ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 26 March 2021

Kepercayaan Datuk Gong atau lebih dikenali sebagai Datuk Keramat.

Oleh Veera Saravanan 
Sumber : FB Malaysiaku Dulu Dulu Official

Semalam Boi ada cerita tentang nombor amat ekor kan. Dapat ilham untuk bagi pencerahan tentang kepercayaan Datuk Gong la pulak.
Bagi korang yang tak tahu, mungkin korang akan anggap yang ni perkara biasa je. Tapi korang tahu tak, dewa yang disembah itu majoritinya adalah orang Melayu? Ya! Ia adalah ‘Dewa Melayu’ yang dikenali sebagai ‘Datuk Gong’ atau ‘Na Tuk Kong’ dalam bahasa Cina. Bentuk patung dewa tu jugak ada ciri-ciri Melayu (macam gambar kat atas).
Kenapa patung tu macam orang Melayu? Macam mana kepercayaan Datuk Gong ni boleh muncul? Betul ke yang disembah tu ‘Dewa Melayu’? Itulah mungkin persoalan yang bermain kat minda korang sekarang. Oleh itu, mari kita bermula dengan sejarahnya…
Penyembahan terhadap Datuk Gong ni dikatakan mula bertapak kat Malaysia sejak awal abad ke-19 lagi. Datuk Gong ni boleh dianggap sebagai dewa tempatan yang menjaga kesejahteraan, keamanan, kekayaan dan kesihatan. Apa yang uniknya, amalan ni hanya wujud kat Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand je (nusantara).
Sebab tu lah, kita takkan dapat jumpa Datuk Gong ni kat negara China, Taiwan atau sebagainya. Untuk nak buat korang lebih faham, segalanya bermula pada abad ke 19 bila berlaku penghijrahan rakyat China ke Asia Tenggara. Masa tu diorang bawa amalan dan kepercayaan diorang sekali. Dalam waktu yang sama, mereka cuba menyesuaikannya dengan amalan masyarakat tempatan (Melayu).
Sekitar kawasan luar bandar di Malaysia, sesetengah kuil yang dilukis berwarna kuning atau warna merah di tepi jalan atau di bawah pokok boleh ditemui, dan kuil-kuil ini biasanya disembah oleh penduduk yang tinggal di kawasan sekitar. Dewa Melayu yang disembah oleh orang Cina di Malaysia dipanggil Datuk Kong, Datuk Gong atau Datuk Keramat.
Kuil-kuil tersebut biasanya mempunyai reka bentuk fusion Cina-Melayu, dengan unsur-unsur Islam seperti hiasan bulan sabit. Di dalam bilik yang sederhana, sebuah patung yang menggambarkan Datuk diletakkan.
Patung Datuk Gong (拿督 公 Nadu-Gong) biasanya menggambarkan seorang lelaki Melayu yang berpakaian Kostum Melayu Tradisional, memakai songkok atau tengkolok kepala, keris dan pakaian tradisional Melayu. Objek untuk upacara penyembahan juga akan diletakkan di atas sebuah altar di hadapan patung tersebut.
Mereka percaya Dewa Datuk Gong ini menjaga kesejahteraan, keamanan, kekayaan, dan kesihatan.
Sejarah asal Datuk Gong
Datuk/Dato adalah gelaran terhormat masyarakat Melayu kepada seseorang dan juga gelaran kepada orang tua. Manakala, Gong pula adalah gelaran hormat masyarakat Cina kepada dewa-dewa mereka. Ramai yang beranggapan penyembahan Datuk Gong adalah kepercayaan masyarakat Cina. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak sepenuhnya benar.
Penyembahan terhadap Datuk Gong ini dikatakan mula bertapak di Malaysia sejak awal abad ke-19 lagi. Masyarakat Melayu pada zaman itu masih ada yang percayakan konsep animisme sebelum kedatangan Islam.
Asimilasi dari kepercayaan ini membentuk konsep kepercayaan Datuk Kong yang rata-ratanya terdiri daripada orang melayu yang telah meninggal dunia. Maka apabila dikaitkan dengan amalan orang Melayu pada masa dulu, ia berkaitan rapat dengan pemujaan ‘semangat’ terhadap sesuatu tempat yang dianggap keramat.
Cara penyembahan Datuk Gong
Penyembahan Datuk Gong pada asalnya disembah bukan dalam bentuk patung, tetapi tablet (papan yang ditulis namanya), pokok tertentu, busut atau batu. Tetapi disebabkan zaman yang berubah, patung mula diukir.
Penyembahan Datuk Gong selalunya dilakukan melalui orang pengantara untuk memanggil roh Datuk Gong. Mereka biasanya menawarkan bunga segar, sireh, rokok daun, hirisan pinang, dan buah-buahan tempatan. Sebahagian penting dari ritual itu juga melibatkan pembakaran kemenyan.
Tetapi upacara ini turut mempunyai pantang larangnya sendiri di mana orang yang ingin meminta bantuan daripada Datuk Gong tidak boleh memakan daging khinzir sekurang-kurangnya sehari sebelum berjumpa Datuk. Bagi wanita wang datang haid pula, mereka dianggap tidak suci dan tidak boleh menyentuh Datuk, terutama sekali di bahagian kepala.
Interaksi budaya antara Melayu dan Cina
Konsep Datuk Gong ini muncul dari campuran amalan orang Cina dan Melayu. Dr Lee Yok Fee, Pensyarah Jabatan Ekologi UPM menyimpulkan bahawa kepercayaan ini diturunkan dari generasi ke generasi dan muncul hasil dari interaksi budaya dan amalan dari dua bangsa iaitu Cina dan Melayu.
Justeru, tidak hairanlah jika kepercayaan terhadap Datuk Gong ini masih dipraktikkan lagi sehingga kini kerana ia adalah satu bentuk kepercayaan yang telah direvolusikan di tanah Malaysia sendiri yang mengamalkan konsep bebas beragama.
Kredit info kepada Soscili dan Kata Malaysia.

C&P: 26/3/2021 @ 12 SYAABAN 1442H: 12.42 PM

No comments:

Post a Comment