ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 9 January 2022

ASAL USUL BAHASA DAN BANGSA MELAYU

OLEH: RAIHANAH SYAHIRAH

1.0 PENGENALAN

Melayu yang dilihat pada hari ini seperti yang tertakrif dalam Perlembagaan Malaysia adalah mereka yang berbangsa Melayu, beragama Islam serta mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu. Itu adalah konsep Melayu yang tertulis pada masa ini. Sehubungan dengan itu, apabila berbicara mengenai Melayu di Malaysia khususnya, sudah pasti Melayu itu merujuk kepada sebuah kaum majoriti yang rata-ratanya adalah penganut agama Islam. Pernahkah terlintas di fikiran bahawa Melayu itu sebenarnya bukanlah satu kaum seperti yang tergambar dalam Perlembagaan, sebaliknya Melayu adalah sebuah bangsa yang meliputi seluruh Tanah Melayu, Kepulauan Melayu, dan Alam Melayu.

Sudah pasti hal ini kedengaran agak aneh terutamanya dalam kalangan masyarakat yang bukan pengkaji bahasa atau linguistik. Hal ini demikian kerana bangsa Melayu sering disempitkan dengan maksud bahawa Melayu itu adalah kaum Melayu serta timbulnya dakwaan sesetengah pihak bahawa Melayu itu adalah pendatang dan bukan berasal dari Tanah Melayu. Bertitik tolak daripada perkara ini, sesebuah bangsa yang wujud di dunia ini mempunyai bahasa mereka sendiri. Hal ini berikutan kerana setiap bahasa yang ada di dunia ini mempunyai penuturnya. Begitu juga dengan bangsa Melayu, mereka mempunyai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, bahkan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi tetapi bahasa Melayu dahulu mempunyai peranan yang sangat luas.

Antara peranan bahasa Melayu ialah sebagai bahasa lingua franca. Hal ini cukup jelas untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa perantaraan yang sangat penting dalam hubungan perdagangan dua hala antara pedagang luar dengan pedagang di Melaka misalnya. Tambahan pula, bahasa Melayu juga pernah menjadi bahasa perhubungan dan bahasa diplomasi antara orang Siam dan pedagang yang datang ke Thailand semasa zaman keagungan bahasa Melayu di Asia Tenggara. Sungguh berbeza sekali peranan bahasa Melayu dahulu dan kini yang mana bahasa Melayu dahulu dijulang sebagai bahasa antarabangsa namun bahasa Melayu kini telah disempitkan penggunaannya hanya sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia malah terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri yang tidak berbangga untuk menuturkan bahasa Melayu hanya kerana bahasa Inggeris telah menguasai dunia dalam segenap aspek kehidupan.

Sementara itu, Melayu pada asalnya merujuk kepada kerajaan yang mana bukti-bukti sejarah menunjukkan bahawa perkataan ‘Melayu’ dirujuk sebagai kerajaan atau kawasan. Hal ini berikutan kerana penemuan istilah yang berkaitan dengan Melayu dijumpai dalam catatan sejarah yang merujuk kepada kerajaan atau kawasan. Menurut Nik Safiah Karim (2010), istilah ‘Melayu’ yang merujuk kepada kerajaan atau kawasan dikesan pada sekitar tahun 100-150M. Dalam sebuah karya Geographike Sintaxis oleh Ptolemy menunjukkan bahawa istilah Maleu-kolon dianggap berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Malayakolam atau Malaikurram yang merujuk kepada sebuah tempat di utara Pantai Semenanjung Malaysia iaitu Tanjung Kuantan. Selain itu, istilah Malaya dvipa dalam kitab Hindu Purba iaitu Purana yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha sehingga 500M, dikatakan sebagai Pulau Sumatera yang mana istilah dvipa bermaksud tanah yang dikelilingi air dan banyak lombong batu yang berbeza.

Tambahan lagi, istilah Mo-lo-yu yang menjadi tempat asal utusan yang dihantar ke negeri China untuk mempersembahkan hasil bumi dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada dinasti Tang (644-645M) dimaksudkan sebagai sebuah kerajaan yang terletak di Selatan Pulau Sumatera dan Srivijaya yang terletak di Palembang. Menurut catatan I’tsing, dalam perjalanan dari Canton ke India, beliau singgah di Bhoga (tanah Jajahan Palembang termasuk Moloyu) dan kemudiannya dihantar oleh Raja Bhoga ke negeri Moloyu yang ketika itu disebut sebagai Sri Bhoga (Palembang; ibu negeri Srivijaya. Srivajaya ketika itu adalah kerajaan Melayu yang teragung).

Seterusnya, istilah Melayu yang menunjukkan bangsa wujud setelah adanya kerajaan Melaka yang berkembang menjadi kerajaan yang agung. Pada mulanya, istilah Melayu yang menunjukkan bangsa merujuk kepada keturunan raja-raja Melayu dari Sumatera. Bermula abad ke-17, barulah penggunaan istilah Melayu yang merujuk kepada bangsa serumpun di Nusantara mulai meluas. Pada ketika itu, konsep ‘Melayu’ telah merujuk kepada suku bangsa yang ada di seluruh Nusantara, Madagaskar dan diaspora Melayu (Sri Lanka dan Afrika Selatan). Dalam pada itu, perkataan “Melayu” menurut Raja Shariman Raja Aziddin (2016) adalah berasal daripada perkataan Mala’u yang bermaksud bangsa yang agung disebabkan oleh keterbukaan orang Melayu yang mudah menerima kebaikan misalnya semasa kedatangan Islam di Nusantara.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Dalam melakukan kajian terhadap asal usul bahasa dan bangsa Melayu, pengkaji mendapati bahawa terdapat dua objektif yang diperlukan dalam melaksanakan kajian ini iaitu:
Membincangkan asal usul bahasa Melayu.
Menghuraikan asal usul bangsa Melayu.

