ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 21 February 2023

OLD, ANTIQUE BIRD'S-EYE VIEW PLAN OF MALACCA

POSTED BY EDDY EZWAN > FB PERISTIWA N' SEJARAH
10 DECEMBER 2022

AHLI SEJARAH BERBICARA:
RENUNGAN DAN RUMUSAN OLEH SITI Nor AISYAH NGADIRIN (PELAJAR PHD RZS-CASIS)
Bagi sesi ketiga ini, Prof Dr. Tatiana Denisova telah membincangkan bahagian II buku ini yang diberi tajuk ‘Melaka’, iaitu tajuk yang disenaraikan dalam bahagian II katalog Koleksi John Bastin. Terdapat sebanyak 126 buah penerbitan dalam koleksi ini. Merujuk kepada penerbitan yang terawal iaitu pada tahun 1726, yang ditulis oleh seorang tokoh Reformasi gereja Belanda, Francios Valentijn Beschrijving van Malakka (Penggambaran Melaka), buku ini mengandungi maklumat tentang geografi, orang Melayu dan bahasa Melayu. Manakala penerbitan terakhir iaitu pada tahun 1993 menunjukkan bahawa koleksi ini mengandungi bahan-bahan yang diterbitkan dalam tempoh 267 tahun iaitu suatu tempoh yang lama bagi sesuatu subjek. Hal ini membuktikan bahawa Melaka adalah subjek kajian yang sangat penting dan sejarah mengenainya menarik perhatian banyak orientalis, pegawai Kompeni Inggeris dan Belanda serta para misionari Kristian sejak kurun ke-18 sehingga 20. Antara pengarang yang terkenal termasuklah W. P. Groeneveldt, E. Netscher, Lord Yoselyn, Francios Valentijn, William John Townsend dan lain-lain.

OLD, ANTIQUE BIRD'S-EYE VIEW PLAN OF MALACCA
by François Valentyn (Valentijn).

