ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 3 February 2022

TEORI KEDATANGAN BANGSA MELAYU

Kredit to: Mar Ahmad > FB Kisah Sejarah Melayu

PART 1

Sedikit  maklumat  mengenai  asal  usul  orang  Melayu  berdasarkan  beberapa pandangan sejarawan. Saya kongsikan di sini meskipun saya pasti ramai dah tahu tentang teori penghijrahan ini. Saya bahagikan kepada beberapa bahagian, nanti taklah byk sgt nak baca.

TEORI KEDATANGAN BANGSA MELAYU

Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat tiga teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:

• Bangsa Melayu berasal Sungai Mekong (Teori Mekong)

• Bangsa Melayu berasal daripada Yunnan (Teori Yunnan)

• Bangsa Melayu berasal daripada Nusantara (Teori Nusantara)

Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh AS, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Akan tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.

Sebelum tahun 1940-an, kita dapati hampir semua sejarawan percaya bahawa pada satu masa sekitar zaman Pleistocene dan awal Zaman Batu telah berlaku penghijrahan beramai-ramai manusia dari kawasan utara masuk ke Asia Tenggara termasuk ke Tanah Melayu dan Borneo.

Teori   ini   telah   diketengahkan   buat   kali   pertamanya   oleh   dua   orang  ahli antropologi,  F.  Sarasin  dan  P.  E.  Sarasin.  Antara  penyokong  teori  ini  ialah Heine-Geldern, George Coedes, D. G. E. Hall dan ramai lagi sejarawan yang sezaman.

Teori ini menegaskan perpindahan dua kelompok utama manusia yang dikenali sebagai Melayu Proto dan Melayu Deutro ke kawasan ini secara berperingkat- peringkat. Dikatakan bahawa Melayu Proto telah membawa bersama mereka kebudayaan Neolitik yang maju, manakala Melayu Deutro membawa kebudayaan gangsa dan besi. Teori ini berasaskan kepada kepercayaan yang manusia sebenar, iaitu  Homo  sapiens  berasal  dari  Timur  Tengah  dan  di  situlah  bermulanya peradaban manusia.

Dikatakan  bahawa  kelompok  pertama  (Melayu  Proto)  itu  telah  berhijrah  ke kawasan  ini  sekitar  3000-2500  SM dan  kumpulan  kedua iaitu  Melayu  Deutro sekitar 1500-300 SM.

Walaupun semua sejarawan berpendapat bahawa telah wujud penghijrahan secara besar-besaran dan secara berperingkat-peringkat dari barat ke timur dan kemudian turun  ke  Asia  Tenggara,  namun  mereka  tidak  sependapat  dari  mana  tamadun manusia ini bermula. 

Heine-Geldern berpendapat bahawa asal peradaban manusia bermula dari Eropah, manakala Peter Schmidt percaya ia bermula dari Mesir. Di samping itu, terdapat mereka yang mempercayai peradaban manusia bermula dari Lembah Mesopotamia atau Timur Tengah. Bermula dari sini, manusia bertaburan di  permukaan  muka bumi  atas  sebab  paling  utama  iaitu  ekonomi.  Sebahagian daripada mereka berjaya sampai ke Asia Tenggara dan Tanah Melayu melalui Asia Tengah yang mengambil masa berkurun lamanya.

Hasil kajian terkini mendapati terdapat dua kumpulan manusia tinggal di Asia

Tenggara:

- Melanesoid Tua yang dipercayai berkembang setempat.

- Mongoloid yang berhijrah dari utara.

Kumpulan kedua ini dikatakan telah bergerak ke selatan secara perlahan-lahan dalam jangka masa ribuan tahun dalam Zaman Batu.

Etnik Mongoloid adalah istilah yang pernah digunakan untuk merujuk fenotip (ciri-ciri biologi fizikal) umum dari sebahagian besar penghuni Asia Utara, Asia Timur,  Asia  Tenggara,  Madagaskar  di  lepas  pantai  timur  Afrika,  beberapa bahagian India Timur Laut, Eropah Utara, Amerika Utara, Amerika Selatan, dan Oceania. Anggota ras Mongoloid dulu juga dikatakan berkulit kuning, walau ia tidak selalu benar. Ada yang mengatakan orang India Amerika berkulit merah (Red Indian), manakala orang Asia Tenggara pula sering dikatakan berkulit coklat muda atau coklat gelap (sawo matang).

