ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 23 February 2022

Mengapa Selepas Mati Jasad Kita Ditanam

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Kita semua sangat sebati dengan kisah Habil dan Qabil, iaitu anak Nabi Adam a.s yang telah bergaduh untuk merebut seorang perempuan yang sangat cantik bagi dijadikan isteri. Disebabkan peristiwa itulah, terciptanya sejarah kematian dan pembunuhan yang pertama dalam kalangan manusia di muka bumi.

Kisah pembunuhan ini berlaku disebabkan oleh Qabil yang sangat cemburu dan marah kerana korban yang diberikannya telah ditolak yang mengakibatkan beliau gagal untuk mengahwini kembarnya sendiri. Walau bagaimanapun, beliau berasa amat bersalah dengan tindakannya dan ralat untuk menyelesaikan jenazah Habil.

Beliau telah meminta petunjuk dan daripada Allah agar jenazah Habil dapat diselesaikan dengan secepat mungkin. Kemudian, Allah telah menurunkan petunjuk melalui pergaduhan dua ekor burung yang telah berlaku di depan matanya sendiri.

Seekor daripada burung tersebut akhirnya telah tewas dan pergaduhan itu berakhir dengan kematiannya. Oleh itu, burung yang masih hidup itu telah mengambus bangkai tersebut dengan tanah.

Qabil kemudiannya telah menanam jenazah Habil seperti yang dilakukan oleh burung tersebut. Melalui peristiwa ini, kita dapat lihat satu hikmah terbesar yang boleh dijadikan pengajaran, iaitu setiap kehidupan di sekeliling kita sebenarnya boleh memberi banyak pengajaran dan ilham untuk kita.

Oleh disebabkan itulah, Allah menyuruh kita untuk belajar daripada sekeliling, daripada alam juga. Sebagai manusia, kita tidak boleh bongkak dengan menolak setiap hikmah yang Allah telah sediakan untuk kita.

أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِنِعْمَتِ اللَّـهِ لِيُرِيَكُم مِّنْ آيَاتِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
(Surah Luqman, 31:31)

Bagaimana manusia mendapat ilham untuk memakmurkan bumi? Salah satunya adalah dengan belajar daripada alam sendiri. Sebagai contoh, Abbas Ibn Firnas yang telah mendapat ilham untuk mencipta kapal terbang setelah melihat kemampuan burung yang boleh terbang dengan bebas di udara.

Beliau merupakan tokoh Islam pertama yang telah membuat kajian mengenai kapal terbang dan mesinnya kemudian diikuti oleh beberapa tokoh Islam dan Barat yang lain. Beliau juga telah mendapat ilham melalui ayat Al-Quran yang telah dinyatakan Allah, iaitu:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ

Mafhum: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? (Surah Al-Mulk, 67:19)

Contoh lain yang boleh dibawa ialah dengan menjadikan bintang-bintang sebagai panduan untuk perjalanan terutamanya mereka yang bekerja sebagai pelayar, dengan melihat bagaimana lebah menghasilkan madu dan berbagai lagi.

Banyak yang dapat dipelajari oleh alam ini yang telah diceritakan melalui Al-Quran dan As-Sunnah untuk panduan kita. Suruhan untuk kita menuntut ilmu dan belajar daripada alam sekitar sebenarnya telah banyak juga dinyatakan melalui kisah dan sejarah silam.

Oleh itu, sebagai manusia, kita tidak boleh bongkak dan angkuh dengan alasan kita adalah manusia yang merupakan ciptaan Allah melalui ‘tanganNya’ sendiri. Hal ini kerana, tujuan utama Allah menjadikan manusia di muka bumi ini adalah sebagai khalifah yang bererti ketua untuk memakmurkan muka bumi ini dengan agamaNya.

Hikmah Kembali Kepada Tanah

Walau bagaimanapun, untuk entri kali ini, penulis bukan ingin membahaskan lebih lanjut mengenai hikmah dan kejadian penciptaan alam yang lain, namun ingin berbalik kepada hikmah jenazah Habil yang telah ditanam.

