ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 2 July 2022

MENGENALI TOKOH CENDEKIAWAN: HAMZAH FANSURI..SUMBANGANNYA KEPADA DUNIA KESUSASTERAAN MELAYU

CREADIT:AZHAR IBRAHIM ALWEE
Dunia Melayu pastinya berbangga memiliki seorang ahli tasawuf dan juga sasterawan besar dalam sejarahnya, Syeikh Hamzah Fansuri, yang dipercayai hidup antara separuh akhir abad ke-16 sehingga awal abad ke-17.
Tidak banyak diketahui tentang tokoh ini kecuali dari catatan dirinya dalam syair-syair.
Antaranya disebut beliau berasal dari Pancur, Barus. Maka itulah sebab terlekat Fansuri pada namanya.Wilayah pesisir di Utara Sumatera ini terkenal dengan kapur barus yang dihasilkan nya – suatu komoditi yang telah digunakan sejak dari zaman Mesir Kuno, dan Hamzah berbangga dengan tempat asalnya sehingga ditulisnya “Hamzah Fansuri di negeri Melayu/tempatnya kapur di dalam kayu.”
SANG PENCIPTA SYAIR
Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas, Hamzah Fansuri adalah sang pemula syair. Sebelum Hamzah, belum lagi diketemukan puisi beritma ini, yang mempunyai kemiripan dengan gaya pantun, namun tanpa pembayang atau sampiran.
Dari konteks persekitarannya, Hamzah banyak memanfaatkan perlambangan yang dirangkul ke dalam syair-syairnya sehingga menjadi kesatuan ungkapan yang khas berciri Nusantara. Banyak perlambangan laut yang terlantun dalam syair Hamzah, antaranya sangat padat dibaitkan sebegini.
Bentuk syair dimanfaat Hamzah untuk menyampaikan asas ajaran tasawuf dengan kepada sang salik, yakni orang yang sedang menempuhi jalan kerohanian dengan membersihkan kalbu, melawani nafsu dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Sang Pencipta.Sering pencarian ini diumpamakan dambaan seorang kekasih (Asyikin) kepada Sang Kekasihnya (Mahbub).
Bentuk bahasa perlambangan inilah yang menjadi ciri khas kesufian yang citanya mendekati Tuhan dengan khusyuk dan gemilang. Bayangkan kunang-kunang yang terbang ke api yang membara, hanya untuk melebur sama, ataupun jangan sampai menjadi gajahmina (paus) yang terdair-dair di lautan samudera, namun ia terasakan kehausan.
Inilah antara tamsilan yang terdapat dalam syair-syair Hamzah. Keseimbangan isi dan bentuk menjadikan syair Hamzah sangat indah sehingga barisan kalimat yang disusun itu memberikan kedalaman makna dengan kesentuhan rohani. Umpama disebut begini jelas :
"Sunnat Muhammad terlalu azim
Barang memakai dia bernama salim
Karana Rasulullah sempurna hakim
Menunjukkan jalan ke Jannat al-naim.."
"Shariat itu ambilkan kandil
Supaya engkau menjadi khalil
Karena ia datang daripada Rabbun Jalil
Menyatakan Allah dan hakikat sabil.."
Sehinggalah yang sarat dengan perlambangan:
"Ada kekasih di padang ghaib
Daim berlindung di rumah talib
Amarnya datang terlalu ghalib
Mencari Dia akan kita wajib.."
Inilah ciri khas ajaran tasawuf atau sufisme dengan tema cinta-kasih yang tali pengikat yang kuat, yang direntang bukan saja antara Tuhan dan makhluk ciptaanNya tetapi juga sesama makhluk.
Lafaz sufisme, banyak menggunakan perlambangan dan tamsilan sehinggakan kalau dibaca secara harfiah pasti akan membawa kesalahfahaman dan pertentangan.
Maka di situlah terbentuknya syair yang sarat dengan tamsilan sedangkan langgam bait-bait yang beritma suku katanya memudahkan hafalan bagi pengikutnya.
PEGANGAN WAHDATUL WUJUD
Hamzah Fansuri berpegang kepada konsep Wahdatul Wujud, yang dalam dunia Sufi dipelopori oleh beberapa tokoh Sufi, antaranya Ibn Arabi, yang memberati dimensi batin dari yang yang zahir, sedangkan yang wujud dan hakikat sebenarnya hanyalah Tuhan Sang Pencipta.
Panjang lebar Hamzah menghuraikan konsep ini dalam syair-syairnya, selain risalah-risalah seperti Syarab al-Asyiqin (Minuman Orang Berahi) dan Asrar al-Arifin (Rahsia Ahli Makrifat).
Dalam sejarah perkembangan Islam di rantau ini, perselisihan doktrin berlaku apabila kelompok ortodoks yang menafsirkan ajaran Wahdatul Wujud sebagai tersimpang dari akidah, sehinggalah nanti terjadi pengharaman ajaran ini dengan buku-buku yang mengandungi ajaran ini dibakar dan pengikutnya diburu.
Pastilah ini bukan saja pertentangan dari aliran yang berbeda, namun juga persaingan dalam kalangan penguasa istana, yang mana turun naik kuasanya juga bergantung kepada kelompok mana yang ia telah taja dan naungi.
PENYEBARAN DAN PENERIMAAN
Sheikh Syamsudin al-Sumatrani (w. 1630) yang dianggap sebagai sahabat dan murid Hamzah Fansuri, telah menulis syarah menjelaskan akan maksud pada syair-syair Hamzah. Ternyata, dengan tersebarnya ajaran Wahdatul Wujud, tersebar sama syair-syair Hamzah di merata Nusantara. Dengungan syair beliau boleh didapati dalam Syair Perang Mengkasar karangan Enche’ Amin, peranakan Melayu Mengkasar sekitar 1670 M.
Begitu juga dengan beberapa puisi tasawuf yang terkarang dalam kalangan pujangga Jawa di kraton Surakarta. Malah dalam puisi doa yang terlorek pada meriam asal Singgora abad ke-17, dikatakan mempunyai kemiripan dengan bait-bait sufi Hamzah.
Perjalanan sufi menempuhi jalan salik bukanlah mudah, selain harus ada pedoman, pastilah berguru dari ketua tarekat. Inilah yang dibayangkan Hamzah, akan jalan empat yang sayugia dijalani, bermula dengan pengakuran kepada Syariat, dengan berguru pada siding tarekat, demi mendalami ilmu makrifat dengan puncak pencapaian makam hakikat.
Inilah tradisi kesufian yang menitikberatkan kedalaman rohaniah mencari makrifat, datang sama dengan keindahan ungkapan dalam ilham kata dan rasa.
Di tangan Hamzah syair Melayu, atau ungkapn tasawuf Melayu mencapai puncak tertinggi, yang tiada tertanding pada zamannya dan zaman sesudahnya.
Di zaman ini Hamzah sekali gus mendapat jolokan sebagai ahli tasawuf dan sasterawan sekali gus.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan di tangan Hamzah paduan ini mencapai tahap yang tinggi sehingga ia menjadi teladan dan kekaguman seterusnya dalam sejarah. Hasil ilham beliau, bahasa Melayu dan kekata Arab dan Parsi tersulam indah menandakan juga kegeniusan Hamzah.
Betapa beliau pernah berpesan:
“Dunia ini umpama dagang Datang musim kita kan pulang.”
**"Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.
Sumber : BERITA Mediacorp

Copy and paste: 2 Julai 2022 > 2 Zulhijjah 1443H: 9.42 am

No comments:

Post a Comment