Ciri khas utama yang dilihat pada ras ini adalah rambut berwarna hitam yang lurus, berdahi luas ketika lahir, dan kelopak mata yang unik yang disebut dengan istilah mata sipit. Selain itu, perawakan ras Mongoloid seringkali berukuran lebih kecil dan pendek daripada ras Kaukasoid (atau Kaukasia yang berasal daripada bahasa Inggeris Caucasian iaitu sebahagian besar penduduk Eropah, Afrika Utara, Timur Tengah, Pakistan, dan India).

Pakar genetik asal Itali, Luigi Luca Cavalli-Sforza telah membuktikan bahawa mengelaskan ras manusia adalah suatu usaha yang sia-sia. Dengan demikian, dari segi biologi, istilah seperti ras Kaukasoid pada ras manusia tidak boleh digunakan lagi. Fenotip seseorang ditentukan oleh hanya sejumlah kecil gen. Secara biologi, hanya ada satu ras manusia, iaitu Homo sapiens sapiens.

Akan tetapi sebagai pengkaji yang percaya kepada kewujudan manusia sempurna daripada Adam dan Hawa, andaian mengatakan golongan Melanesoid Tua adalah manusia setempat tidak dapat diterima. Justeru, golongan ini juga dipercayai telah berhijrah dari kawasan lain ke Asia Tenggara dan kemudian ke Australia, mereka dikenali sebagai Australoid.

Kumpulan-kumpulan ras Australoid (Melanesoid Tua) ini juga masih ada yang menghuni kawasan-kawasan yang pernah dilalui oleh mereka seperti di India dan pulau-pulau Lautan Pasifik. Di kepulauan Pasifik mereka dikenali sebagai orang Melanesia manakala di India dan Sri Lanka mereka dipanggil Wedda. Ras ini juga ditemui di sekitar Kepulauan Melayu seperti orang Enggano dan Mentawai. Di Sumatera, mereka dikenali sebagai Sakai, Ulu, Kubu, Lubu dan manakala di Sulawesi  Selatan  mereka  dikenali  sebagai  Toala  dan  Takeo.  Di  Semenanjung Tanah Melayu, ras Melanesoid Tua ini terdiri daripada puak-puak Orang Asli; Senoi dan Sakai.

Kumpulan kedua yang dipercayai telah berhijrah ke Asia Tenggara adalah daripada ras Mongoloid. Mereka dipercayai berhijrah dari sekitar Asia Tengah ke timur dan selatan dalam jangka masa beribu-ribu tahun. Mereka kemudian mendiami Yunnan dan Indo-China. Dan dari kawasan-kawasan itu kemudian ramai antara mereka yang meneruskan penghijrahan ke selatan memasuki kepulauan Asia Tenggara. Harrison menganggarkan mereka masuk ke kawasan ini sekitar tahun 15 000-2000 SM. Golongan inilah yang sering dipanggil oleh sejarawan sebagai Melayu Deutro.

Golongan Melayu Deutro ini datang lewat sedikit daripada Melayu Proto. Justeru, mengikut teori yang dikemukakan oleh Hendrik Kern dan diikuti oleh R. O. Winstedt, kawasan asal bangsa Melayu  adalah di  Champa, Cochin-China dan Kemboja.

Sumber:   Maruwiah   Ahmat   (2021),   Bangsa   Melayu:   Sejarah,   Budaya danPelestariannya di Malaysia. CAD: Puchong.

PART 2

Teori Migrasi dari Sungai Mekong

Sungai Mekong yang berukuran 4180 km panjang, bermula dari Tibet dan melalui Yunnan, wilayah China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Pakar- pakar antropologi menjejaki migrasi masyarakat Melayu Proto, yang merupakan pelaut, lebih kurang 10,000 tahun dahulu apabila mereka belayar menggunakan perahu di sepanjang Sungai Mekong dari Yunnan sehingga Laut China Selatan dan akhirnya mendiami di tempat-tempat berbeza.