Mengapa jasad kita akhirnya dikembalikan kepada bumi? 

Mengapa Allah menghantar dua ekor burung sebagai petunjuk kepada Qabil untuk menanam jenazah saudaranya? 

Sedangkan, boleh sahaja Allah memberi ilham untuk membakar atau menghanyutkan mayatnya ke dalam laut.

Pernahkah persoalan ini bermain di minda kita? Bahkan, ada sesetengah manusia yang takut apabila disebut perkataan kubur. Apabila diceritakan sahaja mengenai kisah kubur yang sangat gelap dan sempit serta akan ditemani oleh binatang sahaja seperti ular, kala jenking, semut dan sebagainya yang akan memakan jasad kita, pasti akan meremang bulu roma, bukan?

Malah, kisah mengenai alam kubur yang akan bertukar menjadi salah satu lubang neraka atau lubang syurga bergantung kepada amalan kita di dunia juga tidak sanggup dibayangkan dan tidak dapat digambarkan dengan mata kasar sendiri. Ia merupakan alam ghaib dan rahsia Allah yang hanya akan dirasai oleh mereka yang telah meninggal sahaja.

Namun, Allah memberi petunjuk kepada insan-insan yang terpilih untuk dijadikan pengajaran kepada semua orang yang masih hidup seperti dapat bermimpi kehidupan mereka yang sedang berada di alam barzakh.

Disebabkan itulah, kadang-kadang kita ada mendengar cerita pelik manusia yang ingin kembali ke dunia disebabkan ingin melebihkan ibadah kepadaNya dan sebagainya. Ataupun, ada juga yang meminta doa daripada anak-anak mereka untuk bantuan di alam sana, tidak kurang juga ada yang sedang bergembira dengan keadaan dan suasana di sana seolah-olah berada di syurga.

Walaupun kisah-kisah yang diceritakan ini kelihatan seperti tidak logik dan susah untuk percaya kerana ia berkait dengan alam akhirat, namun tidak salah untuk kita ambil pengajaran daripada apa yang diujarkan.

Lalu, ada yang bertanya mengapa meletakkan kita ke dalam lubang yang gelap lagi menyeramkan itu? Mengapa tidak dibakar atau dihanyutkan sahaja?

Menurut sebuah ceramah yang telah disampaikan oleh Dr Zakir Naik berkenaan soalan ini, jika manusia dibakar, ia akan mengambil masa yang lama untuk betul-betul terbakar dan ia pasti akan membuatkan alam sekitar tercemar disebabkan asap dan bahan bakar tersebut.

Malah, menurut kajian dan statistik yang telah dijalankan terhadap amalan orang India yang membakar mayat disebabkan kepercayaan mereka bahawa mayat tidak akan diseksa lagi di alam akhirat kerana telah diseksa dengan api, namun ia sebenarnya telah membuatkan kerugian ribuan ringgit kerana telah membakar kayu-kayu yang boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik.

Jika mayat ditanam, ia bukan sahaja boleh menjimatkan duit dari segi bahan yang digunakan dan juga upah menggali kubur, namun sebenarnya wujud hikmah yang lagi besar di sebalik itu.

Tubuh kita yang dicipta daripada tanah perlu kembali kepada tanah. Mungkin kita pernah berfikir logik tersebut. Bahkan, syaitan yang dicipta daripada api juga boleh diseksa oleh Allah melalui panahan kilat dan petir. Ini bermaksud, kita akan kembali kepada asal penciptaan kita.

Menurut kajian saintifik juga, jasad kita sebenarnya masih berguna kepada bumi walaupun selepas mati. Ini kerana, badan kita mempunyai berjuta-juta sel yang berkumpul untuk membentuk lapisan dan akhirnya akan membentuk tisu dan organ seperti jantung, kulit, hati dan perut.

