ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 21 August 2022

PENTARIKHAN KOMPLEKS ARKEOLOGI SUNGAI BATU

SUMBER: SUNGAI BATU 788 BC: THE GREAT KINGDOM OF KEDAH TUA

Posting dibawah ditulis dalam BM dan ditulis seringkas mungkin sekadar memberi pendapat tentang isu pentarikhan. Ia bukanlah analisa atau kritikan tetapi satu perkongsian.
Pertama, pentarikhan yang diperolehi dari sampel di Kompleks Arkeologi Sungai Batu, selain abad ke 2 M yang dominan, tarikh-tarikh Sebelum Masihi telah menjadikan Sungai Batu jauh lebih tua dari yang dijangka oleh penyelidik. Tarikh-tarikh SM yang terhasil ialah tahun 487, 535, 582 dan 788. Tarikh-tarikh ini merupakan data empirikal yang terhasil dari prosedur tertentu dan ujian makmal yang tidak boleh terbatal begitu saja walaupun terdapat kaedah-kaedah pentarikhan yang lain.
Kedua, Dr Leong Sau Heng (UM) , dalam pembentangannya bertajuk 'Ancient Trading Centres in the Malay Peninsula' menyatakan penemuan perahu tebuk bersama gendang gangsa yang tertangkup diatasnya memberi signifikan kewujudan hubungan dagangan antarabangsa kerana gendang gangsa tersebut ialah gendang Dong Son dari Vietnam (Zuliskandar, Adzrieman, 2010). Penemuan tersebut berlaku di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat, Selangor dan pentarikhan yang diberi ialah antara abad ke 5 SM dan 4 SM (Leong, 1991) untuk Kampung Sg Lang dan penempatan di Jenderam Hilir. Manakala Bukit Kuda di Kelang, Lembah Tembeling dan Batu Buruk juga tercatat dalam sejarah masyarakat zaman logam di Semenanjung Melayu. (Di Bukit Kuda, Kalang dijumpai loceng gangsa yang bertarikh sekitar tahun 200 SM / abad ke 2 -3 SM).
Menurut Leong, kawasan seperti Jenderam Hilir dan Kuala Selinsing merupakan 'feeder point' yang mana orang tempatan yang bertanggungjawab membawa barangan mereka sendiri ke Entrepot. (Kawasan Jenderam Hilir kaya dengan logam timah). Bermakna mereka menggunakan laluan pesisir Selat Melaka untuk sampai ke entrepot yang dikunjungi oleh pedagang asing.
Berdasarkan maklumat tersebut, laluan Selat Melaka sememangnya telah digunakan pada era Sebelum Masihi lagi. Malahan Pulau Pisang di bahagian selatan Selat Melaka dirakam dalam catatan Dinasti Han pada tahun 111 SM (Fukami,2010).
Ketiga, Dr Nasha dalam kajiannya ada memetik dapatan Bellina (2014) yang bertarikh abad ke 4 SM - 3 SM iaitu Khao Sam Khaeo, Khao Sek, Phu Khao Thong, yang berkaitan industri besi. Secara arkeologinya, kawasan tersebut terletak dalam Semenanjung Melayu, dan sesetengah rujukan terkini menamakannya Malay-Thai Peninsula.
Bermakna, dari fakta - fakta diatas, secara kasarnya didapati Semenanjung Melayu tidak asing dengan aktiviti berasaskan logam yang berlangsung pada abad-abad sebelum masihi. Jika mengambil Sungai Batu, Lembah Bujang sebagai tìtik tengah, Khao Sam Khaeo yang terletak di utara dan Kg Sungai Lang dan Jenderam Hilir pula di selatan, pentarikhan dan taburan tapak-tapak masyarakat zaman logam pada era sebelum masihi kelihatan serata dan konsisten.
- Khao Sam Khaeo : abad 4 SM - 3 SM
- Sungai Batu : 8 SM dan berterusan ke abad masihi.
- Sg Lang & Jenderam Hilir : 5 SM - 4 SM
Ke empat, ketika menjawab satu soalan dalam webinar anjuran Persatuan Mahasiawa UPSI pada 13 July 2022, Dr Nasha bersetuju adanya impak tsunami di Sungai Batu pada zaman silam yang memberi kesan pada krononologi lapisan budaya. Secara tidak langsung ia menjawab tentang punca kewujudan lapisan budaya yang nipis dan tidak sekata.
Pentarikhan 788 SM dibuat ke atas sample organik iaitu arang yang diperolehi dari tapak relau (Naizatul, Mokhtar, 2019) dan kajian itu terkandung dalam buku 'Arkeologi Kedah Tua: Sumbangan Data Terkini dari Perspektif Warisan, Seni dan Budaya’ terbitan PPAG.
Pentarikhan untuk bata pula bertarikh 487, 535 dan 582 SM yang memerlukan prosedur dan protokol yang berlainan dari pentarikhan arang.
Pentarikhan-pentarikhan tersebut merupakan bukti empirikal dan kajian saintifik yang sewajarnya menjadi 'point of departure' untuk kajian selanjutnya di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.
Jadi jika dilihat dari kronologinya, tapak-tapak di Khao Sem Khaeo, Sungai Batu, Sungai Lang, Jenderam Hilir dan Kelang berperanan seiring pada abad-abad yang sama. Besar kemungkinan kawasan-kawasan tersebut menyumbangkan sinergi dalam industri logam Semenanjung Melayu.
Kesimpulannya, mencadangkan pentarikhan baru yang kelihatan bersifat komprehensif untuk tujuan rumusan strategik agar boleh membantu, contohnya untuk mendapatkan Outstanding Universal Value (OUV), mungkin langkah yang baik, tetapi jika ia bertujuan lain sambil cuba memadamkan dapatan saintifik terdahulu tanpa pembuktian yang konkrit, ia tidak sepatutnya berlaku.

Copy and paste: 21 Ogos 2022 > 23 Muharam 1444H: 7.54 am

No comments:

Post a Comment