ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 10 October 2022

SEJARAH KEDAH TUA: PERNYATAAN ANAKRONISME YANG PERLU DIPERBETULKAN

Oleh 
Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun, 
Pensyarah Bahagian Sejarah, 
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, 
Universiti Sains Malaysia. 
Emel: naza@usm.my; 26 Januari 2021
Sumber: USM News

Baru-baru ini saya diberikan satu cuplikan komen dan pernyataan berunsur anakronis dalam sejarah Kedah Tua seperti di bawah.

Pernyataan tersebut muncul apabila ada pihak yang mendakwa bahawa Kedah Tua ditemui dan dibuka oleh Rajendra Chola I (1014-1044 M) dari kerajaan Chola, India Selatan, yang pernah datang dan menakluki Kedah Tua dan sebahagian Asia Tenggara pada 1025 M (kurun ke-11 M).

Ada banyak pihak yang berminat dengan sejarah Kedah Tua khususnya berkaitan dengan Lembah Bujang. Selain daripada misi akademik, mereka menerokainya dengan pelbagai maksud dan tujuan. Perhati dan fikirkan kronologi di bawah dan bandingkan dengan pernyataan di dalam cuplikan facebook tersebut.

Berdasarkan sumber Sastera Sanggam kurun ke-2 Masihi menyebut Kedah Tua sebagai Kazhagam yang memiliki hubungan perdagangan dengan Madurai.

Pada kurun ke-4/5 M, sumber Jakata menyatakan bahawa Kedah Tua dan Langkasuka merupakan dua buah kerajaan besar di Semenanjung.

Kurun ke-7/8 M - Sastera Kathasaritsagara dan Kaumudimahotsava pula menyebut Kedah Tua sebagai sebuah pelabuhan yang besar.

Pada kurun ke-11 M, prasasti-prasasti dari Raja Kulotungga I, Rajendra, Virarajendra dan Kulotungga II menyebut tentang hubungan diplomatik antara Kedah Tua dan Chola. Konflik cuma berlaku pada zaman pemerintahan Rajendra I, tetapi pada 1068, di bawah pemerintahan Virarajendra, hubungan dipulihkan.

Dalam hal ini kesahihan prasasti Chola juga boleh diperdebatkan kerana ada pengkaji menyatakan bahawa prasasti kerajaan tersebut yang memicu dakwaan di atas merupakan dokumen rasmi kerajaan yang bertujuan mengagung-agungkan pemerintahnya.

Hakikat sebenar kerajaan Chola memang datang dan menjajah Kedah Tua (Srivijaya) pada 1025 M dan selepas menjarah segala harta benda berharga mereka meninggalkan Kedah Tua (Srivijaya) tanpa mentadbirnya seperti penjajah yang lain.

Selain sumber India, sumber China kurun ke-6 dan 7 M juga menyebut Kedah Tua (Cheh Cha) sebagai pusat perdagangan.

Sumber Arab kurun ke-8 hingga 14 M menyebut Kedah Tua (Kalah Bar) sebagai pelabuhan yang besar.

Perhatikan bahawa Kedah Tua telah mula wujud dari kurun ke-2 Sebelum Masihi dan merosot dan bertukar tumpuan daripada kerajaan perdagangan atau maritim kepada kerajaan pertanian atau agraria pada kurun ke-14 M, tetapi imperial Chola cuma wujud bermula tahun 850 (kurun ke-9 M) dan tamat pada kurun ke-13 M.

Jadi jelas dakwaan tersebut hanya mitos dan bersifat anakronis sahaja, sedangkan Kedah Tua sudah ada jauh lebih awal daripada kewujudan kerajaan Chola itu sendiri dan terus wujud selepas kejatuhan Chola.

Jika demikian bagaimana mereka boleh mendakwa bahawa Chola yang menemu dan menamakan Kedah Tua itu sebagai Kadaram. Jadi kepada kumpulan tersebut, cuplikan komen dan pernyataan berunsur anakronis mereka itu perlu diperbetulkan.

Untuk mengetahui lebih lanjut boleh rujuk:

1. Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun dan Mohd Mokhtar Saidin. Pensejarahan Kedah Tua: Satu Kritikan Sumber Dan Tafsiran, Batu Pahat: Penerbit UTHM, 2015.

2. Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun dan Mokhtar Saidin. Lembah Sungai Merbok-Muda: Dari Era Kemerosotan Kedah Tua Hingga Pascakemerdekaan. Pulau Pinang: Penerbit USM, 2019.

---------------------------

Istilah anakronisme berasal daripada bahasa Yunani iaitu merujuk kepada perkataan anachronus. Anakronisme sebenarnya berasal daripada cantuman dua perkataan, iaitu ana, yang bererti pertentangan dan chronus yang bererti masa. Jadi anachronus membawa erti “pertentangan dengan masa”. Istilah anachronus sebenarnya adalah satu konsep dan persoalan yang menyentuh tentang masa yang bertentangan dengan masa yang sebenar.

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, 
Universiti Sains Malaysia, 
11800 USM, 
Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | 
Fax : +604-658 9666 | 
Email : pro@usm.my
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia

Copy and paste:
10/10/2022 > 14 Rabiulawal 1444H: 8.59 pm

No comments:

Post a Comment