ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 9 April 2023

KEKAYAAN HASIL BUMI KEDAH TUA MENURUT CATATAN ARAB

SUMBER: HASANUDDIN YUSOF OFFICIAL

Saya tidak mahu menyentuh tentang pengumuman Menteri Besar Kedah berkenaan penemuan hasil bumi Kedah yang bernilai tinggi. Apa yang saya mahu kongsikan ialah catatan pengembara-pengembara Arab abad ke-9 hingga abad ke-12 tentang kekayaan hasil bumi Kedah dan Semenanjung Tanah Melayu.
Abu Dhulaf al-Muhalhil mencatatkan dalam Risalatul ula seperti berikut:-
فخرجت على الساحل أريد كله....و وجدت بها معدناَ للرصاص القلعى, لا يكون إلا في قلعتها من سائر الدنيا
“Maka aku pun keluar menuju ke tepi laut dengan hasrat untuk ke Kalah (Kedah Tua).....Dan di sana aku dapati lombong timah qala’i yang tidak didapati di mana-mana tempat di dunia melainkan di kubu (Kedah Tua) itu.
Al-Mas’udi pula menulis dalam Muruj az-Zahab seperti berikut:-
و بين هذه الأمة و بين بلاد كلة جبال معادن الرصاص الأبيض و جبال من الفضة, و فيها أيضاَ معادن من الذهب, و رصاص لا يكاد يتميز منه.
"Antara penduduk di sini dan negeri Kedah terdapat gunung-gunung dan lombong-lombong bijih timah putih dan perak. Dan terdapat juga lombong emas. Dan timah-timah hampir tidak dapat dibezakan.”
Muhammad al-Idrisi menulis dalam Nuzhat al-Musytaq seperti berikut:-
و من جزيرة لنكبالوس إلى جزيرة كله خمسة أيام و هي جزيرة كبيرة يسكنها ملك يسمى جابة الهندي و بهذه جزيرة معدن الرصاص القلعي و هو بها كثير صافي الجوهر....
“Dan pelayaran dari Pulau Lankabalus ke Kedah Tua mengambil masa selama lima hari. Kedah Tua merupakan pulau yang besar yang dihuni oleh seorang raja yang dipanggil sebagai Jabah al-Hind. Di wilayah pulau tersebut terdapat lombong logam bijih timah dan juga terdapat banyak permata yang asli"
Ternyata Kedah memang kaya dengan hasil galian bumi dan kekayaannya telah disedari oleh orang-orang Arab selewat-lewatnya pada abad ke-9 Masihi.
Walau bagaimanapun, saya secara peribadi menyeru kerajaan negeri Kedah untuk memelihara hutan sekiranya benar sumber galian baru telah ditemui. Di zaman kerosakan alam sekitar ini, memelihara hutan lebih aula dari meneroka hasil bumi.
Di hari Jumaat yang mulia ini, mari kita renungkan kalamullah :-
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Ar Rum : 41)
Gambar lima tahun lalu di Padang Tok Syeikh Gunung Jerai bersama kekanda Cikgu Kuazmi
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Copy and paste:
9/4/2023 > 18 Ramadan 1444H: 5.00 pm

No comments:

Post a Comment