ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 28 January 2022

Sikit-Sikit Viral. Ingat, Viral Itu Ibarat Pedang. Bukan Sahaja Boleh Menjatuhkan Orang, Kita Juga Boleh Turut Terkesan

SUMBER: ISLAM ITU INDAH
 
in IBADAHSEMASATAZKIRAH

Pembunuhan karakter seringkali dikaitkan usaha sistematik untuk menghancurkan reputasi seseorang tokoh khususnya dalam arena politik.

Motifnya, supaya nama baik individu terbabit rosak di mata masyarakat serta dibenci, sekali gus berkemungkinan besar menamatkan riwayat politiknya.

Lazimnya, pembunuhan karakter dilakukan dengan memanipulasi fakta, menyebar khabar angin, fitnah serta melemparkan tuduhan tidak berasas tanpa kepastian atau siasatan terlebih dahulu ke atas seseorang yang dijadikan sasaran.

Semua kaedah ini dapat mengaburi mata masyarakat apatah lagi dengan kecanggihan teknologi masa kini, yang menjadikan masyarakat dengan mudah terjebak situasi ‘seolah-olah benar’ terhadap apa yang dilemparkan ke atas mangsa.

Selain itu, pembunuhan karakter juga dilakukan melalui cara membuka aib bahkan menghebahkan hal negatif berkaitan individu yang menjadi sasaran.

Ia juga boleh dilakukan dengan cara menekan mangsa menerusi pelbagai hukuman serta tindakan tidak masuk akal, sehingga memungkinkan mangsa hilang kelayakan untuk terus berada dalam kancah politik.

Pembunuhan karakter hakikatnya bukanlah baharu. Sejarah Islam sendiri menunjukkan bahawa khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan turut menjadi mangsa pembunuhan karakter oleh golongan Sabaiyah yang mendakwa beliau mengamalkan nepotisme, malah dituduh seorang yang boros dan menggunakan harta baitulmal.

Pada abad ke-15 pula, seorang ahli strategi politik Itali, Niccolo Machiavelli, memperkenalkan konsep matlamat menghalalkan cara, yang kemudiannya melahirkan pemikiran Machiavellisme yang mana ia mementingkan pendekatan taktik kotor dan licik dalam berpolitik.

Menurut Joseph Goebbel, seorang menteri kanan Hitler pada zaman rejim Nazi, pembunuhan karakter dilakukan dengan cara memfitnah, maka faktor pembohongan memainkan peranan amat penting hinggakan semakin besar dan luas pembohongan itu, semakin ia meyakinkan.

Yang pasti, dua prinsip inilah yang dianuti dalam kalangan pelaku pembunuhan karakter.

Dalam Islam, pembunuhan karakter amat dilarang kerana ia termasuk pelanggaran terhadap konsep ‘hifzul ‘irdhi’ (memelihara kehormatan), berikutan perbuatan ini tidak lepas daripada unsur ‘kazzab’ (dusta), ‘ghibah’ (gosip), ‘namimah’ (adu domba) dan membuka aib orang lain.

Pembunuhan karakter adalah cara tidak bermaruah, kerana ia akan menghasilkan persepsi buruk terhadap seseorang. Jika tidak dibendung, ia akan melahirkan generasi dengan karakter pembunuh berdarah dingin yang menghalalkan segala macam cara untuk kepentingan diri mahupun kelompok dalam meraih sokongan dan kekuasaan.

Dalam situasi politik semasa yang semakin mencengkam, masyarakat seharusnya tidak mudah hanyut ditelan arus.

Apabila kedengaran banyak suara memburukkan seseorang tokoh, janganlah mudah terpedaya dengan isu berlegar kerana belum tentu ia benar.

Ini kerana, di kala masyarakat didendangkan keburukan seseorang tokoh politik, jangan lupa di sana juga ada usaha pihak berkepentingan yang cuba menanamkan kebencian masyarakat terhadap musuh politiknya melalui pembunuhan karakter yang berterusan.

Islam sendiri mengajar untuk bertindak dalam ranah politik Islam (siasah syar’iyyah), iaitu dengan cara membudayakan pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip bukannya spekulasi, berasaskan fakta bukannya persepsi, serta berasaskan ‘tabayyun’ (menyelidik mencari kebenaran).

Motifnya, supaya kita dapat menilai sesuatu isu dengan adil serta tidak terpengaruh dengan prasangka buruk dan fitnah jahat yang menatijahkan kebencian ke atas seseorang individu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maaidah, ayat 8)

Copy and paste: 28 Januari 2022 > 25 Jamadilakhir 1443H: 7.33 am

No comments:

Post a Comment