ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 5 January 2023

Terimalah Qada’ Dan Qadar Allah Dengan Hati Yang Lapang.

SUMBER : ISLAM ITU INDAH

Terimalah Qada’ Dan Qadar Allah

Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Hadid, ayat 22:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya…

Tinta pena telah mengiring, lembaran-lembaran catatan ketentuan telah disimpan, setiap perkara telah diputuskan dan takdir telah ditetapkan. Maka…

….tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami…

(At-Taubah:51)

Apa yang membuat anda benar tidak akan membuat salah. Sebaliknya, apa yang membuat anda salah tidak akan membuat anda benar.

Jika keyakinan tersebut tertanam kuat pada jiwa anda dan kukuh bersemayam dalam hati anda, maka setiap bencana akan menjadi kurnia, setiap ujian menjadi anugerah dan setiap peristiwa menjadi penghargaan dan pahala.

Siapa yang dikehendaki Allah menjadi baik, nescaya Allah akan memberinya cubaan.

(Al-Hadis)

Kerana itu, jangan anda merasa gundah dan bersedih disebabkan suatu penyakit, kematian yang semakin dekat, kerugian harta, atau rumah terbakar. Betapa pun, sesungguhnya merupakan sesuatu yang telah Allah takdirkan dan semua yang telah menjadi takdir Allah pasti terjadi. Kita tidak mempunyai pilihan lain, selain menerima takdir itu, kerana Allah yang berhak menentukan. Dengan adanya cubaan, anda justeru mendapat pahala dan dosa, anda pun akan diampunkan. Maka, berbahagialah orang yang tertimpa musibah atas kesabaran dan kerelaan mereka terhadap Yang Maha Mengambil, Maha Pemberi, Maha Mengekang lagi Maha Lapang.

Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuatNya dan merekalah yang akan ditanya.

(Al-Anbiya:23)

Saraf-saraf anda akan tetap tegang, kegundahan jiwa anda tidak akan reda dan kecemasan di dada anda tidak akan pernah sirna sebelum anda benar-benar beriman terhadap qada’ dan qadar. Tinta pena telah mengering bersamaan dengan semua perkara yang akan anda temui. Maka, jangan biarkan diri anda larut dalam kesedihan, jangan mengira diri anda sanggup melakukan segala upaya untuk menahan tembok yang akan runtuh, membendung air yang akan meluap, menahan angin agar tidap bertiup, atau memelihara kaca agar tidak pecah. Adalah tidak benar apabila semua itu dapat terjadi dengan paksaanku dan paksaanmu, kerana apa yang telah digariskan akan terjadi, setiap ketentuan akan berjalan dan semua keputusan akan terlaksana.

…maka barang siapa yang ingin (beriman), hendaklah dia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir), biarkanlah dia kafir...

(Al-Kahfi:29)

Anda harus menyerahkan semua perkara kepada takdir agar tidak ditindas oleh bala tentera kebencian, penyesalan dan kebinasaan. Dan percayalah dengan kebenaran qada’ sebelum anda dilanda banjir penyesalan. Dengan begitu, jiwa anda akan tetap tenang menjalani segala daya upaya dan cara yang memang harus ditempuh. Dan apabila kemudian terjadi perkara-perkara yang tidak anda inginkan, maka itupun merupakan sebahagian dari ketentuan yang memang harus terjadi. Jangan pula anda berandai:

“Seandainya aku melakukan begini dan begini, nescaya akan begini dan begini.” Akan tetapi katakanlah:”Semua yang telah ditakdirkan dan dikehendaki Allah pasti terjadi.”

(Al-Hadis)

Copy and paste: 5/1/2023 : 12 Jamadilakhir 1444H: 

No comments:

Post a Comment