ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 12 May 2023

1 MEI HARI BURUH : Cuti hari pekerja cetusan dari peristiwa berdarah



MASTIKA > 1 MAY 2023
Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Pada tanggal 1 Mei. Cuti umum yang dikhaskan sempena Hari Buruh atau Hari Pekerja Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia.
Tahukah anda, bagaimana tarikh 1 Mei ini diiktiraf menjadi Hari Buruh?
Jika anda rasa Hari Buruh adalah hari untuk meraikan pekerja, anda silap. Maksud ‘hari pekerja’ itu sebenarnya adalah untuk memperingati pengorbanan berdarah golongan ahli kesatuan pekerja yang terkorban, demi untuk menuntut waktu bekerja hanya selama lapan jam sehari.
Pada tahun 1880-an, ekonomi Amerika ketika itu berkembang pesat, namun ia dikawal sepenuhnya oleh golongan kapitalis. Kerajaan pusat tiada kuasa untuk menguasai dan mengawal ekonomi.
Ketika itu, syarikat-syarikat besar akan memaksa para pekerja kilang untuk bekerja antara 12 hingga 16 jam sehari, tanpa cuti. Ya, tiada cuti langsung. Tenaga mereka dikerah setiap hari, tanpa henti. Bukan hanya orang dewasa, malah golongan kanak-kanak juga dipaksa untuk bekerja. Disebabkan itu juga, ribuan pekerja baik lelaki, wanita dan kanak-kanak meninggal dunia akibat dikerah kerja sehingga 16 jam sehari.
Daripada keadaan yang menekan itu, golongan pekerja bawahan ini berjuang untuk satu idealogi, iaitu bekerja hanya lapan jam sehari atau prinsip ‘8 hours labor, 8 hours recreation, 8 hours rest’.
Untuk menjayakan rancangan itu, mereka melakukan perarakan jalanan dan mogok bagi memperjuangkan idea bekerja lapan jam sehari. Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka akan dipukul atau ditembak oleh polis.
Kemuncaknya ialah pada 3 hingga 4 Mei 1886, di mana berlakunya peristiwa berdarah Haymarket.
Ketika itu, ribuan golongan pekerja melakukan demonstrasi jalanan di Haymarket Square di Chicago dan berlaku letupan yang membuat keadaan huru hara dengan pihak polis dan golongan pekerja saling berbalas serangan yang menyebabkan banyak kecederaan dan kematian.
Disebabkan itu juga, ramai pemimpin kesatuan pekerja ditangkap, dibicarakan dan ada yang dijatuhi hukuman bunuh.
Dua tahun selepas tragedi hitam itu, Persatuan Buruh Amerika akan berarak pada tarikh 1 Mei sebagai tanda memperingati insiden berdarah Haymarket. Pada hari itu, mereka hanya akan bekerja selama lapan jam saja sebagai tanda protes.
Dan tahun berikutnya, tarikh 1 Mei diiktiraf oleh ‘Second International’ (sebuah organisasi sosialis antarabangsa) sebagai Hari Pekerja (International Workers Day).
Pun begitu, nasib golongan pekerja bawahan di Amerika hanya terbela setelah Teddy Roosevelt menjadi presiden (1901-1909). Presiden itu menguatkuasakan arahan waktu bekerja lapan jam sehari, termasuk mengharamkan pekerja kanak-kanak.
Sejak itu, negara-negara lain mula menurut langkah tersebut dengan menjadikan 1 Mei (juga disebut sebagai May Day) sebagai cuti umum bagi memperingati perjuangan pekerja bawahan yang menuntut hak mereka sewaktu zaman revolusi industri berkembang di barat. Memasuki abad ke-19 Masihi, tarikh 1 Mei diiktiraf di seluruh dunia sebagai ‘Hari Pekerja Sedunia.
Malaysia turut mengiktiraf 1 Mei pada tahun 1972 apabila Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai cuti umum Hari Pekerja.
Begitulah kisah ringkas di sebalik peristiwa 1 Mei yang kita raikan sebagai Hari Buruh pada hari ini. Ingatlah, cuti yang kita nikmati pada tarikh ini adalah daripada perjuangan berdarah golongan pekerja buruh zaman dahulu yang ditindas oleh golongan kapitalis bagi mendapatkan tempoh waktu bekerja selama 8 jam sehari.
Jika tidak kerana perjuangan mereka, mungkin hari ini kita masih dikerah dan dipaksa bekerja 10 jam, 12 jam atau lebih daripada itu, tanpa ada cuti langsung apatah lagi bayaran tambahan dan hak pekerja tidak diendahkan langsung.
Selamat hari pekerja untuk anda semua.
___________
Sumber artikel : UtusanTV
Copy and paste:
12.5.2023 > 21 Syawal 1444H: 12.54 pm


No comments:

Post a Comment