ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 15 April 2021

Tak salah unsur Melayu-Islam lebih ditonjolkan dalam buku teks sejarah, kata sejarawan

Oleh : Nora Mahpar : 15 April 2021

PETALING JAYA: Ahli sejarah berpendapat tidak salah jika unsur Melayu dan Islam lebih ditonjolkan berbanding etnik atau kaum lain dalam buku teks sejarah negara kerana pada dasarnya Malaysia adalah sebuah negara Melayu-Islam yang sudah diperakui semua pihak.

Teo Kok Seong

Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata semua pihak juga sudah mempersetujui secara bersama dalam kontrak sosial dahulu bahawa simbol Melayu dan proses sosio-budaya Melayu adalah identiti negara.

“Jika etnik lain dikatakan tenggelam dan peratusan Melayu lebih sedikit (dalam laporan sejarah) tidak mengapa kerana kita perlu faham bahawa penduduk dominan negara ini adalah Melayu dan rata-ratanya adalah Islam,” katanya kepada FMT.

Sejarawan Ranjit Singh Malhi dalam kenyataan baru-baru ini berkata, buku teks yang digunakan di sekolah menengah adalah berpusatkan Melayu dan Islam. Selain itu, ia turut menghilangkan fakta-fakta penting berkaitan dengan pembinaan negara sambil menyimpang fakta dan bersifat keterlaluan.

Beliau menjelaskan kebanyakan penulis buku teks itu adalah orang Melayu, dan bermakna para pelajar mempelajari dunia dan sejarah Malaysia dari perspektif etnik tertentu semata-mata.

Katanya, setiap buku sejarah berkenaan mempunyai kurang dari 10 halaman mengenai peradaban India dan Cina dan lebih daripada 20 halaman mengenai peradaban Islam.

Dalam pada itu, Teo berkata, penemuan yang dibangkitkan oleh Ranjit itu adalah perkara biasa yang turut berlaku di negara luar.

“Di mana-mana negara pun apabila sesuatu sejarah itu ditulis, akan ada pihak tidak puas hati dengan cara peristiwa itu ditulis. Masalah dan persoalan ini akan dikaji oleh pakar dalam bidang mengkaji dan menilai sejarah yang sudah ditulis,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tiada rungutan daripada ibu bapa secara rasmi bahawa sejarah negara diputar-belitkan seperti yang dinyatakan dalam penemuan Ranjit.

“Tidak ada rungutan daripada masyarakat melalui ahli politik atau NGO tertentu. Tiba-tiba kita dikejutkan dengan penemuan oleh ahli sejarah kita ini (Ranjit),” katanya, dan menambah dakwaan yang dibangkitkan oleh Ranjit itu tidak boleh ditolak oleh Kementerian Pendidikan malah perlu diperhalusi dan diambil tindakan segera jika ia benar.

Bagaimanapun, Wan Ramli Wan Daud dari UKM mendakwa kenyataan Ranjit bahawa buku teks itu gagal menunjukkan kesan peradaban Hindu-Buddha terhadap budaya, bahasa, dan kesusasteraan Melayu ada benarnya.

“Zaman tamadun Melayu Hindu-Buddha ini menjangkau sekurang-kurangnya 1,200 tahun sebelum orang Melayu memeluk agama Islam. Zaman tamadun Melayu-Islam hanya kira-Kira 800 tahun sahaja,” katanya.

Beliau menegaskan sejarah itu adalah fakta yang perlu disampaikan secara telus dan jelas.

“Sejarah ialah peristiwa lepas, tidak dapat ditukar ganti – kita perlu menyatakan yang benar kepada generasi akan datang,” katanya.

Copy and paste: 15/4/2021 @ 3 Ramadan 1442H: 7.07 pm


No comments:

Post a Comment