3.0 KEPENTINGAN KAJIAN

Sesebuah kajian yang dilakukan adalah amat penting bagi perkembangan dan pertumbuhan ilmu dalam sesuatu bidang yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Kajian yang dilakukan bukanlah bermaksud untuk melihat pengkaji manakah yang lebih hebat dalam mengaplikasikan ilmunya tetapi ilmu yang bagaimanakah yang boleh digunapakai untuk menghasilkan sebuah kajian yang bukan sahaja bermanfaat kepada pengguna ilmu tersebut namun secara amnya terhadap seluruh masyarakat yang mementingkan ilmu. Dalam menghasilkan kajian mengenai asal usul bahasa dan bangsa Melayu, pengkaji menyedari bahawa pengkaji sendiri kurang mempunyai pengetahuan akan asal usul bahasa dan bangsa Melayu sedangkan pengkaji sendiri adalah bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini sebenarnya penting untuk pengetahuan masyarakat tidak mengira kaum Melayu, Cina, India atau lain-lain kerana mereka perlu menyedari bahawa mereka juga sebenarnya tergolong dalam bangsa Melayu kerana mereka kini berada dalam lingkungan kawasan Kepulauan Melayu.

Di sinilah, pengkaji berharap supaya kajian ini sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat supaya tidak mengetepikan soal bangsa kerana terdapat sesetengah masyarakat dari dua negara berbeza sering sahaja bertelagah mengenai isu pemilikan budaya. Sekiranya mereka menghayati dan mengkaji sejarah asal negara mereka, sudah pasti tidak timbul isu merampas atau mencuri sesuatu budaya kerana sejarah menunjukkan bahawa budaya-budaya yang dikatakan dicuri itu pada asalnya adalah dari negara yang serumpun misalnya Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang berbeza pada masa ini, namun kedua-dua negara ini asalnya adalah negara serumpun yang terletak dalam lingkungan Kepulauan Melayu yang sudah pasti memiliki budaya yang sama.

Bagi pengkaji, tidak salah sekiranya masyarakat mempunyai pengetahuan sejarah mengenai asal usul bangsa dan bahasanya supaya mereka tidak terlalu cepat melatah dengan isu-isu yang sengaja dibangkitkan oleh orang yang tidak memahami sejarah asal negaranya. Oleh hal yang demikian, peri pentingnya kajian ini untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang asal usul bahasa dan bangsa Melayu menurut bukti sejarah agar masyarakat dapat memupuk semangat patriotik untuk mencintai bangsa dan bahasanya dan tidak sesekali bertindak untuk meretakkan hubungan antara negara-negara yang serumpun biarpun kini negara-negara tersebut adalah negara yang terpisah dan berdiri di atas kaki sendiri.

4.0 SOROTAN KAJIAN

Sorotan kajian lepas amatlah penting dalam pelaksanaan sesebuah kajian bagi mengukuhkan serta menyokong kajian yang sedang dilakukan. Hal ini berikutan kerana kajian yang hendak dijalankan ini tidaklah diumpamakan seperti kajian “syok sendiri” dan perlu disokong oleh kajian-kajian terdahulu yang dilakukan oleh pengkaji lain walaupun kajian tersebut tidak membincangkan terlalu banyak mengenai bidang kajian yang hendak dikaji. Oleh hal yang demikian, kajian ini bagaimanapun telah merujuk kepada kajian-kajian terdahulu yang menumpukan aspek bahasa dan bangsa Melayu dari sudut sejarah, bahasa, arkeologi mahupun geografi bagi mengumpulkan data kajian yang penting.

Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dalam kajiannya bertajuk “Peri nama, asal usul dan identiti Melayu: Ke arah pencerahan yang dinantikan” (2014) menyentuh soal perbincangan serta perbandingan terhadap pandangan dan teori mengenai nama Melayu, tempat asal, migrasi dan identiti Melayu dalam pembentangan Wacana Fikrah Ummah Siri Ke-9 anjuran Bahagian Majalah DBP di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasil perbincangan mendapati bahawa kata nama “Melayu” telah digunakan untuk merujuk tempat, kerajaan, kelompok manusia atau bangsa melalui bukti catatan Geographia oleh Ptolemy, kitab Hindu Purba Purana, catatan oleh pengembara China I Tsing, catatan oleh Mpu Prapanca dalam karya Desawarnama serta catatan dalam karya agung Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Seterusnya, perbincangan dilakukan terhadap asal usul orang Melayu yang mana asal usul orang Melayu ini menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan sarjana. Daripada hasil perbincangan ini, disimpulkan bahawa teori “Keluar dari Taiwan” dan teori “Keluar dari benua Sunda” merupakan teori yang menjelaskan asal usul orang Melayu.

Teori “Keluar dari Taiwan” menjelaskan bahawa rumpun manusia Austronesia telah berhijrah dari selatan China melalui Taiwan keluar ke Asia Tenggara kerana desakan oleh kepadatan populasi di tempat asal. Teori ini bagaimanapun didapati tidak mempunyai bukti kukuh yang menyokong perpindahan orang Melayu dari selatan China biarpun teori ini diterima oleh kebanyakan pengkaji, ahli akademik dan kajian genomik. Hasil penelitian rujukan ini mendapati bahawa teori “Keluar dari benua Sunda” merupakan teori yang lebih berwibawa kerana mempunyai bukti ethnologi, arkeologi, kajian samudera, linguistik, analisis DNA dan folklor. Penemuan bukti genetik oleh Human Genome Organisation (2009) iaitu bukti bahawa migrasi di Asia berlaku melalui kepulauan Asia Tenggara tanpa penghijrahan dari Tanah Besar Asia serta penemuan bukti DNA oleh Martin Richards (2008) bahawa penyebaran penduduk di Asia Tenggara ribuan tahun lalu yang melibatkan pergerakan ke arah utara disebabkan oleh fenomena banjir besar di benua Sunda telah menyokong teori “Keluar dari benua Sunda”.

