ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 25 October 2022

ZIARAH MASJID NABAWI DI MADINAH, MENGUBAT RINDU PADAMU YA RASULULLAH

OLEH : USTAZAH ASMA' HARUN

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.
Sungguh kami berasa amat bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya kami selamat tiba di bumi Madinah, tempat suci yang menjadi kecintaan dan kerinduan umat Islam. Setibanya jemaah di sini melihat Masjid Nabawi, terus teringat sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, masjid Rasulullah SAW (Masjid Nabawi) dan juga Masjid al-Aqsa”.
(HR Bukhari, hadis sahih)
SubhanAllah, sebak rasa saat melihat kubah hijau Masjid Nabawi yang indah apatah lagi memasuki masjid tersebut. Di sinilah terletaknya makam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW yang mulia. Bagi yang hadir ke sini, kita boleh amalkan 2 doa berikut :

1. DOA KETIKA MASUK MASJID NABAWI
بِسْمِ اللهِ وَعَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ, رَبِّ أَدْخِلْنِى مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِى مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لىِ مِنْ لَدُنْكَ سُلْطاَناً نَصِيْراً, أَللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ, وَاغْفِرْ لىِ ذُنُوْبِى وَافْتَحْ لىِ أَبْواَبَ رَحْمَـِكَ وَأَدْخِلْنِى فِيْهاَ ياَ أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya: "Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah. Ya Allah masukkanlah aku dengan cara masuk yang benar, dan keluarkanlah pula aku dengan cara keluar yang benar, dan berikanlah padaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolong. Ya Allah limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami Muhammad dan keluarganya. Ampunilah dosaku, bukalah pintu rahmat-Mu bagiku dan masukkanlah aku ke dalamnya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih."
2. DOA SELEPAS ZIARAH MAKAM NABI MUHAMMAD SAW
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَلَا تَجْعَلْهُ آخِرَ الْعَهْدِ بِنَبِيِّكَ وَخُطَّ أَوْزَارِيْ بِزِيَارَتِهِ وَأَصْحِبْنِيْ فِيْ سَفَرِيْ السَّلَامَةَ وَيَسِّرْ رُجُوْعِيْ إِلَى أَهْلِيْ وَوَطَنِيْ سَالِمًا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarganya, dan janganlah jadikan ziarah ini yang terakhir bagiku dengan Nabi-Mu, dan bekalkanlah aku dengan keselamatan dalam perjalananku serta mudahkanlah kepulangan menuju ahli keluargaku dan tanah airku dengan sejahtera, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihani.”
Di sekitar Masjid Nabawi ini, kami membawa para jemaah menziarahi beberapa tempat, antaranya:
1. KAWASAN BERHAMPIRAN KUBAH HIJAU
Jemaah dibawa ziarah ke kawasan berhampiran kubah hijau Masjid Nabawi, di bawah kubah itu terletaknya makam Rasulullah SAW. Antara adab-adab ketika menziarahi makam Rasulullah SAW ialah:
i. Berazam menziarahi Nabi SAW dan masjidnya serta perbanyakkan selawat ke atas Baginda.
ii. Mandi sunat sebelum masuk Madinah sekiranya ada kemudahan. Jika tiada, maka mandilah sebelum masuk ke dalam masjid dan memakai pakaian yang bersih.
iii. Melangkah masuk pintu masjid dengan kaki kanan.
iv. Ucapkanlah salam dengan penuh hormat kepada Baginda SAW.
v. Hargai peluang untuk berdoa kepada Allah SWT di tempat yang mustajab ini dalam keadaan menghadap kiblat.
Semoga dengan menjaga adab ini kita memperoleh keberkatan dari Allah SWT dan syafaat Rasulullah SAW, ameen.

