ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 12 August 2022

Isyarat Astronomi - Batu Bersurat Terengganu

UTUSAN MALAYSIA - 21 OKTOBER 2004

Oleh NOR AZAM MAT NOOR

INSKRIPSI yang dicatatkan pada permukaan pahatan muka hadapan Batu Bersurat Terengganu adalah dinyatakan sebagai berikut:

``Rasulullah dengan yang orang sahabi mereka sekalian, asa pada Dewata Mulia Raya; memberi hamba meneguhkan agama Islam dengan benar bicara derma, meraksa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya di benuaku ini. Pebantu agama Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam - Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam behumi. Pebantu itu fardu pada sekalian Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar bicara, berbajikan betul pebantu itu maka titah Seri Paduka Tuan mendudukkan tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.''

Tulisan jawi daripada jenis perkataan Sanskrit yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu, dianggap satu manifestasi perkembangan agama Islam yang jauh lebih bererti daripada apa yang ditemui pada batu-batu nisan di Kedah dan Pahang, kerana ia mengandungi pernyataan hukum-hakam yang dinyatakan dalam al-Quran, iaitu hukuman kesalahan zina iaitu direjam bagi yang telah berkahwin dan dipalu seratus kali sebatan bagi yang masih bujang.

Namun, yang jauh lebih menarik untuk diperkatakan di sini ialah mengenai hubungan peristiwa falak yang disebutkan dalam Batu Bersurat Terengganu, iaitu makna ``tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala''.

Pada mulanya ia menjadi satu teka-teki dan kesamaran yang belum dapat disahkan, namun Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas (1971) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berhasil memecahkan masalah tarikh sebenar Batu Bersurat Terengganu dan berjaya merungkaikan beberapa kekusutan yang timbul daripadanya.

Daripada yang dapat dijelaskan bagi maksud ``adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua'', ialah Jumaat pertama dalam bulan Rejab tahun 702 Hijrah serentak dengan timbulnya buruj Saratan, tatkala perintah agama (sasanakala) yang mengisytiharkan pemahatan hukum Islam di atas Batu Bersurat itu oleh pemerintah Terengganu pada waktu itu.

Menurut Allahyarham Datuk Setia Jasa Muhammad Saleh bin Haji Awang @ Misbaha (1983), rumusan yang dicapai sebulat suara mengenai kertas kerja ``Ketetapan Tarikh Pada Batu Bersurat'' oleh Tuan Haji Mohd. Khair bin Haji Mohd. Taib dan pengulasnya Dato' Perba DiRaja di Seminar Kedatangan Islam ke Terengganu pada 13 - 14 Rejab 1401 (17 - 18 Mei 1981), yang diadakan di Kuala Terengganu adalah seperti berikut:

a. Berdasarkan kepada Saratan dalam Batu Bersurat Terengganu adalah nama Buruj (gugusan-gugusan bintang-bintang), maka menurut perkiraan Falak Takwim Julian, tarikh yang ada pada Batu Bersurat itu ialah 702 H kerana pada hari Jumaat 6 Rejab tahun 702 H, bulan didapati sedang bergerak di dalam Buruj Saratan.
b. Berdasarkan kepada bacaan Syarathan dalam Batu Bersurat adalah Syarathan sebagai nama bintang yang menandakan tahun Qamariah menurut takwim India (iaitu Nakhsyatra - penulis), maka tarikh pada Batu Bersurat ialah 702 H juga.
c. Perbandingan antara Batu Bersurat Terengganu dengan Batu-Batu Bersurat yang ditemui di tempat lain, perlulah dibuat, khususnya mengenai perkataan Saratan.
d. Satu kerjasama dengan ahli-ahli falak dari India dan dunia Islam lain perlulah dibuat kajian untuk menentukan perkataan Saratan dan tarikh Batu Bersurat Terengganu.
e. Batu Bersurat Terengganu ini menunjukkan ketinggian ilmu pengetahuan orang-orang Islam pada masa itu dalam berbagai-bagai bidang termasuk Falak.

Peristiwa falak yang dinyatakan pada Batu Bersurat Terengganu boleh disimulasikan kembali menggunakan satu perisian khas Starry Night Pro 4.5.2 yang boleh menjejaki kembali peristiwa kulminasi Buruj Sarathan (Ketam: Cancer) pada tarikh 22 Februari 1303 MJ.