Selain itu, terdapatnya bukti kajian genomik yang menyokong pergerakan “Dari Selatan ke Utara” oleh Hong Shi et.al (2005), dan Su. B et.al (1999), kajian genetik dan folklor etnik Yami oleh Jun-Hun Loo (2011), kajian pengalaman dan dapatan George Leslie serta oleh Michael Stainton (2007), kajian mengenai lagenda puak Amis yang memperingati ketibaan nenek moyang mereka dari arah selatan oleh Janet Montgomery McGovern serta tulisan berkenaan asal usul puak Amis oleh Mabuchi Toichi (1974) dan asal usul puak Yami oleh Miyamoto Nobuto (1985). Kemudian, kajian mendapati bahawa identiti Melayu terbahagi kepada tiga definisi iaitu Malayo-Polinesia dalam konteks rumpun bangsa, Melayu di Kepulauan Melayu termasuk Filipina dan Diaspora Melayu serta Melayu di Malaysia yang identiti kemelayuannya ditentukan oleh Perlembagaan Negara.

Kajian seterusnya yang telah dijadikan rujukan dalam melaksanakan kajian asal usul bahasa dan bangsa Melayu ialah kajian “Asal usul orang Melayu: Menulis semula sejarahnya” oleh Mohamed Anwar Omar Din (2011). Kajian ini merupakan satu usaha untuk merekonstruksi semula landasan penjelasan tentang asal usul orang Melayu yang lebih serasi dengan realiti sebenar. Sumber-sumber penulisan artikel ini terdiri daripada sumber-sumber yang telah digunakan dalam tulisan-tulisan yang sudah terkenal mengenai topik ini tetapi dibuat penilaian semula terhadapnya. Walau bagaimanapun, asas penjelasan dalam artikel ini adalah sumber-sumber primer sejak era Masihi dan juga tulisan-tulisan klasik peribumi. Dihujahkan bahawa asal-usul orang Melayu tidak boleh dinilai berasaskan sumber-sumber yang digunakan dalam tulisan-tulisan yang sedia ada kerana kesemuanya bukti yang belum tentu sahih. Oleh sebab itu, tulisan-tulisan yang ada pada hari ini dikatakan hanyalah spekulasi yang tidak masuk akal.

Artikel ini mengusulkan bahawa pencarian asal-usul orang Melayu tidak boleh dianalisis berasaskan bahasa purba (Austronesia dan Austroasia), bahan arkaeologi, bahan antropologi, rupa-fizikal, fosil dan genetik sebaliknya, dihujahkan bahawa pencarian asal-usul orang Melayu perlu diasaskan daripada sumber sejarah. Hal ini demikian kerana orang Melayu yang ada pada hari ini adalah suatu ‘bangsa jadian’ yang terbentuk sejak abad ke-18 hasil daripada pengembangan identiti yang asalnya hanya terbatas dalam kalangan kerabat pengasas Kesultanan Melayu Melaka. Imagine communities itu terbentuk setelah berakhirnya zuriat Kesultanan tersebut. Pengembangan tersebut berkembang daripada dorongan dinamisme Islamisasi.

5.0 METODOLOGI KAJIAN

5.1 Pemilihan teori

Dalam melaksanakan kajian ini, teori migrasi bahasa telah digunakan untuk membincangkan serta menghuraikan asal usul bahasa dan bangsa Melayu. Teori ini telah dikemukakan oleh Gorys Keraf pada tahun 1984 yang mana teori ini menjelaskan bahawa migrasi bahasa terjadi kerana perpindahan penduduk dari suatu tempat ke tempat yang lain. Perpindahan tersebut bagaimana pun turut membawa bersama bahasanya ke tempat perpindahannya. Keraf turut menjelaskan bahawa terdapat dua dalil yang menghuraikan teori migrasi bahasa yang dikemukakannya iaitu wilayah asal bahasa kerabat merupakan daerah yang bersambung dan jumlah migrasi mungkin direkonstruksi akan berbanding terbalik dengan jumlah perpindahan dari setiap bahasa.

5.2 Penggunaan bahan

Bahan yang digunakan dalam kajian ini adalah berdasarkan sumber primer dan sekunder. Kajian ini menggunakan data primer daripada buku “Bahasa Melayu Bahasa Dunia: Sejarah Singkat” oleh James T. Collins (karya terjemahan 1998) pada 2011, “Panorama Bahasa Melayu Sepanjang Zaman” oleh Nik Safiah Karim (2010), “Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu” oleh Asmah Haji Omar (2005), dan “Sejarah Bahasa Melayu” oleh Abdul Rashid Daeng Melebek (2005). Sumber sekunder yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah penulisan jurnal oleh Md. Salleh Yaapar (2014), Mohamed Anwar Omar Din (2011), Uri Tadmor (2007), dan Shaharir Mohd Zain (2003) serta penulisan artikel daripada sumber majalah Dewan Bahasa dan akhbar Utusan Malaysia, New Straits Time dan Berita Harian sebagai bahan rujukan.

5.3 Kaedah pengumpulan data

Kajian menggunakan kaedah analisis kandungan teks yang terdapat dalam buku, jurnal, artikel akhbar dan majalah seperti yang telah dijelaskan dalam bahagian penggunaan bahan seperti yang tertera di atas.

