ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 16 November 2021

SEJARAH PASUKAN HOMEGUARD


SUMBER > BELALANG POST

Sejarah pasukan Home Guard Persekutuan Tanah Melayu semasa Darurat pada tahun 1948-1960
Tempoh antara tahun 1948-1960 merupakan tahun yang mencabar fizikal dan minda bagi penduduk di Tanah Melayu ketika itu. Cabaran yang berbentuk ancaman subversif, pembunuhan, penculikan dan kemusnahan harta benda bukan sahaja ditanggung pihak kerajaan tetapi penduduk awam juga menerima kesannya.
Tempoh tersebut dikenali sebagai zaman Darurat apabila Parti Komunis Malaya (PKM) bertindak mencetuskan pemberontakkan bersenjata pada tahun 1948 ke arah usaha parti tersebut menubuhkan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu.
Kemuncak kepada keganasan ialah pembunuhan 3 orang ketua Kaomintang di Johor pada 12 Jun 1948 dan pembunuhan 3 orang pengurus ladang getah berbangsa Eropah termasuk pembantu ladang di Sg. Siput Perak pada 16 Jun 1948. Rentetan peristiwa tersebut Darurat diisytiharkan di Johor dan Perak pada 17 Jun 1948. Pada 12 Julai 1948 Sir Alexander Theodore Newboult, Pegawai Tadbir Kerajaan mengisytiharkan Undang-undang Darurat ke seluruh tanah melayu. Ia diwartakan dalam Warta Kerajaan bertarikh 13 Julai 1948. PKM diharamkan pada tarikh 23 Julai 1948.
Undang-undang Darurat yang diisytiharkan membolehkan kerajaan mengambil pelbagai tindakan dalam usaha membanteras habis-habisan ancaman dari pengganas komunis. Salah satu tindakan dari pihak kerajaan adalah menubuhkan pasukan pengawal kampung atau Home Guard. Tujuannya bagi memastikan kawalan keselamatan di kawasan terbabit dapat dikawal rapi oleh penduduk tempatan sendiri dengan kerjasama pasukan keselamatan yang lain.
Semasa zaman Darurat di Tanah Melayu, telah wujud beberapa pasukan keselamatan seperti polis, tentera, Special Constabulary (SC) dan juga Auxiliary Police (AP). Pasukan SC umpamanya, berperanan melakukan tugas-tugas kawalan estet, lombong dan kilang di kawasan luar bandar, menjadi pengiring kepada pengurus estet dan lombong, dan juga sekatan kawalan makanan.
Pasukan separa tentera Jungle Squad (juga dikenali sebagai Flying Squad) ditubuhkan lewat 1948 ekoran keperluan mendesak memerangi komunis di hutan. Squad yang terdiri dari 15 hingga 20 orang ini diletakkan dibawah kawalan OCPD (Officer Commanding Police District). Pada tahun 1951, Jungle Squad telah diperbesarkan dan dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (Police Field Force).
Lt. Gen. Sir Harold Briggs, Pengarah Operasi pada 1951 telah menubuhkan pasukan Home Guard yang bertanggungjawab melindungi kampung-kampung dan kawasan berisiko dari sabotaj pengganas komunis. Usaha ini dimulakan pada lewat tahun 1951 dimana sebanyak 280 kampung baru penempatan semula (Briggs' Plan) mempunyai pasukan Home Guard mereka sendiri. Pasukan ini terdiri dari rakyat biasa yang tertakluk kepada Home Guard Regulations 1951 dan 1952. Menurut peruntukan ini, mereka yang berusia diantara 18 hingga 55 tahun boleh dikerah untuk menjadi anggota Home Guard.
Pasukan ini telah ditubuh disemua peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung, dan anggota-anggotanya dilatih dalam berkawad, kemahiran mengendalikan senjata, taktik berkawal, bertempur, dan lain-lain lagi. Semasa menjalankan tugas, Home Guard diberikan surat kuasa dan tanda pengenalan diri yang merupakan kain bertanda HG yang dililit dilengan kiri baju. Pada awal penubuhan, kerana kekurangan senjata, ada anggota Home Guard yang hanya bersenjatakan parang sahaja. Walau bagaimanapun, setelah ancaman komunis semakin berleluasa semasa awal tahun 1950an, persenjataan mereka telah ditambah.
