberapa sejarawan, tidak meninggalkan sebarang tanda sebuah tamadun manusia, melainkan hanya terdapat beberapa buah candi.
Palembang dan Jambi tidak pernah disebut dalam mana-mana catatan para pedagang luar negara sebagai kota pelabuhan kerana sebelum abad ke 7 masehi hubungan perdagangan antara China, India dan Arab dengan Sumatera tidak begitu maju.
Sebaliknya Kedah yang terletak diutara Malaysia masih menyimpan ruins kota pemerintahan dan kota perdagangan Srivijaya yang berpusat di Sungai Batu, kini diiktiraf oleh para ahli arkeologi luar negara dari lima tamadun besar dunia sebagai kota tamadun manusia tertua di Asia Tenggara!
Kedah yang terkenal dengan kota pelabuhan entrepot di Sungai Batu sering dicatat oleh para pedagang dan pengembara dari Arab, India dan China sejak dari abad ke 3 masehi lagi.
Malah dalam daerah Lembah Bujang di Kedah, masih terdapat banyak ruins candi Budha dan Hindu yang pernah digunakan oleh para pedagang dari China dan India sebagai penginapan ketika datang berdagang di pelabuhan Srivijaya sejak dari 4 masehi.
Di abad ke 9 masehi ketika Maharaja Balaputra pulang ke Kedah setelah kemangkatan ayahanda nya Maharaja Samaratunga di pulau Jawa pada tahun 850M, Kedah tetap disebut dalam rekod China sebagai 'San-fo-chi' iaitu Srivijaya.
Sehingga abad ke 11 masehi Kedah masih merupakan ibu kota pemerintahan Srivijaya, yang dibuktikan sumber rekod di India :
- Catatan pada prasasti Kepingan Leiden Besar tahun 1006 Masehi yang mencatat pengiktirafan kerajaan Chola iaitu Raja Rajaraja I kepada pemerintah Srivijaya, Maharaja Chulamanivarman yang disebut sebagai "Pemerintah Srivijaya yang menjalankan pemerintahan di Kedah" dengan gelar "Makara Dhvaja" diberikan kepada Maharaja Srivijaya sebagai penguasa laluan maritim.
Malah, Prastasi Tanjore di India yang mencatat peristiwa penyerangan ke atas Kedah oleh kerajaan Chola dibawah pemerintahan raja Rajendra Chola 1 pada tahun 1025M, juga mengesahkan ibu kota pemerintahan Sriwijaya di Kadaram iaitu Kedah.

Copy and paste:
17 Julai 2023 > 28 Zulhijjah 1444H: 4.58 pm