6.0 PERBINCANGAN

Bahasa lahir kerana adanya penutur. Seharusnya untuk mengenali sesebuah bahasa, kita perlu mengenali bangsanya. Hal ini demikian kerana bahasa tidak wujud tanpa penuturnya. Meskipun begitu, kajian ini akan membincangkan terlebih dahulu mengenai bahasa Melayu sebelum dihuraikan asal usul bangsa Melayu dengan lebih terperinci. Hal ini timbul ekoran terdapat pelbagai pendapat dan percanggahan dalam kalangan ahli akademik, pakar sejarah, ahli politik dan ahli antropologi mengenai asal usul bangsa Melayu. Oleh sebab itu, kajian akan memfokuskan terlebih dahulu mengenai bahasa dan kemudiannya barulah difokuskan kepada bangsa Melayu sendiri.

Sehingga kini, asal usul bahasa Melayu masih lagi menjadi pertikaian antara pelbagai pihak. Hal ini berikutan kerana kurangnya bukti-bukti konkrit yang boleh menjelaskan asal usul bahasa Melayu sehingga menyebabkan bahasa Melayu masih belum dapat diketahui dengan tepat mengenai tempat lahirnya bahasa Melayu. Timbulnya pelbagai pendapat mengenai tempat asal bahasa Melayu oleh para pengkaji Barat merancakkan lagi persoalan akan isu asal usul sebenar bahasa Melayu. Sungguhpun begitu, melalui pembacaan dari teks bertulis yang menjadi rujukan dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa asal usul bahasa melayu tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat penuturnya. Hal ini demikian kerana bahasa wujud setelah adanya penutur. Oleh sebab itu, sedikit sebanyak hipotesis atau andaian penemuan asal usul bahasa Melayu ini mempunyai kaitan dengan penuturnya iaitu penduduk yang dikatakan tinggal di kawasan yang menjadi pusat kelahiran bahasa Melayu.

6.1 Asal usul bahasa Melayu

6.1.1 Bahasa Melayu dari turunan bahasa Austronesia Purba.

Sebelum kajian beralih kepada asal usul bahasa Melayu dari segi tempat, pengkaji mendapati bahawa bahasa Melayu sebenarnya berasal dari bahasa induk Austronesia Purba. Bahasa Melayu merupakan keluarga bahasa Austronesia Purba yang mana bahasa Austronesia Purba ini dikatakan terbentuk di pulau asalnya di Taiwan. James T. Collin (1998) berpendapat bahawa penutur bahasa Austronesia Purba ini telah bermigrasi ke arah selatan dan melalui Filipina untuk membangunkan kebudayaan manusia di pulau- pulau yang masih kosong dan seterusnya bahasa Austronesia Purba ini telah tersebar di Kepulauan Pasifik. Hal ini dapat dilihat melalui penerbitan kamus yang dihasilkan oleh F. de Houtman pada awal tahun 1603 telah membuktikan bahawa bahasa Madagaskar mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu malah seluruh kerabat bahasa Austronesia turut dikenali sebagai kerabat bahasa Melayu-Polinesia sehingga sekarang.

Menurut James T. Collin, bahasa Melayu merupakan turunan bahasa Austronesia Purba yang digunakan di Kalimantan Barat sejak kurang lebih dua juta tahun yang lalu. Hal ini berdasarkan pendapat yang disepakati sebahagian besar ahli terkemuka dalam bidang arkeologi Austronesia dan lingusitik perbandingan bahawa bahagian barat Kalimantan merupakan tempat asal bahasa Melayu yang dikaitkan dengan sejarah perpindahan dan penempatan baru penutur bahasa Melayu Purba. Pada mulanya, penutur bahasa Melayu purba ini mendiami daerah yang berhampiran dengan kawasan pengairan seperti tanah basah, delta dan pantai menyebabkan mereka mahir dengan teknologi pelayaran. Akibat daripada kemajuan dalam teknologi pelayaran, penutur bahasa Melayu Purba ini telah bermigrasi ke arah barat menyeberangi Laut Cina Selatan melalui Pulau Tambela dan Riau ke Sumatera sehingga ke hujung selatan benua Asia yang dikenali sebagai Semenanjung Malaysia sekitar 100M.

6.1.2 Bahasa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia atau Asia Tengah

Orang Melayu diandaikan berasal dari bahagian selatan China. Walau bagaimanapun, bahagian selatan China yang dimaksudkan tidaklah dapat dimengertikan dengan tepat kerana wujudnya pelbagai hipotesis yang mana bahagian selatan China yang dimaksudkan ialah Indo-China, ada juga yang menyatakan pantai timur China Selatan yang merujuk kepada kawasan Champa dan Kampuchea serta ada yang merujuk bahagian selatan China sebagai Burma. Sungguhpun begitu, orang Melayu dikatakan telah bermigrasi ke Nusantara secara berkelompok dan menduduki Nusantara sekitar tahun 2000SM. Hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Tanah Besar Asia atau Asia Tengah telah dikemukakan oleh P. Sarasin dan F. Sarasin (1982) serta disokong oleh R.H. Geldern pada tahun 1932.

Hipotesis ini disokong oleh R.H. Geldern kerana beliau telah melakukan kajian arkeologi ke atas bahan artifak iaitu dengan penemuan sebilah kapak tua di Nusantara yang didapati mempunyai bentuk dan jenis yang sama dengan kapak tua yang ditemui di Sungai Hwang Ho, Yang Tze, Mekong, Brahmaputra, Salween dan Irrawadi. Oleh sebab itu, penemuan bukti artifak tersebut yang mempunyai persamaan dengan artifak yang ditemui di Tanah Besar Asia menyebabkan Geldern mengandaikan bahawa kapak tua tersebut telah dibawa oleh orang Asia Tengah ke Nusantara semasa berlakunya proses migrasi kawasan.