2. RAUDHAH
Kami mulakan ziarah ke Raudhah, ia merupakan salah satu tempat yang mulia dan terletak di dalam Masjid Nabawi iaitu antara rumah Nabi Muhammad SAW di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat.
Di dalam masjid ini, ia menjadi tempat beribadah yang utama dalam kalangan Baginda dan para sahabat di samping tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya.
Antara keistimewaan Raudhah ia antara taman syurga. Daripada Abdullah bin Zaid al-Mazini r.a., Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ الْمَازِنِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Di antara rumahku dan mimbarku terdapat satu taman (raudhah) daripada taman-taman syurga.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
3. MASJID QUBA’
Seterusnya, kami membawa para jemaah menziarahi Masjid Quba’ iaitu masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW dan terletak 5km dari Masjid Nabawi. Dalam peristiwa hijrah ke Madinah, Baginda telah tiba dahulu di Quba' pada 8 Rabiul Awal lalu menetap di sana beberapa hari.
Masjid ini terbina atas di atas dasar taqwa, seperti firman Allah SWT:
لَا تَقُمْ فِيْهِ اَبَدًاۗ لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: “Janganlah engkau melaksanakan salat dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba’), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang yang bersih.”
(Surah at-Taubah: 108)
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyebutkan tentang ganjaran jika kita bersolat di dalam Masjid Quba'. Daripada Sahl bin Hunaif berkata, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءَ فَصَلَّى فِيهِ صَلَاةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ
Maksudnya: "Siapa bersuci di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba' lalu dia solat di dalamnya maka baginya pahala seperti pahala umrah."
(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Allahu Akbar, mulianya kedudukan masjid pertama ini sehingga boleh mendapatkan pahala umrah bagi sesiapa yang solat di dalamnya. Alhamdulillah para jemaah mengambil kesempatan ini untuk berniat iktikaf, menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dhuha di masjid Quba’.
4. BUKIT UHUD
Seterusnya kami berhenti di pekarangan Bukit Uhud yang terletak di utara Madinah iaitu 5km dari Kota Madinah. Ia merupakan bukit terpanjang dengan ukuran dari timur ke barat lebih kurang 6-7km. Bukit Uhud ini berbeza daripada bukit-bukit di Malaysia kerana ia dipenuhi dengan batu-batuan dan tanah yang kering kontang.
Terdapat kisah menarik tentang Bukit Uhud yang pernah bergoncang ketika Rasulullah mendakinya. Daripada Anas bin Malik r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ فَقَالَ اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ
Maksudnya: “Nabi SAW mendaki Jabal (Gunung) Uhud, diikuti oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman. Lalu gunung Uhud itu bergetar. Maka Baginda bersabda: Tenanglah wahai Uhud, kerana di atasmu sekarang ada Nabi, as-Siddiq (orang yang jujur, iaitu Abu Bakar) dan dua orang syahid (iaitu Umar dan Uthman).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Di Bukit Uhud inilah berlaku pelbagai peristiwa yang memberi kesan kepada kehidupan Baginda SAW dan umat Islam seluruhnya. Saidina Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda ketika melihat ke arah Bukit Uhud:
هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَإِنِّي حَرَّمْتُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا
Maksudnya: “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah, sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Mekah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
5. MASJID QIBLATAIN
Selepas bukit Uhud, kami melalui Masjid Qiblatain iaitu masjid bersejarah yang menjadi saksi berpindahnya kiblat umat Islam dari Masjid al-Aqsa ke Masjidil Haram. Pada awalnya masjid ini dikenali sebagai masjid Bani Salamah kerana masjid ini dibangunkan di atas bekas rumah Bani Salamah. Ia dikelilingi kebun-kebun dan bersebelahan dengan lembah al-Aqiq.
Daripada al-Bara’ bin ‘Azib r.anhuma, beliau berkata:
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُوَجَّهَ إِلَى الْكَعْبَةِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ {قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ}
