ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 10 March 2021

HUBUNGAN NEGARA-NEGARA KOTA AWAL SEMENANJUNG TANAH MELAYU DENGAN CHINA: SATU KRONOLOGI

Nasha Rodziadi Khaw
Nazarudin Zainun
PENDAHULUAN
Perkembangan politik di Semenanjung Tanah Melayu melibatkan pertumbuhan kota-kota pelabuhan di kawasan pesisir pantai dan lembah-lembah sungai. Kedudukan Semenanjung Tanah Melayu sebagai tempat yang strategik dan kaya dengan komoditi menyebabkan kawasan tersebut didatangi para pedagang yang berinteraksi dengan penduduk tempatan. Kewujudan entiti-entiti politik tersebut telah direkodkan dalam sumber-sumber China, India, Arab dan Yunani. Pada zaman pramoden, wujud dua buah kuasa ekonomi terbesar yang menentukan pola perdagangan di Kepulauan Melayu iaitu India dan China. Terutamanya di kawasan Semenanjung Tanah Melayu, pedagang-pedagang dari China dan India telah menjadi pemangkin utama kepada perkembangan sosioekonomi di kota-kota pelabuhannya. Kepentingan perdagangan China di Kepulauan Melayu dibuktikan melalui penemuan-penemuan arkeologi yang wujud di tapak-tapak arkeologi Semenanjung Tanah Melayu seperti Lembah Bujang, Kuala Selingsing, Pulau Tioman, Melaka, Takuapa dan Chaiya. Diperhatikan bahawa penemuan arkeologi yang paling dominan di tapak-tapak perdagangan awal terdiri daripada penemuan seramik-seramik China. Seramik-seramik China tersebut kebanyakan berasal dari zaman Dinasti T’ang dan Sung.
Hubungan dagang dan diplomatik yang wujud antara Semenanjung Tanah Melayu telah bermula sejak kurun ke-2 Sebelum Masihi. Walau bagaimanapun, hubungan diplomatik tersebut terhenti pada kurun ke-16 Masihi apabila Dinasti Ming mula mengamalkan dasar tutup pintu dan telah mula berlaku campur tangan Eropah. Makalah ini cuba untuk menghuraikan kronologi perkembangan hubungan diplomatik dan perdagangan antara China dan kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu dari kurun ke-2 Sebelum Masihi hingga kurun ke-13 Masihi.

HUBUNGAN CHINA-SEMENANJUNG TANAH MELAYU
Di samping data arkeologi, kepentingan perdagangan kota-kota tersebut kepada China turut dicerminkan dalam sumber-sumber penulisannya yang banyak memberi gambaran mengenai kota-kota awal Semenanjung Tanah Melayu. Sumber-sumber China yang wujud terdiri daripada cerita dinasti, catatan topografi dan ensiklopedia.
Antara Cerita-Cerita Dinasti yang wujud adalah Chi’en Han-shu, Liang-Shu, Sung-Shu, Sui-Shu, Chiu-Shu, Ch’en-Shu dan Hsin Tang Shu. Rekod-rekod ini biasanya dikompilasikan oleh pegawai-pegawai istana pada penghujung sesebuah dinasti untuk kegunaan golongan birokrasi yang kurang mementingkan keadaan geopolitik negara-negara di luar sempadan negeri China. Di samping Cerita-Cerita Dinasti, maklumat tentang negara-negara kota awal di Semenanjung Tanah Melayu juga boleh diperolehi daripada ensiklopedia China. Ensiklopedia-ensiklopedia yang wujud ini merupakan kompilasi maklumat daripada penulisan yang lebih awal. Antara ensiklopedia yang menyentuh tentang kerajaan-kerajaan awal ialah T’ung Tien, Wen Hsien T’ung K’ao dan T’ai Ping Yü Lan. Sumber China yang terakhir ialah catatan topografi yang ditulis oleh pelayar-pelayar China yang melawati perairan Nusantara. Contoh penulisan yang menyentuh tentang kerajaan awal Semenanjung ialah T’ai Ping Huan Yü Chi. Sumber-sumber tersebut memberikan maklumat penting mengenai kronologi hubungan politik dan ekonomi antara kerajaan-kerajaan awal Melayu dengan tanah besar China.
Hubungan yang wujud antara China dan Semenanjung dapat dibahagikan kepada penzamanan. Diperhatikan bahawa hubungan diplomatik atau perdagangan tersebut tidak berlaku secara berterusan kerana kewujudan hubungan tersebut amat bergantung kepada keadaan politik China serta persekitaran politik dan sosioekonomi di Kepulauan Melayu. Hubungan perdagangan dan diplomatik antara China dan Semenanjung Tanah Melayu telah berlaku dalam beberapa peringkat yang didefinasikan berdasarkan keberadaan dan jenis sumber yang wujud. Peringkat pertama adalah dari kurun ke-2 Sebelum Masihi hingga kurun pertama Masihi, peringkat kedua adalah dari kurun pertama Sebelum Masihi hingga kurun ke-5 Masihi, peringkat ketiga adalah dari kurun ke-5 hingga ke-7 Masihi, peringkat keempat adalah dari kurun ke-7 hingga ke-9 Masihi dan peringkat terakhir adalah dari kurun ke-9 hingga ke-14 Masihi.

