ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 6 September 2021

SANG KELEMBAI:MAKHLUK MITOS REALITI ATAU DONGENGAN!??

POSTED BY EDDY EZWAN > FB KISAH SEJARAH MELAYU

Sang Kelembai ialah makhluk luar biasa yang berhubungan dengan watak kayangan, dengan mempunyai tubuh yang besar dan tinggi, kuasa menyumpah dan menukarkan benda atau manusia kepada batu.Ia ialah sebahagian mitos yang berhubungan dengan makhluk ajaib, yang menjadi kepercayaan dalam masyarakat Melayu dan di seluruh daerah Nusantara. Si Kelembai memperlihatkan negeri atau daerah berkenaan masih belum dipengaruhi Islam; dengan maksud lain, agama Islam masih belum tiba ke daerah Nusantara ketika mitos ini dikisahkan.
ASAL USUL
Terdapat beberapa pandangan tentang kewujudan Sang Kelembai. Menurut Harun Mat Piah, Kelembai berasal daripada manusia yang tinggal di daerah hulu negeri Pahang, Semenanjung Malaysia. Kononnya; ada dua orang adik-beradik, seorang bernama Tak Ong dan adiknya Tatang. Mereka selalu bertarung kerana Tak Ong sentiasa cemburu terhadap kelebihan Tatang. Pertarungan selalu dimenangi oleh Tatang. Dalam cerita ini sentiasa diperlihatkan kegagahan dan kepintaran Tatang. Antaranya, dia dapat mengubati luka dan penyakit mata abangnya. Dalam perlawanan memanah pula, kedua-dua telinga Tak Ong putus terkena panah Tatang.
Tatang mempunyai sifat gagah seperti Badang. Seluruh pokok perah di sekitar Pulau Raya dicabutnya kerana anak lelakinya mati termakan buah perah. Sehingga kini dikatakan Pulau Raya tiada pokok perah. Anak perempuannya juga mati kerana memakan buah perah, dan mayatnya dikebumikan di Gunung Tahan. Isteri Tatang meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam Sungai Dong ketika melalui sebuah titi untuk menyeberang.
Setelah kematian keluarganya, Kelembai menjadi seorang yang selalu berdukacita. Dia tidak gemar melihat orang bersuka-suka. Dia sering sahaja menegur dan menyumpah sesuatu yang dilihatnya.
TERDAPAT JUGA VERSI YANG BERLAINAN
Setiap Dongeng pastilah adalah kisah lisan turun temurun yang tentulah mempunyai kisah sebenar disebaliknya. Kisah Sebenar itu pula mungkin berpunca dari bencana alam yang memungkinkan berlakunya kejadian makhluk menjadi batu tersebut. Jika kita ambil contoh cerita kota hilang Pompeii yang pernah jadi sekadar dongengan sahaja sebelum ditemui.
Malahan, Kelembai atau GedemBai atau pelbagai bagai nama mempunyai juga mempunyai pelbagai versi cerita. Bagi versi Panggilan Gedembai pulak ia adalah sebuah letupan gunung (Gedem) yang mengeluarkan sembai panas (Dialek Perak untuk pasir) yang menyebabkan setiap makhluk yang terkena atau ditegur menjadi batu. Keadaan ini, amat bertepatan dengan kesan debu / gas / asap panas gunung berapi atau dipanggil piroklastik (English-pyroclastic).
Mungkin, nenek moyang Melayu atau orang asli yang terselamat menjadi saksi letupan Toba 75 ribu Tahun dahulu. Dipercayai letupan ini menghasilkan sembai panas sehingga menukarkan setiap makhluk menjadi batu selepas perlepasan sembai dari teguran / letupan gunung berapi Danau Toba 75 ribu tahun dahulu dari Pulau Sumatera.
Selain itu terdapat kisah Dongeng Merong / Naga / Ular raksasa menjadi batu akibat terkena "Sembai Panas" tersebut. Dikatakan kononnya, Naga yang bersembunyi di Gua Naga / Naka tersebut telah mengganas memakan orang kampung. Seorang Pawang telah meminta bantuan Sang Gedembei untuk menegur dengan sembei supaya naga tersebut menjadi batu.
PEKAN KAMPUNG GAJAH
Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan, Perak mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah yang banyak di situ telah membuat bising dan Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising, telah menegur gajah-gajah tersebut. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.
Namun demikian sehingga kini, tidak dapat dipastikan kedudukan sebenar batu yang menyerupai gajah di Bukit Tunggal itu.
Dalam masyarakat orang Asli Semai di Kampung Gajah, jika mereka hendak memburu binatang di dalam hutan, sesiapa yang melaluinya tidak boleh sekali-kali menegur atau menyapa. Jika menegur juga, orang Asli tersebut akan kembali semula ke rumah dengan tangan kosong kerana beranggapan hasil buruan tidak akan dapat. Malahan mungkin akan ditegur oleh Sang Kelembai dan menjadi batu.
MENDAPAT KRITIKAN
Masyarakat Melayu tradisional sering mengaitkan sesuatu penyakit atau kejadian dengan alasan yang tidak rasional.
Contohnya bentuk batu-batu yang aneh bentuknya dan menyerupai manusia akan dikatakan telah 'ditegur' oleh Sang Kelembai akibat melanggar pantang. Masyarakat Melayu tradisional amat tidak gemar akan kanak-kanak yang suka bercakap banyak. Bagi mengunci mulut kanak-kanak petah bercakap ini, mungkin cerita Sang Kelembai direka-reka.
Peliknya sumpahan Sang Kelembai tidak pula menjadi emas atau benda-benda yang berharga lain. Hanya menjadi batu.
Kepercayaan kepada sumpah boleh membawa kepada syirik dalam Islam.
RUJUKAN
Harun Mat Piah. 2003. Sastera rakyat Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam: Satu Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

C&P: 6/9/2021 / 28 MUHARRAM 1443H: 8.31 AM

No comments:

Post a Comment