فَتَوَجَّهَ نَحْوَ الْكَعْبَةِ وَقَالَ السُّفَهَاءُ مِنْ النَّاسِ وَهُمْ الْيَهُودُ {مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمْ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ} فَصَلَّى مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ ثُمَّ خَرَجَ بَعْدَ مَا صَلَّى فَمَرَّ عَلَى قَوْمٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَقَالَ هُوَ يَشْهَدُ أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّهُ تَوَجَّهَ نَحْوَ الْكَعْبَةِ فَتَحَرَّفَ الْقَوْمُ حَتَّى تَوَجَّهُوا نَحْوَ الْكَعْبَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat menghadap Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan, dan Rasulullah SAW sebenarnya suka kalau diperintahkan menghadap ke arah Kaabah. Selepas itu Allah menurunkan ayat: “Sungguh Kami melihat mukamu berkali-kali menengadah ke langit.” (Surah al-Baqarah: 144)
Kemudian Nabi SAW menghadap ke Kaabah lalu berkatalah orang-orang yang bodoh dari masyarakat, iaitu orang-orang Yahudi: “Apakah yang menyebabkan mereka (umat Islam) berpaling dari kiblat (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Wahai Muhammad, timur dan barat itu milik Allah. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul).” (Surah al-Baqarah: 142)
Maka ada seseorang yang ikut solat bersama Nabi SAW. Orang itu keluar setelah menyelesaikan solatnya. Kemudian orang itu melewati kaum Ansar yang sedang melaksanakan solat Asar dengan menghadap Baitul Maqdis (di Masjid Bani Harithah). Lalu orang itu bersaksi bahawa dia telah solat bersama Rasulullah SAW dengan menghadap ke arah Kaabah. Maka orang-orang itu pun berputar sehingga benar-benar menghadap Kaabah.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
6. MASJID KHANDAK
Seterusnya, kami dibawa melalui kawasan Khandak yang terletak di luar Madinah, kira-kira 3km dari kota Madinah. Terdapat sebuah masjid utama yang dinamakan Masjid Khandak dan beberapa masjid yang dibina di sekitar kawasan tersebut seperti Masjid Abu Bakar as-Siddiq (telah dirobohkan dan menjadi kawasan parking kereta), Masjid Umar al-Khattab, Masjid Ali bin Abi Talib, Masjid Fatimah az-Zahraa dan Masjid Salman al-Farisi.
Khandak bermaksud parit yang digali tetapi tiada air. Ia dibuat sebagai satu strategi perang yang telah diarahkan oleh Rasulullah SAW hasil cadangan daripada seorang sahabat bernama Salman Al-Farisi r.a.
Peperangan Khandak juga dinamakan sebagai Perang Ahzab kerana tentera Islam berhadapan dengan gabungan tentera musuh yang sangat ramai. Seolah-olah tentera musuh ingin menghapuskan kaum muslimin daripada muka bumi ini selama-lamanya.
Di saat yang getir antara tentera Islam dan musuh berperang sehingga timbul rasa takut yang sangat tinggi di dalam hati kaum muslimin, Rasulullah SAW berdoa di kawasan yang sekarang telah dibina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Fattah. Doa tersebut terkandung di dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Abu Aufa r.anhuma, beliau menceritakan:
دَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْأَحْزَابِ عَلَى الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ سَرِيعَ الْحِسَابِ اللَّهُمَّ اهْزِمْ الْأَحْزَابَ اللَّهُمَّ اهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berdoa pada saat perang Ahzab menghadapi kepungan musyrikin: “Ya Allah yang menurunkan kitab, cepat perhitungannya. Ya Allah, hancurkanlah pasukan bersekutu. Ya Allah, hancurkanlah mereka dan porak-perandakanlah mereka.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
7. ZIARAH KE LADANG KURMA ARYAF TAIBAH.
Sebagai hadiah istimewa daripada kami, majlis makan malam diadakan bersama 81 jemaah di ladang kurma Aryaf Taibah. Persekitarannya sangat bersih, tenang dan sangat cantik, masyaAllah. Di sini juga ada kawasan permainan kanak-kanak, tempat makan dan mini zoo.
Selepas solat maghrib secara berjemaah, diteruskan dengan perkongsian khas daripada Ustazah tentang kisah kemenangan Islam yang penuh ibrah.
Allahu Akbar, menziarahi lokasi-lokasi bersejarah ini sangat memberi kesan kepada hati kami semua. Terbayang segala susah payah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat untuk menyebarkan Islam sehingga ke hari ini. Begitu juga saat melalui tempat yang mempunyai peristiwa tertentu menunjukkan bahawa kebesaran Allah SWT kepada kita semua tiada bandingnya.
Semasa perjalanan pulang ke tempat penginapan, kami dialunkan dengan qasidah Mahabbah Rasul yang amat syahdu tentang kisah perjuangan Rasulullah SAW oleh Ustaz Najmuddin Rabbani, subhanAllah.
Alhamdulillah, semoga setiap perjalanan di sini menambahkan lagi rasa kemanisan iman dan cinta kita terhadap Rasulullah SAW.

Asma' binti Harun
Copy and paste: 25/10/2022 > 28 Rabiulawal 1444H: 11.27 am

No comments:

Post a Comment