ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 31 January 2022

Awang atau Magellan: Benarkah anak Melayu yang pertama mengelilingi dunia?

KREDIT: ASTRO AWANI
Mohd Hazmi Mohd Rusli
September 27, 2016 12:12 MYT

Bangsa Melayu di Nusantara pernah menjadi pelaut gagah yang membangun empayar maritim yang pengaruhnya tersebar melangkaui Kepulauan Melayu. Digelar ‘penunggang monsun’ (monsoon riders) oleh pedagang-pedagang Cina, pelaut-pelaut Melayu dikatakan telah belayar jauh ke Madagascar seawal kurun ke sembilan Masihi menerusi kempen perluasan empayar oleh kerajaan Srivijaya dan telahpun tiba di Australia lebih awal dari penerokaan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Eropah.
Setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya dan kemudiannya Majapahit pada kurun ke 13 Masihi, Melaka mengambil peranan sebagai pusat kekuasaan bangsa Melayu di Nusantara.
Kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan ulung diakui oleh penulis Portugis yang mengatakan sesiapa yang menjadi Tuan di Melaka adalah penguasa di Venice, kota perdagangan terkenal di Eropah pada kurun ke 15 Masihi.

Pihak Portugis telah menjajah Melaka pada tahun 1511 dan di sinilah titik pertemuan Ferdinand Magellan dengan seorang anak Melayu, Enrique of Malacca (Henry the Black), atau lebih dikenali di dalam sastera Melayu sebagai Panglima Awang.

Sejarah telah mencatatkan Ferdinand Magellan, seorang pelayar Portugis yang berkhidmat dengan kerajaan Sepanyol adalah manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia.

Apakah ini benar?

Penjajahan Barat
Pada kurun ke 14 Masihi, Portugis dan Sepanyol muncul sebagai kuasa maritim yang terkuat di dunia, sebagaimana kedudukan Amerika Syarikat dan China pada ketika ini.
Demi mengelakkan pertelingkahan di antara kedua-dua kuasa ini, pihak Portugis dan Sepanyol memeterai Perjanjian Tordesillas 1494 yang meletakkan Amerika di bawah pengaruh Sepanyol dan Asia di bawah kekuasaan Portugis. Melaka, secara rasminya terletak di bawah pengaruh Portugis menerusi Perjanjian ini. Pihak Portugis tiba di Melaka pada tahun 1509 dan pada awalnya diterima baik.
Namun begitu, peperangan meletus di antara Portugis dengan Melaka tidak lama kemudian menyebabkan Melaka ditawan pada tahun 1511. Sungguhpun Melaka ditawan, kewujudan kuasa-kuasa Melayu yang lain seperti Acheh dan Johor menyebabkan pihak Portugis tidak berani keluar melewati benteng kota A’Famosa bagi menguasai seluruh Semenanjung Melayu, sepertimana pihak Portugis menguasai Brazil, Mozambique dan Timor-Leste.

Sewaktu kempen penerokaan ke timur ini, Ferdinand Magellan ada bersama rombongan Diego Lopez de Sequira, orang-orang Eropah yang pertama tiba di Semenanjung Melayu. Setelah Melaka dijarah, banyak pemuda Melayu yang ditawan dan dijadikan ‘harta rampasan perang’.
Antara yang telah dijadikan ‘harta rampasan perang’ adalah Awang, yang kemudiannya dijadikan abdi Ferdinand Magellan.

Catatan Antonio Pigafetta, seorang pengembara dan ilmuan berketurunan Itali, yang turut menyertai ekspedisi Magellan mengelilingi dunia ada mengatakan bahawa Enrique atau Awang, adalah pemuda yang berasal dari Pulau Sumatera.
Awang telah dibaptiskan sebagai penganut agama Katolik oleh penguasa Portugis yang menamakannya ‘Enrique’.
Lagipula, catatan dari wasiat Magellan ada, secara tersirat menyatakan Awang berumur 18 tahun ketika di bawa pulang ke Lisbon, Portugal pada tahun 1512.
Ada pendapat yang mengatakan Awang merupakan tentera Melayu yang turut berjuang menentang Portugis sewaktu peperangan ke atas Melaka dan ada juga pandangan yang mengatakan Awang telahpun menjadi hamba Sultan Mahmud sebelum kedatangan Portugis ke Melaka.

