ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 12 August 2022

KEHEBATAN MELAYU MEREDAH SAMUDERA

SUMBER: UTUSAN

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui ilmu pelayaran dan pembuatan perahu sebenarnya telah dikuasai oleh orang Melayu sejak zaman prasejarah lagi.

Hal ini dibuktikan berdasarkan rekod sejarah dan penemuan artifak yang menunjukkan penguasaan masyarakat Melayu dalam kemahiran tersebut.

“Bukti penyebaran gendang Dongsong dan loceng di Asia Tenggara sekitar 500 Sebelum Masihi dan amalan pengebumian di dalam perahu yang dianggarkan berlaku pada 200 Sebelum Masihi yang dijumpai di Kuala Selinsing, Perak merupakan antara bukti wujudnya aktiviti pelayaran laut di alam Melayu.

“Penggunaan perahu juga telah digambarkan menerusi lukisan gua yang menggunakan bahan mineral hematit yang berkemungkinan bermula sejak zaman Neolitik di Gua Kain Hitam, Kompleks Gua Niah di Sarawak.

“Bukti lain menerusi kajian Prof. Dr. Stephen Chia dari Universiti Sains Malaysia yang dijalankan di Bukit Tengkorak, Semporna, Sabah mendapati wujud rangkaian perdagangan maritim di antara Kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik sejak ribuan tahun lalu,” demikian kata Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli.

Katanya, kehebatan Melayu turut dikaitkan dengan dunia pelayaran berdasarkan data yang menunjukkan wujudnya penempatan yang diduduki pelayar Austronesia atau Melayu di Madagaskar sejak zaman akhir prasejarah.

“Ini membuktikan bahawa pelayar Melayu sudah sampai di Afrika antara tahun 500 hingga 1000 Sebelum Masihi.

“Bahasa pertuturan masyarakat di Madagaskar iaitu Malagasi didapati amat rapat dengan bahasa Malayo-Polinesia yang banyak digunakan penduduk Indonesia, Malaysia dan Filipina,” ujarnya.

Merujuk catatan Yunani pula, kapal-kapal Melayu bersaiz besar yang mencapai muatan 1,000 tan telah sampai ke India pada abad kedua atau ketiga Masihi.

“Pada pendapat saya, orang Melayu yang sebenarnya membuka peluang perdagangan kepada pedagang India sejak abad ke-10 Masihi.

“Malah untuk sampai ke benua Afrika, orang Melayu perlu menempuh India, kemudian melalui Timur Tengah dan akhirnya ke Madagaskar.

“Laluan perdagangan ini dikuasai orang Melayu disebabkan mereka handal dalam konteks pelayaran dan membuat kapal.

“Aktiviti pelayaran dan perkapalan itu juga membolehkan orang India datang menerokai alam Melayu,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan catatan China, mereka turut mengagumi kemahiran dan kehebatan orang Melayu dalam menguasai ilmu pelayaran.

“Orang Cina mengetahui kemahiran pembuatan kapal dan pelayaran yang dimiliki orang Melayu. Mereka juga banyak belajar dengan orang Melayu. Penggunaan kapal layar yang dihasilkan orang Melayu turut diperkatakan,” katanya.

Catatan Portugis turut menggambarkan bahawa perahu yang digunakan di alam Melayu lebih besar daripada kapal yang digunakan mereka.

Orang Portugis menyamakan perahu Melayu dengan kapal dari Eropah ketika itu yang dikatakan mampu membawa muatan 400 hingga 500 tan metrik, selain mampu menampung 1,000 orang.

“Kehebatan orang Melayu juga terserlah dalam ilmu astronomi. Mereka tidak menggunakan kompas dan peta, sebaliknya bergantung dengan alam sekeliling untuk berlayar ke sesuatu tempat.

“Dengan melihat warna air laut, hidupan laut dan bintang pada waktu malam, mereka boleh mengandaikan telah sampai di sesuatu lokasi,” katanya.

Sumber: Utusan

Copy and paste: 12 Ogos 2022 > 14 Muharam 1444H: 10.18 am