ZULHEIMY MAAMOR

Sunday, 14 February 2021

TEORI OUT OF TAIWAN

Oleh Putih Srikandi
Sumber: FB Tamadun Melayu Sungai Batu 788 SM

Teori migrasi penutur Austronesia dari Taiwan masih boleh dicabar disebabkan hasil kajian yang berlandaskan kaedah yang berbeza, lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini, para pengkaji mula menitikberatkan kajian secara mikro dan serantau (regional) seperti analisis jaringan budaya setempat, tempoh dan arah migrasi serta keragaman bahasa dalam kelompok Malayo-Polinesia.
Secara ringkasnya pada fasa pertama teori migrasi dari Taiwan, bermula 2500 SM, manusia dari Taiwan berhijrah ke selatan - ke Kepulauan Filipina dan kawasan sekitarnya termasuk kepulauan serta semenanjung. Ideanya, kelompok manusia ini sudah ada bahasa yang unik (yang dinamakan Proto-Austronesia) dibawa bersama-sama mereka. Kelompok ini kemudian memenuhi wilayah-wilayah yang kemudiannya berpenutur bahasa-bahasa Malayo-Polinesia.
Ada banyak kajian yang pro teori ini dengan pelbagai kaedah masing-masing.
Namun, kajian genetik menunjukkan bahawa di kawasan-kawasan ini sudah sedia ada penghuninya, sejauh kira-kira 63,000 tahun dahulu. Kajian dari HUGO PAN-Asian SNP pula menyatakan migrasi itu dari Asia Tenggara ke utara, bukannya dari utara ke selatan sebagaimana teori dari Taiwan ini, malah ia mencadangkan bahawa pribumi Taiwan berasal dari orang Austronesia purba di Asia Tenggara, yang mana ini berlawanan dengan teori dari Taiwan itu yang dicadangkan oleh ahli linguistik.
Paling terkenal, teori Out-of-Sundaland yang menggunakan kaedah seperti mtDNA yang mana berjaya mengesahkan teori penyebaran dari Asia Tenggara (Sundaland) ke Asia Timur dan lain-lain.
Namun, ada kajian yang menggunakan kaedah whole genome sequencing yang menyatakan populasi di kepulauan Asia Tenggara memiliki genetik pribumi Taiwan. Ini kembali memberi semangat kepada kelompok teori keluar dari Taiwan dengan menyatakan bahawa pendukung teori penyebaran dari Sundaland/Asia Tenggara 'tidak faham' beza antara populasi awal/sedia ada dengan penyebaran bahasa. Tapi mereka tidak sedar, sekurang-kurangnya teori yang mencabar teori mereka telah membuktikan wilayah-wilayah di kepulauan Asia Tenggara tidak kosong dan hanya menunggu untuk dipenuhi 'manusia Austronesia' dari Taiwan.
Tetapi ada 'plot twist' berlaku...
Kajian yang dilabel sebagai Brandão et al pada 2016 telah menyatakan bahawa penyebaran dari Taiwan itu ada.... tetapi....
Tetapi kesannya ke atas populasi di Asia Tenggara amatlah sedikit. Kajian itu menunjukkan hanya 20% mtDNA dari Asia Tenggara yang memiliki genetik dari pribumi Taiwan dan selebihnya adalah dari genetik kelompok manusia terawal yang sedia ada di sini.
Ini membawa kepada teori bahawa bahasa Malayo-Polinesia sememangnya sudah sedia ada di Asia Tenggara, ia cuma diperkayakan lagi dengan bahasa 'orang Austronesia' yang bermigrasi dari Taiwan itu, bukannya bahasa asal penduduk di Asia Tenggara terus pupus digantikan dengan bahasa para penghijrah dari Taiwan tersebut. Mungkin ia boleh terjadi jika jumlah yang migrasi itu terlampau ramai sehingga mendominasi penduduk asal, namun bukti genetik membuktikan ianya tidak terjadi, malahan dari segi geografi bagaimana penduduk sebuah pulau kecil boleh melebih penduduk di beribu-ribu pulau di kawasan Asia Tenggara dan Lautan Teduh.
Ini belum masuk lebih mendalam ke bab seperti Zaman Air Batu Berakhir, Pleistocene atau Holocene walaupun ada disentuh oleh pengkaji seperti Stephen Oppeinheimer. Malah jika masuk topik lebih rumit seperti Younger Dryas, keputusannya lebih aneh dan menimbulkan 'plot twist' yang lain.
Salah satunya ialah pendapat yang menyatakan bahawa penduduk asal di kawasan Pentas Sunda yang tenggelam ketika paras air laut meningkat telah bermigrasi ke Taiwan. Kemudian mereka bermigrasi kembali ke Asia Tenggara.
~SK
anak langit nan banua

C&P : 14/2/2021 @ 2 REJAB 1442h: 7.18 PM

No comments:

Post a Comment