Prof Tatiana mengklasifikasikan sumber-sumber mengenai Melaka kepada beberapa bahagian utama iaitu klasifikasi mengikut tempoh tahun penerbitan, pengarang, isi dan subjek utama yang terdapat dalam koleksi tersebut. Bagi klasifikasi mengikut tahun penerbitan,beliau merumuskan sumber mengikut tempoh tahun tertentu yang bermula daripada awal abad ke-18 iaitu merujuk kepada penerbitan terawal pada tahun 1726 sehingga tahun 1800. Kemudian diikuti tahun berikutnya iaitu tahun 1800 – 1850, 1851 – 1900, 1901 – 1930, 1931 – 1960, dan 1961 – 1993.
Manakala klasifikasi sumber mengikut pengarang pula dikhususkan kepada pengarang-pengarang tertentu mengikut bidang kepakaran masing-masing dan jumlah penerbitan mereka. Antaranya termasuklah Sir Richard O. Winstedt (1878 – 1966) yang merupakan seorang ilmuan Inggeris, orientalis, sejarawan dan pegawai pentadbiran penjajahan Inggeris di Malaya. Begitu juga dengan J. V. Mills (pakar dalam bidang toponimi dan kartografi zaman purba), C. O. Blagden (ilmuan Inggeris, orientalis, pakar dalam bidang Bahasa dan sastera lamaMelayu) dan lain-lain. Selain itu tidak kurang juga pengarang bagi golongan misionari dan tokoh agama Kristian yang turut terkandung dalam katalog Koleksi John Bastin seperti G. E. Marrison (1782 – 1834), Francios Valentijn (1666 – 1727), Revd. John Smith, T. J. Hardy dan lain-lain. Malah terdapat juga sumber-sumber dalam koleksi John Bastin yang mengkaji sejarah kegiatan para misionari tersebut dan penyebaran agama Kristian di alam Melayu seperti B. Harrison, M. J. Pintado, W. J. Townsend dan lain-lain.
Selain itu Prof Tatiana turut memberi penekanan tentang kecenderungan John Bastin yang banyak merujuk kepada sumber-sumber Eropah sahaja. Hal ini adalah berdasarkan kebanyakan judul-judul yang terkandung dalam koleksi John Bastin ini mengandungi bahan-bahan tentang orang Eropah di Melaka dan tentang zaman penjajahan dari sudut pandangan para penjajah sahaja. Begitu juga dengan penerbitan ilmiah moden yang juga berdasarkan sumber-sumber Eropah sahaja. Malah antara 126 judul buku-buku tentang Melaka yang disebutkan dalam katalog ini hanya terdapat 10 buku yang dikarang oleh orang Cina dan 3 tajuk yang dikarang oleh pengarang Muslim.Kenyataan ini selari dengan bahagian 1 koleksi ini yang mencatatkan nisbah penerbitan yang dikarang oleh orang Muslim hanya 7 karya sahaja berbanding 60 penerbitan yang terdapat dalam bahagian tersebut. Perkara ini juga menurut Prof Tatiana merupakan situasi yang sama terdapat dalam kajian para orientalis Barat secara umum. Malah menurut Prof lagi, karya tentang tamadun Islam di Melaka dan zaman kerajaan Melayu Melaka juga tidak ditemui dalam koleksi John Bastin tersebut.
Seterusnya semua penerbitan ini juga diklasifikasikan berdasarkan subjek-subjek tertentu seperti sejarah, agama, penduduk Melaka, tamadun sastera, bahasa dan lain-lain. Walaubagaimanapun kebanyakan buku-buku yang ada itu adalah mengenai orang Eropah di Melaka (72 judul daripada 120), mengenai agama Kristian dan kegiatan para mubaligh Kristian di Melaka (28 judul). Manakala bagi penulisan tentang orang Muslim Melayu pula hanya terdapat satu makalah kecil sahaja mengenainya dan hanya 8 judul sahaja tentang zaman kerajaan Melayu Melaka. Justeru Prof menekankan sekali lagi tentang kecenderungan John Bastin yang lebih berminat mengkaji sejarah Melaka selepas kedatangan orang Eropah dan kurang berminat dengan zaman kesultanan Melayu Islam Melaka. Begitu juga dengan buku-buku yang membincangkan kegiatan mubaligh Kristian berbanding perhatian kepada penyebaran agama Islam di alam Melayu.
Buku-buku mengenai orang Eropah di Melaka menggambarkan period utama dalam sejarah penjajahan alam Melayu iaitu zaman Portugis, Belanda dan Inggeris.Walaubagaimanapun bagi siri ke-3 ini, Prof Tatiana hanya menumpukan ke atas sumber-sumber mengenai Melaka pada zaman Portugis sahaja. Antara pengarang yang diberi penekanan oleh beliau termasuklah Fernand Mendes Pinto,seorang saudagar, pengembara dan askar Portugis sebelum beliau menjadi pengikut Orden Jesus di bawah pengaruh Francis Xavier.

Catatan pengembara beliau ke Timur Jauh yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1614 kemudiannya telah dicetak sekitar 100 kali sehingga kurun ke-20. Karangan tersebut yang mengandungi kisah penaklukan Portugis dianggap sebagai salah satu buku yang amat popular di Eropah ketika itu. Catatan tersebut menurut Prof Tatiana dapat membantu kita dalam memahami sejarah Melaka selepas kedatangan orang Portugis dan keadaan ekonomi di Melaka ketika itu.
Selain itu, Padre Manuel Gadinho dalam bukunya, Eredia’s Description of Malacca, Meridional India and Cathay, merupakan sumber sejarah yang amat menarik. Beliau menumpukan perhatian kepada kegiatan para mubaligh dan masyarakat Kristian Katolik di Melaka. Menurut beliau lagi, penduduk tempatan yang masuk agama Kristian kebanyakannya adalah orang Chelis (India). Namun terdapat satu kenyataan beliau mengenai orang Melayu Melaka yang dikatakan minum wine dan makan babi walaupun menganggap diri sebagai seorang Muslim.
Walaubagaimanapun menurut Prof Tatiana, terdapat keraguan pada kenyataan tersebut. Ini kerana menurut data-data sejarah yang lain tidak ramai orang Melayu Muslim tinggal di Melaka ketika itu kerana takut dibunuh oleh orang-orang Portugis selepas Melaka dirampas oleh D’Albuquerque.