PERINGKAT PERTAMA: KURUN KEDUA HINGGA PERTAMA SEBELUM MASIHI
Dari kurun kedua hingga pertama Sebelum Masihi, telah wujud hubungan diplomatik antara dua buah kerajaan Semenanjung Tanah Melayu dengan Dinasti Han. Berdasarkan sumber penulisan terawal, iaitu Chi’en Han Shu , telah mula wujud hubungan antara kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu kerajaan Fu-Kan-Tu-Lu dengan Maharaja Wu-Ti dari Dinasti Han antara tahun 141 hingga 87 Sebelum Masihi. Dinasti Han yang menggantikan Dinasti Qin pada 206 Sebelum Masihi telah mula mengamalkan dasar perdagangan yang aktif dengan negara-negara di luar sempadan empayar China, terutamanya semasa zaman pemerintahan Maharaja Wen-ti pada 179 hingga 157 Sebelum Masihi. Pada zaman tersebut laluan perdagangan yang digunakan antara China dan Timur Tengah adalah melalui jalan darat. Penguasaan Dinasti Han terhadap kawasan Canton, Tenggara China, serta penguasaaan terhadap kawasan pesisir di Selatan China kemungkinan besar telah menjadi perintis kepada perkembangan kegiatan maritim China di Lautan Selatan. Walau bagaimanapun, masih belum ditemui sumber-sumber sejarah mahupun arkeologi lain yang dapat mengesahkan kewujudan kedua-dua kerajaan tersebut.
Pada waktu yang sama, telah ditemui artifak seperti gendang Dongson yang dipertarikhkan pada sekitar kurun ke-2 Sebelum Masihi di sekitar Batu Burut, Sungai Lang, Muar dan Tembeling. Selain daripada gambaran yang diberikan tentang hubungan ufti Fu-Kan-Tu-Lu dan Shen-Li dengan Maharaja Wu-Ti, tidak disebut apa-apa lagi tentang hubungan antara Dinasti Han dengan Lautan Selatan. Hal tersebut kemungkinan besar menunjukkan bahawa buat sementara waktu, hubungan diplomatik antara China dan Semenanjung Tanah Melayu terhenti.

PERINGKAT KEDUA: KURUN PERTAMA SEBELUM MASIHI HINGGA KELIMA MASIHI
Jangkamasa ini menyaksikan jangka masa apabila wujud kekaburan sumber arkeologi dan rekod bertulis mengenai hubungan diplomatik dan perdagangan kota-kota awal di Semenanjung Tanah Melayu. Pada ketika itu, telah berlaku kebangkitan kerajaan Funan. Kerajaan Funan merupakan sebuah kerajaan Maritim dan pada masa yang sama mengamalkan aktiviti pertanian. Wilayah kekuasaan kerajaan Funan pada zaman kegemilangannya termasuklah Selatan Vietnam, Lembah Chao Phraya, Lembah Mekong, dan Semenanjung Tanah Melayu. Pada ketika itu, kerajaan Funan telah menguasai laluan perdagangan yang meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka dan Teluk Bengal. Ketiadaan rekod mengenai kota-kota awal pada ketika itu kemungkinan disebabkan oleh proses pasifikasi yang dijalankan oleh kerajaan Funan. Hal ini menyebabkan kota-kota tersebut tidak lagi wujud sebagai entiti-entiti politik yang bebas untuk menjalinkan hubungan dengan China. Hanya entiti-entiti politik yang merdeka dan tidak didominasi secara politik oleh sebarang kuasa asing sahaja yang dapat menghantar ufti ke China. Oleh yang demikian, pada ketika hegemoni kerajaan Funan, kemungkinan besar hubungan dagang dan diplomatik antara China dan kota-kota Semenanjung Tanah Melayu terhenti buat seketika. Keadaan mulai berubah selepas kurun kelima Masihi.