Pengembaraan Magellan
Sewaktu menyertai kempen menentang pihak Moors di Afrika Utara, Magellan telah dituduh mengamalkan rasuah dan tuduhan ini menyebabkannya tersinggung dan berpaling untuk berkhidmat dengan Raja Charles, Raja Sepanyol pada tahun 1517.
Pihak Portugis telah berjaya menguasai aliran perdagangan dari Eropah ke India langsung ke Melaka dan Pulau Timor pada tahun 1515.
Demi menguasai kepulauan rempah, Magellan mengusulkan kepada Raja Sepanyol bahawasanya adalah penting untuk menemukan jalan ke Kepulauan Rempah melalui jalan maritim barat menerusi Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.
Raja Sepanyol amat teruja dengan cadangan ini dan mengurniakan Magellan lima buah kapal dengan lebih 270 awak-awak kapal, dan salah satunya adalah Awang.
Pengembaraan yang pertama seumpanya di dunia itu berangkat dari Pelabuhan Sancular de Barrameda pada tahun 1519 dan mereka berdepan dengan pelbagai kesulitan – kebuluran, penyakit, kemurungan, pertelingkahan dan pembunuhan sesama sendiri dan keadaan cuaca yang tidak diduga.
Kebanyakan manusia zaman kini merungut terpaksa menaiki kapal terbang moden untuk jangka masa melebihi 6 jam walaupun pesawat tersebut dilengkapi sofa empuk, makanan lazat, set hiburan dan ruangan yang nyaman serta dijamin keselamatannya.
Bayangkan sekiranya kita menyertai ekspedisi Magellan di tengah-tengah lautan jauh dari sebarang daratan selama hampir dua tahun tanpa makanan yang mencukupi di dalam kapal ekspedisi yang kecil dengan risiko berdepan kecederaan dan kematian hampir setiap hari – sesuatu yang sulit digambarkan.
Selama pelayaran ini, Magellan telah menjadi sangat akrab dengan Awang yang tidak lagi dianggap sebagai abdi, malah lebih sebagai seorang sahabat karib.
Wasiat Magellan ada meninggalkan Awang dengan sebahagian hartanya dan apabila Magellan meninggal, Awang hendaklah dibebaskan sebagai orang yang merdeka. Awang juga dikatakan amat menyayangi dan setia bersama Magellan ke mana sahaja beliau pergi.
Setelah 18 bulan ekspedisi ini meninggalkan Sepanyol, mereka akhirnya tiba di Pulau Samar, timur Filipina pada tahun 1521. Awang yang menyertai pelayaran ini akhirnya telah pulang ke rantau asalnya, rantau kepulauan Melayu.
Pada waktu inilah khidmat Awang amat diperlukan bukan sahaja sebagai pelaut yang hebat, tetapi juga sebagai penterjemah dan wakil Sepanyol untuk berunding dengan masyarakat, pedagang dan kerajaan tempatan.
Walaupun masyarakat di kepulauan Filipina ada bahasa daerah mereka sendiri, bahasa Melayu masih boleh difahami secara umum kerana kedudukan bahasa tersebut sebagai bahasa perdagangan pada ketika itu.
Lagi pula, kepulauan Filipina pernah menerima pengaruh dari kesultanan Melayu Brunei pimpinan Sultan Bolkiah atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Ragam, yang sewaktu itu sedang menggapai zaman kegemilangannya.
Malah, kerajaan Brunei pimpinan Sultan Bolkiah ada menubuhkan kerajaan satelitnya, Kota Saludong, yang bertempat di bandaraya Manila pada hari ini.
Dengan kehebatan diplomasi Awang berinteraksi dengan penguasa tempatan, Magellan akhirnya telah menjadi sahabat kepada Raja Humabon, pemerintah Cebu yang kemudiannya meminta Magellan untuk memerangi masyarakat orang asli di Mactan, diketuai Lapu-lapu.

