ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 23 August 2022

AL-KAFI #371 : KEADAAN ANAK YANG MENINGGAL PADA WAKTU KECIL

 SUMBER: PEJABAT MUFTI WPKL

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 371 (5 SEPTEMBER 2016 M / 3 ZULHIJJAH 1437 H)

SOALAN:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

YBhg Datuk Mufti, boleh huraikan/jelaskan/ceritakan bagaimanakah khabar bayi yang meninggal dunia? Benarkah dia mengingati ibu bapa dan saudaranya di dunia? Benarkah dia sedang menghuni syurga dan sedang diasuh oleh Nabi Ibrahim? Saya merindui arwah anak saya.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam suatu peristiwa, Rasulullah SAW dibawa malaikat untuk melihat suasana di dalam Syurga. Antara yang baginda lihat ialah seorang lelaki tinggi yang di sekeliling dipenuhi kanak-kanak. Malaikat menerangkan kepada Nabi:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الطَّوِيلُ الَّذِي فِي الرَّوْضَةِ فَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ صلى الله عليه وسلم وَأَمَّا الْوِلْدَانُ الَّذِينَ حَوْلَهُ فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ عَلَى الْفِطْرَةِ ‏

Maksudnya: Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Ibrahim SAW, dan sekeliling baginda itu ialah wildan (anak yang meninggal dunia pada waktu kecil). Maka semua yang dilahirkan pada waktu kecil itu mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga).

Hadis riwayat al-Bukhari (7047)

Hadis ini menunjukkan bahawa anak-anak yang meninggal pada waktu kecil dalam penjagaan Nabi Ibrahim AS di dalam syurga.

Anak-anak kecil ini mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada Ibu bapa mereka, dengan izin Allah. Daripada Abu Hassan RA:

عن أبي حسان قال : قلتُ لأَبِي هُرَيْرَةَ : إنَّه قَدْ مَاتَ لِي ابنانِ ، فَمَا أَنْتَ مُحَدِّثِي عَنْ رَسُولِ اللهِ بِحَدِيْثٍ تُطَيِّبُ بِهِ أَنْفُسَنَا عَنْ مَوْتَانَا ؟ قالَ : نَعَمْ ، صِغَارُهُم دَعَامِيْصُ الجَنَّةِ ، يَتَلَقَّى أَحَدُهُم أَبَاهُ - أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ - فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ ، - أَوْ قَالَ بِيَدِهِ - كَمَا آخُذُ أَنَا بِصَنَفَةِ ثَوْبِكَ هذا ، فَلا يَتَنَاهَى حتى يُدخِلَه اللهُ وَأَبَاهُ الجَنَّةَ

Maksudnya: Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meniggal dunia, “Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?” Jawab Abu Hurairah, “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga."

Hadis riwayat Imam Muslim (2435)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

Da`amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du`mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.”

Rujuk kitab Syarh Muslim (16/182)

Berkata Ibn al-Athir Rahimahullah:

“Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat, seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka.”

Rujuk kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar (2/289).

Semoga Allah berikan kekuatan kepada keluarga puan dan mentaqdirkan puan berjumpa dengan anak puan di Syurga kelak. Amin.

Copy and paste: 23 Ogos 2022 > 25 Muharam 1444H: 8.55 am

No comments:

Post a Comment