ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 5 December 2022

Laksamana Cheng Ho: Pengembara Lautan Agung Muslim


Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

September 26, 2019 By Moustapha Abbas

Antara asas awal kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka ialah hubungan diplomatik yang dijalin dengan China. Ini tercapai menerusi penerimaan rombongan China diketuai Laksamana Yin Ching dan kemudiannya di bawah pimpinan Laksamana Cheng Ho atau Zheng He. Cheng Ho bukan sekadar seorang pelayar yang hebat tetapi juga dianggap wira rakyat bagi rakyat China. Tetapi siapa Cheng Ho pada pandangan sejarah.
Latar belakang
Cheng Ho dilahirkan pada tahun 1371 di bandar Jinning, Yunnan. Nama sebenar beliau ialah Ma He yang menunjukkan asal-usulnya sebagai seorang Muslim dari etnik Hui memandangkan Ma merujuk kepada nama Muhammad dalam versi China.
Moyangnya Sayyid Ajjal Shams al-Din Omar merupakan Gabenor Yunnan semasa era awal pemerintahan Dinasti Yuan. Kedua-dua datuk dan bapanya memegang gelaran Hajji, sekaligus mendedahkan kedua-duanya pernah berangkat ke Baitullah untuk menunaikan fardu haji. Bapanya, Ma Hajji terus setia dengan Dinasti Yuan walaupun situasi menyaksikan pemberontak Ming sudah mula menguasai sebahagian besar China.
Pada musim luruh 1381, pihak Ming menyerang Yunnan yang ketika itu diperintah Putera Basalawarmi yang berdarah Mongol. Yunnan jatuh ke tangan pemberontak dengan Ma Hajji terbunuh di medan pertempuran. Pada tahun itu juga, Cheng Ho ditangkap dan dikasi semasa berusia 10 tahun agar boleh berkhidmat sebagai seorang sida di Beiping (kini Beijing).
Semasa di sinilah, beliau berkhidmat dalam isi rumah Putera Zhu Di yang juga bakal maharaja Yongle. Semasa di istana, beliau mencapai ketinggian 182 cm dan mempunyai suara yang kuat seperti loceng yang besar. Cheng Ho juga mahir berlawan dan taktik ketenteraan serta mengkaji Confucius dan Mencius. Ini menjadikannya sebagai orang kepercayaan utama baginda.
Zhu Di/Yongle
Selepas pengasas dinasti dan maharaja pertama Dinasti Ming, Hongwu mangkat pada tahun 1398, takhta diisi oleh cucundanya, Zhu Yunwen yang juga anak saudara Zhu Di. Bagaimanapun, itu mengundang rasa kurang senang baginda terhadap anak saudaranya yang kini bergelar Maharaja Jianwen.
Akibatnya, satu kempen dilancarkan pada tahun 1399 untuk menggulingkan Jianwen dengan Cheng Ho merupakan sebahagian daripada orang kepercayaannya. Menjelang tahun 1402, Zhu Di berjaya menakluk Nanjing dan berjaya menewaskan pasukan Jianwen sekaligus membolehkannya bergelar Maharaja Yongle.
Tidak diketahui apa nasib yang menimpa Jianwen di mana ada berpandangan baginda mati dalam kebakaran istana. Sementara satu lagi teori mengatakan Jianwen terselamat dan meneruskan kehidupan sebagai sami Buddha.
Bagi membalas jasa semua yang terlibat, mereka diberi anugerah termasuk Cheng Ho. Nama asalnya Ma He digantikan nama kehormat Zheng He dan beliau turut dikurniakan sebuah rumah besar di Nanjing. Tetapi harga penguasaan takhta Yongle amat mahal.
Bagi kebanyakan cendekiawan Confucius, apa yang dilakukannya itu salah kerana takhta hanya diwarisi oleh putera sulung raja dan keturunannya sedangkan Yongle merupakan putera keempat Hongwu. Ini menyebabkan baginda terus bergantung kepada kumpulan sida yang dipercayainya termasuk Cheng Ho sendiri.
