ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 8 July 2022

Istighathah kepada Rasulullah SAW syirik?

SUMBER: HARIAN METRO
Dr. Mohd Khafidz Soroni

Dikatakan nasyid: "Allah, Allah, aghithna ya Rasulallah..." (Allah, Allah, tolonglah kami wahai Rasulullah...) mengandungi unsur syirik. Benarkah demikian? Pertama, perlu diketahui bahawa meminta pertolongan (istighathah) kepada seseorang yang masih hidup tanpa mengiktikadkan sifat ketuhanan padanya adalah harus. Orang yang meminta pertolongan biasanya tahu perbuatannya hanya sebagai usaha atau sebab sahaja, manakala yang berkuasa menentukan hanyalah Allah SWT semata-mata. Ia tentunya tidak pasti sama ada permintaannya akan dipenuhi atau tidak. Melainkan orang yang diminta pertolongan itu masyhur diketahui bersifat pemurah dan baik hati, harapan untuk permintaannya dipenuhi adalah tinggi. Sehingga takat ini, golongan yang menolak istighathah menerima konsep ini dan bersetuju tiada syirik. Bagaimana dengan orang yang sudah meninggal dunia?

Ya, orang yang sudah meninggal dunia tidak lagi mempunyai apa-apa kelebihan kecuali golongan yang diberikan keistimewaan oleh Allah seperti anbia dan syuhada. Antara dalilnya, hadis mutawatir tentang hidupnya sekalian nabi AS dalam kubur mereka seperti yang dinyatakan Imam as-Suyuti dalam kitab Anba' al-Adhkiya' bi Hayat al-Anbiya' dan firman Allah SWT: "Jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."
Ali Imran: 169

Maklum diketahui, penghulu anbia dan syuhada, bahkan seluruh makhluk Allah tidak lain adalah Rasulullah SAW. Baginda mempunyai kedudukan yang cukup tinggi di sisi Allah SWT. Kewafatan baginda hanya satu perpindahan dari alam dunia ke alam akhirat mengikut hukum tabii. 

Namun, baginda dapat mengetahui ucapan selawat umatnya yang disampaikan kepadanya (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih), menjawab salam orang yang memberi salam kepadanya (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih), hadir dalam mimpi sebahagian umatnya (Riwayat al-Bukhari), malah mengikuti hal umatnya serta memohon keampunan buat mereka, berdasarkan hadis: "Hidupku baik bagi kamu sekalian, kalian menyampaikan (daripadaku) dan kami menyampaikan kepada kalian. Kematianku juga baik bagi kamu sekalian kerana amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepadaku. Maka, sekiranya aku melihat kebaikan, aku akan memuji Allah kerananya. Dan sekiranya aku melihat keburukan, aku akan meminta ampun kepada Allah bagi kamu sekalian." 
Riwayat al-Bazzar dengan sanad sahih

Oleh itu, bolehkah beristighathah dengan Rasulullah SAW? Berdasarkan konsep yang dijelaskan, beristighathah dengan baginda hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mengiktikadkan atau meletakkan sifat ketuhanan kepada baginda serta mengetahui perbuatannya hanya sebagai ikhtiar atau sebab sahaja disebabkan Nabi SAW mempunyai doa dan syafaat yang dipandang oleh Allah SWT. Sementara yang berkuasa menentukan dan memberikan manfaat atau mudarat hanyalah Allah sahaja. Berdasarkan sebahagian dalil yang dikemukakan menunjukkan kewafatan baginda bukan bermakna hubungan baginda terputus langsung dengan umatnya. Kewafatan baginda hanyalah pertukaran lazim dari alam fana ke alam baqa bukan bererti daripada berkuasa kepada tidak berkuasa. Ini kerana yang berkuasa hanyalah Allah semata-mata. Makhluk tiada berkuasa, baik semasa hidup mahupun sesudah mati. Ini asas pegangan akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Adakah istighathah berlaku dalam kalangan salaf? 
Ya, misalnya, al-Haitham bin Hanasy berkata: "Kami bersama Ibn Umar RA, lalu tiba-tiba kakinya kejang. Maka seorang lelaki berkata: 'Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai'. Beliau pun menyebut: 'Ya Muhammad.' Lantas, seolah-olah beliau baru terlepas daripada simpulan (terus sembuh)." 
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dengan sanad sahih

Pernah kemarau melanda Muslimin pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Maka, seorang sahabat (Bilal bin al-Harith RA) mendatangi makam Rasulullah SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, mohonkanlah hujan kepada Allah untuk umatmu kerana mereka benar-benar telah binasa." Kemudian dia bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan baginda berkata: "Pergi temui Umar dan sampaikanlah salamku kepadanya. Beritakanlah kepadanya bahawa hujan akan turun untuk mereka dan katakanlah kepadanya: 'Hendaklah engkau bertindak bijaksana'. Kemudian dia datang kepada Umar dan memberitahu kisahnya. Lalu Umar menangis dan berkata: 'Ya Allah, aku tidak akan simpan daya upayaku kecuali apa yang aku tidak mampu.'" 
Riwayat Ibn Abi Syaibah dan lain-lain dengan sanad sahih

Semua ulama yang merekodkan athar ini tiada memberi ulasan bahawa ia boleh membawa kepada syirik. Sekiranya akidah betul dipasakkan, seseorang Muslim pasti tahu untuk meletakkan sesuatu perkara di tempatnya yang betul.

Penulis 
Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), 
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Disiarkan pada: Disember 12, 2021 @ 6:00am

Copy and paste: 8/7/2022 > 8 Zulhijjah 1443H: 3.30 pm


No comments:

Post a Comment