Hubungan Melayu-Cham

Persamaan Bahasa Cham dan Bahasa Melayu dapat ditemui pada nama tempat- tempat seperti Kampong Cham, Kambujadesa, Kampong Chhnang dan sebagainya. Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dengan jelas menyebut terdapatnya komuniti Cham di Melaka sekitar tahun 1400 M. Pada pertengahan tahun 1400 M apabila Cham tewas kepada orang Vietnam, lebih kurang 120 000 orang terbunuh dan pada sekitar tahun 1600 Raja Champa memeluk Islam. Pada sekitar tahun 1700, raja Muslim terakhir Champa, Pô Chien mengumpulkan orangnya dan berhijrah ke selatan Kemboja sementara mereka yang tinggal sepanjang pesisir pantai berhijrah ke Terengganu dan ada yang ke Kelantan.

Teori Migrasi dari Yunnan

Penduduk-penduduk  awal  Yunnan  dapat  dijejaki  dalam sejarah  sejak  170  juta tahun dahulu dari sebuah fosil homo erectus, ‘Manusia Yuanmou’ yang dijumpai pada tahun 60-an. 

Pada tahun 221 SM, Qin Shihuang berjaya menakluk Yunnan dan menyatukan China dan sejak itu mula menjadi sebuah wilayah dalam China. Mereka ini terkenal dengan teknik menanam tanaman padi untuk dibuat nasi.

Teori Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J. H. C. Kern, J. R. Foster, J. R. Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Melayu Proto (Melayu Asli) yang pertama sekali datang mempunyai kemahiran dalam bidang  pertanian  sementara  golongan  kedua,  Melayu  Deutro  yang  tiba  sekitar tahun 1500 SM dan mendiami pesisir pantai mempunyai kemahiran menangkap ikan yang tinggi. Semasa berlakunya migrasi itu, kedua-dua golongan berkahwin dengan penduduk dari pulau-pulau selatan seperti Jawa, serta penduduk setempat yang berasal daripada keturunan Australasia dan Negrito. Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa pihak yang tidak mempersetujui teori ini.

Antara bukti lain yang menyokong teori ini termasuklah:

1. Kapak tua yang mirip kepada kapak tua di Asia Tengah ditemukan di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.

2.  Adat  resam  bangsa  Melayu  mirip  kepada  suku  Naga  di  daerah  Assam (berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar).

3. Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut  lagi,  penduduk  di  Kemboja  mungkin  berasal  daripada  dataran  Yunnan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekali gus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunnan.

Menurut sejarah Khmer, tamadun terawal ialah tamadun Khmer Funan di Delta Mekong. Empayar Khmer Angkor ialah yang terakhir sebelum mereka mencari perlindungan di pelbagai tempat. Palembang dan Melaka adalah antara tempat berkenaan. Bukti-bukti arkeologi mendapati penduduk awal Kemboja adalah penduduk dari budaya zaman Neolitik. Mereka mahir dalam kemahiran teknikal sementara kumpulan yang lebih maju yang tinggal di pesisir pantai dan lembah Delta Mekong menanam padi.

Inskripsi Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 682 M yang dijumpai di Palembang dan tulisan tradisional masyarakat minoriti Dai berasal menggunakan bahasa Pallava. Etnik Dai Yunnan adalah penduduk asal wilayah Yunnan, China. Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku  teks  Pengajian Malaysia, menyatakan  ‘nenek  moyang’ orang Melayu  itu berasal daripada Yunnan. Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunnan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. 

Berikut adalah huraiannya.

Orang Negrito

Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka dianggarkan ada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut keriting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek.  Di Kedah dan Perak, mereka dikenali sebagai orang Semang dan di Kelantan sebagai orang Pangan.

Orang Negrito juga terdapat di Filipina yang dikenali sebagai Aeta. Mereka yang terdapat di Australia dikenali sebagai Orang Hitam dan mereka yang tinggal di Indonesia   dikenali   sebagai   Papua   dan   terbahagi   menjadi   beberapa nama bergantung kepada daerah  masing-masing. Orang  Negrito  merupakan beberapa kelas kelompok etnik yang mendiami bahagian terpencil di Asia Tenggara.