Sedar satu-satunya cara untuk menunjukkan pemerintahannya diiktiraf ialah pengiktirafan dari pemerintah-pemerintah luar, maka Yongle mengadakan ekspedisi diplomatik ke negara-negara luar dan memberi kepercayaan kepada Cheng Ho mengetuainya.
Apabila pemerintah-pemerintah luar menghantar hadiah kepada maharaja-maharaja China, ia bertujuan untuk mendapatkan perlindungan atau kebenaran untuk berdagang di China. Walaupun hantaran sebegini tidaklah bernilai berbanding hadiah yang dikurniakan baginda, ia menunjukkan bahawa maharaja China merupakan pemerintah yang paling berkuasa di dunia.
Walaupun sistem ini tidak diamalkan semasa Dinasti Yuan, Yongle melihat sistem ini cara terbaik untuk meyakinkan pegawai-pegawai istana bahawa baginda selayaknya berada di takhta. Ada juga berpandangan ekspedisi ini merupakan cara halus untuk memburu anak saudaranya, Jianwen yang dikatakan melarikan diri ke luar China tetapi tidak dipersetujui oleh ramai cendekiawan dan sejarawan.
Ekspedisi ini dikatakan sudah bermula pada tahun 1404 dan terdiri daripada 317 kapal termasuk 62 baochuan, kapal yang terbesar di dunia pada ketika itu. Jong-jong China ini digelar kapal harta karun dengan panjang 55 meter dan 8.5 meter lebar (ukuran sebenar kapal masih menjadi perdebatan dalam kalangan sejarawan). Jong-jong yang menjadi sebahagian daripada armada laut Dinasti Ming ini dilihat tidaklah jauh berbeza dengan kapal-kapal yang disaksikan oleh Ibnu Battuta semasa berada di China dan ini dicatatkan dalam kitab Rihlahnya.
Kebanyakan kapal dibina di limbungan kapal di Nanjing dan dilengkapi pelbagai inovasi menarik seperti ruang kedap air dan kompas magnetik. Kapal-kapal diisi dengan bekalan air bersih, makanan dan barangan mewah Dinasti Ming dengan tujuan menarik perhatian pemerintah-pemerintah tempatan tentang kekayaan dinasti berkenaan dan mendorong mereka menghantar sebahagian daripada hasil mereka sebagai hadiah kepada maharaja.
Antara komoditi mewah yang dibawa ialah teh, barangan emas dan perak, tekstil dan tembikar. Kapal sebegini boleh membawa ramai krew antara 20,000 hingga 32,000 orang dan ini pada ekspedisi pertama. Mereka terdiri daripada tukang tilik, diplomat, tabib dan tentera serta dilengkapi kelengkapan pertahanan seperti meriam sekaligus membolehkan mereka mempertahankan diri sekiranya perlu.
Ekspedisi perlayaran
Untuk tiga ekspedisi pertama Cheng Ho iaitu pada tahun 1404, 1408 dan 1409, mereka berlayar mengikut laluan perdagangan utama ketika itu. Tiga ekspedisi ini menyaksikan beliau dan armadanya berlayar dari Vietnam hingga ke Kepulauan Nusantara sebelum merentasi timur Lautan Hindi untuk sampai di India dan Sri Lanka.
Setiap kali tiba, Cheng Ho membawa mesej keamanan dan hasrat China mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan berkenaan. Bagi mengukuhkan lagi hubungan, beliau turut membawa hadiah-hadiah dan menjemput pemerintah tempatan atau mengutus seorang duta menghadap Maharaja Yongle.
Ramai pemerintah mengambil peluang berbuat demikian dan utusan-utusan ini kemudiannya dibawa ke China semasa dalam perjalanan pulang mereka. Namun, ada juga yang enggan berbuat demikian seperti kes pemerintah kerajaan Kotte di Sri Lanka, Alakesvara. Raja Alakesvara menolak kehadiran armada Ming di kawasan perairannya dan ini membawa kepada aktiviti lanun dan keganasan di perairan kerajaan berkenaan.
