ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 6 July 2022

Jika Al-Quran Menjadi Sahabat Di Dunia, Ia Juga Menjadi Sahabat Di Akhirat

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Adakah anda merasa bahawa diri anda mempunyai sahabat? Tahukah anda apa ertinya sahabat yang sebenar?
Banyak orang mengertikan sahabat sebagai kawan atau teman yang sentiasa ada di saat susah senang seseorang.

Sahabat itu ialah orang yang paling rapat dalam kehidupan kita seperti rapatnya sebuah hubungan kekeluargaan.

Adakah anda mempunyai seorang sahabat seperti yang dinyatakan di atas?

Untuk entri kali ini, penulis akan menceritakan mengenai sahabat yang sering diabaikan oleh diri kita sendiri.

Siapakah ia atau apakah ia? Masakan kita boleh mengabaikan sahabat yang sentiasa mengingati kita?

Jawapannya ialah al-Quran. Tahukah anda, al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT kepada kekasih-Nya sebagai wahyu melalui Malaikat Jibril as kepada seluruh umat manusia dan tidak akan hilang ditelan zaman?

Allah telah menjadikan al-Quran sebagai pelindung dan pedoman buat seluruh makhluknya. Al-Quran itu merupakan pelengkap dalam kehidupan kita.

Mengapa Al-Quran itu Sahabat?

Pasti anda tertanya-tanya bukan, mengapa penulis mengatakan al-Quran sebagai sahabat? Bukankah sahabat yang zahir ialah manusia sendiri?

Sebenarnya, sahabat yang hakiki bagi setiap insan adalah al-Quran itu sendiri. Rasulullah SAW sentiasa berdamping dengan kalam Allah kerana ia merupakan penenang buat hari-hari baginda.

Berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat menjadi pemberi syafaat bagi orang-orang yang bersahabat dengan-Nya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW mengatakan bahawa al-Quran itu merupakan sebagai pemberi syafaat di hari kiamat kelak buat orang-orang yang selalu berdamping dengannya.

Tahukah anda, di hari kiamat kelak, ramai yang boleh menjadi syafaat buat diri kita, namun adakah kita layak menerimanya?

Salah satu syafaat yang akan hadir ialah al-Quran. Ini kerana ia merupakan makhluk Allah yang diutuskan untuk menjadi panduan buat umat manusia. Al-Quran itu merupakan antara mukjizat terbesar. Terdapat beberapa syafaat yang akan diberikan oleh al-Quran, antaranya ialah:

#1 – Al-Quran Sebagai Pemberi Syafaat Untuk Masuk Syurga

اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه، اقرءوا الزهراوين البقرة، وسورة آل عمران، فإنهما تأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان، أو كأنهما غيايتان، أو كأنهما فرقان من طير صواف، تحاجان عن أصحابهما

Mafhumnya: “Bacalah al-Quran kerana Al-Quran akan datang pada hari Kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya), iaitu surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis sahih ini jelas disebut bahawa al-Quran itu adalah sebagai syafaat buat golongan yang sering membaca al-Quran malah tadabbur dan mengamalkannya.

#2 – Al-Quran Sebagai Pengangkat Darjat Dalam Syurga

يقالُ لصاحبِ القرآن: اقرَأ وارتَقِ، ورتِّل كما كُنْتَ ترتِّل في الدُنيا، فإن منزِلَكَ عندَ آخرِ آية تقرؤها

Mafhumnya: “Dikatakan pada orang yang menjadi penjaga al-Quran: Bacalah dengan tartil sebagaimana engkau dulu sewaktu di dunia membacanya dengan tartil, kerana sesungguhnya kedudukanmu (tinggi darjatmu disyurga) adalah tergantung pada akhir ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Syurga itu mempunyai beberapa darjat sesuai mengikut amalan yang dilakukan oleh bakal penghuninya. Oleh itu, bacalah al-Quran selalu agar darjat kita diakui oleh syurga.

#3 – Terhindar Daripada Kesesatan

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ

Mafhumnya: Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain: kemudian jika dating kepada kamu petunjuk dari-Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (Surah Ta-Ha, 20:123)

Al-Quran itu merupakan petunjuk buat seluruh muslim dan mukmin. Oleh itu, bacalah ia dan tadabburlah dengan bersungguh-sungguh supaya terhindar daripada kesesatan.

Utshman bin Affan Bersahabat Dengan al-Quran

Pernah anda mendengar tentang seorang sahabat Rasulullah yang telah diberi gelaran Dzu Nurain kerana beliau telah memiliki dua orang puteri Baginda SAW?

Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sentiasa berdamping dengan ayat-ayat Allah dan tidak pernah harinya berlalu tanpa melihat dan membaca kalam Allah.

Dalam sebuah kitab al-Bidayah wa an-Nihayah yang telah ditulis oleh Ibn Katsir, Utsman bin Affan pernah berkata: “Sungguh aku membenci satu hari yang berlalu tanpa melihat (membaca) al-Quran.”

Utsman bin Affan selalu bertanyakan Rasulullah mengenai al-Quran dan beliau merupakan sahabat yang paling suka membaca ayat al-Quran.

Para sahabat di zaman Rasulullah bukan sahaja setakat membaca kalam Allah ini, malah sama-sama bertadabbur dan menghafalnya. Bagi mereka, al-Quran merupakan sebuah khabar gembira untuk mereka.

Sepertimana firman Allah yang berbunyi:

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Mafhumnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Didiklah diri untuk sentiasa membaca ayat al-Quran. Lazimi bibirmu untuk sentiasa mengucapkan kalam Allah.

Bacalah al-Kahfi pada setiap pagi Jumaat untuk menghindarkan diri dari fitnah yang paling besar, iaitu fitnah Dajjal. Bacalah al-Mulk pada setiap malam untuk menerangi kuburmu suatu hari nanti. Bacalah Yaasin sebagai sedekah buat mereka yang telah tiada.

Sesungguhnya setiap daripada kalam Allah itu punya manfaatnya yang tersendiri. Jika tidak mampu menghafalnya, maka cubalah mentadabburnya. Jika tidak mampu tadabburnya, maka bacalah ia. Semoga ia menjadi syafaat buat diri kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

 Sumber: tzkrh.com 

Copy and paste: 6/7/2022 > 6 Zulhijjah 1443H: 7.28 pm

No comments:

Post a Comment