ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 7 May 2021

PERBEZAAN KISAH NABI SYAM'UN AL GHAZI DAN SAMSON

SUMBER: FB BELALANG POST

Nabi Syam'un as tidak diceritakan langsung dalam al-Quran namun nama baginda pernah diriwayatkan di dalam Kitab Qisasul Anbiya’ (kisah para Nabi).
Dalam kitab lama tersebut menceritakan bagaimana Rasulullah saw tiba-tiba tersenyum sehingga mengundang rasa pelik para sahabat. Lalu seorang sahabat bertanya Rasulullah saw,
“Mengapa anda tersenyum wahai nabi Allah?”
Rasulullah saw segera menjawab,
"Aku diperlihatkan pada hari kiamat di Padang Mahsyar, seorang nabi dengan membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut walau seorang pun, kemudian masuk ke dalam syurga. Baginda adalah Syam'un."
Dalam Kitab Muqasyafatul Qulub karangan Imam Ghazali ada menceritakan bahawa Rasulullah saw berkumpul pada bulan suci Ramadan. Di dalam usrah itu, Rasulullah saw bercerita mengenai nabi Allah bernama Syam'un. Rasulullah saw menggelarnya "Syam’un al Ghazi".
Syam'un dianugerahi Allah swt dengan kekuatan luar biasa seperti berkebolehan melembutkan besi, mampu menewaskan binatang buas dan berkemampuan untuk mengangkat tiang istana dan merobohkannya.
Nabi Allah ini menentang keras perbuatan kaumnya yang engkar dengan perintah Allah swt. Pada masa itu, Raja Israel sendiri adalah seorang yang engkar dengan perintah Allah dan zalim pula terhadap rakyatnya.
Sifat bongkak raja tersebut mengundang rasa benci terhadap raja tersebut sehingga menyebabkan Syam'un tidak henti-henti memberi peringatan kepadanya walau dengan apa cara sekalipun.
Sifat istiqamah Syam'un mengundang padah padanya apabila baginda berjaya ditangkap setelah isterinya sendiri mengkhianatinya. Syam'un pernah berkata kepada isterinya berkenaan kelemahan dirinya yang boleh dilemahkan dengan mengikat dirinya dengan rambutnya sendiri. Akhirnya Syam'un ditangkap.
Syam'un telah diseksa dan dibutakan matanya. Namun tidak menghalang dirinya untuk terus berjuang menentang kebatilan. Syam'un berdoa kepada Allah swt agar dikembalikan kekuatan yang dianugerahkan kepadanya dahulu. Allah swt memakbulkan doa baginda.
Syam'un telah menggunakan kekuatan yang diperolehinya semula dengan meruntuhkan seluruh istana sehingga mengorbankan raja dan isterinya sendiri.
Selepas kejadian itu, Syam'un kemudian bersumpah untuk beribadah selama 1000 bulan tanpa henti. Daripada kisah yang diceritakan inilah, maka datang wahyu berkenaan malam Lailatul Qadar yang keberkatannya lebih baik daripada seribu bulan.

VERSI KITAB PERJANJIAN LAMA
Dalam Kitab Perjanjian Lama (Bible), Syam'un dikenali sebagai Samson (bahasa Ibrani: Simson) dimana kisahnya sangat berbeza (walaupun ada sedikit serupa).
Dalam Kitab Perjanjian Lama (Bible), Samson diberikan kekuatan oleh Tuhan tetapi berzina dengan pelacur. Berikut adalah kisahnya...
Samson terpikat dengan pelacur dari Lembah Sorek bernama Delila. Atas arahan raja, Delila memujuk Samson untuk memberitahu kelemahannya, kerana jika diikat tali pun, dengan sekali sentakan, tali akan terputus dan Samson dapat memukul orang-orang Filistin.
Akhirnya Delila berjaya mengetahui kelemahan Samson. Samson memberitahunya, dia akan hilang kekuatannya jika rambutnya dipotong.
Dalam diam-diam, Delila mencukur rambut Samson ketika dia tertidur dan mengikatnya. Apabila dibangunkan, Samson sudah dikepung orang Filistin. Dia berusaha meronta tetapi kekuatannya sudah tiada, Samson hilang kekuatannya.
Orang Filistin dengan mudah menangkap Samson. Mata Samson dicungkil sehingga menjadi buta dan dipaksa menjadi bahan tontonan seperti badut pertunjukan, selain itu Samson juga dipaksa menggiling gandum.
Lama berselang rambut Samson mula tumbuh, Samson berdoa agar diberi kekuatan sekali lagi, untuk menghancurkan orang Filistin. Ketika perayaan Dewa Dagon, Samson diikat dan dibawa sebagai tontonan di Kuil Dagon.
Disebabkan buta, Samson menyuruh anak kecil yang membawanya menuju ke tiang Kuil Dagon.
Tuhan mengembalikan kekuatan Samson. Dengan kedua tangannya, Samson memeluk tiang tersebut dan merobohkan kuil Dewa Dagon.
Samson mati bersama orang Filistin setelah dia menghancurkan Kuil Dagon. Itulah kematian Samson, mati bersama musuh bangsanya iaitu bangsa Filistin.
Wallahua'lam...
Sumber:
takusahrisau.wordpress
Hakim-hakim 16
Gambar: Dikatakan makam Samson di Israel
-Debu-


C&P: 7/5/2021 @ 25 RAMADAN 1442H: 1.22 PM

No comments:

Post a Comment