ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 27 July 2022

RUPANYA SUDAH 15 TAHUN IBADAHNYA TAK SAH…

OLEH : USTAZAH ASMA' HARUN

Baru-baru ini saya ada terima soalan dalam inbox berkaitan mandi wajib. Ada yang bertanya bagaimana jika ada anggota yang tidak terkena air seperti celah pelipat, sebahagian rambut, kulit kepala, dll.
Kemudian seorang wanita ceritakan bahawa ahli keluarga beliau ada yang tidak mandi wajib dengan betul dan sempurna. Rupanya dah 15 tahun begitu, Allahu Akbar.
Sebenarnya ramai yang masih tak sedar atau buat-buat tak perasan tentang perkara ini. Belum lagi kita bincang tentang anak remaja yang sudah baligh tapi tak diajar tentang cara mandi wajib yang betul.
Sungguh, kesannya bukan kecil. Ibadah yang dilakukan akan menjadi tidak sah kerana diri dalam keadaan hadas besar.
Dalam persoalan ini, saya kongsikan dahulu maksud hadas dan pembahagiannya supaya ia lebih mudah difahami.
Hadas: Keadaan seseorang yang tidak bersih atau suci yang menyebabkan terhalang daripada melakukan ibadah tertentu.
Hadas terbahagi kepada 2 iaitu hadas kecil dan hadas besar.
Hadas kecil: Keadaan seseorang yang tidak suci sehingga menghalanginya daripada melakukan ibadah tertentu melainkan dengan mengambil wudhu atau bertayammum (jika tiada air).
Sebab-sebab berlakunya hadas kecil adalah:
1. Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur.
2. Menyentuh kemaluan dengan tapak tangan yang tidak berlapik.
3. Hilang kewarasan akal akibat daripada mabuk, gila, pitam atau tidur kecuali jika seseorang itu tidur dalam keadaan tetap punggung pada tempat tidurnya.
4. Bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Hadas besar: Keadaan seseorang yang tidak suci yang mewajibkannya untuk mandi hadas (mandi wajib) atau tayammum (jika tiada air) bagi melakukan ibadah tertentu.
Sebab-sebab berlakunya hadas besar adalah:
1. Junub.
Janabah bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan. Oleh itu, orang yang berjunub ialah tidak suci disebabkan keluar mani atau persetubuhan.
a) Keluar air mani (lelaki atau perempuan).
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الْمَاءُ مِن الْمَاءِ
Maksudnya: “Air itu kerana air (wajibnya mandi kerana keluarnya air mani).”
(HR Muslim, hadis sahih)
b) Bersetubuh.
Rasulullah SAW bersabda:
إذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِل
Maksudnya: “Bila seorang lelaki duduk di antara empat potongan tubuh wanita (dua tangan dan dua kaki) dan tempat khitan bertemu (lelaki dan wanita) maka sungguh wajib mandi meskipun dia tidak mengeluarkan mani.”
(HR Muslim, hadis sahih)
2. Terhenti darah haid.
Firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَك عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللهُ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu adalah suatu kotoran". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah (bergaul) mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu,”
(Surah al-Baqarah 2: 222)
3. Terhenti darah nifas.
4. Melahirkan anak.
5. Meninggal dunia kecuali mati syahid.

RUKUN MANDI WAJIB
Di dalam kitab Safinatun Najah karya Syeikh Salim bin Sumair Al-Hadhrami menyebutkan, ada 2 perkara yang menjadi RUKUN mandi wajib iaitu:
1. Niat.
2. Meratakan air ke seluruh tubuh badan.
Dalam kitab tersebut beliau menuliskan:
فُرُوضُ الْغُسْلِ اثْنَانِ النِّيَّةُ وَتَعْمِيْمُ الْبَدَنِ بِالْمَاءِ
Maksudnya: “Fardhu atau rukun mandi ada dua, iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh badan.”

CARA MANDI WAJIB
Syeikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi dalam kitabnya Kasyifatus Saja menerangkan tatacara melaksanakan kedua rukun tersebut.
1. Niat mandi wajib berlaku sewaktu siraman air yang pertama jatuh ke anggota badan.
Niat Mandi Wajib
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِرَفْعِ اْلحَدَثِ اْلأَكْبَرِ مِنَ اْلِجنَابَةِ فَرْضًا لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari janabah, fardhu kerana Allah Ta'ala."
2. Meratakan air ke seluruh anggota badan seperti celah-celah jari tangan, kaki, pangkal rambut (yang terikat hendaklah diuraikan), janggut, cuping telinga, lubang hidung, pusat dan lubang dubur.
Sekiranya terdapat sedikit bahagian tubuh yang belum terkena air maka mandi yang dilakukan itu dianggap TIDAK SAH dan orang tersebut sebenarnya masih dalam keadaan berhadas.

ADAB MANDI WAJIB
Imam Ghazali menjelaskan dalam kitab Bidayatul Hidayah secara terperinci mengenai adab mandi wajib, antaranya:
1. Sewaktu masuk ke bilik mandi ambil air terlebih dahulu, basuh kedua tangan sebanyak 3 kali.
2. Bersihkan segala kotoran atau najis yang masih melekat di badan.
3. Berwudhuk.
4. Ratakan air di kepala sebanyak tiga kali disertai dengan niat.
5. Ratakan air ke bahagian badan sebelah kanan 3 kali, kemudian bahagian badan sebelah kiri 3 kali.
6. Gosokkan bahagian depan dan belakang badan 3 kali.
7. Selakan jari di celah rambut dan janggut (sekiranya ada). Pastikan air mengalir ke setiap lipatan kulit dan pangkal rambut.
Dalam bab bersuci, mungkin masih ramai yang ambil mudah, namun jika tidak difahami dengan baik bimbang akan menjejaskan ibadah kita untuk tempoh jangka masa yang panjang, kerana bersuci ini selalu diguna pakai oleh kita setiap hari.
Semoga panduan ini membantu dalam persoalan tatacara mandi wajib supaya ibadah yang dilakukan sah dan diterima Allah SWT.

Rujukan:
1. Kitab Safinah Najah, karangan Syeikh Salim bin Sumair Al-Hadhrami.
2. Kitab Kasyifatus Saja, karangan Syeikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi.
3. Kitab Fiqhul Manhaji, karangan Dr Mustafa Al-Khin & Dr Mustafa Al-Bugha 'Ali Asy-Syarbaji
Wallahua'lam.
Asma' binti Harun
Copy and paste: 27 Julai 2022 > 27 Zulhijjah 1443H: 11.38 am

No comments:

Post a Comment