Negrito dipercayai turun dari peneroka Australoid-Melanesia di Asia Tenggara. Negrito adalah yang paling genetik sama dengan penduduk negara jiran. Negrito di Semenanjung Malaysia mempunyai ciri-ciri fizikal yang sangat menyerupai orang Pigmi di Afrika berbanding dengan kumpulan etnik lain di Asia Tenggara. Sebagai tambahan, ciri-ciri mereka juga secara keseluruhannya berbeza berbanding dengan dua lagi subkumpulan Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu Senoi dan Melayu-Proto.

Orang  Negrito  atau Orang  Semang  merupakan  penduduk  yang  paling  awal di Kepulauan Melayu yang termasuk dalam kumpulan kaum Orang Asli di Malaysia. Mereka dipercayai hadir di rantau Nusantara sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan.

Menurut M. W. Tweedie, seorang sejarawan menyatakan dalam bukunya Pre- History, mereka yang tinggal di Semenanjung dikenali sebagai Negrito dan telah ada sejak tahun 8000 SM dan mereka tinggal di dalam gua memburu binatang yang dikenali sebagai zaman batu pertengahan. Di negeri Kedah pada zaman Paleolitik dan Mesolitik kira-kira tahun 5000 SM telah didiami oleh orang Austronesia yang menjadi nenek moyang orang Negrito dan penduduk peribumi yang lain.

Orang Negrito ini sukar untuk ditentukan sifat-sifat fizikalnya. Purata mereka mempunyai rambut yang keriting halus, berbadan gelap, dan rendah setinggi 5 kaki ke bawah, hidung lebar selain mempunyai mata yang bulat mirip Orang Afrika Timur  dan  kebanyakan  mereka  seperti  Orang  Asli  New  Guinea  yakni  Papua. Identiti kaum Negrito tersendiri dan boleh dilihat melalui kebudayaan, kebendaan dan kehidupan mereka. Mereka menunjukkan sedikit atau tiada tanda-tanda pertanian. Hal ini kerana mereka merupakan golongan Orang Asli yang nomad sepenuhnya.  Bentuk  kebudayaan  kebendaan  mereka  termasuk  penggunaan  alat mencucuk hidung dan pembinaan kediaman sementara untuk berlindung dari angin dan cuaca. Kaum Negrito mengembara dari setempat ke setempat kerana memburu dan mengumpul bahan makanan dan barang-barang hutan. Mereka akan berpindah ke tempat lain jika didapati tempat itu tidak produktif lagi. Lazimnya mereka tidak bertani. Namun, mereka kemudiannya mula bercucuk tanam seperti menanam ubi, padi, pisang dan jagung.

Ciri-ciri Negrito termasuk bertubuh pendek, berkulit gelap, berambut ikal, dan steatopygia (besar bahagian punggung dan paha). Dakwaan bahawa Andamanese lebih menyerupai Afrika daripada orang Asia dalam morfologi tengkorak mereka dalam satu kajian 1973 menambah kebenaran teori ini, sebelum kajian genetik menunjukkan hubungan yang lebih rapat dengan orang Asia. Pelbagai kajian juga menunjukkan bahawa orang Negrito dari Asia Tenggara ke New Guinea berkongsi pertalian dekat dengan tengkorak Australoid-Melanesia.

Terdapat  anggapan  bahawa  persamaan  craniometric  (ukuran  tengkorak)  untuk orang Asia hanya boleh menunjukkan tahap pembiakan kacukan dengan orang Negrito dan kemudian orang yang datang dari tanah besar Asia. Walau bagaimanapun, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa setiap kumpulan perlu dianalisis   secara   berasingan,   kerana   bukti   genetik   menyangkal tanggapan keturunan tertentu mempunyai kaitan dengan kumpulan Negrito di Kepulauan Andaman, Semenanjung Tanah Melayu, dan Filipina.

