ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 11 July 2022

ASAL USUL "SELIPAR JEPUN"

Sejarah Melayu
Asal usul "Selipar Jepun" Kejamnya tentera Jepun guna selipar sebagai penghinaan kepada orang Malaya
SELIPAR atau lebih dikenali dengan panggilan nama selipar Jepun memang sangat selesa, menyenangkan dan memudah kan pergerakan apabila di pakai. Atas sebab itu, sejak dari dulu sehingga kini, ramai orang memilih untuk memakai selipar Jepun daripada kasut. Tapi, siapakah pencipta selipar? Adakah orang Jepun yang menciptanya?
Sejarah selipar sebetulnya sangat panjang. Terdapat banyak bukti menunjukkan kewujudan selipar yang ada pada hari ini telah mula di hasilkan oleh kaum primitif. Buktinya, sandal tertua di dunia yang diperbuat daripada kulit lembu telah ditemui di sebuah gua di Armenia. la masih berkeadaan baik, meskipun diyakini wujud kira-kira 3,500 Sebelum Masihi (SM).
Bagaimanapun, terdapat bukti lain menunjukkan bahawa penggunaan selipar sebenarnya lebih lama daripada tempoh tersebut. Seorang Profesor Antropologi Fizik dari Universiti Washington di St. Louis, Erik Trinkaus, meletakkan keyakinan bahawa selipar telah digunakan sejak sekitar 40,000 dan 26,000 tahun dahulu lagi.
Ini berdasarkan penemuan bukti pada ketebalan tulang jari kaki kaum primitif seperti ibu jari kaki mengalami penyusutan atau menjadi nipis dan lebih pendek.
Jika ribuan tahun dahulu selipar sudah ada, bagaimana agaknya rupa alas kaki mereka? Penggunaan selipar pada zaman dahulu sangat ringkas rekaannya. Kulit lembu dijadikan seperti 'beg kaki' untuk melindungi kaki dari pada batu tajam, tusukan duri, cuaca panas dan sejuk ketika keluar memburu atau mencari perlindungan.
Bermula hanya dari beg kaki, selipar telah melalui satu fasa revolusi yang sangat panjang. Malah fungsi pemakaian selipar juga turut berkembang. Bukan hanya untuk tujuan melindungi kaki, tapi juga sebagai pelengkap gaya dan lambang status sosio ekonomi seseorang.
Daripada bukti yang ditemui, jelaslah peneroka selipar pertama bukanlah orang Jepun seperti mana nama popularnya. Tapi pelik, mengapa alas kaki tersebut diberi nama sedemikian? Asal usul penjenamaan selipar Jepun masih belum dapat dipastikan dari mana mulanya.
Apa yang diketahui, selipar Jepun cuma nama popular yang diberi oleh rakyat Malaysia. Gelaran sebegitu sebenarnya tidak terdapat di negara lain. Bahkan, penduduk negara yang juga disebut dalam bahasa Melayu lama sebagai 'Jepang' (kini diterapkan dalam bahasa Indonesia) yang dipinjam dari loghat bahasa Cina itu turut tidak mengenali apa itu selipar Jepun.
Mereka hanya mengenali selipar Jepun sebagai minuman 'mix drink' atau pun arak di campur dengan manisan yang dipanggil sebagai Japanese Slipper.
Selipar yang wujud pada hari ini juga bukanlah dibawa masuk oleh askar Jepun semasa kedatangan mereka ke Tanah Melayu satu ketika dulu, Dipercayai pemakaian selipar yang mempunyai tali berbentuk V itu sudah lama digunakan oleh penduduk tempatan sebelum kedatangan mereka ke Tanah Melayu lagi.
Ketidakpastian mengenai perkara yang satu ini menyebabkan ada yang meletakkan beberapa kemungkinan kenapa alas kaki yang ada sekarang ini dipanggil dengan nama sebegitu. Perkara ini banyak dikaitkan dengan sejarah penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada 8 Disember 1941.
Sungguhpun, Jepun menakluki Malaya hanya dalam tempoh tiga tahun sembilan bulan, tetapi perubahan yang dibawa mereka memberi kesan mendalam pada nenek moyang kita terdahulu. Pada zaman pemerintahan tentera Jepun, mereka dikatakan telah melakukan banyak kekerasan, menzalimi dan menyeksa penduduk kampung dengan cara yang amat menakutkan.
Bagaimanapun sesuatu yang agak pelik mengenai penyeksaan ini ialah kebanyakan kekerasan itu dilakukan dengan menggunakan selipar. Antaranya, mereka sering menyeksa tahanan penjara dengan menampar muka mangsa menggunakan selipar. Bahan yang diperbuat daripada getah itu juga kerap dimasukkan ke mulut tahanan, lalu dipaksa menggigitnya sehingga gigi mangsa patah.
Kegiatan jahat tentera Jepun di katakan tidak pernah diam. Jika tidak bertindak keras pada tahanan penjara, mereka gemar mengusik perempuan tempatan. Usikan itu selalunya akan berakhir dengan tindakan buas merogol wanita tempatan dan memasukkan selipar ke kemaluan mangsa.
Perbuatan keras tentera Jepun menyebabkan hidup rakyat menjadi lebih tertekan. Hasil pertanian pula dirampas menyebabkan ramai yang menganggur dan mati kebuluran. Saat itu tiada yang berani mengadu lapar atau merayu bantuan makanan kepada tentera Jepun. Rayuan itu selalunya tidak akan diendahkan. Malah tentera Jepun akan memaksa si pengadu itu memasak selipar kemudian diarahkan supaya memakannya.
Kerana selipar sering dijadikan sebagai salah satu alat menyeksa penduduk, askar Jepun seolah-olah menganggap ia sebagai mesej penghinaan. Justeru, tiada seorang pun di kalangan tentera Jepun dilihat memakainya. Mereka lebih bangga menyarung kasut, apatah lagi harga sepatu pada masa itu sangat mahal. Penduduk kampung yang tidak memiliki wang dan hidup dalam kesempitan pula sekadar mampu memakai selipar buruk.
Kesan tindakan keras tentera Jepun menyebabkan penduduk kampung menjadi fobia terhadap selipar. Dari sinilah dikatakan kenapa orang terdahulu mula memanggil alas kaki itu dengan nama selipar Jepun.
Sumber artikel : JAGADITA

Copy and paste:
11 Julai 2022 > 11 Zulhijjah 1443H: 7.26 pm

No comments:

Post a Comment