Namun terdapat dua versi perkataan bagi Saratan (bahasa Arabnya Sarathan iaitu awalan huruf Sin) dan Syarathan (awalan huruf Syin) yang bermaksud manzilah Bulan (lunar mansion) berasal daripada perkataan Hindu, Nakhsyatra.

Simulasi perisian Starry Night Pro bagi lokasi di Kuala Berang, Terengganu menunjukkan bahawa pada hari Jumaat, 22 Februari 1303 MJ ketika terbenam matahari jam 7.22 malam, kelihatan Buruj Sarathan (Cancer) di sebelah ufuk timur.

Planet Musytari (Jupiter) yang pada ketika itu sedang berada pada tahap kecerahan seratus peratus yang boleh kelihatan pada mata kasar.
Persoalan yang timbul ialah alasan apakah yang digunakan oleh pemahat, yang memahat tulisan pada Batu Bersurat untuk mensabitkan Buruj Sarathan ketika diarahkan oleh pemerintah (raja mandalika) di tempat berkenaan, padahal terdapat banyak lagi buruj-buruj lain yang terkenal turut muncul pada waktu itu, iaitu Buruj Leo (Asad), Gemini (Virgo), Taurus (Saur), Aries (Hamal) dan Pisces (Hut)?

Bulan pada ketika ini belum lagi terserlah kerana masih berupa sabit muda di ufuk barat dengan fasa kecerahan 20 peratus dan berada di Buruj Aries.
Ini bermakna bahawa Bulan bukanlah alasan utama untuk dikaitkan dengan Buruj Sarathan, iaitu tidak sepertimana pada anggapan yang dicapai dalam resolusi Seminar Kedatangan Islam ke Terengganu, 18 Mei 1981 pada perenggan (a) di atas.

Mungkin Buruj Sarathan yang dikaitkan dalam Batu Bersurat itu, adalah disebabkan oleh planet Musytari sedang berada di buruj ini sebagai objek yang terpaling cerah ketika itu, dan menjadi ikon langit malam sebermula matahari terbenam.

Namun pada jam 10.11 malam, planet Marikh dan Zuhal yang berada di Buruj Virgo (Sunbulah), turut bersama-sama Musytari yang ketika ini tepat berkulminasi, turut menjadi ikon-ikon langit malam dengan ketiga-tiganya mempunyai kecerahan 99 dan 100 peratus masing-masing.
Menurut simulasi perisian Starry Night Pro lagi, adalah didapati bahawa Bulan dan planet Musytari adalah benar-benar berada di Buruj Sarathan pada hari Khamis, 28 Februari 1303 MJ bermula terbenam matahari (Rajah 3).

Fenomena serentak Bulan dan planet Musytari dalam Buruj Sarathan ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada hari Khamis, 28 Februari (10 Rejab) dan hari Jumaat, 1 Mac 1303 MJ (11 Rejab 702 H) bilamana Bulan telah bergerak ke sempadan buruj tersebut. Ini bermakna bahawa peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat minggu kedua dan bukannya pada Jumaat pertama bulan Rejab 702 H.

Kesimpulannya ialah manifestasi astronomi yang ditunjukkan oleh Batu Bersurat Terengganu, pada dasarnya adalah dapat disahkan menurut kecanggihan perisian Starry Night Pro terkini, dan kita berpuas hati kerana peristiwa falak Terengganu telah dapat dizahirkan secara maya dengan bantuan simulasi komputer.

Justeru, resolusi pada para (d) Seminar Kedatangan Islam ke Terengganu semenjak 23 tahun lalu itu, mungkin dirasakan tidak diperlukan lagi dan memadai dengan apa yang telah dicapai dengan bantuan teknologi komputer pada hari ini sebagai justifikasi terhadap artifak purba itu.

- NOR AZAM MAT NOOR, Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. -utusan malaysiaKe arah memantapkan 'Aqeedah Tauhid...



http://www30.brinkster.com/meowhidayah/


Copy and paste: 12 Ogos 2022 > 15 Muharam 1444H: 8.38 pm

No comments:

Post a Comment