ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 23 July 2022

AMALAN HARI JUMAAT

OLEH: USTAZAH ASMA' HARUN

ALHAMDULILLAH.. HARI JUMAAT DATANG LAGI
🤲😊
KITA SAMBUT DENGAN AMALAN DIBAWAH
🌹
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ
Maksudnya: "Sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, kerana pada hari itulah Adam diciptakan. Pada hari itu pula ia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu pula ia dikeluarkan daripadanya. Dan hari kiamat tidak terjadi kecuali pada hari Jumaat."
(HR Muslim, Hadis Sahih)
Bersempena hari yang mulia ini, mari lakukan beberapa amalan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
1. MEMBACA SURAH AL-KAHFI
Daripada Abu Darda’ r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a.:
مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ
Maksudnya: “Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dan Baitul ‘atiq.”
(HR ad-Darimi, Sahih)
2. MEMBACA SURAH AL-SAJADAH DAN AL-INSAN PADA PAGI JUMAAT
Daripada Abu Hurairah r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِ الم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنْ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam solat Subuh pada hari Jumaat biasanya Nabi SAW membaca “الم تَنْزِيلُ” (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama, manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (Surah al-Insan) .”
(HR Muslim, Hadis Sahih)

3. MANDI SUNAT HARI JUMAAT
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِىَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ
Maksudnya: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat dia hendaklah mandi”.
(HR Muslim, Hadis Sahih)
Waktu mandi sunat Jumaat bermula apabila masuknya waktu solat Subuh, namun jika mandi ketika hampirnya waktu mendirikan solat Jumaat adalah lebih baik.

4. MEMOTONG KUKU DAN MENCUKUR BULU
Menurut Imam al-Sakhawi, tiada hadis yang sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku.
Bagaimanapun, Imam Nawawi menyatakan di dalam kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab: “Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafi’iyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut pada badan (misai, bulu ketiak dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat.”

5. MEMAKAI PAKAIAN YANG TERBAIK
Imam Syafie menjelaskan dalam kitab al-Umm:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

6. DATANG AWAL KE MASJID UNTUK TUNAIKAN SOLAT JUMAAT
Nabi SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”.
(HR al-Bukhari dan Muslim, Hadis Sahih)
Menurut kitab al-Muktamad dalam mazhab al-Syafie, masa pertama dan kedua bukanlah dimaksudkan dengan tempoh masa tertentu, namun ia dikira dengan siapa yang datang dahulu akan mendapat kelebihan tersebut daripada yang datang kemudian.

7. SEDEKAH WALAU SEDIKIT
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya."
(HR Muslim, Hadis Sahih)

8. TETAPKAN BILANGAN SELAWAT UNTUK DIBACA DAN BERUSAHA CAPAI TARGET TERSEBUT
Daripada Abu Umamah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”
(HR al-Baihaqi, Hadis Hasan)

9. MEMPERBANYAKKAN DOA
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ
Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.”
(HR al-Bukhari, Hadis Sahih)
Dalam riwayat lain, ada disebutkan satu waktu yang mustajab pada hari Jumaat. Daripada Abu Burdah bin Abu Musa Al Asy'ari beliau berkata;
قالَ لِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ قَالَ قُلْتُ نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Abdullah bin Umar bertanya padaku: “Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW mengenai satu waktu (yang mustajab) pada hari Jumaat?” Abu Burdah berkata; Saya menjawab, “Ya, aku mendengarnya berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Waktunya ialah antara imam duduk (di mimbar) sehingga selesai solat Jumaat.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)

10. MELAZIMI ISTIGHFAR
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.
(HR Bukhari, Hadis Sahih)
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
🌹
ASMA' BINTI HARUN

Copy and paste> 23 Julai 2022 : 23 Zulhijjah 1443H: 19,52 am

No comments:

Post a Comment