Matlamat penubuhan Home Guard adalah seperti berikut:
*Memastikan masyarakat luar bandar selamat dan mereka bertanggungjawab keatas keselamatan di kawasan mereka sendiri.
*Dengan penubuhan Home Guard, pasukan polis dan tentera boleh menumpukan operasi menghapuskan komunis, dan tanggungjawab mengawal kampung, estet atau lombong diserahkan kepada Home Guard yang mana kawalan 24 jam boleh dilaksanakan.
*Membendung penyebaran ideologi komunis yang dibawa oleh pasukan bawah tanah komunis - Min Yuen
*Bagi kawasan kampung yang kurang dari 30 buah rumah, pasukan Home Guard dikehendaki bertugas secara berkumpulan tidak lebih 10 orang pada setiap malam, manakala bagi kampung yang lebih besar, 15 orang ditugaskan setiap malam dengan 3 dari mereka bersenjatakan senapang. Bagi Kampung Baru (new village), Home Guard bertugas sepenuh masa membantu tentera, polis dan SC termasuklah memeriksa tanda pengenalan penduduk dan bekalan makanan yang dibawa keluar masuk.
Pasukan Home Guard boleh dibahagikan kepada dua unit:
-Static Home Guard - yang terdiri dari anggota-anggota baru yang harus melalui beberapa tahap latihan dan operasi, Tahap Pertama dimana mereka dilatih oleh pasukan keselamatan dari polis atau tentera dan tanggungjawab keselamatan dibawah polis dan tentera, Tahap 2, anggota Home Guard bersama-sama memikul tanggungjawab keselamatan bersama-sama polis dan tentera. Pada Tahap 3, anggota Home Guard yang terlatih dan berpengalaman mengambil alih tanggungjawab keselamatan kawasan mereka dari pasukan keselamatan.
-Operational Home Guard - anggota pasukan ini dipilih berdasarkan rekod baik dan kecekapan mereka. Latihan ala-tentera diberikan secara intensif kepada pasukan ini. Antara bentuk latihan yang diberi adalah menggunakan senjata dan menembak, membuat serangan keatas kedudukan komunis dan latihan bertahan dari serangan komunis. Pertandingan antara unit diadakan untuk meningkatkan kemahiran anggota seperti jungle contact, carbine competition, falling plate, pumpgun competition dan combined weapons competition.
Pada tahun 1950, terdapat 30,000 anggota Home Guard (25,400 Melayu, 3,500 Cina, 800 India dan 300 orang dari lain-lain kaum). Pada Disember 1950, pesara tentera Gen. E. B. de Fonblanque telah diarahkan melatih 42,000 anggota baru. Hasilnya pada pada hujung tahun 1951, keanggotaan Home Guard meningkat kepada 99,000 orang. Angka ini mencapai 250,000 orang pada bulan Jun 1953.
Secara umumnya sejak ditubuhkan hingga 1958, pasukan Home Guard berjaya membunuh 221 pengganas komunis dan mencederakan lagi 110 orang. Juga seramai 123 pengganas komunis telah menyerah diri kepada pasukan Home Guard. Pasukan Home Guard dibubarkan secara rasminya pada 1 Julai 1959 setelah keamanan dicapai dan tiada lagi keperluan mengekalkan pasukan ini.
Sumber:
- Arkib Negara
- Konflik dan Militer.Blogspot
- Mohd Razali bin Yaacob @ Jusoh
Nota kaki:
Apabila berlaku Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963-1965, pasukan ini diwujudkan kembali bagi membantu agensi keselamatan menangani pendaratan dan penyusupan pihak Indonesia. Ia dibubarkan kembali selepas konfrontasi ini tamat.
Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei pada 1969, para pemimpin negara menyedari perlunya satu pasukan sukarela yang tetap bagi membantu kerajaan dalam menangani masalah dan ancaman keselamatan. Hasilnya, pada 11 Januari 1972, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) ditubuhkan.
-(Wiki)
-Dzull-
Sumber - Belalang Post
Copy and paste:
16 November 2021 > 11 Rabiulakhir 1443H: 5.32 am

No comments:

Post a Comment