ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 23 June 2022

PERBUATAN SALAH TIDAK MENGHALALKAN CARA

Ustazah Asma Harun

“SAYA DAH 3 KALI PERGI UMRAH, YANG PAKAI TUDUNG TAK DIJEMPUT PUN”
Harus faham, hukum menunaikan umrah ialah sunat muakad, iaitu sunat yang amat dituntut, namun hukum MENUTUP AURAT IALAH WAJIB. Ramai salah faham tentang keutamaan ini menyebabkan perkara wajib dilengah-lengahkan tapi yang sunat atau harus pula dikejar sehingga terabai yang wajib.
Ada juga sebahagian yang merasakan tidak mengapa jika tak menutup aurat, yang penting hati mereka baik. Jika kita ke kedai buah, mana yang kita akan pilih, buah yang luarnya baik atau yang sudah dipenuhi lebam dan busuk? Apabila pilih yang luarnya baik, ada kemungkinan isinya segar atau rosak, tetapi luar yang buruk sudah pasti isinya juga telah rosak.
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(HR Muttafaqun ‘alaih, hadis sahih)
HATI-HATI DENGAN APA YANG DIBERI, BIMBANG IA MUSIBAH YANG TERSEMBUNYI
Tuan Puan,
Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
(HR Ahmad, hadis Hasan)
Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya. Allah SWT berfirman:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Qalam: 44)
Syeikh Ibnu ‘Athoillah al-Sakandari pernah menyatakan di dalam kitab Hikam:
خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj.”
Allah berhak memberi apa sahaja kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan termasuk yang mensyirikkan-Nya dan bermaksiat kepada-Nya. Namun perbezaan besar adalah sama ada apa yang diberi itu dengan kasih sayang atau murka-Nya.
Alhamdulillah, peluang untuk menunaikan haji atau umrah itu memang direzekikan kepada mereka yang terpilih, namun kayu ukur yang lebih penting ialah APA PERUBAHAN yang berlaku pada diri kita SELEPAS PULANG daripada haji atau umrah? Adakah akhlak dan ibadah kita lebih baik, sama sahaja atau semakin buruk? Allahu Akbar.

BUKAN BUAT KERJA TUHAN TAPI JANGAN PULA PERKECILKAN PERINTAH TUHAN
Jangan salah faham, orang yang menegur bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam. Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang mudah sekali dirosakkan minda dan akhlak mereka oleh segelintir selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
Para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating. Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, sebaliknya hanya alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran. Kita akan dipertanggungjawabkan kelak, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَىْ مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: "Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman."
(HR Muslim, hadis sahih)
Menutup aurat bukan ertinya berlagak suci, juga yang berhujah dengan ayat "kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup masing-masing, jangan disebut aib orang secara terbuka dll." SEMUA AYAT ITU HANYA HUJAH AKAL UNTUK HALALKAN DOSA SECARA TERBUKA.
Bila ada yang menegur, bukan bermaksud nak menghukum sesiapa, tetapi Allah dan RasulNya sendiri telah memberitakan ciri-ciri mereka, apa yang Nabi SAW sebut lebih 1400 tahun lepas telah terbukti satu demi satu. Rasulullah SAW bersabda :
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا.
Maksudnya: “Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi menampakkan bentuk badan), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (atau apa sahaja daya tarikan supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sekarang mari kita semak dengan jujur, adakah kita termasuk golongan yang disebutkan Nabi Muhammad SAW di atas, atau adakah kita nak marahkan Baginda?”.
Asma’ binti Abu Bakar pernah memakai pakaian yang agak nipis ketika perintah menutup aurat masih dalam proses secara beransur, Nabi Muhammad SAW terus menegur dan beliau terus ubah tanpa bantah dan beralasan, bahkan ketika turunnya ayat tentang hijab (tudung), terus para wanita ketika itu mencari dan mengambil apa sahaja kain yang ada untuk menutup TANPA BERTANGGUH.
WALAU MATI, BIMBANG DOSA TIDAK BERHENTI
Pernahkah terfikir bagaimana jika suatu hari nanti dipanggil bertemuNya, saat jasad sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana gambar atau video mendedahkan aurat masih kekal berada di media sosial?. Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri, bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati.
Kita tidak pernah tahu bilakah detik kematian akan kunjung tiba, namun yakinlah setiap hela nafas yang Allah masih pinjamkan buat kita saban hari, itulah peluang berharga untuk kembali kepadaNya. Balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati setiap perintah dan meninggalkan laranganNya.
Ingatlah setiap rupa, kekayaan, kemasyhuran, pengaruh, keuntungan, pujian manusia dan bakat yang ada pada diri kita menjadi anugerah dan ibadah jika dimanfaatkan ke arah yang baik, namun apabila digunakan ke jalan bercampur maksiat, ia adalah satu musibah!
Penulisan ini lahir daripada rasa kasih sayang dan hormat kepada semua, atas dasar saudara se-Islam juga teguran ini dibuat. Sebagai seorang wanita Islam, cara hidup kita di atas bumi Allah ini bukan semata-mata bersandarkan kepada logik akal atau pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya menurut alQuran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq dan hidayah-Nya serta bersegera memohon keampunan dan rahmat-Nya.

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”
(Surah Ali Imran 3: 8 )
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
Copy and paste:
23/6/2022 > 24 Zulkaedah 1443H: 8.31 pm

No comments:

Post a Comment