Satu  kajian  mengenai  kumpulan  darah  pada tahun 1950  menunjukkan  bahawa kaum Andamanese berkait rapat dengan orang Oceania daripada Afrika. Kajian genetik Negrito di Filipina, berdasarkan enzim darah polimorfik dan antigen, menunjukkan mereka adalah sama dengan penduduk sekitar Asia. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kaum berkulit hitam yang ditemui di Afrika Timur, Asia Timur, dan Asia Selatan menunjukkan bahawa sebahagian daripada orang Negrito berasal dari penghijrahan ke timur Afrika pada 60,000 tahun yang lalu.  Penghijrahan  ini  mengikuti  laluan  pantai  menerusi  India  dan  ke  Asia Tenggara, yang kadang-kadang dirujuk sebagai penghijrahan pantai secara besar- besaran.

Melayu Proto

Perpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu dianggarkan berlaku pada 2500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, dengan kemahiran bercucuk tanam.

Istilah  Melayu  Proto  yang  diterjemahkan  ke  dalam  bahasa  Melayu  Asli  atau Melayu Purba (Melayu kuno) atau Melayu Tua (Melayu lama), merujuk kepada penutur bahasa Austronesia, mungkin dari Asia daratan yang berpindah ke Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu dalam siri migrasi panjang antara 2500 dan 1500 SM, dan dalam satu model yang pertama dari dua migrasi penutur bahasa Melayu awal, sebelum zaman Melayu Deutro. Orang Melayu Proto adalah nenek moyang orang Melayu di Malaysia dan Indonesia moden. Ciri-ciri fizikal Melayu Proto termasuklah berkulit lebih cerah berbanding Negrito, lebih tinggi, tidak semestinya berambut keriting (lebih mengikut keturunan ibu bapa), mata lebih bundar dan berhidung lebih mancung.

Orang Melayu Proto dipercayai sebagai pelaut berpengetahuan dalam oseanografi dan  memiliki  teknologi  perikanan  yang  maju  serta  kemahiran  asas  pertanian.

Selama bertahun-tahun, mereka menetap di berbagai-bagai tempat dan mengadopsi pelbagai adat dan agama sebagai hasil asimilasi budaya dan antara perkahwinan dengan kebanyakan orang yang mereka hubungi, contohnya dengan suku Orang Asli seperti Semang dan Senoi.

Menurut Ensiklopedia Malaysia, sejarah awal telah menunjukkan tiga teori mengenai  asal  usul  Melayu  Proto  iaitu  teori  Yunnan,  penghijrahan  Sungai Mekong (pertama kali diterbitkan pada tahun 1889), teori pelaut (kali pertama diterbitkan pada tahun 1965) dan teori Taiwan (kali pertama diterbitkan pada tahun 1997). Beberapa ahli bahasa sejarah telah  membuat kesimpulan bahawa masyarakat Melayu Proto dan Melayu Deutro mungkin tergolong dalam keturunan dan  asal  yang  sama.  Teori  sebelumnya  menunjukkan  bahawa  Melayu  Deutro datang  dalam  gelombang  penghijrahan  kedua,  sekitar  300  SM,  dibandingkan dengan kedatangan orang Melayu Proto yang datang lebih awal.

Melayu Deutro

Perpindahan  orang  Melayu  Deutro  merupakan  gelombang  perpindahan  orang Melayu  kuno  yang  kedua  yang  berlaku  pada  1500  SM.  Mereka  merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar. Melayu Deutro mempunyai peradaban yang lebih maju daripada Melayu Proto. Melayu Deutro mengenal kebudayaan logam. Mereka menggunakan alat perburuan dan pertanian daripada besi. Zaman mereka ini dinamai Zaman Logam, mereka hidup di tepi pantai dan berkembang hampir ke seluruh Kepulauan Melayu ini. Kedatangan orang  Melayu  Deutro  ini  dengan  sendirinya  telah  mengakibatkan  perpindahan orang Melayu Proto ke pedalaman sesuai dengan cara hidup mereka yang berpindah-randah.