Kita sedia maklum, manusia akan mengalami proses pereputan secara berperingkat di dalam kubur yang akhirnya akan tinggallah tengkorak dan tulang sahaja. Disebabkan inilah, manusia perlu ditanam untuk mengelakkan bau busuk yang keluar lantaran proses itu.

Malah, jika dibiarkan sahaja, mayat akan mengeluarkan bakeria dan boleh menyebabkan penyakit kepada manusia yang masih hidup. Disebabkan itulah, kita melihat mayat Firaun yang telah diawet dan dijaga di makamnya, iaitu Piramid Mesir. Malah, menurut pengalaman mereka yang pernah melawat makam tersebut, ia sebenarnya mempunyai bau yang kurang menyenangkan dan memerlukan tugas yang rumit untuk dijaga.

Jika ditanam, ia bukan sahaja memudahkan urusan selepas kematian kepada mereka yang hidup, malah badan kita akan memberi manfaat lain kepada bumi. Berikut merupakan proses pereputan yang telah dilakukan kajian oleh beberapa kajian saintifik dan dikatakan boleh menyuburkan lagi bumi:

#1 – Pemecahan Sendiri

Peringkat pertama, iaitu pemecahan sendiri atau self-destruction akan terjadi dengan jasad yang akan dihadamkan oleh badan sendiri. Melalui proses ini, enzim akan diuraikan dan sel membran seperti jantung, buah pinggang dan juga hati akan mula rosak.

#2 – Peringkat Pembusukan

Peringkat ini akan terjadi akibat bakteria anaerobik, iaitu apabila tiada oksigen dalam mayat. Ia kemudiannya akan menggalakkan pertumbuhan bakteria untuk menguraikan zat makanan seperti karbohidrat, protein dan lipid pada mayat yang akan menghasilkan asid dan gas terutamanya pada bahagian perut.

Gas ini akan mengakibatkan kembung pada bahagian perut dan mengeluarkan buih-buih darah dari mulut dan hidung mayat akibat tekanan gas tersebut di sekitar diafragma, iaitu jantung dan paru-paru. Tekanan tersebut akan pecah dan mengeluarkan bau yang meloyakan.

#3 – Peringkat Pereputan

Proses ini akan berterusan sehingga mayat akan menjadi rangka. Ia bermula dengan daging yang akan jatuh satu-persatu dan kulit akan bercerai dari jasad serta tisu badan juga akan menjadi lembut dan juga kering.

#4 – Peringkat Terakhir

Mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan serangga akan mula masuk ke dalam tulang. Mikroorganisma yang telah merembeskan asid dan enzim metabolisma akan perlahan-lahan menghancurkan tulang. Maka, tulang akan musnah dan jasad kita akan hilang ditelan bumi. Malah, badan yang telah terurai juga akan digunakan semula oleh bumi dan tanah.

Menurut beberapa kajian lain, proses ini akan memakan masa sehingga enam bulan. Setelah itu, secara perlahan-lahan rangka tulang kita akan berubah menjadi biji yang sangat kecil atau disebut sebagai tulang yang bernama ‘ajbudz dzanab (tulang ekor).

Para ulama’ berdasarkan tafsir mereka mengatakan bahawa melalui tulang inilah kita akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat.

Maksud: “Tiada bahagian dari tubuh manusia kecuali akan hancur (dimakan tanah) kecuali satu tulang, iaitu tulang ekor. Dari itu, manusia akan dibangkitkan kembali pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulan

Walau sehebat mana dan setinggi mana kebanggaan kita terhadap kecantikan tubuh badan yang ada, ia akan hilang juga suatu hari nanti dan hanya akan menjadi tulang-belulang sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh berbesar diri kerana akhirnya kita akan berada lebih rendah di dalam tanah.

Sumber: Kematian Dari Sudut Sains

Copy and paste > 23/2/2022 > 21 Rejab 1443H: 1.57 pm

No comments:

Post a Comment