PERINGKAT KETIGA: KURUN KELIMA HINGGA KETUJUH MASIHI
Pada ketika ini, wujud hubungan diplomatik antara kota-kota awal bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi dari seluruh kepulauan Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, jumlah penemuan arkeologi yang dapat membuktikan bahawa wujudnya hubungan perdagangan adalah amat terhad. Bermula pada kurun kelima Masihi, Empayar Funan telah mulai mengalami kemerosotan. Akibat kemerosotan tersebut, Funan tidak lagi dapat membendung pembebasan negara-negara kota yang pernah dikuasainya sebelum ini. Negara-negara kota tersebut kini berupaya menjalin hubungan secara langsung dengan China. Kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu yang telah bebas dari cengkaman Funan telah menjalinkan hubungan dengan China, iaitu dengan Dinasti Liu-Song [420-479 Masihi], Dinasti Chi [[479-501 Masihi], Dinasti Liang [502-556 Masihi], Dinasti Chen [557-581 Masihi], Dinasti Sui [581-618 Masihi] dan seterusnya Dinasti Tang. Dalam usaha untuk melindungi dan mengukuhkan kepentingan kerajaan masing-masing, para pemimpin setempat telah berusaha mendapatkan pengisytiharan kedaulatan daripada negara luar yang dianggap kuat ketika itu. Negara-negara kota tersebut telah menghantar ufti kepada Maharaja-Maharaja China. Negara-negara kota di Semenanjung Tanah Melayu yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China pada ketika itu termasuklah Pan-Pan (Utara Patani), Langkasuka (Patani), Tan-Tan (Besut), Ch’ih-T’u (Hulu Kelantan) dan juga Ko-Lo (Melaka-Muar). Walau bagaimanapun, selepas penghujung kurun ke-7 Masihi, kota-kota tersebut tidak lagi wujud sebagai entiti politik yang bebas.

PERINGKAT KEEMPAT: KURUN KETUJUH HINGGA KESEMBILAN MASIHI
Pada ketika ini, tidak lagi wujud hubungan diplomatik ataupun hubungan ufti antara kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu. Hal ini diperhatikan daripada rekod-rekod China dari Dinasti T’ang yang tidak lagi menyenaraikan kota-kota tersebut dalam senarai kerajaan-kerajaan yang menghantar ufti. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan kerajaan Srivijaya yang berpusat di sekitar Palembang. Sebagai sebuah kuasa talasokrasi, Srivijaya telah meluaskan hegemoni politiknya terhadap kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu seperti mana yang telah dilakukan oleh kerajaan Funan. Oleh yang demikian, selepas kurun ke-6 Masihi, kota-kota tersebut tidak lagi wujud sebagai entiti-entiti politik bebas yang mampu untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Walau bagaimanapun, penelitian arkeologi yang telah dijalankan di Lembah Bujang, Takuapa dan Chaya telah membawa kepada penemuan seramik-seramik Cina dari zaman Dinasti T’ang. Diperhatikan di sini bahawa walaupun hubungan diplomatik antara China dan kota-kota Semenanjung Tanah Melayu tidak lagi wujud, hubungan perdagangan tetap wujud dengan sebahagian kecil dari kota-kota tersebut. Kewujudan seramik-seramik tersebut menunjukkan bahawa kota-kota tersebut terus didatangi para pedagang Cina walaupun hubungan politiknya dikekang oleh empayar Srivijaya. Walau bagaimanapun, jumlah penemuan seramik T’ang adalah relatif sedikit. Oleh yang demikian, pada ketika itu Srivijaya yang menakluk kota-kota tersebut menjadi kuasa tunggal di Kepulauan Melayu yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Pada ketika ini, pelabuhan-pelabuhan seperti Tan-Tan, Pan-Pan, Ko-Lo, Tun-Sun dan Ch’ih-T’u terus lenyap dari rekod-rekod China.