Malah catatan kenangan Alfonso D’Albuquerque juga turut disimpan dalam koleksi John Bastin dalam kisah peribadi (memoirs dan memorials) bersama-sama dengan catatan-catatan kenangan lain seperti Tome Pires dan Baretto de Resende. Catatan tersebut yang diterbitkan oleh Hakluyt Society, dianggap dalam tradisi ilmiah Barat sebagai sumber sejarah yang utama mengenai Melaka dan alam Melayu pada kurun ke-16 hingga 18. Buku tersebut menurut Prof Tatiana bukan sahaja mengandungi catatan D’Albuquerque,malah terdapat juga ulasan dan prasangka pengarang moden yang kebanyakannya bersikap negatif terhadap Islam. Antara sebabnya ialah para sarjana tersebut dipengaruhi oleh pendapat-pendapat anti-Islam yang terdapat dalam karangan-karangan yang terdahulu.

Manakala menurut data-data lain daripada pelbagai sumber sejarah sezaman D’Albuquerque, beliau dikatakan seorang musuh Islam dan penakluk yang amat ganas. Baliau bukan sahaja mengarahkan penyembelihan semua penduduk Muslim di Melaka malah beberapa kali merampas bandar-bandar di Timur Tengah dan merancang untuk mencuri badan Nabi Muhammad s.a.w. Malah terdapat juga catatan beliau yang menyebutkan bahawa ketika beliau sedang menyiapkan pasukan tenteranya untuk menyerang Kota Mekah, beliau terpaksa menghentikan persiapan tersebut atas arahan Raja Portugis dan segera berangkat ke Melaka untuk menyerang Melaka.

Di sini, Prof Tatiana menegaskan bahawa perampasan Melaka dianggap oleh Raja Portugis sebagai tugas yang sama pentingnya dengan serangan Mekah dan Madinah. Demikian Melaka pada masa itu dikatakan ‘menyelamatkan’ Mekah daripada serangan Portugis.

Walaubagaimanapun dalam karya E. Sanceau, Indies adventurer the amazing career of Alfonso de Albuquerque captain-general and governor of India (1509 – 1515) tidak disebutkan sifat keganasan dan ketidakadilan orang Portugis di alam Melayu. Ini kerana menurut Prof Tatiana karya tersebut mengandungi unsur-unsur konsep sejarah yang terkenal iaitu Konsep Zaman Pembukaan Dunia yang Agung (The Age of Discovery or Age of Exploration) yang lebih bersifat euro-centrism. Malah berdasarkan analisis koleksi ini juga, menunjukkan bahawa John Bastin mungkin turut dipengaruhi oleh konsep sejarah tersebut. Ini kerana semua bahan-bahan dalam koleksi beliau hanya mencerminkan sudut pandangan historiografi Eropah dan tiada pandangan lain yang dijumpai.
Seterusnya konsep serta prasangka yang sama juga terdapat dalam pelbagai karya moden (yang dikarang pada kurun ke-20) yang disimpan dalam Koleksi John Bastin. Misalnya dalam monograf Boxer C. R.beliau mengatakan bahawa para pelaut Portugis dan Sepanyol “membuka negara-negara baru, menyatukan dunia, membawa peradaban dan kemajuan ke dalam negara-negara biadab (primitif), menyebarkan cahaya agama yang tulen di antara orang primitif yang dikelirukan oleh para mubaligh dan nabi yang palsu”.

