ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 7 May 2023

PERANG UHUD: PEPERANGAN YANG PENUH PENGAJARAN

Posted by : Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH

Apakah peristiwa yang berlaku dalam perang Uhud? Perang Uhud ini merupakan perang kedua dalam sejarah Islam selepas perang Badar. Perang Badar merupakan perang yang pertama. Jarak antara dua peperangan ini pun tidak jauh, hanya setahun sahaja. Perang Badar berlaku pada tahun 624 masihi, manakala Perang Uhud pula berlaku pada tahun 625 masihi.
Kenapa berlakunya Perang Uhud ini?
> Abu Sufyan dan kaum Quraisy yang lain nak balas dendam terhadap kaum muslimin sebab mereka kalah pada Perang Badar.
> Mereka dengki dengan perkembangan Islam di Madinah.
> Untuk menghapuskan dominasi dan pengaruh Nabi Muhammad di Madinah.
> Untuk melindungi jalan perdagangan kafilah Abu Sufyan. Tidak mahu orang Islam di Madinah kacau bisnesnya.
Kaum Quraisy ini datangnya dari Mekkah. Diketuai oleh Abu Sufyan Bin Harb. Tenteranya seramai 3,000 orang. Abu Sufyan naik menjadi ketua menggantikan Amr Ibn Hisham yang telah mati dalam Perang Badar.
Mereka bergerak dari Mekkah ke Madinah untuk serang orang Islam. Disebabkan itu, orang Islam pun bergerak ke Mekkah. Akhirnya, mereka bertembung di Bukit Uhud. Sebab itulah nama perang ini dinamakan Perang Uhud. Mereka berperang di situ.
Orang Islam hanya 700 orang sahaja untuk lawan kaum Quraisy sebanyak 3,000 tadi. Rasulullah ada strategi. Baginda bahagikan, satu pasukan sayap kiri, dan satu pasukan sayap kanan. Satu lagi, 50 pemanah yang handal berada di atas Bukit Uhud. Rasulullah berkata kepada pemanah-pemanah ini, jangan tinggalkan posisi walau apa pun yang terjadi. Rasulullah berkata kepada mereka begini:
“Lindungi belakang kita. Kita takut mereka akan datang dari belakang kita. Tetaplah di tempat-tempat kamu. Jangan meninggalkannya. Sekiranya kamu lihat kami mengalahkan mereka, jangan tinggalkan tempat-tempat kamu itu sehingga kami sampai ke kem mereka. Sekiranya kamu lihat kami dibunuh, jangan cuba menolong atau mempertahankan kami. Tugas kamu ialah memanah kuda-kuda mereka. Kuda-kuda itu tidak akan bergerak ke hadapan sekiranya mereka dipanah.”
Pemanah-pemanah ini juga tidak boleh memulakan peperangan kecuali Rasulullah sudah arahkan sedemikian. Kaum Quraisy pun dah sampai. Di sayap kanan mereka ada Khalid Bin al-Walid yang mengetuai tentera berkuda. Sayap kiri mereka pula ada Ikrimah Bin Abi Jahal. Panji-panji pula dibawa oleh Talhah di bahagian tengah. Wanita-wanita Quraisy pun ada. Mereka menyanyikan lagu patriotik untuk membakar semangat tentera-tenteranya. Mereka juga berpakaian yang menjolok mata dan berhias dengan emas. Manakala, wanita-wanita Islam pula hanya bawa air untuk hilangkan dahaga para mujahidin.
Ketika Peperangan
Mulanya peperangan.
Tentera Quraisy cuba untuk mengkucar-kacirkan keseimbangan barisan tentera Islam di sebelah kiri, tetapi gagal. Hamzah Bin Abdul Mutalib, singa perang mara untuk memecahkan keseimbangan barisan tentera Quraisy. Beliau digelar singa perang kerana telah banyak membunuh bangsawan Quraisy ketika dalam Perang Badar.
Tentera Islam semakin menang. Tentera Quraisy ramai yang mengundurkan diri. Nampak gayanya kemenangan cenderung kepada orang Islam.
Orang yang memanah dari atas Bukit Uhud tidak akur dengan arahan Rasulullah. Mereka sangkakan peperangan sudah habis dan mereka telah menang. Mereka pun tinggalkan posisi mereka. Kecuali ada sedikit yang kekal di atas Bukit Uhud.
Khalid al-Walid, seorang tentera yang bijak mengatur strategi, dia membawa sekumpulan tentera berkuda untuk serang Bukit Uhud. Dia pun berteriak kepada kaum Quraisy bahawa dia berjaya memecahkan tembok orang Islam. Maka, yang lain (yang undur tadi) pun mara. Orang Islam berputus asa. Sampaikan ada yang kata Rasulullah telah wafat sedangkan tidak.
Rasulullah pun bangkit dan bagi arahan supaya teruskan berperang. Sekatkan kemaraan orang Quraisy. Umar al-Khattab ketika itu yang mengundurkan tentera Quraisy. Akhirnya, habis begitu. Kaum Quraisy pun balik. Peperangan berpihak kepada mereka. Terlalu banyak kerosakan yang berlaku pada pihak orang Islam.
Pengajaran
Jangan pilih kesenangan dunia. Dan Jangan ingat, ketika kita ‘nampak’ macam menang itu betul-betul kita sudah menang. Jangan. Biarlah adanya kebenaran yang diyakini benar, barulah kita bergerak. Jangan tertipu dengan bayangan. Jangan tertipu dengan ilustrasi. Hiduplah di dunia yang realiti.
Kalau kita benar-benar beriman dengan Rasulullah, dengarlah kata-katanya tanpa berdolak-dalih. Jangan sedikit pun cuba untuk melonggarkan premis. Jangan sedikit pun cuba untuk mencari alasan lain. Dengarlah dan taatlah. Moga-moga kita mendapat syafaatnya.
Rujukan
1. Tahia al-Ismail. Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.
Sumber artikel : AkuMuslim

Copy and paste:
7/5/2023 > 16 Syawal 1444H: 10.41 am

No comments:

Post a Comment