ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 17 May 2023

HINDUN BINTI UTBAH: BIODATA & KISAH HIDUPNYA

Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Hindun Binti Utbah, pahlawan wanita di masa Jahiliyah dan Islam. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabiat yang lantang membela Islam di medan perang.
Siapakah Hindun Binti Utbah?
Hindun Binti Utbah merupakan salah seorang sahabiat yang berasal dari Bani Umayyah. Ayahnya ialah Utbah bin Rabi’ah bin Abdi Syams bin Abdi Manaf al-Umawiyah al-Qurasyiyah. Manakala ibunya bernama Shafiyyah Binti Umayyah bin Haritsah bin al-Auqashi bin Murrah bin Hilal bin Falih bin Dzikwan bin Tsa’labah bin Bahtan bin Salim.
Hindun merupakan isteri kepada Abu Sufyan bin Harb dan ibu kepada Muawiyah bin Abu Sufyan, pengasas kepada Daulah Umawiyah. Sebelum berkahwin dengan Abu Sufyan, ayahnya menikahkan beliau dengan Fakihah bin Mughirah al-Makhzumi dan beliau melahirkan dua orang anak sebelum bercerai.
Peribadi Hindun Binti Utbah
Hindun merupakan seorang wanita yang mempunyai sifat yang luhur di antara wanita-wanita Arab. Beliau dikenali sebagai wanita yang fasih bicaranya, pemberani, kuat, berjiwa besar, bijak, seorang pemikir, penyair dan sentiasa mengangkat kemuliaan dirinya serta nasabnya. Dalam menggambarkan keperibadian Hindun, anaknya Muawiyah berkata, “Ibuku adalah wanita yang sangat berbahaya di masa Jahiliyah dan di dalam Islam menjadi seorang wanita yang mulia dan baik”.
Pemakan Jantung Singa Allah
Dalam Perang Badar, ayah Hindun, Utbah bin Rabi’ah bersama bapa saudaranya, Syaibah bin Rabi’ah serta saudara lelakinya al-Walid bin Utbah telah dibunuh oleh kaum muslimin. Rentetan peristiwa tersebut, Hindun menyimpan dendam kesumat terhadap kaum muslimin. Dalam Perang Uhud, suaminya Abu Sufyan telah dilantik sebagai salah seorang panglima Quraisy. Hindun menyertai peperangan tersebut bersama suaminya dan berperanan besar dalam memberi semangat juang kepada orang-orang Quraisy melalui syairnya yang lantang.
Dalam Perang Uhud juga, Hindun telah memerintahkan hambanya al-Wahsyi bin Harb untuk membunuh bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar sebagai Singa Allah. Apabila Hamzah telah gugur syahid dibunuh oleh al-Wahsyi, Hindun melempiaskan dendamnya dengan memotong hidung dan kedua telinganya, kemudian merobek perutnya, serta mengambil jantungnya lalu mengunyahnya, kemudian meludahnya kembali kerana tidak dapat menelannya. Kemudian, beliau berlari ke atas bukit dan bersyair menyatakan rasa puasnya kerana dapat membalas dendam terhadap kaum muslimin atas kematian keluarganya dalam Perang Badar.
Kisah Pengislaman Hindun Binti Utbah
Hindun memeluk Islam pada hari kedua pembukaan Kota Mekah. Beliau memeluk Islam lebih lambat daripada suaminya, Abu Sufyan. Ketika menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam, Abu Sufyan bertanya tentang perkara yang mengubah kebenciannya terhadap Rasulullah SAW. Kemudian Hindu berkata, “Aku belum pernah melihat Allah disembah dengan sebenar-benarnya di dalam masjid sepertimana yang aku lihat kemarin, aku melihat orang-orang tidak melakukan selain solat dengan berdiri, rukuk dan bersujud”.
Kemudian, Abu Sufyan meminta Hindun membawa seorang lelaki dari kalangan kaumnya untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Hindun pergi menemui Uthman bin Affan dan kedua-duanya menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu bersama para sahabat dan kaum wanita yang ingin berbaiah kepada baginda. Hindun menutupi dirinya dengan cadar kerana khuatir Rasulullah SAW akan menangkapnya atas perbuatannya terhadap bapa saudara baginda.
Hindun kemudian menyatakan keislamannya kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menyambut kedatangannya dan seterusnya membacakan ayat al-Quran tentang kaum wanita. Baginda berpesan kepada mereka agar tidak menyekutukan Allah SWT dan tidak mencuri. Kemudian, Hindun bertanya, “Demi Allah, aku memakai harta kepunyaan Abu Sufyan kerana suatu keperluan, aku tidak tahu apakah itu halal atau tidak?”. Maka Rasulullah SAW bertanya, “Benarkah kau Hindun Binti Utbah?”. Hindun menjawab, “Benar, maka maafkanlah apa yang telah berlalu”.