Berang dengan tindakan baginda, Cheng Ho bersama 2,000 tentera menyerang Kotte dan berjaya menawan Alakesvara, kaum kerabatnya dan pegawai-pegawai istana. Walaupun tentera Kotte cuba bangkit merampas semula ibu kota mereka, semua cubaan berjaya dinafikan oleh tentera China.
Selepas dibawa pulang ke China pada tahun 1411, Raja Kotte itu dipersembahkan di hadapan Maharaja Yongle. Maharaja Dinasti Ming itu memutuskan untuk membebaskan Alakesvara dan membenarkannya pulang ke Sri Lanka. Pada masa sama, Parakramabahu VI ditabalkan sebagai pemerintah Kotte yang baru dengan sokongan China sekaligus memulihkan kembali hubungan kedua-dua kerajaan. Penabalan Parakramabahu VI juga turut membawa kepada kestabilan dan kegemilangan kepada kerajaan itu selama lebih 50 tahun.
Selain berurusan dengan pemerintah tempatan, adakalanya ekspedisi turut berhadapan masalah dengan lanun seperti kes Chen Zuyi. Ini dihadapi oleh Cheng Ho semasa ekspedisi perlayaran keduanya di mana Zuyi mencetuskan huru-hara di Palembang yang ketika itu merupakan sebahagian dari jajahan kerajaan Majapahit.
Selepas mendapat tahu apa yang berlaku dari wakil Majapahit berdarah Hui, Shi Jinqing, armada Ming dan armada lanun pimpinan Zuyi bertembung di Palembang pada tahun 1407. Pertempuran laut itu menyaksikan angkatan lanun Zuyi musnah sama sekali dengan 5,000 lanun terbunuh, 10 kapal mereka musnah dan tujuh lagi ditawan armada laut Ming.
Ketua lanun itu bersama beberapa orangnya kemudian dibawa pulang ke China dengan mereka semua dihukum mati atas titah Maharaja Yongle pada Oktober 1407. Baginda turut memberi kurnia ganjaran kepada kru armada yang bertanggungjawab menewaskan lanun yang bermaharajalela di Selat Melaka. Bagi Shi Jinqing pula, beliau dilantik sebagai pengawal keamanan di Palembang sebagai menghargai bantuan yang dihulurkan semasa Pertempuran Palembang. Perlantikan ini turut memudahkan urusan perdagangan China sekiranya mereka berlabuh di situ.
Untuk ekspedisi keempat, perlayaran pada tahun 1413 menyaksikannya berlayar ke India tetapi tumpuan dihalakan pada bahagian selatan. Perlayaran ini menyaksikan armada Cheng Ho singgah di Calicut, Cochin dan Maldives.
Perlayaran kemudiannya diteruskan ke Laut Arab di mana armada Ming singgah di Hormuz, Aden dan Jeddah. Di Jeddah, Cheng Ho membenarkan sekumpulan krunya yang beragama Islam turun dan meneruskan perjalanan ke Makkah untuk menunaikan fardu haji. Dalam ekspedisi keempat ini, 19 pemerintah tempatan menghantar duta dan hadiah kepada Maharaja Yongle.
Ekspedisi ini juga bertanggungjawab memulihkan kembali kedudukan seorang raja kerajaan Semudera (berkemungkinan Samudra Pasai) bernama Zainal Abidin selepas takhtanya dirampas oleh adindanya, Sekandar.
Walaupun angkatan Sekandar cuba menewaskan tentera Ming tetapi cubaan tersebut gagal dan baginda kembali naik sebagai pemerintah di situ. Sekandar kemudiannya dibawa pulang ke China sebelum dihukum mati di khalayak ramai. Sementara Sultan Zainal Abidin yang terhutang budi dengan bantuan armada Cheng Ho mengirim hadiah kepada Maharaja Yongle sebagai tanda persahabatan.
Bagi ekspedisi perlayaran kelima dan keenam, armada laut Ming berlayar sehingga ke benua Afrika dengan mereka mendarat di Mogadishu, Mombasa dan Malindi (kesemuanya berada di timur pesisir laut Afrika). Apabila Cheng Ho mendarat di situ, ia menjadikan beliau orang pertama yang mendarat di kawasan pesisir pantai Swahili.