Melayu  Deutro  ini  hidup  secara  berkelompok  dan  tinggal  menetap  di  sesuatu tempat. Mereka yang tinggal tepi pantai hidup sebagai nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung berhampiran sungai dan lembah yang subur dengan bekerja sebagai petani dan memburu binatang.

Orang Melayu Deutro ini telah mula bermasyarakat. Mereka biasanya memilih seorang  ketua  yang  tugasnya  sebagai  ketua  pentadbiran  dan  sekali  gus  ketua agama. Agama  yang  mereka anuti pada zaman  itu ialah  animisme. Keturunan Melayu Deutro ini dikatakan lebih bijak dan berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti pelayaran, pertanian, malah dalam bidang astronomi kerana terlibat dalam pelayaran atau sebagai nelayan. Bilangan Melayu Deutro lebih ramai daripada Melayu  Proto  dan  menduduki  kawasan  pantai  dan  lembah  di  Asia  Tenggara.

Kumpulan pertama dan kedua golongan ini dikenali sebagai Austronesia. Bahasa- bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

Teori Migrasi Nusantara

Terdapat  juga  teori  yang  menyebut  bahawa  orang  Melayu  berkembang  dan berdiaspora dari Nusantara sendiri, terutamanya dari Pulau Jawa dan Sumatera. Teori  ini  didukung  oleh  sarjana-sarjana  seperti  J.  Crawfurd,  K.  Himly,  Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:

1. Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19 M. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama.Perkara  ini  menunjukkan  orang  Melayu  tidak  berasal  dari  mana-mana,  tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.

2. K. Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Champa (Kemboja). Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena ‘ambilan’.

3. Terdapat manusia kuno Homo Soloensis dan Homo Wajakensis di Pulau Jawa.Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu berasal daripada manusia kuno tersebut iaitu berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.

Tapak sejarah Sangiran pertama kali dijumpai oleh P. E. C. Schemulling pada 1983 mengukuhkan pendapat ini. Sangiran adalah tempat penggalian arkeologi di Jawa, Indonesia.

Menurut laporan UNESCO (1995), Sangiran diakui oleh saintis sebagai sebuah daripada tapak terpenting di dunia untuk mempelajari fosil manusia, di samping Zhoukoudian (China), Willandra Lakes (Australia), Olduvai Gorge (Tanzania), dan Sterkfontein (Afrika Selatan).

4. Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah). Kebanyakan bahasa di Alam Melayu mempunyai asas yang sama, ia berbeza sekali dengan bahasa kaum di Yunnan, Lembah Mekong dan Taiwan. Kebanyakan bahasa yang dituturkan di wilayah Nusantara merupakan sebahagian keluarga bahasa Melayu-Polinesia, termasuk bahasa Tagalog yang dituturkan secara meluas di Filipina, bahasa Jawa yang dituturkan di Pulau Jawa dan bahasa Melayu yang dituturkan di Malaysia (yang  dikenali  juga  sebagai  Bahasa  Malaysia),  Singapura  dan  Brunei  (yang dikenali sebagai Bahasa Melayu). Bahasa Indonesia juga berasal daripada bahasa Melayu dan dikenali sebagai bahasa Indonesia oleh orang setempat.

KESIMPULAN

Wujud pelbagai teori tentang kedatangan bangsa Melayu ke Alam Melayu sama ada bangsa Melayu  datang  dari  luar lingkungan  Alam Melayu  ataupun  dalam kawasan Nusantara sendiri. Teori-teori ini dicetuskan banyak bergantung kepada kebudayaan bangsa Melayu itu sendiri yang boleh dilihat dari aspek bahasa, cara berpakaian dan beberapa amalan kebudayaan masyarakat setempat. Kesimpulan yang jelas adalah persamaan bangsa Melayu di rantau ini dari segi rupa paras yang berkulit sawo matang, berakar rumpun bahasa yang sama dan mempunyai ciri-ciri pakaian tradisional yang serupa.

Sumber:   Maruwiah   Ahmat   (2021),   Bangsa   Melayu:   Sejarah,   Budaya  dan Pelestariannya di Malaysia. CAD: Puchong.

Copy and paste: 3/2/2022 > 1 Rejab 1443H: 12.48 pm


No comments:

Post a Comment