ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 7 May 2021

'Blueprint' Laluan Perdagangan Rahsia Langkasuka & Pan-pan

SUMBER: SRIKANDI

Sebenarnya, topik Jalan Penarikan ini sangat menarik dan menghuraikan topik ini sahaja memerlukan sebuah buku ditulis. Jalan Penarikan ini juga layak diketengahkan sebagai khazanah negara dan boleh dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan-sejarah.
Kesultanan Melaka bukanlah satu-satu kerajaan yang tahu tentang rahsia ini. Namun sekurang-kurangnya pengetahuan tentang laluan Jalan Penarikan ini telah ada sejak abad ke-2 Masehi lagi, di zaman Langkasuka dan Pan-pan, dua kerajaan yang wujud sebelum kebangkitan Kedatuan Srivijaya.
Menurut sumber China, Liang Shu, perluasan Langkasuka mengikut panjang pantainya perjalanan arah timur ke barat memakan masa selama 30 hari, dari utara ke selatan sejauh 20 hari perjalanan. Pada zaman kegemilangannya daerah penguasaan merangkumi negeri-negeri Melayu Ligor, Snk-kuna (Singgora atau Songkhla sekarang), Kun-ha-ti (Patani), Ko-lan-tan (Kelantan), Teng-ka halo (Terengganu), Kedah dan daerah Hulu Perak.
Ternyata Langkasuka menguasai dan mengawal satu daripada jalan rentas darat menghubungi pantai barat dan pantai timur Semenanjung (Trans-Peninsular). Jalan rentas Semenanjung dari Langkasuka melalui Singgora ke Patalung hingga ke Ligor, dari Langkasuka ke Kedah ataupun ke Chumpon, dari Trang ke pelabuhan Kra atau Takuapa dan di bahagian selatan sepanjang pantai timur Semenanjung.
Sungai-sungai besar yang muaranya menghadap Teluk Siam dan Laut China Selatan seperti Sungai Patani, Sungai Teluban, Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang adalah juga jajahan kawalan Langkasuka. Sungai-sungai ini bukan sahaja berperanan sebagai jalan perniagaan penting malah menyalurkan hasil perlombongan emas dan bijih timah.
Wilayah Pan-pan (ada pendapat yang mengatakan ia adalah Tambralinga) pula terdiri daripada empat pelabuhan utama yang dapat dihubungkan dengan laluan darat iaitu Nakhom Sri Thammarat, Chaiya di sebelah Teluk Siam manakala Takkola (Takuapa) dan Trangkhapura (City of the waves) di sebelah Teluk Bengal. Lokasi yang unik ini bermakna Pan-Pan menguasai bahagian selatan Segenting Kra. Jarak antara Takuapa dan Chaiya atau Trangkhapura dan Nakhon Sri Thammarat adalah kurang dari 100 kilometer dan ini membolehkan Panpan menawarkan alternatif kepada kapal-kapal dagangan dari India, Indo-China dan China untuk dijadikan sebagai pusat transit pertukaran kargo melalui jalan darat.
Dengan ini, kapal dagangan tidak perlu belayar mengelilingi Semenanjung Tanah Melayu untuk berdagang ke China ataupun India. Keistimewaan kedudukan geografi ini membolehkan Pan-Pan dapat mengekalkan kemajuannya dari segi ekonomi dan politik.
Nampaknya jelas bahawa pengetahuan tentang Jalan Penarikan ini telah diketahui lama sejak berabad-abad lamanya. Bukannya baru tahu masa zaman Kesultanan Melaka atau zaman kolonial British. Mungkinkah, di sepanjang laluan ini dahulunya wujud juga peluang-peluang perniagaan untuk orang di pedalaman membuka gerai-gerai menjual makanan dan minuman serta barangan jualan yang lain? Penempatan-penempatan yang kini sudah ditinggalkan?
Sebelum ini sejarah perdagangan di Asia Tenggara menumpukan Selat Melaka dan jalan laut. Bagaimana dengan rangkaian perdagangan di pedalaman ini? Bagaimana jika, ada Jalan Penarikan yang merupakan laluan ke ibukota sebenar kerajaan-kerajaan purba ini yang mana sering dilaporkan oleh Orang Asli seperti kes 'Kota Gelanggi' dan kota yang tenggelam di Hulu Perak?
Ibukota sebenarnya yang mana tempat maharaja menyimpan jongkong emasnya seperti dalam rekod-rekod imperial China sementara di pesisir pantai itu adalah kota pelabuhan sahaja?
Pihak-pihak yang ada kewajiban dan autoriti dalam pemuliharaan warisan sejarah perlu memikirkan inisiatif yang lebih padu untuk memanfaatkan Jalan Penarikan ini.
Jangan sampai semua rahsia ini diketahui dahulu oleh para pencari gaharu warga Vietnam atau 'mat saleh CIA' yang menyamar sebagai 'saintis herba'.
.
~Srikandi
history is mystery
Kredit: Laluan Penarikan di Semenanjung Tanah Melayu Berdasarkan Sumber Barat & Tempatan, ATMA UKM

C&P 7 MEI 2021 @ 25 RAMADAN 1442H: 12.28 PM

No comments:

Post a Comment