Seterusnya, penemuan bukti budaya yang mana J.R. Logan pada sekitar tahun 1955 dalam kajiannya mendapati bahawa terdapatnya persamaan antara adat resam antara penduduk di tanah pergunungan di antara negeri Assam, India dengan penduduk di kepulauan Hindu Timur. Hal ini dapat dibuktikan dalam kajian Logan yang melihat amalan adat resam yang diamalkan oleh penduduk di Sumatera sama dengan adat resam yang diamalkan oleh suku kaum Naga di Assam, India.

Aspek bahasa turut menjadi bukti yang dikemukakan oleh para sarjana untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu itu berasal dari Tanah Besar Asia. Hal ini telah dinyatakan oleh J.H.C. Kern (1833-1917) melalui kajian perbandingan perkataan asas yang mana kajian mendapati bahawa terdapatnya persamaan antara perkataan asas di Nusantara dengan perkataan yang ada di Madagaskar, Filipina, Taiwan dan beberapa pulau di Lautan Pasifik. Sebagai contoh, antara perkataan asas yang menjadi data perbandingan dalam kajian tersebut ialah perkataan pisang, besi, buluh dan lalat. Daripada penemuan bukti kosa kata tersebut, J.H.C Kern pada akhirnya merumuskan bahawa bahasa Melayu berasal daripada satu induk yang ada di rantau Asia yang dimaksudkannya sebagai Tanah Besar Asia.

6.1.3 Bahasa Melayu berasal dari Nusantara

Ada dalam kalangan pengkaji yang tidak menyetujui hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Tanah Besar Asia atau Asia Tengah sebaliknya, mereka menemukan bahawa bahasa Melayu itu diandaikan berasal dari Nusantara atau pun dikenali sebagai Kepulauan Melayu. Hal ini dapat dilihat menerusi analisis kajian John Crawfurd (1852) yang membandingkan bahasa Melayu dan Jawa dengan bahasa di Sumatera, Borneo dan kawasan Polinesia.

Daripada kajian perbandingan yang dilakukan, John Crawfurd mendapati bahawa terdapat banyak perkataan dari bahasa Jawa dan Melayu serupa dengan bahasa serumpun. Pendapat ini kemudiannya membawa kepada kesimpulan bahawa tempat asal bahasa serumpun adalah di Pulau Jawa yang melahirkan bahasa Jawa dan di Sumatera yang melahirkan bahasa Melayu. Hal ini disebabkan oleh perkembangan kebudayaan yang sangat menonjol berlaku di Pulau Jawa dan Sumatera pada abad ke-19. Perkembangan kebudayaan tersebut menampakkan bahawa Pulau Jawa dan Sumatera memiliki ketamadunan tinggi yang hanya dapat dicapai selepas perkembangan budaya dalam tempoh yang sangat lama sekaligus tempoh tersebut menunjukkan bahawa orang Melayu berasal dan berkembang di Nusantara.

Seterusnya, William Marsden (1754-1836) melalui bukti bahasa telah mendapati bahawa bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia daripada aspek bentuk kata dan struktur bahasa. Ketiga-tiga bahasa yang disebutkan ini juga berasal daripada induk yang sama dengan bahasa Melayu iaitu bahasa Austronesia Purba. Persamaan ketiga-tiga bahasa ini dengan bahasa Melayu menunjukkan bahawa adanya hubungan kekerabatan antara bahasa-bahasa tersebut yang menjadi bukti bahawa bahasa-bahasa tersebut adalah dalam rumpun bahasa yang sama.

Bahasa Melayu sebenarnya didapati memang telah sedia ada di Kepulauan Melayu dan penduduk di Kepulauan Melayu menuturkan bahasa keluarga Nusantara termasuklah bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa penutur bahasa Melayu bukanlah berasal dari mana-mana sebaliknya mereka merupakan induk yang memang sedia ada di Nusantara dan kemudiannya menyebar ke tempat lain dengan membawa bersama bahasa Melayu pada ketika itu.

Bertitik tolak daripada pernyataan ini, para sarjana yang menolak hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Asia Tengah ini menemukan bahawa bahasa di Nusantara yang berasal dari induk bahasa Austronesia berbeza dengan bahasa di Asia Tengah yang merupakan turunan dari induk bahasa Indo-Eropah. Hal ini demikian diperlihatkan oleh bukti sejarah bahasa yang mana bahasa Austronesia telah tersebar ke bahagian pesisir Pantai Timur Laut (Lautan Pasifik), pantai barat (Lautan Hindi) dan selatan (kawasan Nusantara). Sungguhpun begitu, penyebaran bahasa Austronesia sama sekali tidak melibatkan kawasan Asia Tengah sekaligus menafikan hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Asia Tengah.

Jika dilihat pada susur galur salasilah bahasa, bahasa Melayu adalah turunan bahasa Austronesia yang tergolong dalam subkeluarga Indonesia Pusat manakala bahasa Cina, Tibet, Siam atau Annam yang dituturkan oleh penduduk di wilayah selatan China adalah berasal dari rumpun Cina-Tibet. Sejarah keluarga bahasa ini juga tidak dapat dinafikan telah menolak hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Asia Tengah.

6.2 Asal usul bangsa Melayu

6.2.1 Bangsa Melayu berasal dari Yunnan

Asal usul bangsa Melayu dikatakan berasal dari wilayah selatan China iaitu Yunnan atau kini dikenali sebagai Mongolia. Menurut Zafarina Zainuddin (2015), kepercayaan ini timbul daripada pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke Asia Tenggara yang mana pergerakan keluar tersebut adalah dari arah utara ke selatan. Kepercayaan mengenai asal usul bangsa Melayu yang dikatakan berasal dari Yunnan ini juga turut dipersetujui oleh Datuk Dr. Ananda Kumaraseri (2012) yang menyebutkan pernyataannya dalam akhbar New Straits Times bahawa bangsa Melayu yang merupakan etnik paling dominan di Malaysia dikenal pasti berasal dari Tibet dan wilayah Yunnan yang terletak di Selatan China. (Amar Shah Mohsen, 2015).