PERINGKAT KELIMA: KURUN KESEMBILAN HINGGA KETIGABELAS MASIHI
Pada kurun ke-9 hingga ke-13 Masihi mewakili zaman apabila wujud transaksi komoditi yang amat aktif antara kota-kota pesisir Semenanjung Tanah Melayu. Pada jangka masa tersebut, wujud hubungan dagang yang amat rapat antara kota-kota tersebut dengan kerajaan Dinasti Sung di China. Hal ini dibuktikan melalui penemuan seramik-seramik Sung di beberapa lokasi Semenanjung Tanah Melayu seperti Pengkalan Bujang, Kampung Sungai Mas, Pulau Tioman dan Takuapa. Walaupun kegiatan perdagangan dengan China adalah amat pesat, belum ditemui bukti yang menunjukkan bahawa wujudnya hubungan diplomatik. Hal ini berkait rapat dengan hegemoni kerajaan Suvarnabhumi pada ketika itu. Kerajaan Suvarnabhumi yang berkembang di Jambi pada kurun ke-9 Masihi merupakan pengganti kepada Srivijaya dengan mengamalkan dasar luar yang sama. Suvarnabhumi telah menakluk kota-kota pelabuhan di pesisir Semenanjung Tanah Melayu. Atas sebab tersebut, tidak wujud hubungan diplomatik secara langsung antara kota-kota tersebut dengan China. Berdasarkan kepada catatan Dinasti Sung, satu-satunya kuasa yang menghantar ufti ke China merupakan kerajaan Suvarnabhumi.

ANALISIS
Kepentingan hubungan diplomatik dan perdagangan yang wujud antara China dan Semenanjung Tanah Melayu dicerminkan dalam sumber-sumber China yang menyebut mengenai kerajaan-kerajaan Semenanjung Tanah Melayu. Wujud dua bentuk hubungan antara kota-kota Semenanjung Tanah Melayu dan China iaitu hubungan perdagangan dan hubungan diplomatik.
Kota-kota yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan China tidak semestinya melibatkan pengiktirafan rasmi daripada pemerintah China. Hubungan tersebut melibatkan kedatangan pedagang-pedagang China di kawasan kota-kota tersebut. Hubungan perdagangan melibatkan kewujudan transaksi komoditi antara kedua-dua pihak. Selalunya, kewujudan hubungan tersebut dibuktikan dengan penemuan arkeologi di tapak-tapak pelabuhan, dengan penemuan yang paling dominan terdiri daripada seramik-seramik China. Hubungan diplomatik pula melibatkan penghantaran ufti dari kota-kota Semenanjung Tanah Melayu. Sumber-sumber yang memberi gambaran mengenai terjalinnya hubungan diplomatik tersebut adalah rekod-rekod China. Perhubungan ufti tersebut melibatkan penghantaran utusan-utusan dari negara-negara kota yang kecil ke China dengan membawa barangan yang dianggap sebagai ufti dan simbol ketaatan mereka kepada Maharaja China. Barangan yang dipersembahkan kepada Maharaja China kebanyakannya terdiri daripada sumber keluaran tempatan. Perlu ditekankan di sini bahawa di Asia Tenggara hanya entiti-entiti politik yang merdeka dan tidak didominasi secara politik oleh sebarang kuasa asing sahaja yang dapat menghantar ufti ke China. Hubungan ufti antara entiti-entiti politik tertentu dengan China menunjukkan bahawa entiti tersebut bebas daripada dominasi oleh kuasa lain. Hal ini diperkuatkan lagi oleh hujah bahawa penghantaran ufti itu bertujuan untuk memperkukuh asas kerajaan tersebut sebagai kerajaan merdeka melalui pengiktirafan dan naungan dari China.
Peringkat pertama hubungan kerajaan-kerajaan Semenanjung Tanah Melayu melibatkan penghantaran ufti dari kerajaan Fu-Kan-Tu-Lu dan Shen-Li kepada kerajaan Dinasti Han. Walaupun kerajaan Fu-Kan-Tu-Lu dan Shen-Li pada ketika itu kemungkinan besar cuma merupakan kota-kota pesisir yang kecil, tetapi kedua-duanya telah wujud sebagai kota-kota berdaulat memandangkan mereka menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Hal ini mencermikan kewujudan hubungan dagang dengan China pada masa yang sama. Pada kurun kedua Sebelum Masihi, masih belum berkembang sebarang kuasa talasokrasi di kawasan Kepulauan Melayu. Walau bagaimanapun, hubungan tersebut tidak kekal lama apabila selepas kurun pertama Masihi, tidak lagi ditemui rekod mengenai hubungan ufti kerajaan-kerajaan tersebut. Hal ini kemungkinan berkait rapat dengan persekitaran politik China pada ketika itu.
Peringkat kedua hubungan Semenanjung Tanah Melayu dengan China adalah dari kurun ke-2 hingga ke-5 Masihi melibatkan zaman apabila tidak wujud hubungan diplomatik rasmi antara China dan Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, hubungan tersebut cuma wujud antara China dengan kerajaan Funan. Ketiadaan ufti yang dihantar menunjukkan bahawa kerajaan-kerajaan tersebut tidak lagi wujud sebagai entiti-entiti politik yang bebas. Sumber China turut merekodkan bahawa kerajaan Funan telah menakluk kota-kota tersebut. Kerajaan Funan yang merupakan kuasa paling dominan pada ketika itu menjadi kuasa tunggal yang berhak untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Pada kurun ke-5 hingga ke-7 Masihi, ufti-ufti telah mula dihantar bermula pada kurun ke-5 Masihi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kota-kota tersebut wujud sebagai kerajaan-kerajaan berdaulat. Kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu wujud sebagai entiti-entiti politik bebas yang mampu untuk mengamalkan dasar luarnya yang sendiri. Hal ini berkait rapat dengan kemerosotan kerajaan Funan.
Bermula pada penghujung kurun ke-7 hingga ke zaman kebangkitan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masihi, kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu tidak wujud sebagai kota-kota yang bebas. Secara berturutan, telah bangkit kuasa-kuasa besar di sekitar Kepulauan Melayu yang telah menakluk kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu. Empayar-empayar tersebut merupakan kerajaan Srivijaya (kurun ke-7 hingga ke-8 Masihi), Mataram (kurun ke-8 hingga ke-9 Masihi), Suvarnabhumi (kurun ke-9 hingga ke-13 Masihi) dan Majapahit (kurun ke-13 hingga ke-14 Masihi). Walaupun hubungan ufti antara kota-kota tersebut terhenti dalam suatu jangka masa yang lama, berdasarkan kepada penemuan arkeologi dan rekod bertulis, diperhatikan bahawa wujud hubungan perdagangan yang berterusan antara kota-kota tersebut dengan China. Hal ini dibuktikan dengan penemuan seramik-seramik China yang boleh ditarikhkan dari zaman Dinasti Tang (kurun ke-7 hingga ke-10 Masihi), Dinasti Sung (kurun ke-9 hingga ke-13 Masihi) dan Dinasti Yuan (kurun ke-13 hingga ke-14 Masihi).

