ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 16 June 2023

Kehidupan dan Kematian

Sumber: Twitter > Santapan Minda

Kehidupan di dunia adalah persinggahan sementara. Kehidupan di dunia bertujuan mencari bekal menuju akhirat yang abadi. Kematian pula sebuah permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk ayat kedua;


الَّذِيْ خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيٰوةَ لِيَبْلُوَكُمْ اَيُّكُمْ اَحْسَنُ عَمَلًاۗ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْغَفُوْرُۙ

“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” 

Quraisy Syihab menukilkan tentang kehidupan di dunia ibarat seorang musafir yang beristirehat sejenak, apakah di bawah pohon yang rendang atau langit di bawah teriknya panas atau curahan hujan, namun yang pasti perjalanan tetap diteruskan, detik demi detik berganti sampai akhirnya suka atau tidak suka detik hidup kita di dunia pasti berakhir. Ada dalam kalangan manusia yang mengimpikan kehidupan yang serba mewah di dunia. Gaji besar, rumah besar, kereta besar dan banyak lagi. 

Gambaran kebahagiaan itu diterjemah hanya semata-mata kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Ada pula yang mengumpul saham untuk meraih kebahagiaan hakiki di akhirat kelak. Dunia cuma tempat tumpangan buat sementara. Mereka hidup serba sederhana, tidak terlalu bermewah tidak pula terlalu kikir. Keyakinan terhadap ganjaran besar di akhirat mematikan angan-angan untuk mengejar dunia semata. Menyimpan hasrat serta impian untuk meninggalkan dunia dalam keadaan ‘syahid’ dan diredhaiNya. 

Menurut al-Raghib al-Isfahâniy; “kematian merupakan proses menuju tangga keabadian, perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain; kematian juga merupakan kelahiran baru bagi manusia. Manusia mencapai kesempurnaan hidupnya ketika berpindah dari satu tempat ke tempat lain, untuk mencapainya manusia harus mengalami kematian terlebih dahulu kerana kematian adalah pintu untuk menuju keabadian.” 

Apakah sudah cukup bekalan amalan kita? Sudahkah kita bersedia dijemput ke negeri abadi? 

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة


Copy and paste: 16 Jun 2023 > 27 Zulkaedah 1444H: 8.12 am

No comments:

Post a Comment