Bertitik tolak daripada hal ini, Abdullah Hassan (2005) menyatakan bahawa penghijrahan orang Melayu dari Yunan ke Nusantara sejak 2500SM telah melahirkan bangsa Melayu Proto atau Melayu Kuno yang merupakan kelompok pertama nenek moyang orang Melayu. Oleh hal yang demikian, asal usul bangsa Melayu dari wilayah Selatan China ini juga dikenali sebagai “Teori Keluar dari Yunnan” yang dikemukakan pada tahun 1980 yang mana teori ini disandarkan kepada teori penghijrahan beramai- ramai orang Melayu dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan dengan menggunakan sampan. Antara pendukung teori “Keluar dari Taiwan” ialah R.H. Geldern, J.H.C. Kern dan J.R Foster malah Asmah Haji Omar juga turut menjadi pendukung teori ini bagi menjelaskan asal usul Melayu Proto yang merupakan kelompok Melayu pertama kira-kira 2500 SM adalah berasal dari Yunnan yang kemudiannya mewujudkan bangsa orang Asli.

6.2.2 Bangsa Melayu berasal dari New Guinea

Hafizahri Hamid (2016) menyatakan bahawa terdapatnya andaian bangsa Melayu berasal dari New Guinea. Teori asal usul bangsa Melayu dari New Guinea merupakan teori asal usul bangsa Melayu yang dipelopori oleh Issobel Dyen dan muncul pada tahun 1965 secara jelasnya mempunyai sedikit perbezaan dengan teori-teori lain. Asas teori “Keluar dari New Guinea” dikaitkan dengan kegiatan ekonomi orang Melayu pada ketika itu yang bekerja sebagai seorang pelayar, kelasi kapal dan buruh yang berkhidmat untuk pedagang antarabangsa selama lebih 2000 tahun.

Interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab telah membawa kemajuan kepada orang Melayu dan pada akhirnya, mereka telah menubuhkan sebuah bangsa baru iaitu bangsa Melayu. Walaupun teori ini memperlihatkan keupayaan orang Melayu dalam kegiatan maritim namun pada anggapan Hafizahri Ahmad, kemunculan teori ini adalah paling menghinakan kerana seolah-olah memperlihatkan bahawa bangsa Melayu ketika itu hanyalah bangsa minoriti yang terbentuk daripada proses perkahwinan campur serta kegiatan orang Melayu yang hanya bekerja sebagai buruh atau dalam bahasa kasarnya, bangsa Melayu adalah golongan hamba. Teori asal usul bangsa Melayu dari New Guinea ini juga kekurangan bukti dan kajian saintifik yang dapat menjelaskan kebenaran teori tersebut bagi membuktikan bahawa New Guinea adalah tempat asalnya bangsa Melayu seperti mana pendapat Issobel Dyen.

6.2.3 Bangsa Melayu berasal dari Taiwan

Menurut Anwar Omar Din (2011), orang Melayu-Polinesia ataupun rumpun Melayu berasal dari Taiwan. Teori “Keluar dari Taiwan” yang dipelopori oleh Peter Bellwood (1997) dalam bukunya “The Austronesian” turut dikenali dengan nama “Teori Kereta Api Ekpress ke Polinesia”. Teori yang juga disokong oleh Eusibio Dizon ini menjelaskan bahawa orang Melayu keluar dari Taiwan sejak 6000 tahun lalu dan bergerak ke arah Asia Tenggara setelah berhijrah ke Taiwan dari tempat asal mereka di Selatan China. Berdasarkan kajian arkeologi dan linguistik, sekitar 4000 tahun lalu, rumpun manusia Austronesia termasuklah bangsa Melayu berhijrah dari selatan China melalui Taiwan ke Asia Tenggara dan seterusnya ke pulau di Pasifik Selatan dan Madagaskar disebabkan oleh kepadatan populasi di tempat asal.

Wujudnya andaian bahawa bangsa Melayu berasal dari Taiwan pada perspektif Datuk Dr. A. Murad Merican (2016) mungkin disebabkan oleh asas kepada teori Bellwood tentang konsep Austronesia iaitu keluarga bahasa Austronesia termasuklah bahasa Melayu serumpun berasal dari Taiwan. Sejarah bahasa Austronesia menunjukkan bahawa bahasa tersebut berasal dari pulau asalnya di Taiwan dan faktor sejarah ini menyebabkan munculnya andaian bahawa bangsa Melayu juga berasal dari Taiwan seperti andaian yang dikemukakan oleh Bellwood. Walaupun begitu, bukti ini masih tidak cukup kukuh untuk membuktikan kebenaran teori Bellwood kerana jika benar orang Melayu berasal dari Taiwan, sudah pasti ada ditemukan persamaan ciri fizikal antara orang Melayu dan orang Taiwan ataupun persamaan dari sudut linguistik bahasa di Taiwan yang nyata sekali tidak mempunyai unsur persamaan dengan ciri bahasa Melayu.

6.3.4 Bangsa Melayu dari Nusantara

Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia. Nusantara atau disebut sebagai Kepulauan Melayu turut dikatakan sebagai tempat asal bangsa Melayu. Hal ini dapat dilihat menerusi pendapat Lim Swee Tin (2008) berkenaan kewujudan kerajaan Melayu Melaka yang dapat dikaitkan dengan kependudukan Melayu di Alam Melayu. Melaka yang menjadi pusat persinggahan utama pedagang dari Barat ke Timur telah menunjukkan peradaban dan tamadun tinggi pada ketika itu yang hanya dapat dicapai dalam tempoh berabad lamanya.

