ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 2 April 2023

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-82 : RAMADHAN AWALNYA RAHMAT, PERTENGAHANNYA KEAMPUNAN DAN AKHIRNYA PELEPASAN DARI NERAKA.

SUMBER: PEJABAT MUFTI WP

Irsyad al-Hadith Siri ke-82: Ramadhan Awalnya Rahmat, Pertengahannya Keampunan Dan Akhirnya Pelepasan Dari Neraka.

Soalan:

Apakah status berkaitan hadith ini ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Matan Hadith

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Permulaan bulan Ramadhan membawa kerahmatan, pertengahannya keampunan dan kesudahannya pelepasan dari api neraka”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, no. Hadith 2815]

Hukum Hadith

  • Ibn Adiy: Padanya (sanad) terdapat Maslamah bin al-Salt dan dia tidak diketahui[Lihat: al-Kamil fi Dhu’afa’, 4/325]
  • Al-Khatib al-Baghdadi: Padanya (sanad) terdapat Salam bin Sulaiman dan dia seorang yang dhaif dalam hadith. [Lihat: Awham al-Jama’ wa al-Tafriq, 2/147]
  • Al-‘Uqailiy: Tiada asal baginya dan ia daripada al-Zuhri. [Lihat: al-Dhu’afa’ al-Kabir, 2/162]
  • Al-Hafiz Ibn Hajar: : Padanya (sanad) terdapat Maslamah bin al-Salt. Telah berkata Ibn ‘Adiy bahawa dia (Maslamah) tidak diketahui[Lihat: Mizan al-I’tidal, 8/59]
  • Al-Albani: Hadith ini adalah Dhaif Jiddan (teramat lemah) [Lihat: Dhaif al-Jami’, 1/135] dan di dalam silsilahnya beliau menghukum hadith ini sebagai Munkar[Lihat: Silsilah al-Dha’ifah, 2/263]

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah teramat lemah tetapi ia boleh diamalkan di dalam al-fadhail. Ini kerana, bulan Ramadhan kesemuanya adalah rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka.

Maksud Hadith

Mafhum daripada hadith ini, ia jelas menunjukkan kerahmatan diperolehi dengan tibanya bulan Ramadhan. Hal ini, dapat disaksikan dengan pelbagai bentuk limpahan rahmat dan rezeki yang diperolehi dan dirasai oleh umat Islam. Begitu juga apabila mereka menekuni ibadat dengan bersungguh-sungguh sudah pasti mereka diberi keampunan Allah SWT yang akhirnya melayakkan seseorang itu terselamat dari api neraka.

Penutup

Kesimpulannya, bulan Ramadhan adalah bulan rahmat, pengampunan serta pembebasan dari api Neraka. Untuk itu, sepatutnya kita sebagai umat Islam perlulah bersungguh-sungguh apabila berada di dalam bulan ini dan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang mendapat rahmat, pengampunan serta pembebasan dari api neraka.

 Irsyad al-Hadith

Copy and paste: 2/4/2023: 11 Ramadan 1444H: 2.51 pm


No comments:

Post a Comment