KESIMPULAN
Perkembangan hubungan diplomatik dan perdagangan antara China dan Semenanjung Tanah Melayu tidak semestinya berlaku secara serentak. Pola hubungan tersebut amat bergantung kepada persekitaran politik dan sosioekonomi di China dan Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan-kerajaan yang bebas selalunya bebas untuk menjalankan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan China. Walau bagaimanapun, ketika ditakluk, hubungan tersebut selalunya terhenti. Selepas kurun ke-7 Masihi, iaitu setelah kerajaan-kerajaan tersebut ditakluk, hanya hubungan perdagangan dijalinkan. Fenomena ini berkait rapat dengan struktur politik empayar-empayar yang menakluk kota-kota tersebut.
Kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu diketahui memiliki lokasi yang strategik di kawasan pesisir laluan perdagangan. Lokasi-lokasi tersebut menjadi titik pertemuan bagi para pedagang untuk mengumpul, menukar dan mengedar komoditi mereka. Kuasa-kuasa maritim yang menakluk kota-kota tersebut terdiri daripada empayar talasokrasi yang mempunyai bentuk ekspansi kuasa yang tersendiri. Perluasan hegemoni kerajaan-kerajaan maritim melibatkan proses penerapan dasar politik dan ekonomi kerajaan pusat terhadap kota-kota pelabuhan dengan cara memaksa kota-kota tersebut mengamalkan dasar yang menguntungkan empayar pusat. Melalui penguasaan empayar maritim, kota-kota tertentu di Semenanjung Tanah Melayu terus berfungsi sebagai pelabuhan-pelabuhan pedagang. Walau bagaimanapun, transaksi yang berlaku dikawal oleh empayar tersebut untuk mengekalkan monopolinya terhadap perdagangan tersebut. Oleh yang demikian, walaupun hubungan luar kota-kota tersebut dikekang, tetapi di bawah penguasaan empayar dominan, kegiatan perdagangan dengan dunia luar yang menguntungkan empayar pusat tetap diteruskan.

9 MARCH 2021 @ 26 REJAB 1442H: 11.53 PM

No comments:

Post a Comment