Hal ini dapat dibuktikan melalui tertubuhnya negeri Melaka selepas berundurnya Parameswara dari Majapahit dan terbinanya sebuah kerajaan Melaka sehingga mencapai tahap kegemilangan pada abad ke-15 sebagai sebuah empayar yang berpengaruh di seluruh Tanah Melayu dan di Sumatera. Ketamadunan tinggi menerusi pencapaian kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung menjadi bukti bahawa orang Melayu bukan sahaja menjadi penduduk asal di Melaka malah telah menjadi penduduk asal di seluruh kawasan Nusantara. Bukti sejarah ini secara tidak langsung juga membuktikan bahawa bangsa Melayu berasal dari Nusantara dan telah menduduki Nusantara sejak era kegemilangan kerajaan Melayu di seluruh Kepulauan Melayu.

Sementara itu, kajian genetik juga dijadikan sebagai bukti untuk membenarkan bahawa asal usul Melayu adalah dari Nusantara. Berdasarkan kajian DNA Mitokondria yang dilakukan oleh penyelidik, Zafarina Zainuddin (2015), kajian mendapati bahawa DNA Melayu di Kepulauan Melayu berusia antara 50000 sehingga 60000 tahun iaitu 15000 tahun lebih tua dari orang China. Selain itu, penemuan arkeologi membuktikan bahawa sudah ada kehidupan di Kepulauan Melayu sejak 30000 tahun yang lalu. Hal ini turut dinyatakan oleh Pakar Antropologi, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh bahawa rumpun Melayu bersama-sama rumpun bangsa orang Asli telah mendiami alam Melayu sejak sekitar 75,000 tahun yang dahulu berdasarkan kajian DNA yang dilakukan bersama penyelidik, Zafarina Zainuddin pada tahun 2015.

6.3.5 Bangsa Melayu berasal dari Benua Sunda

Dr. Steven Oppenheimer (1998) dalam bukunya “Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia” telah mengemukakan teori “Keluar dari Benua Sunda” yang mengaitkan asal usul bangsa Melayu dari sebuah tamadun yang hilang iaitu Benua Melayu Sunda sejak 15000SM. Asia Tenggara menurut kajian Zaharah Sulaiman et.al (2016) pada mulanya adalah sebuah benua yang bercantum dengan Tanah Besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan Australia dengan New Guinea. Hakikat mengenai teori “Keluar dari Benua Sunda” didasarkan kepada bukti ethnologi, arkeologi, kajian samudera, linguistik, analisis DNA dan folkfor. (Zaharah Sulaiman, 2017).

Benua Sunda pada mulanya merupakan pusat awal peradaban dunia dan sudah lama mempunyai penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Sekitar 16000 tahun lalu, Benua Melayu Sunda memiliki saiz benua yang besar malah anggaran saiznya adalah 2 kali lebih besar dari saiz Benua India. Zaman pencairan glasier menyebabkan berlakunya banjir besar yang menenggelamkan permukaan bumi sehingga berlakunya pemisahan kawasan seperti mana bentuk muka bumi kepulauan Asia Tenggara yang ada di atas perairan pada masa ini. Bencana tersebut menyebabkan dataran rendah Benua Sunda ditenggelami air serta kini menjadi Laut Cina Selatan, Selat Melaka dan Selat Karimata. Bahagian bumi yang tenggelam ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang dinyatakan sebagai Atlantis adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa. Tenggelamnya kawasan tersebut menyebabkan sebahagian penduduk Benua Sunda bermigrasi ke Taiwan, China, New Zealand, Pasifik Selatan dan Madagaskar untuk membina penempatan baru namun begitu, aktiviti perpindahan tersebut hanya berlaku selepas banjir surut.

Akibat peristiwa tersebut, dataran tinggi Benua Sunda pula telah menjadi sebuah pulau yang masih didiami oleh sebahagian penduduk asal Benua Sunda. Teori ini juga dipersetujui oleh Prof. Arysio Nunes dos Santos (2005) yang muncul dengan kenyataan dalam bukunya bahawa Benua Sunda ialah lokasi Benua Atlantis yang hilang. Selain peristiwa Zaman Ais, dos Santos telah menghubungkaitkan peristiwa banjir dan perpindahan penduduk dengan peristiwa letusan gunung berapi Krakatoa dan Toba pada zaman purba menyebabkan Benua Sunda telah terpisah sehingga membentuk Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Filipina dan Borneo sebagaimana mengikut pendapat Zaharah Sulaiman (2013).

Berdasarkan bukti pemetaan genetik dan artifak arkeologi yang dijalankan penyelidikannya sejak tahun 2009, Zaharah mendapati bahawa masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang berhijrah dari Afrika dan mendiami Benua Sunda (Asia Tenggara) merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum Melayu hari ini yang berpindah ke rantau Asia Tenggara sejak 65,000 tahun dahulu. Secara tidak langsung, penemuan bukti genetik sejarah ini dapat membuktikan bahawa Asia Tenggara yang dahulunya merupakan sebuah benua besar dikenali sebagai Benua Sunda adalah tempat asalnya orang Melayu Proto serta genetik Melayu lain yang telah dikenal pasti sebagai orang Jawa, Dayak, Batak, Champa, Madagaskar dan Polinesia.

Jelasnya lagi, penyelidikan khusus yang dijalankan ke atas etnik di Yunnan mendapati bahawa penggunaan bahasa Melayu tidak digunakan langsung di sana manakala ciri-ciri fizikal orang Yunnan juga tidak menyerupai bangsa Melayu malahan penemuan penyelidik juga mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan penghijrahan petani Taiwan ke Benua Sunda. Hasil penyelidikan ini sebenarnya telah menolak teori “Keluar dari Yunnan” dan “Keluar dari Taiwan” yang menjadi pegangan kebanyakan penyelidik sejarah akan asal usul bangsa Melayu. (Zaharah Sulaiman, 2015).