Pemerintah-pemerintah ini menghantar hadiah dan misi diplomatik masing-masing ke China. Antara hadiah yang dianggap pelik bin ajaib oleh Maharaja Yongle yang dibawa armada ini ialah zirafah (dianggap qilin iaitu sejenis unikorn China yang membawa pentanda nasib baik), singa, burung unta dan kuda belang. Selain itu, Cheng Ho turut membawa permata berharga, rempah-ratus, ubat-ubatan dan maklumat berkenaan budaya dan orang asing semasa dalam perlayaran.
Sebaik pulang dari perlayaran keenam, Cheng Ho diberitahu rakan baiknya Maharaja Yongle mangkat pada tahun 1424 dan digantikan oleh puteranya, Zhu Gaozhi yang bergelar Maharaja Hongxi. Semasa pemerintahannya selama sembilan bulan, baginda mengarahkan semua bentuk ekspedisi perlayaran Ming dihentikan dan dana perlayaran disalurkan kepada mengukuhkan pertahanan negara dari ancaman Mongol serta penduduk-penduduk di wilayah yang dilanda kebuluran. Namun selepas baginda mangkat pada tahun 1426, Maharaja Xuande yang menggantikan ayahandanya itu mengambil keputusan meneruskan semula ekspedisi perlayaran yang dihentikan semasa era Hongxi.
Ekspedisi terakhir ini menyaksikan armada kembali berlayar dari Kepulauan Nusantara hinggalah ke Semenanjung Tanah Arab dan Afrika. Antara tempat yang disinggahi ialah Melaka, Surabaya, Palembang, Sri Lanka, Calicut dan Hormuz. Perlayaran yang bermula pada tahun 1431 ini berakhir pada tahun 1433 dengan armada membawa 11 duta asing mengadap Maharaja Xuande. Antara pemerintah yang mengirim duta mereka ialah Sultan Zainal Abidin (Semudera), Raja Parakramabahu VI (Kotte) dan Raja Saifuddin (Hormuz).
Perginya seorang laksamana
Tidak diketahui tahun sebenar Cheng Ho meninggal dunia. Ada yang mengatakan beliau kembali ke hadrat Ilahi pada tahun 1433 sebelum atau selepas perlayaran ketujuhnya.
Ada pula yang berpandangan Cheng Ho kembali berkhidmat sebagai pelindung kota Nanjing dan mati pada tahun 1435. Tetapi jika menurut keterangan penduduk bahawa makamnya di Nanjing itu kosong, ini bermakna beliau kembali ke hadrat Ilahi semasa dalam perjalanan pulang pada tahun 1432 dan dikebumikan di tengah lautan.
Selepas kematian Cheng Ho, musuh-musuhnya dari kelompok cendekiawan Confucius berusaha memadam semua rekod perlayaran beliau untuk dekad-dekad berikutnya kerana bimbang projek sebegini akan dibangkitkan. Pada tahun 1477 semasa pemerintahan Maharaja Chenghua, seorang sida bertanya ke mana perginya rekod-rekod perlayaran laksamana China terkenal itu.
Cendekiawan-cendekiawan ini memberitahu kebanyakan rekod tersebut hilang ditelan zaman (lebih tepat dibakar). Tetapi cubaan mereka menghilangkan nama Cheng Ho gagal kerana kisahnya dinyatakan oleh beberapa anggota ekspedisi seperti Fei Xin, Gong Zhen dan Ma Huan yang kemudiannya menyertai beberapa ekspedisi perlayaran kerajaan. Armada laut Ming ini juga turut meninggalkan batu-batu penanda di tempat-tempat yang disinggahi mereka.
RUJUKAN:
1. Szczepanski, Kallie. (2019). Biography of Zheng He, Chinese Admiral. ThoughtCo. https://www.thoughtco.com/zheng-he-ming-chinas-great...
2. Cartwright, Mark. (2019). The Seven Voyages of Zheng He. Ancient.eu. https://www.ancient.eu/.../the-seven-voyages-of-zheng-he/
Sumber artikel : thepatriots
Copy and paste:
5 Disember 2022 > 10 Jamadilawal 1444H:3.37 pm