Kemudian, Rasulullah SAW melanjutkan pesanan baginda kepada kaum wanita agar tidak berzina, tidak membunuh anak, tidak berdusta dan tidak menderhakai Rasulullah SAW atas perkara yang baik. Kemudian, baginda menyuruh Umar bin Khattab untuk membaiah para wanita termasuk Hindun dan meminta keampunan kepada mereka. Lalu, Hindun pulang ke rumahnya dan segera menghancurkan patung-patung berhala dengan sebuah kapak besar dan berkata, “Dahulu kami telah tertipu olehmu”. Demikianlah kisah perubahan seorang pahlawan wanita Jahiliyah kepada seorang pahlawan wanita Islam.
Perjuangan Hindun Binti Utbah Dalam Perang Yarmuk
Selepas memeluk Islam, Hindun menjadi seorang Muslimah yang rajin beribadah, solat pada malam hari dan berpuasa pula pada siang hari. Ketika Rasulullah SAW wafat, hatinya hancur kerana telah lama memusuhi baginda dan baru sahaja memeluk Islam. Namun, beliau sangat konsisten untuk menjaga ibadah dan janji setia yang telah diucapkan kepada Rasulullah SAW semasa memeluk Islam dahulu.
Pada zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, beliau telah menyertai kaum muslimin menentang tentera Rom dalam Perang Yarmuk. Dalam peperangan tersebut, Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa kaum wanita termasuk Hindun berteriak menghalau dan mengecam tentera muslimin yang mundur dari medan perang. Mendengar kecaman tersebut, tentera muslimin yang hampir melarikan diri kembali bertempur di medan perang serta membangkitkan semangat pasukan yang lain.
Hindun diiringi oleh wanita-wanita Muhajirin menuju ke barisan tentera sambil membawa pemukul tabuh membacakan syair-syair perjuangan yang pernah dibacanya semasa Perang Uhud. Apabila pasukan berkuda yang berada di sayap kanan tentera muslimin berpaling kerana desakan musuh, Hindun berteriak mengecam mereka agar tidak melarikan diri dari Allah SWT dan syurgaNya.
Melihat suaminya Abu Sufyan yang turut melarikan diri, beliau mengejarnya dengan kuda dan berkata, “Engkau ingin pergi kemana wahai putra Shakhr? Kembalilah ke medan perang! Berjuanglah habis-habisan agar engkau dapat menuntut kesalahan masa lalumu, saat engkau mengumpul kekuatan dan menghancurkan Rasulullah SAW!”. Zubair bin Awwam yang melihat kejadian tersebut berkata, “Ucapan Hindun kepada Abu Sufyan mengingatkanku kepada peristiwa Perang Uhud, saat kami berjuang di depan Rasulullah SAW”.
Wafatnya Hindun Binti Utbah
Setelah Hindun memberikan segala kemampuannya untuk membela Islam, beliau wafat pada zaman pemerintahan Umar bin Khattab. Diriwayatkan bahawa beliau wafat pada hari yang sama dengan wafatnya ayah Abu Bakar as-Siddiq, iaitu Abu Quhafah.
Dalil Yang Berkaitan Dengan Hindun Binti Utbah
عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ هِنْدَ بِنْتَ عُتْبَةَ، قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ، وَلَيْسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي، إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وَهْوَ لاَ يَعْلَمُ فَقَالَ ‏ “‏ خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ ‏
Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan bahawa Hindun Binti Utbah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Sesungguhnya Abu Sufian adalah seorang yang bakhil, dia tidak memberikan nafkah yang cukup untuk aku dan anak-anakku, kecuali harta yang telah aku ambil tanpa pengetahuannya. Apakah dalam hal ini aku akan menanggung dosa?”. Maka Rasulullah SAW pun bersabda, “Ambillah hartanya itu dengan cara yang baik, iaitu sekadar mencukupi untuk dirimu dan anak-anakmu”. (Hadith Riwayat Bukhari)
Hadith tersebut menjelaskan tentang keharusan seorang isteri mengambil duit sekadar untuk keperluan dirinya dan anaknya jika suaminya tidak memberi nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. Namun, perlu diingat bahawa jika suami memberikan nafkah yang secukupnya, maka tidak boleh mengambil duit tanpa izin daripada suami.
Hindun telah meriwayatkan beberapa hadith dari Rasulullah SAW. Selepas memeluk Islam, beliau mengerahkan seluruh tenaga dan jihadnya di jalan Allah SWT. Perjalanan hidup beliau mengajar kita agar tidak takut dan sentiasa berusaha untuk bertaubat kepada Allah Yang Maha Pengampun tidak kira betapa banyak dosa yang telah dilakukan. Siapa sangka pahlawan wanita Jahiliyah yang memusuhi Rasulullah SAW dengan amat dahsyat berubah menjadi pembela Islam yang lantang di medan perang.
Rujukan
1. Mahmud Mahdi Al-Istambuli & Musthafa Abu Nashr Asy-Syalabi. 2011. Mereka Adalah Para Shahabiyat. Indonesia: At-Tibyan.
2. The Companion. Hindun Binti Utbah: The Fighter In The Battle Of Yarmuk.
Sunnah.Com. Sahih al-Bukhari: Supporting The Family (Hadith 5364).
Sumber artikel : AkuMuslim
Copy and paste:
17/5/2023 > 26 Syawal 1444H: 6.44 pm