ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 2 February 2022

AL-KAFI #694 : PERLUKAH SUJUD SAHWI JIKA IMAM MENINGGALKANNYA ?

KREDIT: PEJABAT MUFTI WP

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz, apakah hukum jika imam tertinggal qunut subuh dan tidak melakukan sujud sahwi atau sengaja meninggalkannya, adakah wajib kita sujud sahwi selepas imam memberi salam ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, perlulah kita ketahui apakah definisi sujud sahwi dan keadaan-keadaan yang menyebabkan berlakunya sujud sahwi.

Menurut kitab al-Feqh al-Manhaji : Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya. Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa. Dan sujud - tempatnya di penghujung solat - sebagai jabr (suatu yang menguatkan) kekurangan tersebut. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (1/172).

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ : الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: Nabi S.A.W mengimamkan solat zohor atau asar bersama kami. Kemudian baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi : Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya ? Maka Nabi S.A.W bersabda : Benarkah apa yang dia katakan ? Maka para sahabat pun berkata : Ya. Lalu baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.

Riwayat al-Bukhari (1169).

Di antara sebab yang menuntut kepada sujud sahwi adalah: Seseorang itu meninggalkan salah satu dari sunat ab’adh di dalam solat. Sunat-sunat ab’adh di dalam solat adalah beberapa perkara berikut:

• Al-Tasyahhud Al-Awwal 
• Selawat ke atas Nabi S.A.W selepas tasyahhud yang pertama. 
• Duduk untuk tasyahhud awal. 
• Selawat ke atas ahli keluarga Nabi S.A.W sesudah tasyahhud akhir. 
• Qunut semasa i’tidal pada rakaat kedua solat fajar.

Di antara dalil yang menguatkannya adalah sebuah riwayat daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُم مِنَ الرّكْعَتَينِ فَلَمْ يَسْتَتِمَّ قَائِمًا فَلْيَجْلِسْ ، وَإِذَا اسْتَتَمَّ قَائِمًا فَلَا يَجْلِسْ ، وَيَسْجُدْ سَجْدَتَي السَّهْوِ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu bangun daripada dua rakaat, dan masih belum berdiri sempurna maka hendaklah dia duduk. Dan apabila telah berdiri dalam keadaan sempurna, janganlah dia duduk serta dia sujud sebanyak dua kali sujud sahwi.

Riwayat Ibn Majah (1208)

Riwayat di atas menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu terus bangun daripada tasyahhud awal, sekiranya dia telah berdiri dalam keadaan sempurna, hendaklah dia teruskan dan jangan duduk semula. Sebaliknya dia perlu melakukan sujud sahwi.

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa penjelasan dan hujah yang kami kemukakan di atas, seseorang imam yang tertinggal atau sengaja meninggalkan doa qunut semasa solat subuh, adalah disunatkan untuk dia melakukan sujud sahwi. Namun sekiranya dia tidak melakukannya, ini tidaklah membatalkan solatnya. Ini kerana, sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila berlakunya sebab-sebab yang tertentu seperti yang telah kami sebutkan.

Manakala bagi makmum pula, adalah menjadi tuntutan untuk dia mengikut imamnya dalam pergerakan solat. Sekiranya imam melakukan sujud sahwi, hendaklah dia turut melakukannya. Namun sekiranya imam tidak melakukan sujud sahwi (apabila telah berlaku sebab yang menuntut), maka tidak perlu untuk makmum melakukannya setelah imam memberi salam. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.


Copy and paste:
2 Februari 2022 > 30 Jamadilakhir 1443H: 7.19 pm

No comments:

Post a Comment