7.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, daripada dapatan kajian yang diperoleh, pengkaji mendapati bahawa asal usul bahasa dan bangsa Melayu masih lagi samar-samar kerana terdapat banyak percanggahan dan pertikaian pendapat dalam menentukan bangsa Melayu berasal dari Yunnan, New Guinea, Taiwan, Nusantara atau pun Benua Melayu Sunda. Walau bagaimanapun, daripada hasil penelitian bukti yang dikemukakan oleh para sarjana Barat mahupun Melayu, pengkaji menyimpulkan bahawa pendapat yang paling tepat untuk menjelaskan asal usul bahasa dan bangsa Melayu adalah andaian bahawa bahasa dan bangsa Melayu adalah dari Nusantara dan Benua Melayu Sunda. Dari perspektif negara serumpun, konsep Melayu tidak dapat lari dari dikaitkan dengan Alam Melayu selain melihat faktor penggunaan bahasa Melayu antara negara-negara serumpun misalnya Malaysia, Indonesia, dan Brunei menguatkan lagi hujah bahawa bangsa Melayu adalah dari Nusantara dan Benua Melayu Sunda dan mereka telah tersebar ke seluruh dunia akibat proses migrasi yang berlaku pada suatu ketika dahulu. Oleh sebab itu, seharusnya sebagai manusia yang mempunyai darah keturunan Melayu, tidak seharusnya kita menyempitkan konsep Melayu seperti yang tergambar pada hari ini. Melayu itu bukan hanya di Malaysia bahkan Melayu adalah bangsa yang terdapat di seluruh dunia serta bangsa yang paling mahir dalam teknologi pertanian dan pelayaran sehingga memudahkan proses migrasi bahasa terutamanya semasa berlakunya pemecahan Benua Melayu Sunda. Kewujudan ujian DNA berdasarkan ujian kepada tulang orang Melayu asli membuktikan bahawa Melayu sejak awal lagi telah berada di Alam Melayu sekaligus teori yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu berasal dari kepulauan Yunnan dan Taiwan perlulah ditolak. Perkembangan bahasa Melayu kemudiannya mewujudkan bahasa Melayu kuno dan bahasa Melayu klasik yang seterusnya berevolusi kepada bentuk bahasa Melayu moden.

RUJUKAN

A Murad Merican. (2016). Debate on origins of Malays. Diambil daripada http://www.nst.com.my/news/2016/08/167152/debate-origins-malays pada 12 April 2017.

Abdullah Hassan. (2005). Kedudukan bahasa Melayu di dunia. Linguistik am. Kuala Lumpur: PTS Publication. Hlmn: 24.

Abdullah Mohd Yassin. (2012). Cabaran bahasa Melayu dan gagasan 1Malaysia. Diambil daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?cat=13&paged=6 pada 17 April 2017.

Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. Sejarah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Asmah Haji Omar. (2005). Alam dan penyebaran bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fairuz Izyana Ayub. (2015). Bangsa Melayu keturunan orang Asli asal. Diambil daripada http://m.utusan.com.my/berita/nasional/bangsa-melayu-keturunan-orang-asli-asal pada 9 April 2017.

Hafizahri Hamid. (2016). Asal orang Melayu dari Atlantis. Diambil daripada http://www.utusan.com.my/rencana/asal-orang-melayu-dari-atlantis-1.401264 pada 1 April 2017.

James T. Collins. (2011). Bahasa Melayu bahasa dunia: Sejarah singkat. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia.

Kasanabilah Kamarul Zaman. (2015). Orang Melayu, Asli sebaka. Diambil daripada http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Re ncana_Utama&pg=ru_01.htm pada 13 April 2017.

Lim Swee Tin. (2008). Melayu pendatang satu pemesongan fakta. Diambil daripada http://psasir.upm.edu.my/1197/1/0108.pdf pada 29 Mac 2017.

Md. Salleh Yaapar. (2015). Melayu bukan pendatang. Diambil daripada https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/261-melayu-bukan-pendatang-md-salleh- yaapar pada 5 April 2017.

Md. Salleh Yaapar. (2014). Peri nama, asal usul dan identiti Melayu: Ke arah pencerahan yang dinantikan. Diambil daripada http://eseminar.dbp.gov.my/dokumen/wacanafikrah_okt.pdf pada 28 Mac 2017.

Mohamed Anwar Omar Din. (2011). Asal usul orang Melayu: Menulis semula sejarahnya. Diambil daripada http://journalarticle.ukm.my/3186/1/1.pdf pada 28 Mac 2017.

Nik Safiah Karim. (2010). Panorama bahasa Melayu sepanjang zaman. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Phaosan Jehwae. (2012). Bahasa Melayu mendamaikan Nusantara. Diambil daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=885 pada 17 April 2017.

Salim Md. Zain. Bahasa dan bangsa Melayu. Diambil daripada http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1259 pada 1 April 2017.

Shahrizal Ahmad Zaini. (2016). Terus pertahan bangsa Melayu. Diambil daripada http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/terus-pertahan-bangsa-melayu-1.597784 pada 1 April 2017.

Zafarina Zainuddin. (2015). DNA dan asal usul Melayu. Diambil daripada http://www.utusan.com.my/rencana/dna-dan-asal-usul-melayu-1.163353 pada 1 April 2017.

Zaharah Sulaiman. (2013). Kajian sahkan Melayu bukan pendatang. Diambil daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_05/Kajian-sahkan- Melayu-bukan-pendatang pada 5 April 2017.

Copy and paste:
Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
9 Januari 2022 > 6 Jamadilakhir 1443H: 2.10 pm 



No comments:

Post a Comment