Manakala persengketaan antara orang Portugis dengan orang Muslim pula ada dimaklumkan dalam buku A. Silva Rego, Portuguese Colonization in the Sixteenth Century: A Study of the Royal Ordinances (Regimentos). Di sini beliau menyatakan terdapat maklumat bahawa orang Portugis merampas harta orang Muslim dan memaksa mereka lari dari rumah dan tanah air. Namun berbeza halnya dengan layanan Raja Portugal ke atas orang Hindu yang mana mereka dikekalkan hak sebagai pemilik harta dan tanah mereka. Malah situasi serupa turut berlaku di India dan orang Hindu juga diminta bekerjasama dengan Portugis dalam menentang orang Muslim. Ternyata orang Muslim dianggap sebagai musuh utama Portugis.
Walaubagaimanapun Prof Tatiana menegaskan bahawa permusuhan Portugis ke atas orang Muslim bukanlah atas dasar agama tetapi lebih kepada bidang politik dan ekonomi. Ini kerana agama Islam dan agama Kristian mempunyai asal usul yang sama dan lebih dekat antara satu sama lain daripada agama Hindu. Kenyataan ini diperkuatkan lagi melalui kenyataan yang terdapat dalam makalah D. K. Basset, The Portuguese in Malaya, iaitu mengenai utusan Portugis, Diego Lopez de Sequiera pada tahun 1509 ke Melaka bagi menuntut hak-hak istimewa orang Portugis dalam perdagangan rempah ratus dan lain-lain. Tetapi tujuan kedatangan de Sequiera itu tidak diterima oleh Sultan Mahmud menyebabkan Portugis tekad untuk merampas Melaka. Ternyata tujuan utama para penakluk Portugis adalah kawalan ke atas perdagangan dan faedah-faedahnya; dan bukannya hal ehwal agama.
Manakala maklumat yang lebih lengkap mengenai zaman Portugis di India dan Asia Tenggara juga boleh didapati dalam buku R. S. Whiteway, The Rise of Portuguese Power in India 1497 – 1550. Menurut Whiteway, sejak kurun ke-15 Melaka menjadi terkenal sebagai pelabuhan dan pusat perdagangan antarabangsa yang mengawal perniagaan dan jalan-jalan perdagangan dari Ormuzh ke China dan India. Malah Melaka juga dianggap sebagai pusat Islam yang mempengaruhi kegiatan intelektual di negara-negara Islam di Asia Tenggara dan India. Selain itu berdasarkan catatan Portugis seperti Vasco da Gama dan lain-lain, orang Portugis didapati menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan data-data tentang jalan dan cara pelayaran ke Timur Jauh. Begitu juga dengan maklumat mengenai lanun-lanun Portugis dan Sepanyol yang merampas kapal-kapal para saudagar Muslim. Justeru itu lazimnya mereka bekerjasama dengan orang-orang yang berlainan agama dalam menentang orang-orang Muslim. Antaranya termasuklah menggunakan orang Yahudi sebagai penyiasat yang dihantar ke kawasan musuh untuk mengintip dan mengumpulkan data-data tentang negara-negara Muslim di Asia Barat, Asia Timur, Mesir, India, Parsi, Asia Tenggara dan lain-lain. Maklumat ini juga turut membuktikan lagi bahawa permusuhan dan sikap negatif terhadap Islam adalah diakibatkan daripada persaingan dalam bidang ekonomi dan perdagangan serta politik dan bukannya atas dasar agama.
Selain itu, terdapat juga banyak karya dalam Koleksi John Bastin yang menyebutkan mengenai sejarah penyebaran agama Kristian di alam Melayu pada kurun ke-16 hingga ke-18. Antaranya termasuk
lah buku-buku yang dikarang oleh para mubaligh Kristian sezaman serta pelbagai kajian moden mengenai kegiatan lembaga mubaligh, paderi-paderi dan pegawai-pegawai gereja Katolik dan Protestan, pusat-pusat pendidikan Kristian dan lain-lain. Ternyata karangan para mubaligh Portugis dan catatan peringatan para pegawai gereja Kristian sezaman dianggap oleh John Bastin sebagai sumber sejarah yang penting dalam memahami sejarah alam Melayu pada kurun tersebut.

SUMBER-SUMBER MENGENAI MELAKA PADA ZAMAN PORTUGIS [1726-1800] by shajar 233 | Mar 31, 2021 | Book Discussion, Sumber Historiografi Alam Melayu
BOOK CLUB “SUMBER HISTORIOGRAFI ALAM MELAYU (KOLEKSI PERIBADI JOHN BASTIN)” BERSAMA PROF Dr. TATIANA DENISOVA SESI KETIGA| 9hb FEBRUARI 2020 | ONLINE

COPY AND PASTE: 21/2/2023> 2 SYAABAN 1444H: 9.02 PM

No comments:

Post a Comment