ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 1 August 2021

SEJARAH PUTERI GUNUNG LEDANG...

Oleh Qiem > FB KISAH SEJARAH MELAYU

MERUNGKAI MISTERI LAGENDA PUTERI GUNUNG LEDANG
Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang ke-8 pada ketika itu baru sahaja kemangkatan permaisurinya, Tun Kecil dan meninggalkan bakal pewaris takhta, Raja Ahmad yang masih kecil.
Hibanya tidak terkata mengenangkan isteri yang telah tiada meskipun baginda mempunyai isteri-isteri yang lain, Tun Teja puteri dari Pahang serta Puteri Onang Kening, anakanda Sultan Mansur Syah dari Kelantan.
Baginda sudah beberapa hari tidak menjengah Balai Rong Seri untuk bertemu para pembesar negeri. Ini amat menggusarkan hati para pembesar terutamanya Bendahara Tun Perpatih Sedang dan Laksamana Hang Tuah, dua pembesar yang amat dihormati dan berpengaruh di istana Melaka.
Namun apa yang berlaku pada suatu malam mengubah segalanya apabila baginda bermimpikan seorang perempuan yang terlalu cantik paras rupanya muncul dan berasyik masyuk dengan baginda.
Terlalu luar biasa akan rupa perempuan itu, membelai dan menggoda baginda sehinggakan baginda seakan tidak mahu langsung terjaga dari mimpinya.
Dikhabarkan, perempuan itu adalah Puteri Gunung Ledang, penjaga Gunung Ledang yang telah mendiami gunung tersebut sejak ratusan tahun yang lalu.
Selama ini baginda hanya mendengar akan cerita orang mengenai puteri itu tetapi melalui mimpinya itu, barulah baginda tahu yang puteri itu terlalu cantik orangnya. Lalu utusan peminangan telah dihantar ke Gunung Ledang.
Puteri Gunung Ledang, telah meletakkan syarat-syarat tertentu sebagai hantaran perkahwinan iaitu,
- Sebuah jambatan emas yang dibina dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang
- Sebuah jambatan perak yang dibina dari puncak Gunung Ledang hingga ke istana Melaka
- Tujuh dulang hati nyamuk
- Tujuh dulang hati kuman
- Tujuh tempayan air mata anak dara
- Tujuh tempayan air pinang muda
- Semangkuk darah Raja Muda
*******************************************
Persoalan yang timbul ialah,
a) Siapakah sebenarnya Puteri Gunung Ledang itu?
b) Kenapa Sultan Mahmud Shah tidak murka dengan penolakan peminangan secara halus dari Puteri Gunung Ledang?
c) Apakah kesudahan riwayat Puteri Gunung Ledang tersebut?
*******************************************
1. Sebilangan besar ahli sejarah secara majoritinya menulis bahawa Puteri Gunung Ledang adalah puteri raja dari Jawa.
2. Hanya sebahagian minoriti penulis sejarah mencatatkan yang Puteri Gunung Ledang itu adalah puteri Raja Majapahit.
3. Kerajaan Majapahit (1293 – 1478) telah didirikan oleh Raden Wijaya pada tahun 1293 dan berakhir semasa pemerintahan Bhre Kertabumi atau Bhrawijaya V dalam tahun 1478.
4. Runtuhnya Kerajaan Majapahit setelah pasukan pendakwah Islam yang diketuai oleh Raden Fatah dan dibantu oleh anggota Wali Songo pada tahun 1478. Setelah itu berdirilah Kerajaan Islam Demak (1478 – 1548).
5. Raden Fatah telah ditabalkan sebagai Sultan Demak pertama yang menggunakan gelaran Sultan Alam Fattah al-Akbar bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin (1478 – 1518).
6. Kesultanan Melaka (1399/1402 – 1511) yang dimulai dengan Parameswara putera Seri Ratna Wira Karma (1399/1402 – 1413) dan berakhir semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah bin Sultan Alauddin Riayat Shah (1488 – 1511).
7. Menerusi perkahwinan pertama dengan Raja Wati (Tun Kecil) binti Sultan Muhammad Shah, pada tahun 1494, Sultan Mahmud Shah telah dikurniakan Raja Ahmad.
8. Puteri Gunung Ledang pula telah dihantar oleh ayahandanya dari Jawa untuk menuntut ilmu agama di Pulau Besar, Melaka dengan guru-guru agama yang berada di sana.
9. Usia Puteri Gunung Ledang ketika itu dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun.
10. Raja Bhrewijaya V, Raja Majapahit adalah beragama Hindu telah melarikan diri ke Bali setelah runtuhnya Majapahit.
11. Adalah sangat tidak munasabah apabila seorang yang bermati-matian mempertahankan agama Hindu, telah menghantar puterinya mendalami agama Islam di Pulau Besar, Melaka.