Awang Telah Merdeka
Magellan telah dibunuh di dalam peperangan menentang Lapu-lapu dan Awang sendiri, yang berjuang bagi pihak Sepanyol tercedera dibantai pahlawan-pahlawan pimpinan Lapu-lapu seramai 1500 orang. Pigafetta ada mencatatkan, setelah kematian Magellan, Awang telah mengalami kemurungan yang dashyat dan tidak lagi ingin berkhidmat, malah lebih suka menyendiri dan berkelubung dalam selimut.
Walaupun wasiat Magellan ada menyatakan Awang dimerdekakan setelah kematiannya, komandan yang menggantikan Magellan, Duarte Barbosa enggan melakukan sedemikian dan memaksa Awang untuk terus mengabdi kepada mereka.
Menurut Awang sendiri, memandangkan Magellan sudah meninggal, tiada ertinya lagi untuknya mengabdi dan tiba masanya untuk dirinya bebas merdeka.
Berang atas kelakuan biadap Barbosa, Awang kemudiannya merancang untuk menghancurkan delegasi Sepanyol pimpinan Barbosa dengan kerjasama Raja Humabon.
Pigafetta mencatatkan bahawa Awang ada menyeru pihak Sepanyol untuk ke pantai menghadap Raja Humabon yang kononnya ingin menghadiahi Raja Sepanyol dengan harta dan permata. Setelah rombongan Sepanyol tiba di pantai, tentera Raja Humabon menyerang rombongan Sepanyol ini dan banyak yang telah mati dibunuh.
Rekod rasmi Sepanyol ada menyatakan Awang telah dibunuh akan tetapi Pigafetta sendiri tidak pasti sekiranya Awang telah benar-benar dibunuh. Awang mungkin masih hidup dan setelah itu hidup sebagai individu yang merdeka.

Portugis Atau Melayu
Walaupun Magellan mewakili Raja Sepanyol, Magellan adalah seorang berketurunan Portugis dan Awang pula adalah seorang berketurunan Melayu dari Sumatera.
Sekiranya Awang tidak terbunuh dan berjaya pulang ke Sumatera, ini bererti Awanglah orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia – dari saat dirinya ditawan di Melaka pada tahun 1511 dan di bawa ke Lisbon dan kemudiannya pulang lagi ke rantau kepulauan Melayu pada tahun 1521.
Tidak mungkin Magellan orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia kerana beliau sendiri terbunuh di Filipina dan tidak berkesempatan pulang ke Sepanyol.
Sejarah sering dicatat dan dikisahkan oleh pihak yang memenangi peperangan yang sentiasa berkeinginan mengagungkan bangsa mereka sendiri.
Tidak mungkin penguasa Eropah ingin mencatatkan Awang, atau Enrique, seorang Melayu, sebagai individu pertama yang berjaya mengelilingi dunia melebihi kehebatan bangsa mereka sendiri. Disebabkan itu, pengiktirafan tersebut kekal bersama Magellan.

Persoalan sama ada orang Portugis atau orang Melayu merupakan insan pertama berjaya mengelilingi dunia – itu adalah soalan yang perlu dijawab berdasarkan tafsiran sejarah menurut sudut pandang masing-masing.
Magellan dan Awang secara kolektif patut diiktiraf sebagai dua manusia pertama yang berhasil mengubah sejarah dunia menerusi keberanian, kecekalan dan kehebatan mereka berkhidmat sebagai pelaut yang agung.
Kisah Panglima Awang seharusnya dijadikan sebahagian daripada sejarah kegemilangan bangsa Melayu Nusantara untuk direnungi dan dikongsi bersama, tidak kira untuk Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand mahupun negara kita sendiri, Malaysia.

Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan penyelidik bersekutu di Asia-Africa Legal Consultative Organization, New Delhi, India.

Copy and paste: 31 Januari 2022 > 29 Jamadilakhir 1443H: 10.15 pm

No comments:

Post a Comment