12. Sultan Mahmud Syah Melaka pula menaiki takhta pada tahun 1488, iaitu setelah 10 kejatuhan Kerajaan Majapahit.
13. Yang dimaksudkan sebenarnya Raja Jawa itu ialah Raden Fatah, iaitu Sultan Demak yang pertama (1478 – 1518), yang memerintah di Jawa Tengah.
14. Ini bermaksud, Puteri Gunung Ledang itu ialah Raden Puteri Ratna Gumilah Sari atau nama sebenarnya Puteri Siti Djamilah binti Sultan Alam Fattah al-Akbar atau Raden Fatah.
15. Panggilan lain Puteri Gunung Ledang ialah, Gusti Puteri Adjeng Ratno Dumilah Sari, Raden Ratna Gumilah Sari, Raden Gumilah dan Siti Jamilah.
16. Ibu Puteri Gunung Ledang ialah Siti Murtasimah binti Maulana Ahmad Rahmatullah atau Sunan Ampel. Ini bermaksud Puteri Gunung Ledang adalah cucu Sunan Ampel, Wali Songo.
17. Bapa Puteri Gunung Ledang iaitu Raden Fatah pula ialah putera Sultan Wan Abdullah Umdatuddin iaitu salah seorang pendakwah di Jawa yang kemudian menjadi panglima perang Champa dan seterusnya menjadi Raja Champa (1471 -1478).
18. Dan yang menjadi pelopor dakwah di Pulau Besar, Melaka ialah Maulana Ishaq (Sunan Wali Lanang) bin Sayyid Ibrahim al-Akbar, iaitu berpangkat datuk sepupu Puteri Gunung Ledang.
19. Turut menuntut ilmu agama di Pulau Besar ialah Sunan Bonang dan Sunan Giri, anggota Wali Songo.
20. Puteri Gunung Ledang bersama dua orang lagi saudara yang mempunyai pertalian darah, iaitu puteri kepada Sayyid Thanauddin, telah berpindah ke Gunung Ledang untuk bersuluk setelah tidak lagi selesa dengan gangguan Sultan Mahmud Syah di Pulau Besar.
21. Tun Seri Lanang telah menggambarkan dengan bahasa yang halus (metafora) tentang penolakan peminangan oleh Sultan Mahmud dengan perkara yang tidak mampu disediakan oleh manusia biasa.
22. Sultan Mahmud Syah juga tidak menitahkan hukuman bunuh atas sifat durhaka Puteri Gunung Ledang atas penolakan peminangan tersebut, sebagaimana kelaziman yang dilakukannya.
23. Ini kerana Puteri Gunung Ledang adalah puteri kepada Sultan Demak yang kuat pengaruhnya yang berjaya menjatuhkan Kerajaan Majapahit serta mendapat sokongan daripada ulama dan anggota Wali Songo.
24. Puteri Gunung Ledang juga adalah anak saudara Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin, yang menjadi penguasa di Cirebon, Jawa.
25. Melaka pada waktu itu juga sedang berada di ambang keruntuhan akibat perebutan kuasa di kalangan pembesar dan akhirnya tumbang kepada Portugis pada tahun 1511.
26. Setelah tamat pengajian agama di Pulau Besar, Melaka, Puteri Gunung Ledang telah kembali ke Jawa dan berkahwin dengan Raden Abdul Kadir bin Raden Muhammad Yunus bin Sayyid Khalid al-Idrus. Raden Abdul Kadir adalah anak Adipati Jepara.
27. Hasil perkahwinan Puteri Gunung Ledang dengan Raden Abdul Kadir, mereka telah dikurniakan cahaya mata, Raden Abu Bakar dan Raden Abu Syahid.
28. Raden Abu Bakar dan Raden Abu Syahid juga telah dihantar menuntut ilmu agama di Pulau Besar. Kedua-dua mereka terkorban di Pulau Besar semasa pertempuran menentang Portugis di Melaka. Turut terkoban dalam perang tersebut ialah Raden Abdul Kadir, suami Puteri Gunung Ledang.
29. Semasa berlaku perebutan kuasa di Demak dan setelah kematian suami serta dua orang puteranya, Puteri Gunung Ledang telah kembali semula ke Gunung Ledang untuk bersendiri dan berkhalwat kepada Allah.
30. Menurut sesetengah pendapat, Puteri Gunung Ledang telah meninggal dunia dalam lingkungan tahun 1640, dalam usia yang sangat tua.
31. Puteri Gunung Ledang sememangnya telah melahirkan zuriat yang bukan semata-mata berjasa kepada bumi Melaka, tetapi telah menyerahkan nyawa suami dan anak-anaknya kepada Allah untuk mempertahankan dakwah di Nusantara.
Kesimpulannya,
1) Puteri Gunung Ledang bukanlah makhluk halus atau bunian seperti kepercayaan masyarakat.
2) Metafora yang digunakan oleh Tun Seri Lanang adalah untuk menutup kekurangan raja-raja melayu yang menjadi punca kejatuhan kuasa orang Melayu.
3) Penjajah cuba menutup sejarah dakwah Islam di nusantara.
Kredit: Tok Cu
📝
Serai Padang
C&P : 1 OGOS 2021 @ 22 ZULHIJJAH 1442H: 12.17 PM

No comments:

Post a Comment